Moving Forward As One

Memahami Tanah Palestin Dan Sejarahnya

4,510

PayLater by Grab

Untuk artikel khas ini, saya membincangkan tentang tanah bernama Palestin dan sejarah yang berkait dengannya bermula dari fasa kuno hingga fasa Turki Uthmaniyah demi memperkasakan ilmu sejarah. Jangan risau, artikel ini tidak ada pengaruh siapa-siapa atau parti politik demi memenuhi agenda tertentu. Artikel ini cuma penyampaian sejarah untuk para pembaca.

Palestin atau dengan nama lain iaitu Filastin (Arab), Palaistine (Yunani), Palaestina (Latin), dan Palestina (Hebrew) adalah tanah geografi bertempat di Asia Barat merangkumi Israel, Tebing Barat dan Gaza (Palestin), dan sebahagian barat Jordan.

Nama Palestin ini awal digunapakai oleh para penulis Yunani bagi merujuk tanah tersebut, kemudian empayar Rom menamakan tanah Palestin dengan nama Syria Palaestina. Masuk ke empayar Byzantine, tanah itu dipanggil sebagai Palaestina Prima. Terakhir sekali Palestin menjadi negeri bernama Jund Filastin di bawah pemerintahan Turki Uthmaniyah.

Palestin terkenal dengan gelaran Land of Israel, Holy Land, atau Promised Land mengikut kitab Bible dari agama Kristian. Bukan itu saja, Palestin menjadi tanah kelahiran agama Kristian dan Yahudi, serta penting bagi Arab muslim melalui sejarah khilafah Islam.

Sejak tanah Palestin ini wujud ramai kuasa-kuasa menakluk tanah ini bermula Mesir Kuno hinggalah Israel dan Palestin sendiri. Sempadan tanah ini berubah sejak berzaman dan sempadan Palestin sekarang adalah yang terkini membahagikan antara Palestin dan Israel.

FASA PALESTIN KUNO

Bermula Zaman Gangsa, kaum Canaan menubuhkan banyak negara kota di tanah Palestin membentuk sebuah tamadun yang dikelilingi dengan tamadun lain seperti Mesir Kuno, Mesopotamia, Phoenicia, dan Minoan Crete. Sekitar tahun 1550 dan 1400 SM, kota-kota Canaan menjadi naungan Kerajaan Baru Mesir sehingga pada tahun 1178 SM, di mana berlaku Pertempuran Djahy akibat serangan Orang Laut Mediterranean terhadap Mesir Kuno.

Tahun 1200 SM, masyarakat Canaan yang menetap di tanah tinggi menggelarkan diri sebagai kaum Israel atau Bani Israel yang kemudian membentuk sebuah kerajaan iaitu Kerajaan Israel pada 1047 SM hingga 930 SM. Nabi Daud A.S dan Nabi Sulaiman A.S pernah menjadi pemerintah kerajaan ini.

Kemudian, akibat konflik dalaman kerajaan, Israel terbahagi kepada dua buah kerajaan: Israel di utara di mana terbentuknya kaum Samaritan dan Judah di selatan di mana Jerusalem menjadi ibu kota Judah. Masuk tahun 722 SM, Israel ditakluk oleh empayar Neo-Assyria di Mesopotamia, diikuti dengan Judah yang menjadi naungan empayar tersebut. Judah bertahan lagi sebagai naungan empayar New-Babylonia kemudian runtuh pada 586 SM akibat pemberontakan membebaskan Judah.

Selepas Mesir Purba, empayar Neo-Assyria dan Neo-Babylonia dari Mesopotamia menakluk Palestin dari 740 SM hingga 586 SM. Pada tahun 539 SM, empayar Babylonia digantikan dengan empayar Achaemenid yang berbangsa Parsi. Para pelarian Judah dibenarkan kembali semula ke tanah mereka dan menjadikan Palestin sebagai wilayah milik Achaemenid bernama Idumea. Pada abad ke-4 SM, kerajaan Qedarite Arab dari utara Semenanjung Arab menyerap masuk Palestine ke dalam empayarnya.

