1. Setelah memanggil calon-calon menteri satu per satu ke Istana Merdeka sejak hari Isnin, maka pagi tadi Presiden Jokowi telah mengumumkan senarai lengkap ‘Kabinet Indonesia Maju 2019 – 2024. Ia adalah kesenimbungan halatuju negara jiran daripada pembangunan infrastruktur kepada pembangunan sumber daya manusia (modal insan).

2. Antara beberapa nama yang menjadi perhatian adalah Prabowo Subianto yang dipilih sebagai Menteri Pertahanan. Mengingat betapa sengitnya pertarungan mereka dan para penyokongnya dalam pemilihan Presiden sejak tahun 2014, maka ramai yang menyebut ini sebagai plot twist yang paling tak dijangka. Jokowi sendiri seakan-akan memberi kepercayaan penuh dengan mengatakan “Beliau (Prabowo Subianto) lebih memahami tugasnya sebagai menteri pertahanan berbanding saya.”

Ia juga seakan membuktikan teori bahawa tiada musuh abadi dalam politik atau barangkali juga falsafah kepentingan negara lebih utama berbanding kepentingan peribadi. Namun para pengkritik tentu telah bersedia untuk mengawasinya terutama setelah kementerian pertahanan diberikan peruntukan belanjawan paling besar senilai 131 triliun Rupiah (bersamaan RM 40 billion) pada tahun 2020 nanti.

3. Selain itu, pendiri Gojek, Nadiem Makarim dilantik sebagai Menteri Pendidikan dan Kebudayaan yang bertanggungjawab ‘membentuk’ sumber daya manusia Indonesia dari usia seawal 5 tahun sampailah ke peringkat universiti. Jika kita melihat bagaimana pesatnya Gojek yang berkembang daripada sebuah syarikat start up tempatan menjadi sebuah ‘decacorn’ dengan valuasi sebesar USD 10 billion, maka tentu ramai yang boleh membayangkan apa yang akan dilakukan olehnya dalam bidang pendidikan dan kebudayaan. Ekosistem dunia digital di negara jiran begitu luas untuk diterokai sekaligus membantu menyelesaikan masalah dan cabaran kehidupan di sana. Ia akan dimulai dengan perubahan pola pikir dan cara bertindak di kalangan generasi muda.

4. Sosok Erick Tohir juga mencuri perhatian sebagai Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN/GLC). Beliau adalah seorang tokoh pengusaha berjaya yang mengetuai Tim Kempen Pemenangan Jokowi-Ma’ruf dalam kempen pemilihan presiden tempoh hari. Beliau yang pernah menjadi pemilik utama kelab bola sepak Inter Milan pada tahun 2013 dianggap mempunyai kemampuan pengurusan yang sangat baik. Ia dapat dilihat dengan jelas terutama sewaktu pelaksanaan Asian Games pada tahun 2018 yang lalu.

5. Selain itu, Menteri Pariwisata (Pelancongan) dan Ekonomi Kreatif yang baru iaitu Wishnu Utama juga dilihat sebagai menteri yang akan membawa angin segar kepada Indonesia. Beliau merupakan seorang jurnalis yang menubuhkan Net Media, sebuah stesen televisyen yang paling diminati oleh golongan millenial. Para pengamat tentu dapat membayangkan bagaimana potensi bidang ekonomi kreatif yang akan dikembangkan oleh beliau bersama-sama dengan kekayaan alam semula jadi yang dimiliki oleh negara kepulauan terbesar itu. Lebih-lebih lagi mereka bercita-cita besar untuk mewujudkan ’10 Bali Baru’ sebagai daya tarikan pelancongan untuk mengalahkan Malaysia dan Thailand.

6. Beberapa orang menteri daripada kabinet sebelumnya turut dikekalkan antara lain Luhut Binsar Panjaitan sebagai Menteri Koordinator Kemaritiman dan Investasi, Sri Mulyani sebagai Menteri Kewangan, Retno Marsuadi sebagai Menteri Luar Negara dan Budi Karya Sumadi sebagai Menteri Perhubungan. Kombinasi antara muka-muka lama dan baru yang telah dilantik ini diyakini mampu memuluskan jalan Indonesia menuju sebuah negara dengan kekuatan ekonomi ke-4 terbesar di dunia pada tahun 2030. Ia akan ditandai dengan kejayaan memindahkan ibu negara pada akhir penggal pemerintahan Presiden Jokowi pada tahun 2024 nanti. Sama-sama kita saksikan.

Artikel dikirimkan oleh Nabieh Rahmat untuk The Patriots.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.