Bagi kaum wanita, mekap bukan sekadar alat untuk menyerlahkan kecantikan mereka. Malah, ia dapat menutup sebarang cela yang terdapat pada wajah mereka. Sebab kedua ini mendorong pemerintah England abad ke-16 Ratu Elizabeth I untuk mengenakan mekap sepanjang tempoh pemerintahan baginda. Tetapi apakah ia juga menyumbang kepada kemangkatan baginda secara senyap pada 1603?

Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu melihat satu babak dalam sejarah hidup Elizabeth I. Semasa baginda berusia 20-an atau lebih tepat 10 Oktober 1562, baginda jatuh gering akibat demam panas. Sebaik diperiksa oleh doktor-doktor istana, Elizabeth I disahkan menghidap cacar air atau cengkering – satu penyakit amat ditakuti pada zaman dahulu kerana meragut banyak nyawa termasuk golongan pemerintah.

Cengkering diketahui mula menjangkiti manusia kira-kira 12,000 tahun lalu. Ancaman penyakit ini mula berkurangan selepas pengenalan vaksin cacar yang dibuat oleh Edward Jenner pada 1796. Elizabeth I mempunyai sebab kukuh untuk bimbangkan keselamatan nyawanya selepas disahkan mengalami cacar air. Pada ketika itu, 30% populasi England mati selepas dijangkiti penyakit berkenaan.

Imej muka penuh dengan cacar air sudah pasti membuatkan muka si polan menjadi hodoh. Perasaan itu menjadi pendorong Elizabeth I untuk mengenakan mekap beracunnya itu.

Pada akhirnya, baginda disahkan pulih daripada gering yang dialami dan kembali memerintah seperti biasa. Tetapi penyakit tersebut turut meninggalkan kesan parut pada kulit termasuk pada bahagian muka Elizabeth I. Atas sebab itulah, hal ini amat sensitif kepada baginda. Misalnya, jika pelukis menghasilkan potret Elizabeth I tetapi rupa yang terhasil tidak memuaskan, maka bersedialah pegawai-pegawai istana berdepan kemurkaan baginda.

Parut akibat cacar air ini juga mengakibatkan Elizabeth I sentiasa bimbangkan aspek kecantikan baginda. Walaupun ramai orang menyatakan kecantikan baginda tidak terjejas di sebalik parut yang dicetuskan oleh cacar air, itu sedikit pun tidak menenangkan hati baginda.

Malah, dalam Parlimen England, hal ini turut disentuh dalam titah Elizabeth I. Petikan titah baginda berbunyi begini:

“We princes, I tell you, are set on stages in the sight and view of all the world duly observed; the eyes of many behold our actions, a spot is soon spied in our garments; a blemish noted quickly in our doings.” (Kami putera-puteri raja, akan diletakkan di atas pentas agar dapat dilihat oleh dunia yang memerhati; setiap tindakan kami diperhati, jika ada cacat pada pakaian kami, sudah pasti cela pada badan kami juga diketahui.)

Dua sebab inilah mendorong Elizabeth I berpaling kepada mekap sebagai cara menutup cela pada wajah baginda. Baginda beruntung kerana pada ketika itu, ada satu mekap yang popular pada abad ke-16 yang dipanggil Venetian Ceruse. Mekap pemutih ini amat popular dalam kalangan golongan aristokrat kerana ia dapat menutup cela pada wajah termasuk parut akibat cacar air.

Mengikut rekod sejarah, Venetian Ceruce diperbuat daripada cuka dan plumbum putih yang diambil di Venice. Mekap inilah yang menyumbang kepada rupa putih ikonik yang dimiliki ramai golongan atasan ketika itu termasuk Elizabeth I.

Tetapi plumbum juga boleh menyebabkan orang yang mengambilnya mengalami keracunan. Antara tanda seseorang itu mengalami keracunan plumbum ialah keguguran rambut, cepat marah dan keletihan. Selain itu, keadaan kulit baginda juga dijangka terhakis lebih-lebih lagi dengan pendedahan mekap tersebut dibiarkan pada wajah baginda selama seminggu. Disebabkan hal ini juga, mekap lebih tebal diletakkan pada wajah Elizabeth I terutama pada tahun-tahun terakhir pemerintahan baginda.

Selain mekap Venetian Ceruce yang digunakan pada wajah baginda, Elizabeth I turut menggunakan gincu yang diperbuat daripada sinabar. Sinabar merupakan sejenis mineral yang mengandungi merkuri dan ia boleh mendedahkan penggunanya kepada keracunan merkuri. Antara tanda keracunan merkuri ialah kehilangan memori, cepat marah, kemurungan dan kematian.

Sinabar menjadi asas gincu yang digunakan oleh Elizabeth I.

Selain sinabar, rambut palsu baginda turut diwarnakan dengan pewarna merah yang diperbuat daripada merkuri. Malah, Elizabeth I difahamkan turut menggunakan campuran kulit telur, tawas dan merkuri untuk membuang mekap. Gabungan semua objek ini memberi kesan buruk kepada kesihatan baginda sekaligus sedikit-sebanyak menyumbang kepada kemangkatan baginda.

