“One man goes into the waters of baptism, a different man comes out, born again”. – Zachary Hale Comstock

Bioshock Infinite adalah sebuah mahakarya terakhir (setakat ini) dari pembangun permainan video lagenda, Ken Levine. Bioshock Infinite, seperti juga permainan video yang lain dari Levine (seperti System Shock 2 dan Bioshock) sarat dengan mesej, kritikan sosial dan falsafah yang berat mengajak pemain bukan sahaja untuk berhibur malah untuk berfikir. Ketika ianya dilancarkan pada Mac 2013, Bioshock Infinite menerima pujian dari pengkritik dan juga pemain industri disamping dianugerahkan sebagai “Game of The Year” oleh beberapa institusi terpilih.

Infinite meletakkan pemain di sebuah bandar yang berada di celah awan bernama Columbia. Columbia walaupun sebuah bandar yang memukau setiap yang bertandang, namun ianya penuh dengan rahsia dan kekurangan yang disembunyikan disebalik gemilap bandar di celah awan ini. Tetapi, setiap rahsia yang ada tidak akan terkubur selamanya. Bioshock Infinite mengajak kita sebagai pemain untuk mengorek dan membongkar setiap inci bandar Columbia bagi memahami mesej, tema dan falsafah yang ingin disampaikan. Rencana bersiri ini akan cuba membedah mahakarya ini dari sudut sejarah, falsafah/ideolgi dan juga sains dengan harapan ia dapat menjadi pedoman yang baik bagi setiap yang bermain.

Untuk bahagian pertama ini, kita akan meneliti setiap peristiwa sejarah yang dipaparkan dengan meluas dalam permainan video ini yang sememangnya berlaku dalam lipatan sejarah.

Pembunuhan Besar-Besaran di Wounded Knee (Wounded Knee Massacre)

Gambar 2: Orang Asli Amerika yang mati di bunuh tentera Amerik Syarikat. Sesetengah sejarawan meletakkan angka korban pada 300 orang termasuk wanita dan kanak-kanak

Kita mulakan rencana ini dengan membedah watak utama Bioshock Infinite, Booker DeWitt. Booker yang direka sebagai seorang penyiasat persendirian mempunyai sejarah hitam yang tersendiri ketika beliau berkhidmat di bawah 7th Cavalry Regiment, tentera Amerika Syarikat. Rejimen ini cukup dikenali dengan satu peristiwa berdarah yang berlaku di penghujung kurun ke-19; pembunuhan bersar-besaran di Wounded Knee.

Wounded Knee merupakan sebuah anak sungai yang terletak di wilayah Great Plains kepunyaan orang asli Lakota. Pada kurun ke-19, wilayah Great Plains diteroka atau istilah yang lebih tepat lagi dijarah dengan rakusnya oleh orang kulit putih. Wilayah yang terbentang luas itu pernah menjadi tempat kawanan Bison bebas meragut dan menjadi antara sumber makanan utama puak Lakota. Namun begitu, disebabkan ketamakan yang luar biasa oleh peneroka Eropah, kawanan Bison yang ada di situ hampir pupus dan tanah puak Lakota dirampas sedikit demi sedikit.

Melihatkan konflik yang tidak berkesudahan di antara Amerika Syarikat dan juga puak Lakota, satu perjanjian ditandatangani di Fort Laramie pada tahun 1851. Mengikut perjanjian tersebut, Amerika Syarikat berjanji akan mengiktiraf kedaulatan Great Plains di bawah kekuasaan puak Lakota dengan syarat puak Lakota memberikan laluan yang selamat kepada pedagang dan rombongan Amerika Syarikat dari Missouri ke Oregon.

Puak Lakota menghormati perjanjian tersebut dan ini membolehkan satu jalan perdagangan yang selamat wujud dari timur ke barat Amerika Syarikat. Berbeza pula jika dilihatkan pada Amerika Syarikat, janji mereka untuk menghormati kedaulatan puak Lakota hanyalah omongan kosong. Pada dasarnya memanglah Amerika Syarikat mewujudkan zon pemuliharaan di sekitar Great Plains bagi memastikan puak Lakota tidak diganggu. Namun begitu, Amerika Syarikat tidak pula menghalang penduduknya sendiri yang datang ke tanah Lakota dan membuka kawasan itu menjadi tempat penempatan mereka. Sedikit demi sedikit tanah yang ada dalam zon pemuliharaan diambil dan dijadikan tempat tinggal oleh peneroka kulit putih (Macam pernah dengar kan?)

Pengkhianatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat membuatkan orang asli Lakota berang. Serangan mula dilancarkan oleh puak Lakota terhadap penempatan kulit putih, tetapi disebabkan oleh kekangan teknologi dan juga kemampuan bertempur,ianya dengan begitu mudah sekali dipatahkan oleh tentera Amerika Syarikat. Melihatkan masa depan yang semakin malap, dan keadaan orang asli yang semakin tertekan, satu agama baru bercambah dalam kalangan orang asli dan bakal menjadi pencetus kepada peristiwa berdarah.

Ghost Dance merupakan sebuah agama baru yang dianut oleh puak Lakota dan diasaskan oleh Wovoka. Menurut mereka, Jesus Christ, telah turun ke bumi semula sebagai orang asli Amerika. Wovoka meyakinkan pengikutnya bahawa Jesus Christ yang dilahirkan semula itu akan membawa kesemua orang asli ke tanah yang dijanjikan dan akan menghidupan kembali kawanan Bison yang hampir pupus. Orang asli Lakota hanya perlu melakukan Ghost Dance bagi memastikan peristiwa yang diramalkan itu berlaku. Agama tersebut tersebar luas diseluruh zon pemuliharaan dan ini menimbulkan kebimbangan kepada orang kulit putih yang tinggal berdekatan.

Amerika Syarikat yang ingin melindungi penduduk mereka mula bertindak. Semua penghulu orang asli ditangkap bagi memastikan tiada sebarang bentuk pemberontakan boleh berlaku. Salah seorang yang ingin ditangkap adalah Sitting Bull. 40 orang polis orang asli dikerahkan untuk menahan Sitting Bull, namun disebabkan oleh keengganan Sitting Bull, pertempuran akhirnya tercetus menyebabkan Sitting Bull dan beberapa anggota polis terbunuh. Pengikutnya yang takutkan pembalasan dari Amerika Syarikat berhijrah bagi mencari perlindungan dari penghulu Spotted Elk.

Spotted Elk bersama dengan pengikut Sitting Bull dan pengikutnya sendiri berhijrah keluar pula bagi mencari perlindungan dari Red Cloud. Sewaktu perjalanan, mereka terserempak dengan 7th Cavalry Regiment yang akhirnya mengiringi mereka ke Wounded Knee. Atas arahan tentera Amerika Syarikat, 7th Cavalry meminta Spotted Elk dan pengikutnya untuk menyerahkan semua senjata. Disebabkan keengganan mereka, pertempuran mula tercetus. Sesetengah sejarawan menjangkakan sebanyak 300 orang asli terkorban di Wounded Knee termasuklah wanita dan kanak-kanak menjadikan ia sebagai salah satu pembunuhan besar-besaran yang paling kejam oleh tentera Amerika Syarikat terhadap kaum orang asli di sana.

Booker DeWitt digambarkan sebagai salah seorang anggota yang menyertai pembunuhan besar-besaran di Wounded Knee. Kekejaman teruk yang beliau lakukan menimbulkan rasa bersalah yang amat besar dalam dirinya sehingga menyebabkan beliau berhasrat untuk menjalani upacara pembaptisan bagi “menyucikan” dosanya. Seperti yang kita semua sedia maklum, Booker DeWitt menolak pembaptisan itu pada saat-saat akhir dan ini membawa kepada fasa kedua di dalam hidup beliau; sebagai anggota agensi Pinkerton.

Pemberontakan Pinkerton (Pinkerton Rebellion)

Gambar 3: Salah satu pemeberontakan golongan pekerja yang dikawal dan dileraikan oleh ejen Pinkerton
Sumber:https://en.wikipedia.org/wiki/History_of_union_busting_in_the_United_States#/media/File:Pinkerton_escorts_hocking_valley_leslies.jpg

Pinkerton merupakan sebuah agensi detektif yang diasaskan oleh Allan Pinkerton pada tahun 1850. Sebagai sebuah agensi penyiasatan yang sangat masyhur dalam sejarah, Pinkerton pernah pada satu-satu masa mempunyai anggota yang lebih ramai dari tentera Amerika Syarikat sendiri. Pinkerton mula dikenali di seluruh Amerika apabila mereka berjaya mematahkan rancangan untuk membunuh Presiden Lincoln pada tahun 1861.

Dari saat itu khidmat Pinkerton digunakan secara meluas sama ada dari kerajaan, individu ataupun dari pihak korporat. Ditambah pula dengan portfolio yang meluas dalam penyiasatan, sekuriti dan juga ketenteraan, Pinkerton merupakan agensi persekutuan pertama di Amerika Syarikat dan menjadi antara model menjadi rujukan FBI ketika penubuhannya. Namun begitu, tidak semua yang baik itu, dapat dikaitkan dengan Pinkerton. Pinkerton juga sangat dikenali dalam sejarah sebagai “tentera” golongan industrialis.

Pada penghujung kurun ke-19, revolusi perindustrian ke-2 sedang memuncak di Amerika Syarikat. Teknologi pembuatan keluli yang diperkenalkan oleh Henry Bassemer dan diperkemaskan lagi oleh Andrew Carnegie membolehkan keluli dihasilkan secara besar-besaran. Pada tahun 1889, hasil keluaran keluli dari Amerika Syarikat mengatasi United Kingdom dan kebanyakan darinya dihasilkan di kilang milik Carnegie.Tetapi teknologi yang baru ini juga datang dengan sisi gelapnya.

Jika pada masa dahulu, pembuatan keluli memerlukan keupayaan pekerja mahir, kini dengan kewujudan Proses Bassemer, khidmat mereka tidak lagi diperlukan dan mereka dibayar pada harga pekerja biasa. Ini menimbulkan kemarahan dalam kalangan pekerja mahir yang menganggotai kesatuan pekerja terkuat di Amerika Syarikat (Amalgamated Association of Iron and Steel Workers (AA)). Kemampuan AA terbukti apabila pada tahun 1889, mereka berjaya memaksa Carnegie dan industrialis untuk menandatangani perjanjian bersama selama 3 tahun bagi melindungi golongan pekerja mahir.

Namun begitu, perjanjian pada tahun 1889 itu menyaksikan Carnegie kerugian besar. Beliau tidak dapat memaksimakan output keluli yang sepatutnya mampu dikeluarkan oleh kilangnya di Homestead dek kerana peraturan pekerja yang beliau tandatangani. Carnegie mengarahkan Henry Clay Frick (seorang lagi industrialis) bagi memecahkan dominasi AA yang pada hematnya sudahpun menguasai kilangnya di Homestead.

Mengikut dakwaan sesetengah orang, Frick mengupah Pinkerton bagi melakukan kerja-kerja penyiasatan dan juga pencerobohan bagi mendapatkan maklumat dan menimbulkan curiga dalam kalangan AA sendiri. Frick juga mengambil langkah untuk menutup kilangnya dari dimasuki golongan AA, memasang kawat besi dan juga membina menara keselamatan lengkap dengan penembak hendap. Ini semua bagi memastikan yang ahli AA tidak dapat menganggu operasi harian di kilang Homestead.

Tindakan yang diambil oleh Frick itu menaikkan berang AA lantas mereka melancarkan piket dan boikot di Homestead. AA berjaya mempengaruhi sehingga 5000 orang penduduk Homestead untuk bersama dengan mereka menjalankan demonstrasi dan cuba untuk merempuh sekatan di kilang milik Carnegie. Frick lantas mengupah 300 orang Pinkerton untuk menghalang kumpulan perusuh AA sehingga berlaku pertempuran di antara AA dan juga Pinkerton.9 orang anggota AA terkorban termasuk 7 orang anggota Pinkerton sendiri, namun begitu, hasrat Frick tercapai kerana AA berpecah sejurus selepas Pemberontakan Pinkerton dek kerana kesan buruk dari demonstrasi mereka sehingga melibatkan korban nyawa.

Apa kaitannya peristiwa di atas dengan Bioshock Infinite? Booker digambarkan sebagai bekas anggota Pinkerton yang sering dipertanggungjawabkan untuk melindungi industrialis dan mengawal Kesatuan Pekerja. Disebabkan kemampuan Booker itulah Jeremiah Fink sendiri inginkan Booker sebagai Ketua Sekuriti di syarikatnya bagi mengawal pekerja-pekerja Fink Manufacturing untuk mengelakkan sebarang pemberontakan dari berlaku. Layanan seperti sampah oleh Fink terhadap pekerjanya dalam Bioshock Infinite mengambil banyak inspirasi dari peristiwa sejarah sebenar yang berlaku ketika Revolusi Industri yang ke-2.

Boxer Rebellion

Gambar 4: Anggota Tentera dari perikatan 8 Negara pada tahun 1900
Sumber: https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Boxer2y.jpg

Selain dari protagonis Booker DeWitt, Columbia juga mempunyai sejarahnya sendiri yang mengambil banyak inspirasi dari peristiwa sejarah sebenar. Antaranya adalah Chicago World Fair 1893 di mana buat pertama kalinya perancangan untuk Bandar Columbia didedahkan pada dunia sebagai satu projek dibawah biayaan kerajaan Amerika Syarikat. Setelah Columbia siap dibina,ia terus diiktiraf sebagai salah satu negeri di bawah persekutuan Amerika Syarikat sehinggalah pada tahun 1902, apabila Columbia secara rasminya keluar dari Amerika Syarikat disebabkan oleh serangan terbuka yang mereka lancarkan ketika Boxer Rebellion.

