Tular di seluruh dunia, animasi Jepun yang menjadi bualan ramai ialah siri Dr Stone yang dihasilkan oleh studio TMS Entertainment. Dr Stone berasal daripada manga yang telah dicipta oleh Riichiro Inagaki yang bermula penerbitannya pada tahun 2017. Dr Stone diadaptasikan ke layar animasi atau anime pada tahun 2019 dan masih lagi bersiaran.

Sinopsis

Dr Stone mengisahkan tentang seorang pelajar sekolah menengah bernama Senku yang hebat dalam ilmu sains. Kehebatan beliau tidak tertumpu dalam satu bidang sahaja seperti pakar dalam fizik sahaja atau pakar dalam bidang biologi sahaja. Beliau digambarkan sangat pakar dalam bidang kimia dan mampu mengaitkan bidang-bidang lain yang berkaitan.

Nak dijadikan cerita, suatu hari tiba-tiba bumi dilimpahi cahaya hijau dari langit dan semua manusia bertukar menjadi batu, atau lebih tepat manusia diselaputi batu. Seluruh manusia di dunia jadi batu seperti mana Medussa memukau lelaki lantas menjadi batu.

Berlalu zaman, Senku ‘bangkit’ daripada ‘tidurnya’ yang panjang seumpama Ashabul Kahfi seperti yang dikisahkan Allah SWT dalam Surah al-Kahf. Penggunaan perkataan ‘bangkit dari tidur’ tidaklah berapa tepat dalam siri ini kerana Senku berusaha sedaya upaya untuk kekal sedar walaupun telah menjadi batu. Kemudian rakan sekolahnya pula berjaya membebaskan dirinya daripada kekal menjadi batu.

Setelah bangkit dan sedar, mereka mendapati bahawa mereka telah menjadi batu selama 3, 700 tahun lamanya dan usia peredaran zaman ini dapat diketahui kerana Senku kekal mengira jarum saat semasa dia menjadi batu. Pengiraan jarum saat inilah yang menjadikan otak Senku terus kekal sedar.

Plot bergerak apabila mereka mendapati perubahan bumi sudah seperti kembali ke zaman primitif atau lebih tepat Zaman Batu. Berbekalkan ilmu sains Senku, beliau bercita-cita besar untuk membina tamadun dari kosong dengan kadar perkembangan yang sangat laju! Cita-cita Senku ini membuatkan saya begitu takjub dan kagum dengan pencipta siri Dr Stone ini. Konsep sains fiksyen yang segar dan original berbanding anime-anime lain.

Berbekalkan ilmu sains yang telah dikumpulkan beribu-ribu tahun lamanya oleh semua generasi manusia, bermula dari sebelum tamadun Mesopotamia, Hindu, China, Mesir, sehinggalah bermulanya kalendar Masihi menuju ke Revolusi Industri Perancis pada kurun ke-16M.

Akhirnya sampai ke generasi kita iaitu generasi Industrial Revolution 4.0 – kesemuanya ada dalam kepala otak Senku. Mindblown. Bayangkan bagaimana dia boleh lompat beberapa fasa ketamadunan dengan ilmu yang beliau ada dan terus bina zaman atau tamadun teknologi dalam masa tak sampai 100 tahun. Fuhh merecik.

Adapun cerita seterusnya boleh baca atau tonton sendiri ya. Dr Stone ni mengingatkan aku pula pada anime Log Horizon.

Bedah Nilai dan Persoalan dalam Dr Stone

Ketamadunan tidak dicapai seorang diri

Antara perkara yang saya terfikir tentang anime ini adalah sebuah tamadun tidak akan terbina dengan upaya seorang manusia sahaja. Dalam kes ini, Senku seorang sahaja tidak akan mampu membina Kingdom of Science, iaitu cita-citanya, seorang diri tanpa bantuan daripada masyarakat.

Menerusi siri, kita dapat melihat yang Senku mengumpulkan pengikut supaya mereka dapat digunakan sebagai pemangkin kepada cita-citanya. Senku sedar bahawa dia sahaja, yang memiliki ilmu pengetahuan, tidak dapat melakukan semua kerja-kerja pembangunan keperluan asas sains.

Pada awalnya, Senku dan kawannya bekerjasama. Senku sebagai brain yang merangka strategi dan pelan pembangunan, manakala Taiju sebagai muscle, yang bertugas sebagai pelaksana kepada pelan yang dirancang oleh Senku.

