Khamis, 5 November 20265 Nov 2026
Kronikel Dunia

Medusa: Kisah Wanita Berambut Ular, Sekali Tenung Mata Jadi Batu

Sebut
saja nama Medusa, sudah pasti ada yang kecut perut membaca kisah mitos Yunani
ini. Mana tidaknya, sesiapa yang terpandang wajah wanita berambut ular yang
disumpah oleh Dewi Athena ini akan bertukar menjadi batu dan hanya berjaya dikalahkan
anak Dewa Zeus, Perseus. Malah, kisah ini menjadi sebahagian daripada dua versi
filem Clash of the Titans yang ditayangkan pada tahun 1981 dan 2010. Tetapi apa
kisah sebenar yang menyelubungi Medusa?

Menurut
catatan Ovid dalam Metamorphoses, Medusa merupakan seorang wanita yang jelita.
Kejelitaannya membuatkan ramai jatuh hati bukan kepalang termasuk seorang dewa
Yunani bernama Poseidon. Poseidon yang merupakan pemerintah dunia lautan
terlalu gilakannya sehingga ke satu tahap mengadakan hubungan kelamin dengan
Medusa dalam sebuah kuil khas yang didedikasikan kepada Athena.

Apabila
Athena mendapat tahu apa yang berlaku, Medusa disumpah oleh dewi berkenaan
dengan rambutnya bertukar menjadi ular. Dewi itu turut memberi amaran sesiapa
yang melihat wajahnya akan bertukar menjadi batu. Justeru tidak hairanlah,
gambaran perawan cantik yang digambarkan Ovid bertukar kepada raksasa hodoh
seperti digambarkan oleh Virgil. Ada juga sesetengah variasi mitos yang
menyatakan Gorgon bersaudara (Medusa merupakan salah seorang daripada tiga
raksasa wanita) sememangnya raksasa dan diliputi dengan ular.

Jadi
bagaimana kisah Perseus dan Medusa ini boleh terjadi? Semua ini bermula
bertahun-tahun sebelum takdir menemukan mereka. Perseus memang anak Zeus tetapi
bondanya ialah Puteri Danae, puteri kepada Raja Acrisius dari Argos. Pada suatu
hari, seorang ahli nujum memberi amaran satu masa nanti, cucu lelakinya akan
membunuh baginda. Untuk mengelak perkara itu berlaku, Danae dikurung di satu
tempat terpencil dan sukar dilalui manusia. Tetapi itu tidak menghalang Zeus
untuk meniduri baginda sama ada menerusi penyamaran (versi filem Clash of the
Titans) atau melalui hujan emas (mitos klasik Yunani).

Yang
pasti, Danae kemudiannya mengandung dan tidak lama kemudian, melahirkan seorang
bayi lelaki yang sihat bernama Perseus. Acrisius yang takut tilikan itu akan
menjadi kenyataan tetapi tidak mahu mengundang kemurkaan Zeus mengambil
keputusan untuk membuang dua beranak itu ke lautan dalam sebuah peti kayu.
Tidak lama kemudian, Raja Seriphus, Dictys menyelamatkan mereka dan membesarkan
Perseus ibarat puteranya sendiri. Tetapi terdapat ramai orang yang tidak
menyukai kehadiran Perseus.

Dalam
mitos Perseus sendiri, musuhnya ialah Polydectes, Raja Seriphus dan adinda
kepada Dictys. Dan bagi membolehkan Perseus tidak lagi menjadi duri dalam
daging dan merealisasikan hasratnya memperisterikan Danae, baginda menghantar
putera Zeus itu untuk membawa pulang kepala Medusa. Misi tersebut diibaratkan
misi mustahil lebih-lebih lagi dengan reputasi Medusa yang bisa menukar sesiapa
saja menjadi batu jika menatap wajahnya. Namun, Polydectes tidak sedar
pesaingnya itu mendapat bantuan dari dewa-dewi Yunani yang bersimpati dengan
misi mustahilnya itu.

Dengan
statusnya sebagai putera Zeus, bantuan diterima dalam pelbagai bentuk. Dewa
Kematian Hades mengurniakannya Topi Halimunan, Dewa Penyampai Hermes (sepasang
sandal bersayap), Athena (sebuah perisai gangsa yang boleh memantulkan cahaya)
dan Dewa Pembuatan Hephaestus (sebilah pedang). Dengan semua kurnia ini, ia
dimanfaatkan sebaiknya oleh Perseus. Selepas menemui sasarannya, Medusa
dipenggal olehnya dengan perisai gangsa Athena tatkala sedang tidur. Ironi
kerana dewi yang sama menyumpahnya juga bertanggungjawab secara tidak langsung
terhadap kematiannya.

