Bagi peminat permainan ‘first person shooter’, pasti sudah masak dengan Call of Duty Infinite Warfare. Ya, siapa tak boleh lupa trailer promosinya merupakan antara video yang paling tidak disukai di laman YouTube. Tapi premis penceritaannya sebenarnya tidaklah lari jauh dari realiti hari ini. Kita belum menyaksikan kewujudan koloni manusia di planet-planet dalam sistem suria seperti dipaparkan dalam Infinite Warfare tetapi itu tidak bermakna aktiviti perlombongan angkasa lepas tidak wujud. Ia bukan lagi satu impian tetapi hanya menanti masa untuk direalisasikan.

Mungkin ada yang merasakan impian sebegini bersifat angan-angan Mat Jenin atau seperti menunggu kucing bertanduk. Tetapi bagi yang terlibat dengan industri perlombongan asteroid dari peringkat awal melihatnya sebagai satu prospek lumayan. Bagi Chris Lewicki, Presiden dan Ketua Jurutera Planetary Resources menyifatkan reaksi sebegitu sudah dijangka jika ada hanya membaca tajuk berita saja. Tetapi tidak ramai sedar proses ini sebenarnya sudah berlaku dalam lipatan sejarah. Cuma bezanya, ia dilakukan dalam satu persekitaran yang berbeza.

Menurut Lewicki, semasa peneroka Eropah pertama membina petempatan di Amerika Utara, mereka hidup dengan sumber yang mereka temui di tanah berkenaan. Siapa sangka beberapa abad selepas itu, ia sebenarnya membantu membentuk ekonomi negara terbesar di dunia melalui penemuan minyak. Semasa abad ke-20, minyak membentuk dan mendefinisikan semula dunia. Perubahan besar yang berlaku itu tercetus oleh sekumpulan individu yang mempunyai impian, sama seperti Lewicki dan para pelombong angkasa lepas.

Bagi Chad Anderson, Pengarah Urusan Angel Space Network menyifatkan kemajuan manusia dimulakan oleh kelompok pelombong dan ini bukan sesuatu yang asing dalam sejarah. Justeru, mana-mana individu yang melombong di angkasa lepas terutama kawasan lingkaran asteroid berpotensi untuk membentuk dan mendefinisikan semula abad ke-21. Dan tidak mustahil, ia boleh membuka lebih banyak peluang dan inovasi membabitkan penerokaan di angkasa lepas.

Melombong dari angkasa

Sesiapapun menyangka aktiviti melombong di angkasa lepas ini ialah melombong di kawasan tertentu sama ada lingkaran asteroid atau bulan dan membawa hasil pulang ke bumi. Hakikatnya menurut Anderson, adalah lebih bermanfaat sekiranya hasil lombong kekal berada di angkasa lepas bagi membantu usaha manusia meneroka angkasaraya. Dan salah satu masalah utama jika hendak melombong di angkasa lepas ialah masalah air. Ini kerana jika hendak keluar dari atmosfera bumi saja memakan tenaga yang banyak. Tetapi bila mana-mana kapal angkasa berada di luar orbit bumi, mereka sebenarnya sudah separuh jalan menuju ke mana-mana tempat dalam sistem suria.

 

Figure 1: Antara kawasan yang dianggap sesuai bagi perlombongan angkasa lepas ialah lingkaran asteroid

Tidak ramai tahu air bukan saja di bumi tetapi dalam setiap tempat dalam sistem suria sama ada di bulan, lingkaran asteroid atau Marikh. Dan jika ada merasakan ini satu masalah besar, anda salah. Hakikatnya jika air dipecahkan kepada elemen asasnya iaitu oksigen dan hidrogen, peneroka sebenarnya mempunyai dua bahan asas untuk bahan api roket. Dan ini menarik perhatian syarikat-syarikat perlombongan angkasa lepas kerana ia boleh didapati di mana-mana saja tetapi mereka lebih berminat dengan lingkaran asteroid. Menurut Lewicki, mereka tahu asteroid mempunyai air kerana ia ditemui pada meteor-meteor yang memasuki atmosfera bumi. Dan jika dibandingkan perjalanan ke bulan, perjalanan ke lingkaran berkenaan lebih mudah kerana tidak memerlukan tenaga yang banyak.

Jadi jangan terkejut jika ada sesetengah asteroid yang berhampiran dengan bumi dilombong dan dijadikan tempat perhentian bahan api bagi syarikat-syarikat sebelum menuju ke lombong-lombong mereka.Tetapi air bukan setakat berperanan sebagai bahan api, ia juga penting bagi sokongan hayat dan sumber makanan lebih-lebih lagi sekiranya manusia berhajat hendak membentuk koloni di angkasa lepas. Selain itu, ia juga dapat melindungi angkasawan dari sinaran radiasi berbahaya. Tetapi kos mengangkutnya ke angkasa lepas bukan sedikit dan boleh mencecah $50 juta per tan.

Selain itu, lingkaran asteroid turut memberi peluang kepada syarikat-syarikat menghasilkan peralatan sendiri di angkasa lepas. Ini kerana selain air, asteroid turut mengandungi sumber lain seperti besi, nikel dan kobalt. Menurut Lewicki, dengan teknologi seperti cetakan tiga dimensi (3D), syarikat-syarikat boleh saja melombong bahan dan menghasilkannya tanpa perlu membawanya ke angkasa lepas dengan roket. Dan secara tidak langsung, ia boleh mengurangkan lagi kos eksplorasi di angkasa lepas membabitkan peralatan, mesin dan jentera serta habitat (tempat tinggal) peneroka angkasa lepas.

Figure 2: Mungkinkah perlombongan angkasa lepas kunci kepada penerokaan manusiawi di angkasa lepas?

Tetapi Lewicki sendiri mengakui aktiviti sedemikian bukan sesuatu yang mudah tetapi apa yang dilakukan mereka bakal meletakkan nama mereka dalam lipatan sejarah. Berdasarkan rekod, Planetary Resources sudah mendapat pulangan wang hasil dari teknologi yang mereka hasilkan sebelum sebarang aktiviti perlombongan angkasa lepas dimulakan. Menurut Lewicki, syarikatnya sudah mempunyai sebuah satelit di orbit dan akan menghantar satu lagi satelit ke angkasa untuk mengesan kehadiran air pada mana-mana asteroid berhampiran bumi menggunakan pengesan imej infra merah. Sementara syarikat-syarikat lain pula sedang menimbang kemungkinan melombong air dan sumber lain di bulan.

Bagi Steve Eisenhart, Naib Presiden Kanan Space Foundation melihat air pertama akan dilombong pada separuh dekad pertama 2020. Dan ini merupakan satu prospek yang mengujakan bagi beliau kerana ini merupakan permulaan era baru manusiawi. Tetapi ada satu masalah jika ada yang berangan mahu melombong di angkasa lepas. Ini kerana berdasarkan undang-undang terdahulu, sebarang objek angkasa lepas kepunyaan manusia sejagat dan tiada siapa boleh mendakwa mana-mana objek tersebut milik mereka.

Tetapi semua itu berubah semasa penggal kedua pentadbiran Presiden Barack Obama. Pada tahun 2015, beliau menandatangani satu akta baru yang dipanggil ‘U.S Commercial Space Launch Competitiveness Act’. Akta ini bukan saja memberi hak kepada syarikat untuk melombong asteroid tetapi juga melanjutkan lagi komitmen Washington terhadap Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) serta memudahkan sesiapa yang mahu menubuhkan syarikat baru membabitkan aktiviti angkasa lepas. Bagi Lewicki dan Planetary Resources, penggubalan undang-undang baru itu merupakan satu kejayaan besar bagi hak harta benda dalam sejarah, menyokong kerangka sokongan bagi ekonomi terhebat dalam sejarah dan menggalakkan lagi pembangunan bersifat lestari di angkasa lepas.

Sebagai penutup, sedikit fakta bagi yang masih merasakan usaha sebegini membuang masa sahaja. Pada Julai 2015, sebuah asteroid melepasi orbit bumi dengan terasnya mengandungi logam berharga dipanggil platinum. Menurut Planetary Resources, teras berkenaan bernilai 3.5 trilion paun sterling! Dan jika ada yang berhasrat melombong kawasan lingkaran asteroid antara Marikh dengan Musytari, hasil mineral yang dilombong boleh mencecah $100 juta bagi setiap individu di bumi berdasarkan data Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA). Jadi jangan terkejut jika ada yang bakal menjadi jutawan hanya dengan melombong di angkasa lepas. Ini sudah dijangka bagi ahli astrofizik terkenal Neil deGrasse Tyson yang melihat individu sebegini boleh menjadi individu bertaraf jutawan trilion dari industri tersebut.

SUMBER

  1. Griffin, Andrew. (2015). The Independent. Asteroid mining made legal after Barack Obama gives US citizens the right to own parts of celestial bodies. https://www.independent.co.uk/news/science/asteroid-mining-made-legal-after-barack-obama-gives-us-citizens-the-right-to-own-parts-of-celestial-a6750046.html
  2. Sims, Alexandra. (2015). The Independent. Asteroid with platinum core worth £3.5 trillion set to pass Earth. https://www.independent.co.uk/news/science/asteroid-worth-35-trillion-set-to-pass-earth-on-sunday-and-you-can-watch-it-live-10398708.html
  3. Wong, Andrew. (2018). CNBC. Space mining could become a real thing — and it could be worth trillions. https://www.cnbc.com/2018/05/15/mining-asteroids-could-be-worth-trillions-of-dollars.html
  4. Cruddas, Sarah. (2016). BBC. The truth about asteroid mining. http://www.bbc.com/future/story/20160103-the-truth-about-asteroid-mining

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.