PALESTIN HELLENISTIK DAN ROM

Bermula sekitar tahun 330 SM, Palestin berdepan dengan dua kuasa baru dari Eropah: Yunani Kuno dan Rom. Alexander The Great ketika sedang berkempen menakluk jajahan ke Asia, baginda telah menakluk Palestin kemudian wakil pemerintah di Palestin sentiasa bertukar akibat siri-siri pepe.rang.an.

Palestin kemudian menjadi milik Empayar Seleucid pada 200 SM, salah satu kerajaan Hellenistik selepas kemangkatan Alexander. Tahun 116 SM, p.eran.g sivil Seleucid berlaku sehingga beberapa wilayah merdeka dari Seleucid, termasuklah kerabat diraja Hasmonean yang menetap di Pergunungan Judean, Palestin. Kerabat ini kemudian menubuhkan Dinasti Hasmonean dan menjadikan seluruh Palestin sebagai jajahannya dan membentuk pakatan bersama bangsa-bangsa sekitar Palestin seperti Judea (kini dikenali sebagai Yahudi), Samaritan, Idumea, Ituraea, dan Galilean.

Masuk tahun 73 dan 63 SM, Republik Rom meluaskan jajahannya sehingga ke Palestin, menguasai tanah jajahan Judea dan memisahkan empayar Hasmonean kepada 5 wilayah. Pada tahun 40 SM, Parthia pula menjadi penakluk Palestin dengan meletakkan raja boneka berdarah Hasmonean bernama Antigonus II.

Sehingga 37 SM, Parthia berundur dari Palestin secara sah selepas empayarnya musnah akibat berp.eran.g dengan Rom melalui siri Pertempuran Rom-Parthia. Sepanjang Rom menguasai Palestin, lahirnya Nabi Isa A.S atau Jesus membawa ajaran agama yang kemudian berubah menjadi antara agama majoriti dunia iaitu Kristian.

Tahun 70 Masihi, maharaja Rom bernama Titus menghancurkan Jerusalem bagi menghentikan pemberontakan kumpulan Sicarii. Akibat kehancuran kota Suci Yahudi dan Kristian, seramai 1,100,000 orang terb.unu.h termasuklah kaum Yahudi. Saki-baki kaum Yahudi ini kemudian menjadi pelarian dan bertebaran ke Parsi, Babylonia, Adiabene (kerajaan di utara Mesopotamia), sehingga ke kerajaan-kerajaan Asia.

Pada tahun 259 dan 272, Palestin jatuh ke tangan raja Odaenathus iaitu raja empayar Palmyrene. Kemudian muncul maharaja Constantine yang beragama Kristian dengan misinya meng-kristian-kan empayar Rom. Tahun 326, banyak gereja didirikan sehingga Palestin menjadi pusat penyebaran Kristian Rom untuk para paderi menimba ilmu. Masuk tahun 614, Palestin diserap masuk ke dalam dinasti baru Parsi iaitu Sassanid sehingga dikembalikan kepada empayar Byzantine pada 628.

PALESTIN PADA FASA KHILAFAH ISLAM

Pada tahun 634, Palestin berhadapan lagi dengan kuasa besar baru iaitu kerajaan khilafah Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W yang menyebarkan ajaran agama Islam. Tahun 636, Pertempuran Yarmouk berlaku ketika tentera Arab muslim menakluk kawasan Levant (tanah sekitar barat Laut Mediterranean) dan menamakan Palestin sebagai Jund Filastin, menggantikan nama Syria Palaestina dari Rom.

Tahun 661 adalah tahun yang bersejarah kerana Muawiyah I ditabalkan sebagai khalifah selepas pemb.unuha.n Saidina Ali di Jerusalem, kemudian menubuhkan kerajaan Islam baru iaitu Umayyah sempena nama datuk Muawiyah. Binaan pengaruh Islam pertama di Palestin adalah Dome of the Rock pada tahun 692.

Sebelum kehadiran kerajaan khilafah oleh Arab muslim, telah ada penempatan kaum Arab di sekitar pergunungan Judean dan berdekatan Jerusalem. Ramai kaum Arab menganut ajaran Kristian pada waktu itu. Sehingga kehadiran kaum Arab muslim, penempatan kaum penganut Kristian dan Yahudi tidak diganggu demi memelihara agama Islam dari menjadi alat tunggangan untuk memperoleh jajahan kerajaan.

