“Persepsi tanpa kefahaman adalah satu kombinasi yang merbahaya” -Kembar Robert dan Rosalind Lutece

Itulah ungkapan dari kembar Robert dan Rosalind Lutece, saintis yang bertanggungjawab membangunkan kebanyakan teknologi yang digunapakai dalam Bioshock Infinite. Satu ungkapan yang saya rasa cukup sesuai untuk kita jadikan pedoman di masa kini. Dan itu jugalah sebab mengapa rencana ini ditulis secara bersiri. Bagi memberi kefahaman mendalam kepada gamers di luar sana tentang apa itu Bioshock Infinite sebelum kita menyelam ke dasar dan menyelongkar teras mahakarya agung ini.      

Pada bahagian yang lepas, kita sudah kupas bersama kisah-kisah sejarah sebenar yang dipaparkan dalam Bioshock Infinite. Ken Levine dan Irrational Studios nampaknya benar-benar teliti dalam menghasilkan permainan video yang hebat ini. Jelas sekali mereka melakukan kajian dan penyelidikan yang menyeluruh sebelum meletakkan batu asas dalam membentuk jalan cerita di samping membina dunia Bioshock Infinite yang walaupun sekadar sebuah fiksyen, terasa dekat sekali dengan jiwa kita sebagai pemain.

Selain daripada peristiwa sejarah yang benar-benar berlaku, Bioshock Infinite juga memaparkan teknologi dan konsep sains yang realistik. Konsep-konsep sains seperti Fizik Kuantum, Interpretasi Dunia Pelbagai dan banyak lagi memenuhi dunia rekaan Levine ini.Secara tidak lansung, ini menjadikan peristiwa yang berlaku dalam Bioshock Infinite boleh juga berlaku di dunia kita menjadikan pengajaran yang kita dapat dari permainan video ini lebih berharga untuk diteladani oleh kita semua.

Dalam bahagian ini, saya akan mengupas satu demi satu konsep sains yang digunakan oleh Levine dalam membentuk dunia fiksyen Columbia.

P/s Kebanyakan konsep sains yang dibawa dalam Bioshock Infinite menyentuh tentang Fizik Kuantum. Anda boleh baca rencana Fizik Kuantum untuk Pemula oleh Muhammad Eilham di https://thepatriots.asia/fizik-kuantum-untuk-pemula/ untuk mengetahui lebih lanjut tentang fizik kuantum.

  1. Meissner Effect
Gambar 2: Kembar Robert dan Rosalind Lutece
Sumber: https://rocfeathergaming.com/2016/02/25/the-10-best-lutece-twins-quotes/

“I had trapped the atom in mid-air. Colleagues called my Lutece Field “Quantum Levitation”, but in fact, it was nothing of the sort. Magicians levitate. My atom simply failed to fall. If an atom could be suspended indefinitely, well — why not an apple? If an apple, why not a city?” – Rosalind Lutece

Salah satu dari persoalan yang bermain di benak pemain sewaktu menjejakkan kaki di Columbia adalah bagaimana bandar besar ini boleh terapung? Ramai yang bermain (termasuk saya) mungkin menjangkakan yang Columbia diapungkan oleh belon-belon udara gergasi yang diisi gas-gas ringan seperti Helium ataupun Hidrogen membolehkan bandar itu merentas awan. Tetapi sebenarnya, menurut Lutece, Columbia bukan diapungkan oleh belon gergasi, mahupun mana-mana teknologi penerbangan yang ada.

Columbia sebenarnya diapungkan oleh satu konsep sains yang dipanggil sebagai Meissner Effect. Menurut Rosalind Lutece, ketika beliau sedang melakukan eksperimen, beliau berjaya mewujudkan keadaan di mana atom boleh terapung begitu sahaja di udara. Beliau berfikir yang jika sebiji atom boleh terapung selama-lamanya tanpa sebarang gangguan, kenapa tidak sebuah bandar?

Pada ketika itulah Comstock mendekati Lutece dan bersetuju untuk membiayai penyelidikannya. Penemuan sains yang dinamakan dalam Bioshock Infinite sebagai Lutece field itu, membolehkan bandar Columbia dibina dan terapung megah di awangan. Tetapi persoalan yang perlu kita tanya adalah, sejauh manakah realistiknya konsep Lutece Field ini?

Bezanya Lutece Field yang dipaparkan dalam Bioshock Infinite dengan Meissner Effect adalah pada suhu wujudnya keupayaan superconductor tersebut. Dalam Bioshock Infinite, bandar Columbia nampaknya boleh terapung begitu sahaja pada suhu bilik. Dan tidak ada sebarang magnet pun nampaknya yang memegang Columbia terapung di celah awan. Di dunia sebenar pula keupayaan superconductor hanya wujud pada suhu yang terlampau sejuk. Selain daripada itu, konsep Lutece Filed yang dibawa itu kukuh teorinya walaupun mengarut dari segi perlaksanaannya.