Boxer Rebellion merupakan satu lagi peristiwa sejarah sebenar yang dipaparkan dalam Bioshock Infinite. Di penghujung kurun ke-19, kuasa Barat dan juga Jepun sudah berjaya mempengaruhi Dinasti Qing untuk menerima campur tangan mereka dalam hal ehwal ekonomi China. Sesetengah wilayah di Cina diberikan kepada beberapa negara Eropah lantas menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat setempat. Ditambah pula dengan bencana alam seperti banjir dan kebuluran yang melanda China, keadaan itu bagaikan minyak yang memarakkan lagi api kemarahan rakyat China kepada pendatang asing.

Boxer Rebellion mendapat namanya dari persatuan rahsia yang memulakan pemeberontakan tersebut. Society of Righteous and Harmonious Fists menggunakan seni pertahanan diri yang menurut dakwaan mereka boleh menjadikan mereka kalis peluru. Orang Eropah dan pendakwah Kristian memberikan mereka gelaran Boxer selepas melihat aksi mereka dalam mempersembahkan seni pertahanan diri mereka ketika melancarkan serangan.

Kemuncak pemberontakan ini berlaku pada tahun 1900 apabila lebih daripada 20,000 orang pemberontak menyerang wilayah yang dikuasai oleh kuasa asing. Dikatakan terdapat lebih dari 400 orang tentera kuasa asing yang cuba bertahan di sebalik kubu yang menempatkan pegawai dan ahli keluarga mereka. Serangan itu berlanjutan sehinggalah beberapa minggu dan akhirnya berjaya dipatahkan apabila pakatan berikat dari 8 negara (Austria-Hungary, Perancis, Jerman,Itali, Jepun, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat) mendarat di China.

Berikutan dari peristiwa itu, kerajaan China terpaksa menandatangani Protokol Boxer pada 7 September 1901. Ini membolehkan negara-negara asing menempatkan tentera mereka di China dan memaksa kerajaan China untuk menghukum mereka yang terlibat dalam Boxer Rebellion. Disamping itu kerajaan China perlu membayar sebanyak $ 330 juta pampasan perang kepada semua negara yang terlibat. Peristiwa ini memberi kesan yang besar kepada Dinasti Qing dan melemahkan lagi Dinasti itu sehinggalah Dinasti itu digulingkan pada tahun 1912.

Peristiwa ini diadaptasi dalam Bioshock Infinite bagi menunjukkan sifat dan sikap yang ditunjukkan oleh Columbia dan penduduknya kepada mereka yang bukan berkulit putih. Bagi penduduk Columbia, bangsa kulit putih adalah bangsa yang dipilih tuhan dan bangsa-bangsa lain seperti orang Cina, orang asli Amerika, dan juga orang kulit hitam, adalah bangsa yang berstatus rendah yang hanya layak berada dibawah pemerintahan orang kulit putih.

Rumusan

Nah, 3 peristiwa sejarah yang sememangnya berlaku dan dipaparkan dengan berat dalam permainan video yang hebat ini. Tapi bukan  ini sahaja peristiwa sejarah sebenar yang ada dalam Bioshock Infinite. Bioshock Infinite juga memaparkan peristiwa-peristiwa sejarah yang lain seperti, Peristiwa John Wilkes Booth membunuh Presiden Lincoln, Sejarah Beach Boys, World Fair di Chicago pada tahun 1893, pelancaran Titanic pada tahun 1911, sejarah Revolusi Amerika, dan juga simbolik Columbia itu sendiri. Disetiap inci bandar Columbia itu penuh dengan sejarah yang boleh kita pelajari dan jadikan pedoman.

Dalam bahagian ke-2 pula, saya akan bedah teknologi dan penemuan sains yang dipaparkan dalam mahakarya ini dan sejauh manakah kebenarannya jika dibandingkan dengan dunia nyata.

Rujukan

Steward,Andrews (September, 2013), “Review of Bioshock Infinite” Trusted Reviews

Cowen,Nick (Mac,2013), “Bioshock Infinite-Review” The Guardian

Ries,Brien (Mac, 2013),“BioShock Infinite’ Review: Already the Game of the Year” The Daily Beast

Hollingworth,David (Mac,2013), “Understanding the real history of Bioshock: Infinite” PC Authority

Serwer,Adam (Mei, 2013), “BioShock Infinite: An American History Lesson Where You Get to Blow Shit Up” MotherJones

Klein,Christopher (Disember, 2015), “Remembering the Wounded Knee Massacre” History

McNamara, Robert (Januari,2018), “The Homestead Steel Strike-Battle of Strikers and Pinkertons Shocked America in 1892” ThoughtCo.

Szczepanski,Kallie (Januari, 2018), “What Was the Boxer Rebellion?” ThoughtCo.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.