Melawan Propaganda Melayu Pemalas

928

1. British sebagai penjajah bukan sahaja datang dengan membawa agenda-agenda penaklukan ekonomi, sumber manusia dan tanah, namun mereka juga membawa para pengkaji dan tentera perang sarafnya yang dipanggil ahli orientalis.

2. Menurut Prof. Edward Said, orientalisme bermaksud satu corak pemikiran yang melihat Timur (oriental) sebagai mempunyai ciri-ciri tetap, monolitik, jumud, eksotik dan rendah darjat (inferior) jika dibandingkan dengan masyarakat Barat (occidental) yang tanpa ragu lebih superior.

Contohnya, tulisan-tulisan golongan orientalis seperti Frank Swettenham dan John Crawfurd pada zaman penjajahan memaparkan konstruksi “kemelayuan” yang sangat essensialis. Contohnya, Melayu itu dikatakan kelompok manusia yang malas berusaha, gemar pada hiburan, sering melatah dan suka mengamuk. Prejudis-prejudis sebegini terhasil dan berleluasa dalam corak pandang terhadap masyarakat Melayu, sama ada dalam ataupun luar bidang akademik.

3. Para orientalis ini rata-rata akan menulis tentang penduduk jajahan menurut kaca mata mereka dan dipersembahkan kepada bos mereka. Maka sudah pasti majoriti penulisan mereka terutama pada awal masa-masa penjajahan itu lebih cenderung merendah-rendahkan penduduk peribumi bagi menaikkan semangat dan sikap superior penjajah.
Salah satunya adalah melalui propaganda “Melayu Malas”.

Ini adalah propaganda yang amat popular dalam kalangan para orientalis yang berkhidmat untuk menjajah. Dengan mengarang naratif “Melayu Malas” ini, maka ia membawa dua objektif atau serampang dua mata:

a) Membekalkan sikap superior kepada para penjajah.
b) Membekalkan sikap inferior kepada para peribumi.

4. Membekalkan sikap superior kepada penjajah adalah penting kerana dengan sikap tersebut, para penjajah akan berasa berkeyakinan tinggi atau yakin diri. Orang yang berkeyakinan tinggi cenderung untuk bergerak cergas dan aktif. Semangat inkuiri dan daya kreativitinya akan meningkat.

Yakin diri ini sebagai contoh para penjajah akan merasakan mereka mampu mengatasi masyarakat peribumi dalam apa jua segi.

5. Jika para penjajah tewas sekalipun, contohnya dalam pertempuran, sikap yakin diri ini akan semakin tercabar dan memacu mereka supaya mencari cara demi cara dan jalan demi jalan untuk mengatasi peribumi.

Mereka pasti akan mampu menewaskan peribumi kerana bagi mereka, kekalahan itu hanya kebetulan sahaja atau terlalu awal. Mereka menganggap hakikatnya mereka tetap lebih superior daripada peribumi yang dianggap kurang bertamadun dan mundur berbanding mereka.

6. Membekalkan sikap inferior kepada para peribumi pula adalah keterbalikan kepada kesan objektif pertama. Sasaran yang dibekalkan sikap inferior ini akan dilanda 1001 sikap negatif dalam diri. Sikap negatif ini akan termasuklah menganggap diri mereka memang dilahirkan dalam tamadun lebih inferior berbanding bangsa si penjajah. Ini akan memacu kepada sikap menganggap si penjajah adalah bangsa rajin, hebat dan berpelajaran.

Peribumi akan berasa down dan ini merencatkan daya kreativiti. Ia juga memberikan kesan kepada fisiologi, yakni orang yang negatif dan kurang yakin diri selalunya berperwatakan lemah dan kurang cergas. Maka natijah akhir daripada semua ini ialah sasaran akan benar-benar menjadi malas apabila daya kreativiti dan inkuiri tersekat akibat sikap negatif itu.