Tetapi mengapa kebanyakan potret baginda digambarkan sebagai wanita muda yang jelita bersesuaian dengan gelarannya sebagai Ratu Anak Dara (The Virgin Queen)? Kurator seni Muzium Diraja Greenwich, Sue Richards percaya ia didorong oleh propaganda. Semasa tahun-tahun terakhir Elizabeth I, ia dibayangi oleh gerakan anti-Protestan yang menyelar baginda sebagai permaisuri tua dan tidak layak menduduki takhta.

Pada ketika itu, gerakan anti-Protestan ini didalangi kelompok pro-Roman Katolik. Kelompok ini merasakan diri mereka dipinggirkan di sebalik dasar toleransi agama Elizabeth I yang baik. Bagi mereka, kelibat baginda sebgaai ketua Gereja England sebagai sesuatu yang memalukan dan patut diubah. Pendek kata, mereka mahukan figura seperti Mary I kembali kerana memperjuangkan agenda Roman Katolik.

Perlu diingat juga, gelaran Ratu Anak Dara diberi kerana baginda tidak pernah berkahwin dengan mana-mana lelaki. Bukan tidak ada lelaki yang mahu mengahwini Elizabeth I tetapi semua usaha perkahwinan yang direncana golongan aristokrat menemui kegagalan.

Misalnya, wujud usaha mengahwinkan baginda dengan Henry dan Francis, Duke of Anjou sekitar 1569 dan 1572-1581. Jika Elizabeth I berkahwin dengan Francis, ia akan membentuk pakatan anti-Sepanyol sekaligus membantu mereka merampas Belanda daripada tangan Dinasti Habsburg Sepanyol. Tetapi  pada akhirnya, usaha tersebut tidak berhasil.

Elizabeth I tahu jika baginda menamakan sesiapa sebagai pewaris takhta, ia akan mendedahkan baginda kepada plot rampasan kuasa. Baginda amat arif tentang hal ini lebih-lebih lagi selepas dipenjarakan selama setahun semasa pemerintahan kekandanya, Ratu Mary I. Selain itu, kebanyakan plot rampasan kuasa yang direkodkan dalam sejarah England menunjukkan pembabitan pewaris takhta sebagai dalang atau tahu plot yang diatur.

Antara contoh potret Elizabeth I sebagai wanita muda jelita.

Dengan menampakkan imejnya sebagai wanita muda cantik, ia memberi keyakinan kepada rakyat bahawa Elizabeth I berkemampuan mentadbir England ketika itu. Imej lukisan-lukisan era baginda bagaimanapun sama sekali bertentangan dengan rupa fizikalnya yang sebenar.

Di sebalik risiko kesihatan yang dialami Elizabeth I, ramai aristokrat wanita meniru imej ikonik baginda itu bukan saja sebagai kerana meniru tips kecantikan yang diamalkannya. Tetapi pada masa sama, ia merupakan tanda kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi kepada baginda.

Potret sebenar Elizabeth I yang dilukis pada 1595 oleh Marcus Gheeraerts Si Muda.

Menjelang tahun-tahun terakhir baginda, Elizabeth I dikatakan mengalami kemurungan yang teruk – kesan sampingan akibat keracunan plumbum dan merkuri. Selain itu, kemampuan baginda untuk berfikir juga semakin merosot dengan baginda cenderung untuk berdiri selama berjam-jam. Elizabeth I seakan-akan mengetahui keadaan fizikalnya semakin lemah dan hanya menanti masa dipanggil kembali menghadap Ilahi.

Mungkin itu menjelaskan mengapa baginda enggan diperiksa oleh doktor sehingga ke akhir hayatnya. Pada 24 Mac 1603, Elizabeth I mangkat. Tetapi sebelum itu, baginda telah menamakan sepupunya dari Scotland, Raja James VI (kemudiannya James I) sebagai pewaris takhta. Dengan James I menaiki takhta England, takhta England dan Scotland disatukan di bawah pemerintahan baginda.

Punca sebenar kemangkatan Elizabeth I terus diperdebatkan sehingga hari ini. Terdapat tiga punca kemangkatan baginda iaitu keracunan merkuri dan plumbum, kanser dan pneumonia serta keracunan darah. Namun begitu, agak sukar menentukan punca sebenar kemangkatan baginda berikutan tiada bedah siasat dan keengganan Elizabeth I sendiri yang enggan diperiksa doktor pada akhir hayatnya.

Oleh sebab itu, punca kemangkatan baginda akan terus menjadi misteri sampai bila-bila. Di sebalik semua ini, ia langsung tidak memadamkan prestijnya sebagai antara pemerintah ulung England yang menjadi sebutan sehingga hari ini.

RUJUKAN

Fox, OR. (2021, 17 Julai). Deadly make-up regime of Queen Elizabeth I was full of toxic substances. Daily Mirror.

Brophy, M. (2022, 12 Jun). Was Queen Elizabeth I Killed by her Poisonous White Makeup?. Ancient-Origins.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2023 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply