Megalodon – Jerung 10 Kali Ganda Saiz T-Rex

28,428

Nama ‘Megalodon’ secara harfiahnya bermaksud ‘gigi besar’ dan ianya sememangnya munasabah – giginya cukup kuat untuk meremukkan sebuah kereta.

Jerung megalodon adalah antara pemangsa yang paling garang dan paling besar yang pernah berenang di lautan. Ia mampu mencapai dua kali ganda saiz Tyranosaurus Rex dan daya gigitannya mampu meremukkan sebuah kereta, si meg atau juga dikenali sebagai Carcharocles megalodon ini merupakan (haiwan) paling berkuasa dalam lautan di zaman prasejarah.

Dan juga, walaupun berada di kedudukan tertinggi dalam rantaian makanan tanpa adanya pemangsa lain yang mampu menyainginya seakat ini, jerung megalodon pupus sekitar 2.6 juta tahun lalu.

Hal ini merupakan suatu misteri yang perlu dirungkai. Terdapat pelbagai teori yang dikemukakan, namun tiada siapa mampu menerangkan mengapa salah satu pemangsa lautan yang begitu ganas boleh pupus sebelum wujudnya manusia.

JERUNG TERBESAR YANG PERNAH HIDUP

Saiz megalodon jika dibandingkan dengan manusia

Megalodon adalah jerung paling besar yang pernah direkodkan, walaupun saiz tepat bagi haiwan itu bersifat pelbagai, bergantung kepada sumber yang dirujuk. Anggaran selamat mendakwa bahawa jerung berkenaan mampu membesar sehingga 60 kaki, iaitu kira-kira saiz lazim bagi lorong boling.

Tetapi, terdapat sumber lain yang menyebutkan bahawa ia bersaiz lebih besar dan megalodon mampu mencapai lebih 80 kaki besarnya, iaitu kira-kira tiga kali ganda dari panjang bas dua tingkat di London.

Perbandingan saiz antara jerung putih besar dan manusia, serta saiz anggaran megalodon

Apapun, jerung yang ada di lautan kini jauh lebih kecil saiznya. Menurut pakar jerung yang bernama Peter Klimley, jika jerung yang paling besar di dunia pada masa kini berenang di sebelah megalodon, saiznya hanya sama seperti zakar megalodon sahaja. Berat megalodon sememangnya sepadan dengan saiznya yang besar. Ketika mencapai usia dewasa, ia mampu mencapai berat dari 66 000 paun sehingga lebih 143 000 paun.

GIGITAN MAUT MEGALODON

Gigi megalodon (kanan) jauh lebih besar berbanding gigi jerung putih yang besar pada masa kini (kiri)

Gigi megalodon adalah bahan terbaik untuk para penyelidik mengkaji segala maklumat tentang haiwan prasejarah ini – dan gigi berkenaan berupaya memberikan gambaran tentang kesakitan yang ditimpakan kepada mangsanya.

Nama ‘megalodon’ secara harfiahnya bermaksud ‘gigi besar’. Rangka gigi terbesar ditemui bersaiz 6.9 inci, iaitu kira-kira tiga kali ganda berbanding saiz purata gigi jerung paling besar pada masa kini. Sebahagian pendapat melaporkan bahawa ianya bersaiz lebih dari 7 inci.

Seperti jerung putih, gigi megalodon berbentuk segi tiga, bersimetri dan sekata sekaligus menjadikannya sempurna untuk mengoyakkan daging mangsanya. Menurut penyelidik, set gigi jerung prasejarah tumbuh setiap 1-2 minggu dan menghasilkan 20 000 hingga 40 000 gigi seumur hidupnya.

Dr. Jeremiah Clifford, pakar dalam pembinaan semula fosil, memegang rahang jerung putih sambil berdiri di dalam rahang megalodon yang dibina semula

Gigi megalodon yang besar ini tersimpan di dalam rahangnya yang jauh lebih besar. Diamter gigitan rahangnya adalah setinggi 9 kaki dan selebar 11 kaki, cukup untuk menelan dua orang manusia dewasa sebelah-menyebelah dalam sekali telan.