7. Menuduh “Melayu Malas” itu seolah-olah satu kecaman kepada seluruh umat Melayu. Tidak dinafikan memang ada orang Melayu yang malas tetapi apa yang perlu diperhalusi:

a) Ada yang malas tetapi bukan semua orang Melayu.

b) Ada yang malas tapi bukan majoriti orang Melayu.

c) Bangsa lain juga ada yang malas; malas itu penyakit universal yang semua bangsa memilikinya.

d) Siapa yang menggelarkan malas itu kepada orang Melayu? Orang tempatan atau orang asing? Apa motifnya?

e) Penjajah menggelarkan malas kepada orang Melayu kerana orang Melayu tidak mahu bekerja dengannya.

f) Penjajah tidak faham cara hidup orang Melayu atau cara orang Melayu mengurus kehidupannya.

Promosi Buku DTT

g) Penjajah tidak faham situasi, minat dan cara orang Melayu bekerja.

8. Jika semua Melayu malas, maka siapa yang menanam padi, membekalkan beras kepada penduduk Tanah Melayu ketika zaman kolonial? Jika semua Melayu malas, maka siapa yang bertukang perahu, bertukang rumah dan segala macam pekerjaan kemahiran lain sehingga kemudahan orang berdagang disediakan dengan baik di tempat mereka?

9. Syed Hussein al-Attas ada mengkritik tentang falasi dan mitos “semua Melayu malas ini’ dalam karyanya Mitos Peribumi Malas.

Kecenderungan Revolusi Mental untuk menganggap masyarakat Melayu itu malas, tanpa disedari sebenarnya telah dipengaruhi oleh kapitalis kolonial. Seperti yang telah diperlihatkan, kapitalis kolonial mempertimbangkan ketekunan dari sudut pandangan sistem pemerasan kapitalis.

Hal yang menakjubkan adalah baik kapitalisme kolonial mahupun Revolusi Mental tidak pernah menyebut orang Cina yang malas. Dalam pandangan mereka, seluruh orang Cina bekerja keras.

Meskipun ada benarnya bahawa pada umumnya orang Cina penduduk yang rajin dan dipertentangkan dengan komuniti orang Melayu yang seluruhnya malas adalah ciptaan kapitalisme kolonial. Dalam kalangan masyarakat Cina, terdapat jumlah yang sebanding tentang anggota yang malas dan lebih besar dalam kalangan kelas atasan.

Asal Usul Propaganda Melayu Malas

10. Boleh dikatakan, asal usul propaganda “Melayu malas” amat menonjol dalam pemikiran Stamford Raffles, pegawai kolonial British paling tersohor. Antaranya:

“Perwatakan bangsa Melayu adalah relatif primitif dan tidak beradab, tidak didapati daripada risalah rasmi yang terdengar, tetapi daripada pelbagai gagasan sederhana, bahkan dapat menggambarkan karakter mereka lebih baik daripada laporan keilmuan atau karangan yang halus.”

Syed Hussein al-Attas ada menyinggung tentang hal ini bahawa menurut Raffles, orang Melayu tidak memperoleh tingkat pengembangan intelektual yang tinggi. Ini adalah sikap yang sangat mencolok negatif daripada seorang pegawai kolonial yang kemudiannya dikutip dan disalin oleh para pengarang terkemudian.

Sudah tentu ini adalah pandangan yang dangkal kerana Raffles tidak memahami (atau buat-buat tidak faham) bahawa orang Melayu sebagaimana peribumi lain tidak selesa orang asing bertindak ingin menjajah negerinya.

Gaya hidup orang Melayu dan lain-lain orang di Asia Tenggara rata-ratanya adalah berbeza dengan gaya hidup di Eropah. Perbezaan ini tidak dipandang dan Raffles tetap berkeras ingin menghakimi orang Melayu daripada sikap prejudis dan emosinya. Hal ini mungkin daripada layanan buruk yang diterimanya daripada sesetengah orang Melayu yang menentang campur tangan asing.

Anda sedang membaca sebahagian daripada buku Berurat Dawai, Berdarahkan Raksa. Kalau anda berminat nak membelinya, kami membuka pra-tempah bersama dengan buku Dunia Tanpa Tembok III.

Kalau lepas baca bab eklusif ini, anda berminat nak dapatkan buku kami, boleh beli di:

Webstore: http://bit.ly/kombomac2020
Alternatif: https://www.billplz.com/kombomac2020
Wassap: http://wasap.my/60195812791/kombomac

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.