Melawan Rejim Skema

477

Pada tahun saya lahir, sebuah filem berjudul “Revenge of the Nerds” lakonan Robert Carradine, muncul di tengah Hollywood dalam zeitgeist 80-an golongan nerds dan geek mula menjadi usahawan Silicon Valley.

Jika sebelum ini, mereka dibuli oleh lelaki yang aktif dalam sukan dan bertubuh sasa (jocks), dan apabila mereka mula mempunyai kekuatan dalam hal kewangan pada era 80an, mereka mula bangkit dan lelaki seperti ini tidak dipandang rendah lagi.

Sebagai seorang mat encyclopedia, filem ini memberi inspirasi kepada diri saya supaya pada suatu hari nanti, saya dapat berdiri dan menentang pembuli.

Zaman sekolah rendah saya merupakan mangsa buli, dan keadaan jadi lebih baik hanya selepas darjah enam bila saya berada di sekolah baru siap dibina di Bandar Tun Hussein Onn – yang mana semua pelajar masa tu semua pun pelajar baru.

Walaupun umur saya ini ialah umur golongan millennials (1981-1996), tetapi saya dibesarkan dalam mindset pemikiran golongan Generasi X (1965-1980). Atau saya sebenarnya dikira Generasi X sebab Malaysia biasalah, lambat menerima trend berbanding negara Barat.

Generasi X merupakan generasi yang skeptik terhadap sistem, dan tidak bersikap rigid. Generasi X lebih suka melawan daripada patuh. Dan golongan nerds Generasi X seperti Jeff Bezos (Amazon) dan Sergei Brin (Google), mereka juga mahu melawan sistem korporat yang ada sebelum ini.

Dipengaruhi oleh babyboomers yang idealis seperti Steve Jobs (Apple) dan Bill Gates (Microsoft), golongan nerds di Silicon Valley mula menjadi pemodal yang berpengaruh di California.

Dan seperti kata sejarahwan Britain, Lord Acton – absolute power corrupts absolutely, golongan nerds ini mula menguasai universiti besar di Amerika seperti Stanford dan UCLA dan mula meletakkan peraturan “safe space”.

Safe space ini menurut pengalaman hidup mereka perlu diwujudkan kerana pada usia remaja mereka, mereka dibuli dan apabila ada peraturan ini, maka dapat mengurangkan gejala membuli.

Dan daripada ruang safe space ini munculnya satu undang-undang Orwellian yang bernama political correctness.

Saya daripada kecil lagi diterapkan dengan undang-undang political correctness ini, misalnya di sekolah, saya dilarang menggunakan perkataan keling, cina babi dan sebagainya, dan kawan saya pernah digantung sekolah kerana perkataan itu.

Pada mulanya saya seperti orang lain, melihat undang-undang itu bagus untuk menghalang gejala buli, sehinggalah saya membaca buku novel George Orwell, Nineteen Eighty Four, yang mengubah bahasa demi kepentingan daulah.

Dan pada masa itu juga saya belum berapa sedar sehinggalah saya hidup di zaman George W Bush dan saya rajin menonton late night comedies seperti David Letterman dan Jon Stewart. Mereka mengutuk dan menghina George W Bush dan saya lihat mereka rileks sahaja bersatira.

Tetapi dalam banyak-banyak pelawak komedi, George Carlin yang banyak menyedarkan realiti tentang kehidupan. Dan George Carlin merupakan pelopor kepada penentang political correctness, yang melihat perkara ini sebagai Orwellian.

Hari ini, media massa dan syarikat tech dikuasai oleh Generasi X yang mendapat kuasa dan golongan millennials, golongan yang membesar di pusat nurseri dan akibat ibu bapa yang bekerja sepanjang masa, mereka menjadi golongan yang KKS (kekurangan kasih sayang).

Golongan KKS ini sentiasa akan mengamuk macam budak kecik dan sentiasa dapat apa yang mereka nak setiap kali mereka mengamuk.

Melihat kepada trend budak kecik di era 90an, kami abang kakak yang kena ‘gembala’ budak-budak ini adakalanya melihatkan mereka suka mengamuk di kedai untuk mendapatkan mainan atau coklat kerana itu cara didikan mak ayah mereka, kerana mak ayah mereka ini malas nak banyak kerenah untuk mengajar moral, mula merasuah anak dengan material untuk membuatkan dia diam.

Dan apabila mereka dewasa, akibat mereka yang KKS dan sering disogok tanpa banyak cakap, mereka menggunakan peraturan “political correctness” ini dan menjadikan safe space ini seluas-luas alam.

Dan apabila mereka berkuasa melalui media sosial, mereka melanjutkan kuasa mereka di ruang tersebut.

Political correctness itu pada akhirnya dijadikan sebagai senjata untuk melindungi perasaan mudah trigger mereka akibat KKS mereka ditinggalkan ibu bapa semasa kecil dulu.

Selain itu, mereka juga melemparkan perkataan seperti “nazi” atau “fasis” jika ada golongan yang berbeza pendapat dengan mereka (ironi). Dan mereka mula bersikap seperti pengawas sekolah yang mengajak orang beramai-ramai membuli golongan yang tidak bersependapat dengan retweet dan share.

Dalam masyarakat di Malaysia, golongan ini dipanggil golongan ‘petak’ atau ‘skema’. Istilah ‘petak’ popular pada sekitar 90an apabila Uma Thurman mempopularkan istilah “don’t be a square” dalam filem Pulp Fiction.

Perkataan ‘skema’ pula datang dari ‘skema jawapan’, iaitu mereka yang lurus mengikut peraturan (atau mempunyai niat jahat dengan memanipulasi undang-undang untuk kepentingan mereka).

Setiap tirani ada perlawanannya. Pada masa golongan nerd ini ditindas, mereka melawan dengan teknologi yang dihasilkan. Pada masa golongan nerd skema ini menindas, maka mereka perlu dilawan dengan sarcasm dan troll.

Generasi Z, seperti Fazz Ahmad dan Pewdiepie lahir dan mereka membuat lawak bodoh untuk membahan golongan nerd ni. Memang la kita yang dah tua ni tak faham lawak mereka ni, tetapi mereka ini sebenarnya melawan tirani golongan skema millennials dengan perkara yang cool bagi mereka seperti basikal lajak.

Basikal lajak ini pun sukan yang memerli golongan millennials yang dilihat malas bersukan dan menghadap games di rumah sahaja. Dan ikutkan sebenarnya Generasi Z sebenarnya lebih aktif di luar rumah berbanding millennials mengikut pemerhatian saya.

Generasi Z, yang mengambil sinikal Generasi X terhadap sistem, melawan golongan millennials dengan sarcasm, seperti mana X melawan golongan sebelumnya, babyboomers, dan millennials melawan X sebelum ini.

Jadi sejarah adalah satu kitaran di mana setiap 20 tahun ada satu puak baru memerintah.

Dan melihat kepada keadaan semasa, penentangan terhadap golongan nerds ini yang mudah triggered dan kurang kasih ibu ini mula bangkit.

Mungkin patut keluar filem Revenge Against The Nerds pula?

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.