Selepas kerajaan Umayyah, giliran kerajaan khilafah Abbasiyah hadir menumbangkan Umayyah pada tahun 750. Kota Ramla di Palestin menjadi kota pentadbiran  manakala kota Tiberias menjadi kota keilmuan para muslim.

Pada akhir abad ke-9 Masihi, Abbasiyah semakin hilang kawalan terhadap wilayah-wilayah barat kemudian tercetusnya ketegangan politik dalaman. Masuk tahun 873, gabenor wilayah Mesir bernama Ahmad Ibn Tulun memerdekakan Mesir dari Abbasiyah dan menubuhkan Dinasti Tulunid dan beberapa tahun kemudian Tulinid menakluk Palestin dan Syria.

Walaupun dinasti Tulunid singkat namun baginda mampu mengakhiri penganiayaan rakyat Kristian dari konflik politik Abbasiyah dan menyenggarakan gereja-gereja di Palestin. Pada tahun 906, Abassiyah kembali merampas Palestin dan menggulingkan Tulunid. Sehingga 939, Dinasti Ikhshidid ditubuhkan oleh gabenor Palestin dan Mesir bernama Muhammad ibn Tughj al-Ikhsid setelah Abbasiyah menjadikan Mesir dan Palestinn sebagai wilayah autonomi.

Setelah berakhirnya dinasti Ikhshidid pada tahun 968, berlaku konflik tanpa kesudahan di Palestin sehingga kerajaan khalifah Fatimiyah yang berkiblatkan Syiah muncul menakluk Palestin pada 970. Walau bagaimanapun, Fatimiyah sukar untuk menghentikan segala ancaman asing yang mahu merampas Palestin terutamanya Byzantine.

Antara 1071 dan 1073, Palestine ditakluk oleh Empayar Seljuk yang berpusat di Isfahan, Mesopotamia namun Fatimiyah merampas balik Palestin pada 1098.

PALESTIN PADA FASA P.ERA.NG SALIB

Tahun 1099, Fatimiyah sekali lagi kehilangan Palestin dan mustahil untuk dirampas semula kerana perampas itu adalah Tentera Salib yang sedang melaksanakan misi untuk menakluk Jerusalem dari tangan kerajaan-kerajaan Islam.

Tentera Salib menubuhkan Kerajaan Jerusalem pada 1099. Kerajaan Jerusalem bertahan selama seabad sehingga kekalahan menentang bala tentera Al-Fateh pada 1187 kemudian Palestin menjadi milik Dinasti Ayubiyyah yang telah menggulingkan khalifah Fatimiyah.

Sekitar tahun 1229 hingga 1244, Palestin kembali dirampas oleh Tentera Salib dan menubuhkan Kerajaan Jerusalem Kedua dan menjadikan Acre sebagai ibu kota kerajaan. Sehingga P.eran.g Salib Keempat, Tentera Salib tidak lagi memerintah Kerajaan Jerusalem kerana empayar Byzantine yang menampung p.ra.ng itu mengalami fasa keruntuhan sehingga tidak mampu pergi ke Palestin.

Palestin menjadi milik Kesultanan Mamluk selepas menggulingkan dinasti Ayubbiyah dan pada tahun 1260, kuasa besar dari Asia Jauh muncul menggegarkan dunia Asia Barat, iaitu Empayar Mongol.

Mongol tiba di Palestin dan memulakan penjarahan yang diektuai oleh jeneral bernama Kitbuqa, seperti Mongol lakukan terhadap kota-kota sekitar Asia Barat. Kesultanan Mamluk terpaksa berhadapan dan menghalau Mongol dari menjarah jajahannya melalui Pertempuran Ain Jalut dan berjaya menghalaunya pergi.

PALESTIN KETIKA FASA TURKI UTHMANIYAH

Turki Uthmaniyah adalah kerajaan khilafah Islam terakhir dalam Dunia Islam dan berjaya menakluk Palestin dari tangan Mamluk pada 1516. Pada pertengahan abad ke-16 hingga ke-17 Masihi, Palestin diperintah oleh 3 dinasti bersekutu: Ridwan dari Gaza, Turabay dari Lajjun, dan Farruks dari Nablus, Ketiga-tiga dinasti ini mentadbir sebagai wakil Uthmaniyah.

Pada abad ke-18 Masihi, puak Zaydani yang diketuai oleh Zahir al-Umar yang memerintah Galilee meluaskan pengaruhnya ke sebahagian besar Palestin sehingga Uthmaniyah berjaya menyekat kemaraan Zahir melalui serangan kubu Galilee pada 1775. Zahir kemudian memperkukuhkan kubu Acre dan menjadikannya sebagai kota yang mengawal perdagangan kapas dan minyak zaitun dari Palestin ke Eropah.

Selepas Zahir, gabenor Mesir bernama Muhammad Ali membuat hal dengan mahu merampas Palestin untuk membina kerajaan Mesir moden. Dua tahun kemudian, Muhammad Ali berjaya merampas Palestin namun Ali harus berhadapan dengan kesengsaraan rakyat Palestin yang menentang kerahan paksa menjadi bala tentera Uthmaniyah dan pencukaian yang tidak adil.

Tahun 1840, muncul kuasa Barat di Eropah iaitu British yang masuk campur akan permasalahan Uthmaniyah terhadap Palestin. British berjanji akan memulangkan Palestin kepada Uthmaniyah tapi dengan syarat perjanjian harus ditandatangani untuk memberikan hak keistimewaan kepada pedagang Eropah untuk berdagang di Uthmaniyah tanpa sebarang sekatan.

Setelah Palestin berjaya dipulangkan semula, Palestin mula berkembang pesat dalam sektor ekonomi setelah berurusan dengan Eropah pada 1860-an. Wujud golongan kelas elit yang terdiri dari warga Arab muslim dan Kristian. Masuk tahun 1880, berlaku imigrasi kaum Yahudi dari Eropah tiba di Palestin dan memulakan kolonisasi mereka.

Kolonisasi Yahudi Eropah ini berlaku akibat kepercayaan kepada ideologi Kristian Zionism di mana kaum Yahudi wajib pulang ke Palestin untuk menubuhkan kerajaan bangsa mengikut ramalan dari kitab Bible.

British menyokong akan ideologi Zionism ini dan mementerai Perjanjian Balfour dengan ketua Yahudi British bernama Walter Rothschild pada 1917 semasa P.eran.g Dunia Pertama. Uthmaniyah terlibat dalam p.era.ng ini, bergabung dengan Kuasa Pusat menentang Kuasa Bersekutu, akhirnya Palestin menjadi milik British.

Dengan sejarah Palestin begitu panjang, ketahuilah bahawa Palestin ditakdirkan sebagai tanah yang menjadi rebutan kuasa-kuasa besar sejak dahulu lagi. Sama ada untuk menunjukkan kuasa atau sebab yang berunsurkan keagamaan, Palestin menjadi medan perebutan yang tiada kesudahan. Hanya menubuhkan kerajaan oleh orang asal Palestin yang mampu berdiri sendiri saja mampu menyelamatkan tanah ini menjadi rebutan penguasa luar.

RUJUKAN:

Abu-Lughod, Ibrahim (1971) (ed.) The Transformation of Palestine. Evanston, Illinois: Northwestern Press

Ben-Sasson, Haim Hillel (1976), A History of the Jewish People, Harvard University Press

Drews, Robert (1998), “Canaanites and Philistines”, Journal for the Study of the Old Testament, 23 (81): 39–61

Gerber, Haim (1998) “Palestine” and Other Territorial Concepts in the 17th Century”, in: International Journal of Middle East Studies, Vol 30, pp. 563–572.

Jacobson, David (1999). “Palestine and Israel”. Bulletin of the American Schools of Oriental Research. 313 (313): 65–74

Killebrew, Ann E. (2005). Biblical Peoples and Ethnicity: An Archaeological Study of Egyptians, Canaanites, Philistines and Early Israel 1300–1100 BC. Society of Biblical Literature

Ruangan komen telah ditutup.