Membedah Filem Man Laksa

1,701

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Mamat Khalid sememangnya seorang pengarah yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Apabila berbicara mengenai filem-filem Mamat Khalid, latar masa filem beliau mesti berada di dalam zaman 60 hingga 80 an yang mana apabila kita menonton filem beliau, pasti akan teringat nostalgia-nostalgia yang berlaku di dalam zaman tersebut.

Filem ini mengisahkan suasana malam temasya yang diadakan untuk membantu orang kampung yang baru sahaja ditimpa kec3lak4an. Malam temasya ini diuruskan oleh Man si penjual laksa demi memikat hati buah hatinya, Cah anak si tok ketua.

Man Laksa sebenarnya merupakan filem parodi tentang industri hiburan tanah air. Man Laksa ialah gambaran kepada penggiat-penggiat industri di belakang tabir. Pentas itu ialah gambaran kepada industri itu sendiri dan di pentas itu penggiat-penggiat industri akan disuruh berbuat apa sahaja demi populariti mereka.

Mamat juga meluahkan menyatakan kekagumannya terhadap artis-artis yang terkenal sekitar 70 dan 80an, iaitu Ahmad Jais dan Saloma. Lirik lagu yang dinyanyikan oleh Ahmad Jais lakonan Zahid AF2 jelas kemelayuannya.

Di dalam filem ini, Lirik lagu yang dinyanyikan oleh Saloma pula menggambarkan peredaran cita rasa industri muzik tempatan. Mamat cuba menamnpilkan melalui lirik lagu tersebut agar kita perlu melakukan evolusi terhadap industri muzik tanah air kita.

Pada masa yang sama, jangan lupakan pada yang lama.  Kenyataan ini juga dapat dilihat ketika tiga orang budak, Nasir Ramli dan Rosli yang mewakili generasi baru yang membawa perubahan baru tetapi tidak diiktiraf. kerana menentang arus.

Mamat Khalid juga sering mengkritik masyarakat di dalam filem-filemnya.  Di dalam filem Man Laksa, Mamat cuba mengkritik sikap sesetengah manusia yang suka mengambil hak orang lain dengan meminta bantuan kepada pihak berkuasa walaupun dia tidak berada di dalam kesusahan.

Bayangkan, macam mana rumah Pak Maon boleh terbakar di musim banjir? Di dalam keadaan wabak covid-19 inipun, terdapat segelintir manusia yang suka mengambil hak orang lain. Diberi alasan susah padahal job bersepah.

Man Laksa juga merupakan sebuah homage kepada masyarakat sekitar 70an. Mamat memasukkan beberapa babak seperti beratur di tandas, kirim surat melalui adik dan banyak lagi yang sememangnya sinonim dengan suasana yang berlaku ketika zaman tersebut.

Mamat juga mengkritik sikap kronisme yang berlaku di dalam masyarakat dan dalam pertandingan. Kita boleh lihat jelas sewaktu babak pertandingan di mana salah seorang pemenang merupakan saudara kepada pengacara majlis manakala pemenang utamanya merupakan kekasih Tuan DO ( Pegawai Daerah). Pengerusi temasya juga merupakan dua pupu kepada Tuan DO. Jadi jelas di sini, kronisme masih wujud walaupun di peringkat kampung.

Jadi kesimpulannya, Man Laksa bukanlah sebuah filem yang kosong. Filem ini bukanlah filem yang terbaik, tapi filem ini cukup sarat dengan kritikan sosial yang bukan sahaja membuat penonton befikir, malah terhibur dengan filem ini.

Persoalan yang terakhir, bagaimana rumah Pak Maon boleh terbakar di musim banjir?

RUJUKAN:

REALITI, KOMEDI & PARODI DALAM FILEM ‘MAN LAKSA’. https://www.academia.edu/1285409/REALITI_KOMEDI_and_PARODI_DALAM_FILEM_MAN_LAKSA

Muthalib, H. A. (2013). Malaysian cinema in a bottle: A century (and a bit more) of wayang. Petaling Jaya: Merpati Jingga.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.