Melayu Dan Istilah Masuk Melayu

1204
views

Sejak kebelakangan ini, saya sering melihat isu – isu polemik yang sering dimainkan seperti istilah Austronesia. Jadi, di sini saya ingin mengemukakan pendapat saya mengenai isu tersebut. Menurut pandangan saya, Melayu adalah satu bangsa yang mempunyai identiti kebudayaan yang tersendiri dengan hasil pengaruh Islam yang begitu kuat ditambah lagi dengan pengaruh Mazhab Syafie.

Asas identiti Melayu adalah Islam yang menjadi tunjang kebudayaan dan adat istiadat orang Melayu. Ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, istilah “Masuk Melayu” telah dipopularkan oleh Sultan Melaka bagi memastikan kesatuan dan perpaduan dikalangan yang begitu utuh dan kuat. Jadi, mana – mana rakyat Melaka yang memeluk agama Islam akan secara automatik akan dianggap Melayu. Bangsa Melayu adalah bangsa “ethno – religious” iaitu sebuah bangsa yang identitinya diikat pada agama.

Maka, Islamlah identiti kepada bangsa Melayu. Oleh itu, jangan hairan jika Perlembagaan Malaysia dalam Perkara 160 mengatakan orang Melayu ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura atau ialah zuriat seseorang yang sedemikian.

Begitu juga menganggap majoriti Pribumi bukan Islam seperti Dayak, Kadazan Dusun, Pribumi Sarawak dan Sabah adalah Melayu adalah tidak berasas sama sekali. Ini kerana
Melayu adalah identitinya adalah Islam dan mereka bukanlah beragama Islam. Jika mereka disamakan dalam kumpulan Austronesia, Malayo – Polinesia, Deutro Malay atau Proto Malay menurut teori Oppenheimer, mungkin dapat diterima berasaskan faktor genetik dan linguistik.

 

Namun begitu, jika ada dikalangan orang Pribumi bukan Islam yang ingin masuk Islam akan secara automatik akan dianggap orang Melayu melainkan beliau masih berkeras nak kekalkan identiti adat dan budaya etniknya sendiri juga tiada menjadi masalah dan tiada paksaan yang dilakukan.

Begitu juga dalam buku Bangsa Melayu yang ditulis oleh Ariffin Omar mengatakan penduduk Muslim Aru adalah suku Batak yang menjadi Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Kebanyakan Raja Aru juga menjejaki salasilah keturunan mereka daripada keturunan Batak biarpun dikenali sebagai Sultan Melayu. Jadi, isitilah masuk Melayu amat popular pada ketika itu dan ini menjadikan Melayu adalah bangsa ethno – religious.
Begitu juga dengan pribumi Sarawak yang masuk Melayu (baca: masuk Islam) sehingga mengamalkan budaya dan adat Melayu.

Kesimpulan, tanggapan menindakkan Melayu sebagai sebuah bangsa adalah tidak berasas sama sekali malah bangsa Melayu adalah sebuah bangsa ethno religious seperti bangsa Yahudi, Druze dan Koptik. Jika anda menganggap bangsa Melayu tidak mempunyai kaitan langsung dengan agama Islam adalah satu tanggapan yang salah kerana identiti Melayu adalah berasaskan identiti Islam yang bermazhab Syafie.

 

Itu sahaja sekian daripada saya. Harap dengan penerangan ini tidaklah menimbulkan salah faham dan boleh diperbahaskan lagi secara ilmiah. Bak pepatah Hang Tuah, “Takkan Melayu Hilang Di Dunia”.

Rujukan:
1. Ariffin Omar (2015) Bangsa Melayu: Konsep Bangsa Melayu Dalam Demokrasi Dan Komuniti, 1945 – 1950
2. Perlembagaan Malaysia
3. THE SULTANATE OF MALACCA, http://lostislamichistory.com/sultanate-of-malacca/