Setelah Senku dan Taiju & Yuzuriha berpisah untuk melaksanakan misi masing-masing, beliau bertemu dengan satu kampung yang memperkenalkan beliau kepada seorang ‘bomoh’ muda bernama Chrome. Setelah beradu kekuatan ilmu sains masing-masing, Senku mendapati bahawa Chrome memiliki potensi untuk menjadi saintis pelapis sekiranya Senku tiada atau mati.

Selain Chrome, Senku juga bertemu dengan dua orang pahlawan kampung yang bertugas sebagai pengawal kampung, iaitu Kinro dan Ginro. Kelicikan Senku untuk memenangi hati mereka berdua membuatkan mereka terpaksa bekerja sebagai buruh. Senku juga telah berhelah terhadap orang kampung itu untuk membantunya dalam bereksperimen.

Ringkasnya, sebuah tamadun memerlukan sebuah ‘otak’ dan ramai pekerja atau pelaksana untuk membangunkan tamadun. Tanpa pelaksana ataupun modal insan yang boleh menyumbang kepada pembangunan tamadun, cita-cita membina Kingdom of Science tidak akan tercapai. Ini perkara asas di dunia realiti. Sebuah negara perlu memberikan ilmu yang cukup kepada rakyat supaya rakyat dapat menyumbang semula kepada pembangunan negara.

Kingdom of Science vs Kingdom of Nature

Perbezaan ideologi antara Senku dan Shishio menyebabkan mereka berpisah dan tidak sehaluan. Senku tetap dengan pendiriannya bahawa sains dapat menjadikan dunia sebuah tempat yang selesa untuk didiami.

Manakala Shishio pula beranggapan bahawa sains adalah punca kepada sebahagian masalah besar dunia. Shishio beranggapan bahawa keadaan bumi yang sudah dibaikpulih secara semulajadi adalah lebih baik dan terlebih baik sekiranya ia tidak dicemarkan oleh sains.

Maka mereka berdua berusaha untuk membangunkan kerajaan idaman mereka, bermula dengan mengumpulkan pengikut yang ramai.

Senku, seperti yang telah saya tulis di atas, beliau menggunakan ilmu sainsnya untuk memukau orang kampung dengan segala hasil eksperimennya. Beliau telah menghasilkan beberapa alatan atau ciptaan yang ‘berkuasa’ untuk membuatkan orang kampung terpukau. Beliau dituduh sebagai ahli sihir kerana kemampuannya yang melebihi batasan ilmu dan pengetahuan orang kampung pada ketika itu.

Shishio pula menggunakan kaedah yang sebaliknya. Kekuatan Shishio tidak terletak pada ilmu pengetahuan seperti Senku, tetapi Shishio ada segala apa yang tiada pada Senku. Iaitu sifat-sifat kelakian atau kejantanan yang boleh diklasifikasikan sebagai alpha male. Sifat yang ada pada Shishio meletakkan dia pada posisi seorang ketua atau raja. Antara sifatnya ialah

  1. Ego.
  2. Tak takut tak gentar. Berani.
  3. Berpegang kuat pada ideologi.
  4. Memiliki kekuatan fizikal – aspek kepahlawanan yang sangat penting dalam fasa survival dalam hutan.
  5. Memiliki keupayaan berfikir dan berstrategi yang sama seperti Senku, cumanya Shishio tidak memiliki ilmu sains seperti Senku. Sekiranya Shishio memiliki ilmu sains, Senku wajib kalah.
  6. Aura atau karisma sebagai ketua atau pemimpin – antara elemen penting yang ada pada pemimpin ialah karisma. Karisma-lah yang membezakan seseorang itu sebagai pemimpin atau orang biasa. Sekiranya Senku mampu memukau orang dengan sains, maka Shishio mampu memukau orang lain dengan karismanya.

Pertembungan dua watak ini sedikit mengingatkan saya kepada manga/anime Death Note. Kira dan L memiliki keupayaan berfikir secara kritis pada tahap yang hampir sama. Ini menjadikan persaingan antara Kira dan L sengit kerana masing-masing cuba untuk outwit sesama mereka. Dalam anime Kuroko no Basket pun ada elemen yang sama, di mana kesemua pemain berpindah sekolah dan bertemu semula sebagai musuh yang hebat. 