Jerung berkenaan adalah antara makhluk paling dahsyat yang pernah menggerunkan dunia ini. Purata daya gigitan manusia adalah sekitar 1317 newton. Sementara daya gigitan megalodon pula mencecah antara 108 514 hingga 182 201 newton, membuatkannya cukup kuat untuk meremukkan sebuah kereta.

JERUNG PRASEJARAH YANG MEMANGSAKAN PAUS

Pola taburan megalodon pada zaman Miocene dan Pliocene dianggarkan dengan memantau lokasi fosil giginya ditemukan

Pada masa-masa kemuncaknya, megalodon dipercayai mencari mangsa di hampir kesemua lautan. Hal ini disokong oleh penemuan giginya di setiap benua kecuali Antartika.

Jerung ini memilih air yang hangat dan cenderung untuk berada di kawasan laut yang cetek dan bersuhu sederhana untuk memburu mangsanya. Namun kerana saiznya yang besar, jerung tersebut perlu memakan bertan makanan setiap hari. Antara mangsa yang diburunya adalah ikan paus atau humpbacks. Namun apabila tiada makanan yang bersaiz besar, megalodon mencari mangsa yang lebih kecil seperti ikan lumba-lumba, anjing laut dan juga jerung yang bersaiz kecil.

Maut yang datang akibat dibaham oleh megalodon tidak berlalu dengan pantas kerana megalodon sendiri tidak bertindak terburu-buru. Sebahagian penyelidik mengatakan bahawa megalodon memburu ikan paus dengan menggigit sirip atau ekornya untuk menyukarkannya melarikan diri.

Pada zaman puncaknya, megalodon berada di kedudukan tertinggi dalam rantaian makanan. Saintis percaya bahawa megalodon yang telah dewasa dan matang tidak mempunyai sebarang pemangsa yang memakannya.
Satu-satunya waktu di mana mereka berada dalam keadaan lemah adalah semasa ia kecil, bersaiz kira-kira 7 kaki panjang. Dari semasa ke semasa, beberapa jerung yang bersaiz besar seperti jerung berkepala-penukul (hammerhead) cukup berani untuk menyerang anak-anak megalodon, umpama cubaan untuk mengatasi raja lautan.

KEPUPUSAN YANG MISTERI

Sangat sukar untuk membayangkan bagaimana binatang yang ganas dan besar lagi kuat seperti megalodon boleh pupus. Sekitar 2.6 juta tahun yang lalu, iaitu di penghujung zaman Pliocene, megalodon yang terakhir telah mati.

Tiada siapa tahu bagaiamana hal tersebut boleh terjadi walaupun wujud pelbagai teori. Satu teori mengatakan bahawa penurunan suhu lautan menjadi punca kepupusan megalodon. Sekitar tiga juta tahun yang lalu, laut yang bersambung dengan Amerika Tengah dan Atlantik serta Pasifik telah tertutup lalu menyebabkan lautan di bumi menjadi terlalu sejuk.
Terdapat pengkaji yang mempercayai bahawa megalodon tidak dapat menyesuaikan diri dengan air sejuk itu. Namun, haiwan-haiwan mangsa megalodon boleh pula berpindah dan hidup di perairan tersebut.

Menurut Muzium Sejarah Semulajadi di London, air sejuk telah memusnahkan sebahagian sumber makanan megalodon lalu memberikan kesan yang buruk kepada jerung itu. Sehingga 1/3 mamalia gergasi telah pupus setelah air lautan menjadi sejuk dan kehilangan ini dirasai baik dari peringkat bawah mahupun peringkat atas rantaian makanan.

Seorang wanita berdiri di dalam rahang megalodon

Walau bagaimanapun, kajian terkini menunjukkan bahawa taburan geografi megalodon tidak bertambah secara ketara ketika zaman laut menjadi hangat ataupun kurang pada masa sejuk. Hal ini mengisyaratkan bahawa ada punca lain yang menyebabkan kepupusan mereka.
Sebahagian saintis percaya bahawa perubahan rantaian makanan adalah faktor yang menyebabkan kepupusan megalodon.

Dana Ehret, seorang ahli paleobiologi di Muzium Negeri New Jersey memberitahu National Geographic bahawa disebabkan megalodon banyak bergantung kepada ikan paus sebagai sumber makanan, maka apabila bilangan paus berkurangan, megalodon turut mengalami kesan yang sama.
“Anda boleh lihat graf yang memuncak pada kuantiti megalodon yang banyak di pertengahan zaman Miocene di mana megalodon hadir dalam rekod-rekod fosil, dan ianya berkurangan pada awal-pertengahan zaman Pliocene apabila ia mula pupus,” ujarnya.

Tanpa lapisan lemah yang diperoleh daripada paus, saiz megalodon yang besar boleh mendatangkan kesan buruk pada mereka sendiri. “Megalodon mungkin terlalu besar dan sumber makanan pula tidak lagi banyak,” kata Ehret.

Tambahan, pemangsa-pemangsa lain seperti jerung putih dan paus pembunuh masing-masing ada pada waktu itu dan bersaing dalam mengurangkan kuantiti paus. Bilangan pemangsa yang semakin kecil serta banyaknya persaingan (dalam mencari makanan) bermaksud megalodon menghadapi banyak masalah.

MUNGKINKAH MEGALODON INI MASIH HIDUP?

Walaupun para saintis berdebat tentang punca utama kepupusan megalodon, mereka semua berepakat dalam suatu perkata; megalodon telah pun lenyap buat selama-lamanya.

Di sebalik filem-filem (haiwan) yang seram dan mockumentary yang mengolok-olokkan Discovery Channel yang mungkin kita percayai sebelum ini, hampir kesemua komuniti saintis percaya bahawa megalodon telah pupus.

Satu teori terkenal yang mengatakan bahawa megalodon masih wujud digambarkan dalam karya layar perak pada tahun 2018 iaitu The Meg. Kononnya, pemangsa gergasi ini mendiami lautan dalam yang belum kita terokai. Secara seimbas pandang, teori ini kelihatan munasabah kerana sebahagian besar lautan dunia ini masih belum diteroka.

Walaupu bagaimanapun, sebahagian besar saintis percaya bahawa jika megalodon masih wujud, kita pasti akan tahu tentang hal itu sekarang ini. Megalodon ini pasi akan meninggalkan kesan gigitan baharu yang jauh lebih besar pada makhluk laut lain seperti ikan paus, berserta gigi-bukan-fosil yang gugur dari mulutnya yang bertaburan di dasar laut.
Sebagaimana seorang saintis sebutkan, “Kami mengambil masa yang cukup lama untuk mengkaji lautan dunia, untuk menyelidik apa yang ada dan tiada di dalamnya.”

Tambahan lagi, jika terdapat versi tentang kewujudan megalodon ini mampu menafikan seluruh faktor-mustahil dan benar kononnya ia masih hidup di dasar laut, hal ini seakan-akan bertentangan dengan sifatnya yang terdahulu. Ini kerana megalodon perlu menghadapi perubahan besar untuk menyesuaikan diri di dalam air yang sejuk dan gelap.
Bahkan jika mereka berenang di lautan moden, seorang saintis memberi jaminan bahawa manusia tidak perlu risau menjadi mangsa serangan mereka.

“Mereka tidak akan berfikir dua kali untuk membiarkan kita,” kata ahli paleobiologi yang bernama Hans Sues yang bekerja di Muzium Sejarah Semulajadi Negara. Tambahnya lagi, “Atau paling tidak, mereka akan menganggap bahawa kita ini terlalu kecil atau tidak penting untuk dimakan.”

SUMBER:

Caroline Redmond. (12 Januari 2019). Megalodon: The Prehistoric Shark 10 Times the Size of T-Rex. All That Interesting.
https://allthatsinteresting.com/megalodon

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.