Rajah 1: Patung Perseus memegang kepala Medusa di Loggia dei Lanzi, Piazza della Signoria di Florence, Itali. Patung ini dihasilkan pada tahun 1545-1554 oleh pengukir Itali terkenal, Benvenuto Cellini.

Selepas
berjaya memenggal Medusa, sebuah kuda bersayap bernama Pegasus muncul dari
lehernya. Tetapi menurut Hesiod dalam karyanya Theogony, gergasi emas bernama
Chrysaor turut muncul dari lehernya. Kakak dan adik Medusa yang mendapat tahu
apa yang berlaku segera menyerang Perseus tetapi beliau berjaya melarikan diri
dengan Topi Halimunan yang dikurniakan oleh Hades. Jika mengikut variasi mitos
lain, beliau melarikan diri dengan Pegasus seperti dipaparkan dalam Clash of
the Titans. Selepas itu sama ada dengan sandal Hermes atau Pegasus, Perseus
kembali ke Seriphus.

Tetapi
dalam perjalanan, lebih banyak pengembaraan menarik yang ditempuh putera Zeus
itu. Walaupun Perseus merupakan protagonis mitos ini, kepala Medusa turut
memainkan peranan penting dalam kebanyakan pengembaraannya. Apabila darah
wanita itu menitis semasa Perseus melalui kawasan lembah Libya, ia
mengakibatkan kemunculan banyak kala jengking. Dan pada satu ketika semasa
hendak melepaskan lelah, beliau bertembung dengan Dewa Atlas. Apabila
permohonannya untuk berehat seketika ditolak, Perseus menunjukkan kepala Medusa
terhadap Atlas dan menyebabkan beliau bertukar menjadi gunung.

Rajah 2: Lukisan Perseus menyelamatkan Andromeda oleh Peter Paul Rubens pada tahun 1622.

Perseus
juga bertemu dengan Andromeda, puteri kepada Raja Aethiopia, Cepheus. Untuk
menyelamatkan Andromeda dari menjadi mangsa bahaman Cetus sebagai korban kepada
Poseidon, beliau menggunakan kepala Medusa dan menukarnya menjadi batu. Kepala
yang sama digunakan terhadap Phineus, bapa saudara Andromeda merangkap
tunangnya, perampas takhta Argos, Proetus dan Polydectes sendiri. Selepas
takhta Seriphus diambil alih oleh Dictys, Perseus menyerahkan kepala Medusa
kepada Athena di mana ia digunakan sebagai pelindung setiap kali beliau turun
ke medan peperangan.

Rajah 3: Lukisan Perseus menukar Phineus menjadi batu dengan kepala Medusa oleh Jean-Marc Nattier yang dihasilkan pada abad ke-18.

Walaupun
Medusa dianggap raksasa dalam mitos klasik Yunani tetapi kepalanya dianggap
simbol perlindungan pada azimat bagi menghalau unsur-unsur jahat dari
mengganggu si pemakainya. Malah, nama Medusa itu sendiri berasal dari perkataan
Yunani yang bermaksud untuk menjaga atau melindungi. Imejnya boleh dilihat
dalam pelbagai artifak Yunani dan Rom yang ditemui di pelbagai tapak arkeologi
sekitar Eropah. Contohnya, penemuan loket yang mengandungi imej Medusa yang
bertarikh dari abad kedua hingga keempat Masihi Rom yang ditemui di kawasan
desa Cambridgeshire. Atau kepala Medusa yang diperbuat daripada marmar berusia
2,000 tahun yang ditemui di tapak arkeologi sebuah pusat perdagangan Rom di
Turki.

Hari
ini, imej Medusa terus kekal hidup dalam dunia moden hari ini. Tidak percaya?
Lihat simbol yang digunakan firma pakaian fesyen terkenal, Versace sebagai logo
syarikatnya. Atau bagi peminat francais Assassin’s Creed, pasti ramai menyumpah
melihat kelibat Medusa dalam Assassin’s Creed: Odyssey kerana wanita ini
merupakan antara musuh yang paling sukar ditewaskan dalam francais berkenaan.
Semua ini menunjukkan mitos klasik lama masih wujud sehingga hari ini dan
menjadi sebahagian daripada fabrik dunia moden.

Rajah 4: Medusa dalam Assassin’s Creed: Odyssey. Kredit: https://newsbeezer.com/polandeng/hunt-for-medusa-in-the-new-trailer-of-assassin-39-s-creed-odyssey-•-eurogamer-pl/

RUJUKAN:

DHWTY.
(2019). The Real Story of Medusa: Protective Powers from a Snake-Haired Gorgon.
Ancient-Origins.net. https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/legend-medusa-and-gorgons-002773

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet