Melayu & Pantun Berpisah Tiada

411

Prof. Diraja Ungku Aziz berpendapat bahawa pantun sudah wujud sejak 800 tahun yang lampau, sebelum adanya sosok William Shakespeare, penulis romantis dari Barat. Namun demikian, tidak dapat dipastikan dengan tepat tarikh mahupun tahun sebenar lahirnya puisi Melayu ini dalam kelompok masyarakat Melayu. Hal ini kerana sedari dulu lagi pantun merupakan suatu puisi lisan sehinggalah sekarang. Ada juga yang menulis pantun dalam karya-karya sastera lama tetapi jumlahnya tidaklah banyak.

Bayangkan, setelah 800 tahun berlalu, orang Melayu zaman ini masih mampu mengenali rupa paras pantun dan tidak kurang bilangannya yang mampu menghasilkan pantun yang berkualiti. Ini merupakan hasil daripada banyak prakarsa yang dirancang untuk menyuburkan budaya berpantun dalam masyarakat Melayu. Itulah sebab mengapa tajuk artikel ini ditulis sebegitu kerana dengan usia pantun yang sudah tua, masih mampu survive dalam dunia yang sudah silih berganti revolusinya.

Tidak dapat dinafikan pantun telah menjadi trademark kepada kecerdasan dan kebestarian orang Melayu. Richard Olaf Windstedt berkata : “Tiada sesiapapun yang dapat mengagak keluasan pemikiran orang Melayu tanpa memahami pantunnya.”

Hal ini kerana puisi khususnya pantun menjadi wadah bagi orang Melayu untuk melahirkan perasaan, mengajarkan ilmu dan adab serta banyak lagi yang bersangkut-paut dengan rutin harian masyarakat Melayu. Perkara ini dapat kita perhalusi dengan melihat struktur pembinaan pantun itu sendiri untuk membuktikan keluasan pemikiran orang Melayu.

Struktur Pembinaan Pantun

Pantun Melayu selalunya mengandungi empat baris dalam satu rangkap (ada juga pantun sebanyak lapan dan 12 baris setiap rangkap) dan mengandungi dua baris pembayang maksud dan dua baris maksud.

Dalam sebuah pantun yang baik, dua baris pembayang maksud itu haruslah berkait antara satu sama lain dan perlu pula berkait dengan dua baris maksud seterusnya. Itulah mengapa dua baris awal itu dikenali sebagai pembayang maksud iaitu kerana ia menjadi acah ataupun bunga sebelum sampai kepada maksud pada dua baris yang terakhir.

Melalui pantun, dapatlah kita ramal falsafah orang Melayu yang tidak akan memisahkan antara dua perkara yang saling berkait; hidup dan mati, kaya dan miskin, cerah dan gelap, hitam dan putih, hak dan batil, pencipta dan makhluk serta banyak lagi. Orang Melayu menyedari bahawa hari yang mendung tidak selamanya mendung kerana matahari masih ada di balik mendung tersebut. Begitulah kritisnya pemikiran orang Melayu yang terzahir dalam bentuk fizikal pantun.

Pantun Melayu Hari Ini

Orang Malaysia hari ini sepatutnya bersyukur kerana masih lagi mampu mengenal dan mempelajari pantun. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memasukkan pantun ke dalam silibus pembelajaran di sekolah rendah dan sekolah menengah, khususnya dalam subjek Bahasa Melayu.

Sementara itu, pelbagai pertandingan pantun yang dikenali sebagai pesta pantun diperkenalkan kepada semua golongan masyarakat. Sebagai contoh, Pesta Pantun Peringkat Sekolah Rendah dan Menengah saban tahun diadakan sehingga ke peringkat kebangsaan.

Ada juga pertandingan pesta pantun yang melibatkan penjawat-penjawat awam dari pelbagai sektor dalam kerajaan. Ini menunjukkan bahawa kerajaan komited dalam memperkenal dan melestarikan puisi Melayu ini walaupun sengit bersaing dengan hiburan-hiburan yang lainnya.

Dalam lagu juga, kadang-kadang masih ada penulis lirik yang menggunakan teknik pantun dalam penghasilan lirik lagu mereka, malah lebih enak didengar lagu tersebut.

Dalam tahun 90an, Raja Irama Malaysia, Allahyarham SM Salim banyak mendendangkan lagu-lagu irama Malaysia yang kebanyakan daripadanya mengandungi lirik pantun yang puitis sekali. Memasuki era baru ini, pantun juga masih lagi berpengaruh dalam lagu-lagu genre baru, khususnya rap dan hiphop.

Walaupun lirik tersebut tidaklah 100% mematuhi hukum pembinaan pantun namun penggunaan bahasa puitis, satira dan mempunyai bunyi suku kata yang sama dibelakang setiap bait lirik membuatkan lirik tersebut seakan pantun dan menarik untuk didengar.

Kesimpulan

Pantun Melayu sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan orang Melayu. Sekurang-kurangnya dalam majlis formal seperti majlis persaraan, perkahwinan dan konvokesyen pasti ada pantun-pantun yang dibaca walaupun pantun tersebut sudah lama digunakan. Oleh itu, kita sebagai pewaris dalam zaman yang mencabar ini, perlulah tahu serba sedikit mengenai pantun, paling kurang bila ditanya mengenai pantun tidaklah pula disamakan dengan syair atau puisi yang lainnya.

RUJUKAN :

  • Kelestarian Pantun: Rencah dan Leluhur Bangsa Dulu, Kini dan Selamanya, Siti Hajar Che Man
  • Pantun dan Pemikiran Melayu, Fadli Al-Akiti, Dewan Sastera, Julai 2016.

Artikel adalah sumbangan NZ Tjokroaminoto untuk The Patriots. 

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.