Kota Megiddo sememangnya masyhur dalam teks-teks purba. Namun, kewujudannya diabaikan seiring peredaran masa. Merentas kurun, manusia sudah lupa dan bahkan tertanya-tanya sama ada Megiddo ini benar-benar wujud atau hanya sekadar sebuah legenda dari zaman silam.

MENJEJAK MEGIDDO

Megiddo terletak berhampiran Kibbutz Megiddo, kira-kira 30km (18.64 batu) dari kota Haifa, (negara haram) Israel. Masyarakat Yunani purba memanggilnya sebagai Armageddon. Kota ini meraih kemajuan sebagai sebuah kota Kan’an pada Zaman Gangsa. Namun, terdapat juga kisah hitam di sebalik kemasyhurannya di zaman moden.

Gerbang kota Zaman Gangsa Lewat di Megiddo

Beberapa kurun kemudian, iaitu pada tahun 609 SM, Firaun Necho II mengikuti jejak nenek-moyangnya dengan bertempur di medan yang sama ketika memerangi Raja Josiah dari Kerajaan Judah. Pertempuran ketiga yang lebih terkini berlaku pada tahun 1918 dalam P3rang Dunia I, iaitu apabila tentera Bersekutu berhadapan dengan tentera Uthmaniyah. Menurut Bible dan ajaran Kristian, kota Megiddo ini jua merupakan tempat pertarungan akhir antara Syaitan dan Jesus.

Nama kota Megiddo lazim dikenang sebagai medan bagi pertempuran-pertempuran yang pernah meletus di sana. Kota ini setidak-tidaknya menjadi gelanggang bagi tiga buah pertempuran yang sangat penting dalam sejarah manusia. Pertempuran pertama berlaku pada kurun ke-15 SM, iaitu ketika Thutmose III memerangi sebuah tentera pakatan Kan’an yang diterajui oleh kota Megiddo dan kota Kadesh.

Pertempuran Megiddo, 609 SM

EKSKAVASI DI MEGIDDO

Ahli-ahli arkeologi telah menemukan sebanyak 26 lapisan runtuhan kota. Megiddo menjalani ekskavasi buat kali pertama pada tahun 1903. Selama dua musim, ahli arkeologi Jerman yang bernama Gottlieb Schumacher (dari Persatuan Jerman) bekerja di tapak berkenaan. Malangnya, kebanyakan dokumentasi yang beliau lakukan telah hilang semasa P3rang Dunia I. Namun, kajian yang dijalankannya sendiri didapati jauh daripada piawai ekskavasi tipikal.

Para penyelidik kembali mengunjungi tapak itu pada tahun 1925 apabila J.D. Rockefeller Jr. menubuhkan Oriental Institute of the University of Chicago. Universiti Ibrani (Hebrew University) terus menjalankan kajian di tapak itu pada tahun 1960. Antara pasukan penyelidik lain yang turut melakukan ekskavasi di tapak itu termasuklah:

Universiti Tel Aviv, Universiti George Washington, Universiti Bucknell, dan akhir sekali, Ekspedisi Megiddo. Pada tahun 2010, sekumpulan penyelidik dari Projek Serantau Lembah Jezreel (Jezreel Valley Regional Project) dengan diketuai oleh Matthew J. Adams berjaya menemukan bahagian terawal kota, yang usianya boleh dijejak kembali pada Zaman Gangsa Awal (3500-3100 SM).

Kekayaan sejarah yang dimiliki oleh bandar ini bermula pada era Paleolitik, namun petempatan pertama yang dibangunkan di sana adalah pada tahun 7000 SM. Beberapa penemuan paling menarik yang melibatkan kota ini datangnya dari Zaman Gangsa. Kuil yang dibina pada Zaman Gangsa Awal bersifat monumental – mungkin ia merupakan kuil paling besar di Timur Dekat. Hal ini membawa maksud, Megiddo sudah pun menjadi kota yang amat membangun pada masa itu.