2. Quantum Entanglement

“The Lutece Field entangled my quantum atom with waves of light, allowing for safe measurement. Sound familiar, brother? That’s because you were measuring precisely the same atom from a neighboring world. We used the universe as a telegraph. Switching the field on or off became dots and dashes. Dreadfully slow — but now, you and I could whisper through the wall…”

-Rosalind Lutece

Satu lagi konsep sains yang disebut dalam Bioshock Infinite (walaupun hanya sekali lalu) adalah Quantum Entanglement. Ini adalah keadaan yang terjadi apabila 2 partikel berinteraksi di antara satu sama lain, dan mereka akhirnya membentuk satu ikatan. Apabila partikel itu terpisah, ia masih lagi dalam keadaan seperti mereka berinteraksi di antara satu sama lain, walaupun partikel itu terpisah jauh dari satu hujung ke hujung yang lain di alam semesta yang luas ini. Idea asal Quantum Entanglement ini adalah dari Einstein-Podolsky-Rosen Paradox (EPR).

Teori ini juga secara tidak lansung menyatakan yang interaksi antara dua partikel itu berlaku pada kelajuan yang lebih tinggi berbanding cahaya, menjadikan teori ini tidak disukai oleh Einstein. Rosalind Lutece membawa teori ini pergi jauh lagi (dalam fiksyen sahaja), apabila mengatakan yang partikel itu juga boleh berinteraksi di dimensi/dunia yang berbeza, sesuatu yang masih lagi tidak dapat disahkan kewujudannya oleh saintis di dunia nyata. Jadi kenyataan dari Lutece hanyalah fiksyen semata, walaupun teori yang menjadi asasnya adalah sesuatu yang realistik dan boleh diperhatikan melalui eksperimen yang terkawal.

3. Many Worlds Interpretation

Gambar 3:Salah satu dari “rentasan” ataupun “tear” yang boleh dibuka oleh Elizabeth
Sumber: http://bioshock.wikia.com/wiki/File:BI_Monument_LizParis.png

“Brother, what Comstock failed to understand is that our contraption is a window not into prophecy, but probability. But his money means the Lutece Field could become the Lutece Tear — a window between worlds. A window through which you and I might finally be together”

-Rosalind Lutece

Elizabeth yang merupakan salah seorang dari dua protagonis utama Bioshock Infinite mempunyai satu keupayaan yang hebat. Beliau mampu membuka “rentasan”, ataupun “tear” ke dunia ataupun dimensi yang berlainan. Alternate Reality, Parallel/Multiple Dimension, ataupun Multiverse adalah nama yang diberikan pada fenomena ini (secara teorinya sahaja), dan bagi yang sering menonton siri fiksyen, konsep ini bukanlah sesuatu yang baru bagi anda.

Dalam fizik kuantum, apabila kita memerhatikan atom, ataupun zarah pada skala yang sangat-sangat kecil, sesuatu yang pelik berlaku. Segala apa yang kita tahu tentang hukum fizik ataupun hukum alam tidak boleh digunapakai di dunia kuantum (quantum realm). Zarah pada skala yang sangat-sangat kecil boleh menjadi partikel, ataupun menjadi gelombang. Zarah juga boleh berada di dua tempat pada masa yang sama.

Perkara ini menimbulkan kekeliruan pada saintis. Kadang-kadang apabila memerhatikan satu elektron, elektron itu akan mempamerkan sifat seperti partikel, tetapi apabila memerhatikan kembali elektron yang sama pada waktu yang berlainan, ia mempamerkan pula sifat seperti gelombang. Celaru dibuatnya saintis-saintis hebat seperti Neils Bohr, Albert Einstein dan Hugh Everett.

Neils Bohr cuba untuk meletakkan batu asas bagi memberikan jalan penyelesaian kepada kecelaruan ini. Dinamakan sebagai Copenhagen Interpretation, Bohr berhujah bahawa sesuatu atom itu boleh berada dalam apa jua keadaan (partikel, gelombang, di kiri, berada di dua,tiga tempat pada masa yang sama) selagi ianya tidak diperhatikan melalui eksperimen. Perlakuan memerhati  eksperimen itu sendiri menetapkan keadaan atom itu ketika diperhatikan.

Copenhagen Interpretation merupakan konsep yang diterima pakai oleh majoriti saintis yang mengkaji fizik kuantum. Namun beberapa persoalan timbul daripada konsep yang diperkenalkan oleh Bohr ini.  Antara persoalannya adalah bagaimana atom boleh berada dalam banyak keadaan pada satu-satu masa tetapi tidak kita yang terdiri daripada bertrillion-trillion atom?

Secara tidak lansung, Copenhagen Interpretation mengasingkan fizik kuantum pada dunia yang wujud dalam skala yang sangat-sangat kecil. Hugh Everett, seorang saintis dari Amerika Syarikat tidak bersetuju dengan interpretasi tersebut. Beliau mahu fizik kuantum menjadi teras kepada fizik secara keseluruhannya, bukan sekadar satu cabang fizik yang pelik.

Everett pula membentangkan konsepnya sendiri. Beliau berhujah yang setiap perlakuan eksperimen ataupun pemerhatian ke atas zarah akan mewujudkan satu lagi cabang dunia yang berpecah daripada dunia kita sekaligus mewujudkan dunia yang berbeza. Interpretasi Everett yang dipanggil sebagai Many Worlds Interpretation juga menjelaskan bahawa perkara yang sama turut terjadi pada kita dimana setiap perlakuan kita akan mewujudkan cabang kebarangkalian dunia yang berbeza (di mana mungkin ada dimensi yang kita berkahwin dengan pelakon terkenal ataupun dimensi di mana kita jatuh miskin).

Bioshock Infinite menggunakan konsep ini secara meluas dalam menjelaskan tentang kewujudan Comstock, Booker DeWitt dan juga Columbia. Perlakuan DeWitt ketika pembaptisan oleh paderi secara tidak lansung mewujudkan dua dimensi/dunia yang berbeza. Dunia di mana beliau menerima pembaptisan tersebut merupakan dunia dimana Columbia wujud dan dunia dimana beliau menolak pembaptisan tersebut adalah dunia tanpa Columbia.

4. Schrödinger’s cat (Quantum Superposition)

“Heads, or Tails? Dead, or Alive? It’s just a matter of perspective”

-Kembar Robert dan Rosalind Lutece

Fenomena di mana zarah ataupun atom boleh berada dalam apa jua keadaan pada satu-satu masa dinamakan sebagai quantum superposition. Ia menunjukkan bahawa atom hanya akan berada pada satu keadaan sahaja ketika diperhatikan melalui eksperimen yang terkawal. Konsep ini diperjelaskan lagi melalui eksperimen minda (thought experiment) Schrodinger’s Cat.

Eksperimen minda ini meminta kita membayangkan keadaan di mana ada seekor kucing yang diletakkan dalam sebuah kotak. Dalam kotak itu ada satu mekanisma yang mungkin boleh membunuh kucing tersebut jika di dalam kotak tersebut. Ini sekaligus mewujudkan keadaan di mana kucing itu boleh berada dalam keadaan hidup ataupun mati.

Quantum Superposition dipamerkan dalam Bioshock Infinite apabila Elizabeth dan Booker merentas dimensi ke dunia lain. Bagi menyelamatkan Yi Suchong (seorang pembuat senjata), Elizabeth membuka “rentas” ke dunia lain di mana Suchong masih lagi hidup. Tetapi disebabkan kebanyakan pengawal ataupun tentera penjara telahpun dibunuh oleh Booker sebelum sampai ke rentas yang dibuka oleh Elizabeth, kehadiran mereka di dunia alternatif itu mewujudkan keadaan di mana pengawal/tentera penjara itu berada dalam keadaan hidup ataupun mati.

Perkara yang sama juga boleh diperhatikan pada Infusion, salah satu objek yang diletakkan dalam Bioshock Infinite. Infusion (rujuk gambar di atas), berada dalam 3 keadaan pada satu-satu masa iaitu Salt (Warna Biru), Shield (Warna kuning), dan Health (Warna Merah) dan akan menjadi salah satu keadaan apabila anda memilihnya (dikenali sebagai wavefunction collapse).

Penutup

Bioshock Infinite sememangnya satu mahakarya yang hebat. Konsep-konsep sains yang dibawa bukan sahaja dipamerkan sambil lalu, tapi menjadi batu asas penceritaan dalam permainan video ini. Konsep fizik kuantum yang masih asing pada kita dipaparkan dengan ringkas dan mudahnya kepada pemain tanpa disedari disamping mampu untuk membuatkan kita terhibur.

Pada bahagian akan datang, saya akan membedah dari segi falsafah pula dan sisi gelap Bandar Columbia

Rujukan

Weizmann Institute Of Science. (Februari 1998). “Quantum Theory Demonstrated: Observation Affects Reality”. ScienceDaily.

Becker,Adam (Mac, 2018), “The Difficult Birth of the “Many Worlds” Interpretation of Quantum Mechanics” Scientific American.

Jones, Andrew Zimmerman. (Ogos,2018). “How Quantum Levitation Works” ThoughtCo.

Gonzalez, Robbie (Oktober, 2011), “Quantum Locking Will Blow Your Mind-But How Does it Work?” iO9

Kaplan,Sarah (Jun, 2017), “Quantum entanglement, science’s ‘spookiest’ phenomenon, achieved in space” The Washington Post

Feltman,Rachel (Mei, 2016), “Schrödinger’s cat just got even weirder (and even more confusing)” The Washington Post

OutsideXbox (April, 2013), “BioShock Infinite vs. Quantum Mechanics: The Real Science of BioShock Infinite (SPOILERS)” YouTube

https://www.youtube.com/watch?v=EfdfBF1Covw&t=351s


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.