Baru-baru ini, sosial media hangat membincangkan pandangan seseorang ahli politik yang membincangkan tentang perlunya sebuah bank pusat untuk mencetak lebih banyak wang untuk memberikan kepada rakyat di dalam krisis ini.

Sedikit yang menyokong dan ramai yang mengkritik malah mempersendakan pandangan tersebut. Namun idea mencetak wang untuk membiayai perbelanjaan fiskal kerajaan ini telah menjadi topik hangat di medan antarabangsa.

Modern Monetary Theory (MMT) merupakan sebuah doktrin baru yang boleh dikira sebagai pandangan yang bukan ortodoks di dalam dunia ekonomi. Orang yang memegang doktrin ini mempercayai bahawasanya sesebuah negara yang mempunyai kedaulatan ke atas mata wangnya seharusnya membiayai perbelanjaan fiskal kerajaan dengan “mencetak” lebih banyak wang.

Warren Molster, seorang pengurus pelaburan merupakan salah seorang tokoh bagi doktrin ini dan turut mendapat sokongan daripada pakar-pakar ekonomi terutamanya pakar yang bermazhab post-keynesian.

Warren Molster.

Bagi MMT, wang merupakan sebuah entiti yang tidak mempunyai had. Ini demikian kerana, bank pusat mampu mencipta atau menambahkan penawaran wang dihujung jari mereka jika mereka mahu. Maka dengan itu, negara yang mempunyai kedaulatan mata wang tidak seharusnya menghadkan perbelanjaan mereka kepada dana yang mereka dapat melalui cukai yang dikutip malah perbelanjaan kerajaan mesti lebih daripada hasil yang dikutip. Bagi MMT, perbelanjaan defisit adalah diperlukan untuk memastikan ekonomi berkembang dengan baik kerana doktrin ini beranggapan defisit kerajaan adalah surplus bagi rakyat.

Contoh mudahnya begini, kerajaan bagi kepada anda RM10, lalu kerajaan mengambil RM2 sebagai cukai yang dikutip. Dalam keadaan ini, kerajaan akan mengalami defisit sebanyak RM8 (RM10-2), namun anda akan mendapat RM8 hasil daripada perbelanjaan defisit tersebut.

Oleh itu, bagi MMT, rakyat dan kerajaan tidak perlu terlalu takut dengan perbelanjaan defisit kerana  ia sememangnya diperlukan untuk mengembangkan ekonomi. Ini hampir selari dengan pendapat ahli ekonomi yang bermazhab Keynesian, yang menyatakan perlunya suntikan fiskal untuk membangunkan ekonomi biarpun kerajaan tersebut mengalami defisit atas suntikan tersebut.

Mekanisme untuk Mengurangkan Kadar Inflasi

Seperti mana kita tahu, perbuatan “pencetakan” wang secara berlebihan boleh menyebabkan penambahan terhadap kadar inflasi sesebuah negara. Namun bagi MMT, ada mekanisme yang boleh dibuat untuk mengurangkan kadar inflasi.

Untuk mengurangkan jumlah wang di dalam ekonomi jika negara mempunyai inflasi, kerajaan seharusnya meninggikan kadar cukai yang dikutip untuk mengurangkan aliran wang di dalam ekonomi. Namun pengutipan cukai ini bukannya untuk membiayai perbelanjaan kerajaan namun ia hanya sebuah mekanisme untuk mengurangkan kadar inflasi disebabkan lebihan tunai di dalam ekonomi.

Kebaikan dan Keburukan Mengadaptasikan Pandangan MMT

Jika sesebuah negara yang mempunyai kedaulatan ke atas mata wang mereka mengamalkan doktrin ini, ini akan membuka satu paradigma baru di mana perbincangan perlaksanaan sesuatu polisi tidak berpaksikan kepada kebolehan kerajaan untuk membiayai sesuatu polisi yang melibatkan wang.

Tiada lagi alasan kerajaan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membiayai sesuatu polisi kerana mereka merupakan “pengeluar wang”. Ia membuka kepada ruang yang besar kepada kerajaan untuk melaksanakan dasar mereka untuk membangunkan ekonomi. Contohnya, dasar-dasar mewujudkan peluang pekerjaan, yang secara teori boleh meningkatkan produktiviti sesebuah negara.

Namun perlu kita ingat, doktrin MMT ini akan membuka kepada kerajaan untuk berbelanja secara semberono dan akan mendedahkan risiko untuk terjadinya inflasi yang teruk kepada negara. Kerajaan Zimbabwe yang dikuasai oleh Robert Mugabe sebagai contoh mencetak wang berlebihan dan melakukan polisi-polisi yang tidak produktif menyebabkan berlakunya kadar inflasi yang mencanak.

Serta perlu kita tahu, pemain pasaran mata wang juga turut skeptikal dengan idea kerajaan “mencetak” wang berlebihan, dan ini akan menyebabkan tingginya risiko untuk orang yang memegang mata wang  tersebut untuk menukarkan kepada mata wang asing, mata wang logam (emas & perak) atau mata wang krypto. Ini akan menyebabkan negara terdedah dengan risiko kejatuhan nilai mata wang secara mendadak jika pandangan ini dijalankan.

Kelemahan perlaksanaan cukai untuk mengurangkan kadar inflasi juga dibincangkan oleh pengkritik ideologi ini. Ini demikian kerana, perlaksanaan cukai juga turut boleh menjadikan kadar inflasi untuk menjadi lebih tinggi.

Indonesia, Bahan Uji Kaji MMT

Hampir seluruh dunia terkesan dengan pandemik Covid 19, di mana kejadian ini telah menyebabkan berlakunya penurunan dari sudut penumbuhan ekonomi. Indonesia juga tidak terkecuali dengan situasi ini.

Namun bank pusat Indonesia, Bank Indonesia telah melaksanakan polisi untuk membeli bon kerajaan secara terus daripada kerajaan Indonesia bagi membiayai sebahagian perbelanjaan kerajaan Indonesia yang sememangnya agak besar daripada sebelumnya untuk menangani impak ekonomi disebabkan oleh pandemik ini. Bank Indonesia telah memutuskan untuk membeli bon kerajaan sebanyak 26.7 billion USD bagi membiayai perbelanjaan fiskal kerajaan Indonesia.

Tindakan ini turut mengundang pelbagai reaksi daripada para ahli ekonomi, pelabur, dan pemain pasaran mata wang. Mata wang Indonesia menerima impak negatif daripada polisi tersebut kerana pelabur mula risau dengan tindakan “unorthodox” Bank Indonesia yang “mencetak” wang untuk membiayai perbelanjaan fiskal.

Namun sebahagian ahli ekonomi berpendapat perkara ini hanyalah jangka pendek dan hasilnya bergantung kepada kerajaan Indonesia cara Indonesia untuk beralih daripada krisis ekonomi.

Kesimpulan (Pandangan Penulis)

Bagi pendapat saya, krisis yang kita alami ini merupakan krisis yang di luar jangkaan di mana perkara ini tidak pernah berlaku di dalam era zaman ekonomi moden. Oleh itu, solusi “unorthodox” seperti sebegini tidak seharusnya dibakul sampahkan secara terus malah seharusnya menjadi salah satu pilihan alternatif yang untuk dikaji keberkesanannya melalui cara yang lebih teratur. Apakah saya bersetuju dengan pandangan ahli politik tersebut?

Tidak, saya lebih suka jika duit tersebut disalurkan kepada kerajaan untuk membiayai polisi yang lebih produktif di mana ia lebih tertumpu untuk mengurangkan kadar pengangguran secara terus serta menyediakan prasana serta infrastruktur yang baik untuk menarik pelabur luar untuk melabur di dalam Malaysia.

Ini demikian kerana, polisi sebegini lebih produktif dan mampu meningkatkan penawaran bagi mengelakkan berlakunya peningkatan kadar inflasi yang mendadak. Namun konsep untuk membiaya polisi tersebut (“mencetak” wang) tersebut layak untuk dibincangkan.

RUJUKAN:

Bill. (2020, November 16). Modern monetary theory and inflation – Part 1. Retrieved November 19, 2020, from http://bilbo.economicoutlook.net/blog/?p=10554

Chohan, Usman W. (6 April 2020). “Modern Monetary Theory (MMT): A General Introduction”. CASS Working Papers on Economics & National Affairs. Social Science Research Network. SSRN 3569416. EC017UC (2020).

Edwards, J. (2020, March 02). MMT: Here’s a plain-English guide to ‘Modern Monetary Theory’ and why it’s interesting. Retrieved November 19, 2020, from https://www.businessinsider.com/modern-monetary-theory-mmt-explained-aoc-2019-3

Juniper, J., Sharpe, T. P., & Watts, M. J. (2014). Modern monetary theory: contributions and critics. Journal of Post Keynesian Economics, 37(2), 281-307.

Suroyo, G., & Westbrook, T. (2020, July 13). Indonesia’s debt-sharing experiment worries rupiah investors. Retrieved November 19, 2020, from https://www.reuters.com/article/us-indonesia-policy-rupiah-idUSKCN24E1BU


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

"Mentadbir ekonomi adalah seperti bermain catur yang hidup. Untuk menang, pengorbanan harus dilakukan. Namun persoalannya di sini, adakah sang pemain mempunyai "political will" untuk melakukan sedemikian?" Jejaka fakir dari Sabah yang juga seorang graduan sarjana muda ekonomi kewangan serta sarjana ekonomi di UMS dan sekarang tengah menjalani pengajian untuk mendapatkan PhD dalam bidang yang sama.

Comments are closed.