# Harimau Malaya

# Kami Selalu ada

# Walau di mana berada

# Kami Di sini

# Terus menjadi

# Ekor Harimau Sejati

Begitulah bait-bait kata yang disorak kencang para komrad Ultras Malaya. Kegamatan suara mereka terus diadun padu tanpa lelah dengan teriakan-teriakan pemberontakan sehinggalah ke akhirnya. Anak tekak pemuda-pemuda Malaysia ini seakan ditempa daripada besi padu yang tahan uji menghadapi keretakan peti suaranya. Gendang-gendang yang diangkut terus dihentam rakus sehingga menggegarkan jantung-jantung manusia. Maka berguruhlah stadium itu dengan ngauman mereka yang sedang lapar kepada kemenangan. Tidak jemu menyuapkan ubat kuat ke dalam mulut para pejuang yang sedang bertempur di tengah padang. Menyinar-nyinar belang berwarna hitam berselang kuning yang meratai sudut lekuk stadium tersebut, seakan sosok seekor harimau berteleku garang menunggu jatahnya. Terus berkibar di udara berulang-alik ke kiri lalu ke kanan oleh beberapa cebisan Jalur Gemilang disamping bendera rasmi mereka, yang kelihatannya seakan The Rising Sun, bendera rasmi bagi Empayar Jepun, namun ditukar belang merah putihnya kepada belang hitam kuning. Mereka mengaum dan terus mengaum tanpa henti.

Demikianlah sedikit sebanyak berkenaan pemain nombor 12 pasukan Malaysia, Ultras Malaya yang ditubuhkan secara rasminya pada tahun 2007. Berpandukan falsafah akarnya iaitu “Selamanya Harimau Malaya” dan “Until The Last Rebel”, perkumpulan penyokong fanatik sukarela ini terus istiqamah dalam kesetiaannya melonjakkan moral skuad bola sepak negara, Harimau Malaya. Biarlah hanya kekecewaan  yang dipersembahkan para pemain negara, Ultras Malaya yang mencecah puluh ribuan peserta dari setiap pelusuk negeri bersekutu di Malaysia ini tetap setia berpanas berhujan. Sejauh manapun medan pertempuran yang perlu diredah Sang Belang, nescaya ekornya sama sekali tak akan terpisah dari jasad. Bukankah SuperMokh pernah mengungkapkan kata-kata keramatnya, “jika kamu malu untuk setia dengan bendera negaramu, sebaiknya kamu carilah bendera lain untuk kau setia.”

Namun begitu, pengkhususan tugas bagi aspek moral dan propaganda bukanlah sesuatu yang langka di dunia ini. Sejarah telah merakamkan bahawa Empayar Uthmaniah yang menjangkau dua pertiga dunia kekuasaannya tatkala itu pernah mempunyai sebuah pancaragam tentera bertaraf elit yang masyhur disebut Mehter. Mehter yang diertikan sebagai “superior” dikatakan telah wujud semenjak kurun ke 8 Masihi berdasarkan beberapa catatan yang dijumpai di dalam inskripsi Orkhun Turki. Bahkan di dalam Kasgarli Mahmud Divan-I Lugat-It Turk yang telah disusun pada kurun ke 11 Masihi, ada mencatatkan bahawa sebuah pancaragam telah memberikan persembahan di hadapan seorang Khan. Berdasarkan deskripsi pakaian yang telah tertulis di dalam catatan tersebut, ternyatalah Mehter yang telah dirakamkan persembahannya.

Mehter juga disebut sebagai Pancaragam Janissari, berdasarkan penyertaan sekalian ahli pancaragam tersebut adalah semestinya daripada Janissari, sebuah komando elit bagi tentera empayar Utsmaniah. Inilah juga alasan yang mematikan pancaragam bersejarah tatkala Janissari dimansuhkan keberadaannya. Kegilaan Sultan menyirup taufan modenisasi dan pembaratan telah menyebabkan warisan kebanggaan sesebuah tamadun dilenyapkan. Padah sahajalah yang menanti bangsa apabila anak cucu yang dilahirkan nanti memandang hina darah keturunan yang mengalir dalam dirinya.

Dikatakan bahawa Mehter telah dirasmikan peranannya sebagai sebuah pancaragam kebangsaan yang berautoriti tatkala penguasa Empayar Saljuk, Sultan Alauddin Keykubat III telah menghadiahkan kepada sultan empayar Uthmaniah yang pertama, Osman Ghazi, sebuah Tabl (drum) kebesaran negaranya sebagai perlambangan kedaulatan kerajaan baru itu. Drum itu dikatakan bernama Tabl Usman (drum Uthmaniah). Turut diberikan sancak ataupun bendera yang berperanan sebagai panji-panji kebesaran sesebuah negara. Sejak saat itu, Mehter mula mempersembahkan pertunjukan pertamanya di hadapan Sultan Osman Ghazi di dalam sebuah masjid kecil yang bertempat di daerah Sogut, sebuah wilayah di dalam Kota Bilecik yang menjadi ibu kota Empayar Uthmaniah ketika itu.

  Mereka menyanyikan beberapa gubahan lagu sambil memalukan gendang mengikut tertibnya ataupun digelar dengan Memalu Nevbet. Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari laman sesawang rasmi Mehter, Mehter i Hakkani (Mehter yang dimiliki oleh Sultan Uthmaniah) dikatakan Memalu Nevbet lima kali sehari yang berjadualkan sebelum masuknya waktu solat fardu. Mungkin tradisi ini telah mempengaruhi masyarakat muslim di Kepulauan Nusantara yang memalu tabuh atau gendang setiap kali sebelum azan berkumandang.   Tradisi memalu tabuh dan gendang besar masih lagi diamalkan oleh kebanyakan masjid di Indonesia hari ini namun semakin lenyap di negara kita. Hanya dijadikan hiasan menunggu reput.

 Peranan Mehter benar-benar berkesan buat sekalian perajurit Usmaniah yang bertempur di barisan hadapan. Kepentingan keberadaan mereka pada setiap pertempuran dirakamkan oleh sejarah berdasarkan catatan Evliye Celebi, seorang pengembara berbangsa Turki yang hidup ketika kegemilangan Empayar Usmaniah. Beliau pernah menceritakan dilema yang dihadapi Sultan Murad IV tatkala memikirkan kepentingan diantara Mehter atau para arkitek negaranya yang perlu didahulukan di dalam armada tenteranya. Kebuntuan Sang Sultan menyebabkan baginda  memanggil kedua-dua golongan tersebut untuk menyelesaikan permasalahan ini. Tatkala kesemuanya sudah pun masuk menghadap, maka ketua bagi sekumpulan arkitek negara mula menyampaikan ucapannya,

“Tuanku! Mehter adalah pedagang yang tidak bertuan (kerana Mehter adalah pancaragam muzik yang bebas berkarya mengikut kreativiti sendiri). Mereka hanyalah mereka-reka kesenian Cemshid. Sementelah kami sudah membina istana yang megah, masjid Sultan dan pelbagai jambatan demi Tuanku. Keberadaan kami adalah sebuah keperluan dalam sebuah ketumbukan tentera dan kami mempunyai tugas tersendiri dalam perajurit kaum Muslimin. Semestinya kamilah yang lebih diperlukan daripada Mehter.”

Selepas itu, kepala Mehter mula melontarkan argumennya,

“Tuanku! Ke mana pun tempat keberangkatan Tuanku, samada semata-mata untuk tujuan persahabatan antara dua negara, ataupun urusan empayar kenegaraan yang gilang gemilang sifatnya, semestinya reputasi dan kemegahan Tuanku di mata rakan atau musuh ialah melalui paluan gendang, tiupan clarion dan pukulan Kudum (gendang kecil). Tika mana di medan peperangan, para Ghazi mula turun bertempur tatkala kami menghayun kayu pemukul gendang.    Kamilah yang menjadikan sekalian perajurit yang ada ini dahagakan darah musuhnya. Jika Tuanku sedang ditimpa kesedihan, kami menyediakan di hadapan Tuanku dua belas mode, dua puluh empat seksyen, dua puluh empat sul, empat puluh lapan kompoun bahagian muzik yang lengkap keseluruhannya, demi meniup pergi kekecewaan yang melanda Tuanku. Bukankah cendekiawan dahulu kala pernah mengungkapkan, “muzik dan penyanyi gurindam memberikan kegembiraan pada manusia”. Kami adalah pedagang yang bertuankan jiwa-jiwa manusia. Sementelah lagi di mana bumi yang terpacak bendera Nabi utusan Tuhan, Takhta Empayar Usmani semestinya berada di sana.”

Selepas perbincangan yang hangat ini, Sultan Murad IV memutuskan bahawa Mehter lebih perlu diutamakan dalam armada tenteranya.

Demikianlah firasat seorang Sultan yang ternyata benar sehingga Empayar Usmaniah berjaya membuka Kota Constantinople melalui seorang Sultan dari darah keturunannya. Semestinya peranan Mehter yang amat signifikan memberikan nilai tambah buat moral para perajurit tatkala kapal diluncurkan. Begitulah juga harapan kepada Ultras Malaya yang akan memainkan  peranannya tanggal 11 Disember ini. Mengalahkan Vietnam bukanlah sesuatu “kegilaan” seperti mana “gilanya” strategi Sultan Muhammad Al Fateh yang meluncurkan tujuh puluh buah kapal Armada Laut Usmaniah di atas daratan, sehingga mampu melewati bukit di daerah Galata, demi melepasi Teluk Horn yang dirantai besi oleh kekuasaan Rom ketika itu. Dirgahayu ibu pertiwiku.

Artikel disumbangkan oleh Akmal Mohamad untuk The Patriots.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.