Kuil umpama-altar bulat dari Zaman Gangsa Awal, Megiddo

Kota ini mencapai zaman kemuncaknya pada Zaman Pertengahan Awal. Pada masa itu, keluasan kota ini mencapai 10-12 hektar (kira-kira saiz keseluruhan 10-12 padang ragbi antarabangsa). Pada Zaman Gangsa Lewat, kota ini diserang oleh raja Mesir, Thutmose III dan dijarah oleh beliau.

Namun, kota ini masih tetap dihuni sesudah serangan tersebut. Megiddo sekali lagi dihancurkan pada tahun 1150 SM, kali ini atas sebab yang tidak diketahui. Kebanyakan penyelidik mengandaikan bahawa ia diserang oleh kaum Aram (Aramaean). Namun, ia dibina semula dan terus dihuni selama beberapa kurun. Pada akhirnya, Megiddo ditinggalkan pada tahun 586 SM.

Model yang menggambarkan rupa bentuk Megiddo pada 1457 SM

MEGIDDO DALAM SURAT AMARNA

Surat-surat pada era pemerintahan firaun Akhenaten merupakan sebahagian daripada sumber paling penting tentang politik kurun ke-14 SM. Teks-teks ini ditulis dalam kuneiform bahasa Akkadia – bahasa diplomatik pada masa itu. Ia mengandungi banyak maklumat tentang hal-ehwal politik dan kehidupan seharian masyarakat. Salah satu surat berkenaan melibatkan teks daripada seorang gabenor Megiddo yang bernama Biridiya, di mana beliau cuba menerangkan kepada firaun tentang keadaan wilayahnya. Biridiya menulis:

Katakan kepada raja, hai tuanku sang matahariku: ini adalah sebuah kiriman pesanan daripada Biridiya, hamba yang setia kepada raja. Di kaki tuanku sang matahariku, aku bersujud tujuh kali dan tujuh kali. Moga raja tuanku pertimbangkan keadaan hamba dan kota hamba. Hakikatnya, aku sendirian mengusahakannya: ah-ri-shu di Shunamma dan aku mengendalikan buruh sendirian. Namun, saksikanlah pembesar-pembesar yang ada di sisiku. Mereka tidak berbuat seperti yang kuperintah. Mereka tidak mengusahakan tanah di Shunamma, mereka tidak melengkapkan buruh. Aku sendirian ia-hu-du-un-ni aku sendirian melengkapkan buruh. Mereka itu datang dari Jaffa dari sekalian lelaki yang ada dan juga dari Nuribta. Moga raja tuanku mempertimbangkan keadaan kotanya.” (melalui Muzium Louvre)

Surat dari Biridiya, putera Megiddo, kepada raja Mesir. Teks ini berbicara tentang tuaian oleh pekerja di kota Nuribta

Surat ini merupakan satu dokumen yang langka yang meluahkan isi hati seorang insan yang hidup di zaman pemerintahan Akhenaten. Gabenor Megiddo dapat dikenali menerusi surat-suratnya kepada firaun. Satu suratnya membincangkan tentang kota Jaffa dan satu surat lain tentang Shunamma. Namun, surat yang mengandungi kiriman pesanannya tentang keadaan tanah firaun ini dikira amat unik.

TAPAK ARKEOLOGI MEGIDDO

Pada hari ini, Megiddo merupakan Taman Kebangsaan dan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Tapak ini telah pun diterokai menerusi usaha-usaha ekskavasi arkeologi yang berterusan dan ia sememangnya berupaya menarik perhatian pelancong. Antara tempat paling mengagumkan yang ada di dalam kota purba ini ialah kuil berusia 5000 tahun dari Zaman Gangsa Awal, runtuhan rumah-rumah, dan kandang-kandang kuda. Selain itu, ahli-ahli arkeologi juga telah menemukan ukiran gading dan banyak perhiasan indah dari zaman yang berbeza-beza. Pada masa lalu, Megiddo dianggap sebagai medan tempur yang menakutkan. Namun pada hari ini, ia dipandang sebagai sebuah syurga arkeologi.

Patung wanita dari Zaman Gangsa Lewat

TERJEMAHAN:

Natalia Klimczak. (7 Disember 2016). More than Battles of Armageddon: The Forgotten Story of Megiddo, An Archaeological Paradise. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/more-battles-armageddon-forgotten-story-megiddo-archaeological-paradise-007148


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.