Apa yang ditakutkan Shishio pada Kingdom of Science ialah penghasilan senjata moden. Kingdom of Nature tidak akan mampu menghasilkan senjata moden yang berasaskan bahan letupan dan kraf besi seperti penghasilan pistol dan sebagainya.

Ancaman senjata moden ini membuatkan Shishio perlu untuk bertindak segera mengumpul tentera dan menyerang Kingdom of Science terlebih dahulu sebelum Senku membuat banyak progres dalam persenjataan.

Merentas Tamadun

Setakat episod 14, Senku ada mengungkapkan bahawa “Kita akan membangkitkan tamadun sains yang telah dihimpunkan oleh umat manusia lebih daripada 1 juta tahun.”

The two of us high school brats are going to build a civilization out of nothing.”

Sedar tak sedar, siri ini telah memaparkan banyak ciptaan yang dihasilkan oleh Senku. Senku sendiri telah mencipta beberapa peralatan asas untuk kegunaannya sama ada untuk tujuan domestik/biasa atau untuk penyelidikan dan eksperimen. Antaranya ialah;

  1. Pakaian
  2. Periuk belanga (pottery/clay pot)
  3. Rumah kayu
  4. Sabun
  5. Makmal – untuk kerja penyelidikan.
  6. Balang kaca (glass jar) – khas untuk kegunaan eksperimen.
  7. Magnet
  8. Alat penjana kuasa – untuk bekalkan tenaga elektrik.
  9. Filamen mentol daripada buluh. 
  10. Kanta – cermin mata.
  11. Ramen
  12. Serbuk peledak dan sebagainya

Dalam masa yang singkat, Senku berupaya mencipta beberapa peralatan yang memakan masa berzaman-zaman untuk dihasilkan. Jadi, beliau telahpun skip atau merentas beberapa fasa dalam penciptaan.

Etika Seorang Saintis dan Pengkaji

Beberapa minggu lepas, saya menjalani Qualifying Test sebagai satu prosedur untuk meluluskan proposal kajian peringkat sarjana saya. Panel penilai beritahu saya bahawa saya kekurangan ‘Shakhṣiyyah al-Baḥath’ iaitu keperibadian seorang pengkaji. Keperibadian seorang pengkaji boleh dipecahkan kepada dua (2) iaitu;

  1. Kemampuan untuk mengkaji – saya kekurangan aspek ini.
  2. Etika dan moral pengkaji – aspek yang saya nak bahaskan tentang Senku.

Berbalik kepada Senku, beliau memilik kedua-dua aspek yang saya sebutkan di atas. Senku memiliki minat yang sangat mendalam tentang ilmu sains. Asalkan sains sahaja, mesti beliau akan pelajari dan kuasai. Ini disokong dengan babak Senku sejak kecil lagi sudah membaca buku biografi Thomas Edison. Sifat ingin tahu yang kuat mendorong Senku untuk terus bereksperimen sehingga mencapai kehendaknya.   

“I’m going to use the power of science to revive everyone.”

Senku bukanlah seorang saintis gila atau sekadar acah gila seperti Hououin Kyouma atau namanya Okabe Rintaro dalam siri anime Steins;Gate. Senku seorang yang sangat praktikal, cita-citanya juga realistik untuk dicapai. Ilmu sains yang ada pada Senku merupakan amanah yang berat untuk dipikul oleh Senku. Justeru, sudah semestinya beliau akan berusaha sedayanya untuk memulihkan semula semua manusia yang telah menjadi batu dan bersama-sama membina tamadun. 

Kesimpulannya, siri anime Dr Stone ini tidaklah terlalu hebat plot dan jalan ceritanya. Ia sama seperti genre shounen yang lain. Cuma apa yang menarik hanyalah pada konsep sains yang dipersembahkan. Walaupun begitu, kekurangan dalam siri ini bukanlah penghalang untuk kita mempelajari sesuatu daripadanya.

Secara peribadi, inilah babak yang paling saya suka kerana dapat keluar daripada kegelapan merupakan satu nikmat yang besar. Kita tak rasa zaman atuk nenek kita yang bercahayakan pelita sahaja, jadi mungkin sukar untuk kita hargai sumbangan penciptaan mentol lampu. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang graduan Pengajian al-Quran dan Sunnah di USIM dan sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana dalam bidang terapi Psikospiritual Quran dan Sunnah.

Comments are closed.