Mekanik Pun Ada Stetoskop Tau

356

Tahukah anda, untuk seseorang mekanik itu mengenal pasti masalah sesebuah enjin kereta, terdapat satu jenis peralatan yang pada awalnya menimbulkan tanda tanya memandangkan alat bernama stetoskop ini digunakan oleh doktor dalam usaha mereka untuk mengenalpasti gejala-gejala yang ada pada pesakit.

Pemeriksaan ini adalah bertujuan untuk membuat diagnosis kepada pesakit di mana para doktor boleh mendengar bunyi nafas pesakit untuk mengetahui adakah paru-paru pesakit itu bermasalah, atau mendengar bunyi degupan jantung, bunyi nadi dengan tujuan mendapatkan bacaan tekanan darah pesakit dan lain-lain.

Hal ini sama seperti pekerjaan seorang mekanik kereta, yang mana pesakit-pesakit mereka bukanlah dari kalangan manusia, tetapi lebih kepada dari kalangan kenderaan seperti kereta, van, lori dan motosikal. Untuk seseorang mekanik itu mengenalpasti bahagian manakah yang dalam enjin sesebuah kenderaan itu mempunyai masalah, mereka boleh menggunakan stetoskop mekanik.

Kebanyakan kenderaan yang mempunyai masalah akan mulai mengeluarkan bunyi-bunyi yang sedikit pelik seperti bunyi ketukan, seretan, kebocoran dan lain-lain. Adalah amat penting bagi seseorang mekanik itu mengetahui di manakah lokasi yang mengeluarkan bunyi itu.

Disebabkan proses mendiagnos masalah sesebuah kereta itu memerlukan enjinnya dihidupkan, adakalanya amat sukar untuk mereka mengesan kerana bunyi enjin kereta yang kuat akan menutupi bunyi mana-mana bahagian kereta yang bermasalah. Justeru, dalam usaha untuk memudahkan seseorang itu mengesan di manakah lokasi di dalam enjin kereta itu bermasalah, maka, mereka boleh menggunakan stetoskop mekanik.

Stetoskop ini berbeza dengan stetoskop yang digunakan oleh doktor di hospital, yang mana perbezaan utamanya terletak di bahagian hujung bawah stetoskop tersebut. Salah satu attachment yang digunakan berupa sebatang rod besi yang amat panjang dan kecil.

Rod besi ini boleh disambung-sambung berdasarkan keperluan sesebuah kenderaan tersebut. Rod besi yang kecil ini dicipta bagi tujuan untuk mencapai bahagian dalaman enjin yang sempit, disamping proses mendiagnos masalah sesebuah kereta itu memerlukan enjin tersebut hidup.

Setelah mekanik meletakkan dan dapat mengenalpasti secara pin-point di manakah masalah kereta tersebut, proses pembaikian boleh dimulakan. Hal ini sama dengan rawatan untuk pesakit di hospital, yang mana para doktor perlu memeriksa badan pesakit terlebih dahulu, dan andai kata mereka berjaya mengenalpasti bunyi-bunyi yang abnormal pada badan pesakit, maka, maklumat sedemikian akan banyak membantu para doktor untuk memulakan rawatan. Konsep yang sama sahaja diantara kedua-dua bidang ini.

Jadi, selepas ini jikan anda terlihat seorang mekanik menggunakan stetoskop untuk membaiki kereta anda, kini, anda boleh tahu apakah sebabnya dia memerlukan bantuan stetoskop dalam mengenalpasti dan membuat diagnosis bagi ‘penyakit’ yang dihadapi oleh kereta kesayangan anda.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.