Mazhab Ekonomi Keynesian: Keseimbangan Antara Mazhab Kapitalis Dan Komunisme

911

Pada abad ke-18, Adam Smith, Bapa Ekonomi Kapitalis telah mengarang buku Wealth of Nation di mana beliau telah menggambarkan peranan “invisible hand” di dalam sistem ekonomi. “Invisible hand” merujuk kepada peranan sifat manusia yang mementingkan kemandirian diri sendiri secara tidak langsung akan meningkatkan darjat sosioekonomi masyarat itu sendiri.

Manakala pada abad ke-19 pula, Karl Marx dan juga Friedrich Engels telah mengeluarkan sebuah risalah yang berjudul The Communist Manifesto dan juga sebuah karya yang bertajuk Das Kapital, sebuah anti thesis terhadap mazhab Kapitalis bagi mengkritik karya Adam Smith dan mempromosikan Mazhab fahaman Komunisme, di mana fahaman ini menggalakkan pemerintahan ekonomi berpusat berbanding fahaman Kapitalis yang ingin kurangkan campurtangan kerajaan di dalam sistem ekonomi.

Namun pada akhir abad ke 19, telah lahirnya seorang tokoh ekonomi yang sangat berpengaruh sehingga hari ini, iaitu John Maynard Keynes yang telah mengubah landskap pemikiran ekonomi moden. Keynes dilahirkan pada 5 June 1883 di Cambridge, England. Bapanya seorang pensyarah sains moral dan juga ahli ekonomi manakala ibunya seorang refomis sosial di sebuah badan amal. Beliau telah melanjutkan pembelajaran beliau di dua badan pengajian iaitu Eton College di Berkshire dan juga King’s College di Cambridge.

Alfred Marshal, seorang tokoh ekonomi terkemuka, pengkarya buku “Principle of Economics” yang diterbitkan pada tahun 1890, pernah memujuk Keynes untuk menjadi seorang ahli ekonomi apabila dapat menghidu potensi yang ada padanya. Namun Keynes lebih berminat terhadap bidang falsafah. Minat beliau itu mendorong beliau untuk mengikuti sebuah kelab debat Cambridge Apostles, yang hanya terdiri daripada golongan pelajar yang bijaksana.

Pada abad ke awal abad ke 20, Keynes mula minat untuk memasuki bidang ekonomi. Beliau telah menerbitkan sebuah artikel akademik dalam bidang ekonomi pada tahun 1906 membahaskan kesan kejatuhan ekonomi global terhadap India. Pada tahun yang sama, beliau telah menjadi seorang pensyarah ekonomi. Pada tahun 1916, Keynes telah menerbit sebuah karya buku berjudul “Indian Currency and Finance” dan juga telah ditugaskan untuk mengaplikasikan karyanya sistem ekonomi di India dan ketika inilah Keynes telah memberi komitmen yang penuh untuk menjadi seorang ahli ekonomi.

Pemikiran Keynes mula menyerlah bilamana dia menerbitkan karyanya yang bertajuk “The General Theory of Employment, Interest and Money di mana beliau membuka satu paradigma yang baru berlainan dengan konsep klasikal dan neo-klasikal yang bermazhab kapitalis pada tahun 1930-an. Pada masa itu, “The Great Depression” sedang berlaku di mana masalah pengangguran yang melampau telah melanda negara Barat termasuk England. Keynes dengan memberikan solusi yang sangat berlainan dengan mazhab klasikal dan neo-klasikal bagi menyelesaikan masalah ini.

Bagi mazhab klasikal, masalah pengangguran disebabkan oleh tiga faktor utama, iaitu pertukaran pekerjaan bagi seseorang individu, keselesaan individu untuk tidak bekerja disebabkan oleh bantuan sosial dan keadaan gaji buruh yang tinggi daripada kemampuan majikan untuk membayar. Masalah pengangguran ini akan secara spontan menggunakan konsep “invisible hand” di mana pasaran sendiri akan mengimbangkan antara kadar gaji dan juga permintaan terhadap buruh lalu akan menyelesaikan masalah pengangguran. Bagi mereka masalah ini tidak akan selesai bila mana adanya campur tangan kerajaan atau terdapat persatuan buruh untuk  menetapkan gaji minimum kerana mereka mendakwa ini akan merosakkan pasaran buruh itu sendiri.

Namun Keynes telah menyatakan pandangan yang berbeza. Bagi Keynes, ketiga-tiga faktor tadi tidak memberi gambaran sebenar terhadap kadar pengangguran yang tinggi di negara itu. Ini demikian kerana, jumlah rakyat yang menganggur sangatlah banyak iaitu dalam sekitar 3 juta rakyat di Britain dan 15 juta rakyat di Amerika Syarikat. Jadi mustahil pengangguran itu berlaku kerana rakyat mahu menukarkan profesion mereka atau mereka sangat selesa dengan bantuan sosial. Persatuan buruh juga pada ketika itu telah kehilangan kuasa disebabkan kadar pengangguran yang sangat tinggi. Oleh itu, Keynes berpendapat bahawa pengangguran yang melampau ini disebabkan oleh kurangnya kuasa beli rakyat (permintaan).

Kuasa beli rakyat sebelum ini tidak menjadi sebahagian daripada perbahasan para ekonomi pada ketika itu namun ia menjadi tunjak kepada cara pemikiran Mazhab ekonomi Keynesian. Bagi para ahli ekonomi klasikal, mereka beranggapan kuasa beli rakyat meningkat apabila rakyat mendapat pekerjaan dan ini akan terjadi tanpa campurtangan kerajaan. Namun bagi Keynes, jika kerajaan membiarkan ini berlaku, dalam jangka masa yang panjang, rakyat akan mati. Keynes berpendapat hasil penyelesaian yang dilakukan oleh ekonomis mazhab klasikal akan mengambil masa yang sangat lama. Tidak wajar bagi sesebuah kerajaan membiarkan rakyat menerima nasib mereka sahaja dengan menunggu “invisible hand” membuah hasil.

Keynes berpendapat, apa yang diperlukan untuk mengatasi masalah pengangguran adalah campurtangan kerajaan bagi memecahkan kitaran kelumpuhan ekonomi untuk menambahkan kesejahteraan di dalam negara. Beliau menyatakan adalah tugas kerajaan untuk mewujudkan permintaan dengan menambahkan perbelanjaan negara menjangkaui pendapatan negara melalui hutang jika perlu untuk menciptakan peluang pekerjaan.

Keynes menggalakkan kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan pembangunan awam seperti pembinaan jalan raya, pembinaan landasan kereta api dan juga infrastruktur yang lain. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan kadar pengangguran malah sektor swasta yang terlibat juga mendapat manfaat daripada projek-projek kerajaan.

Selain itu, beliau mengkritik kerajaan yang terlalu berhati-hati dalam berbelanja jika wujudnya masalah kemelesetan ekonomi. Keynes menekankan bahawa kerajaan tidak boleh bertindak seperti rakyat jelata (isi rumah) di mana jika ada wujudnya kemelesetan ekonomi, isi rumah akan berjimat-cermat. Namun kerajaan bukannya isi rumah dan jika kerajaan bertindak sedemikian, ia akan menyebabkan kehancuran terhadap sistem ekonomi negara.

Persoalannya sekarang, kalau kerajaan mengalami defisit fiskal, siapa yang akan membayar hutang tersebut? Bagi menjawab persoalan tersebut, Keynes membuat satu teori iaitu “Multiplier effect” ataupun dalam Bahasa Melayu, teori pengganda. Sebagai contoh, bila mana kerajaan meningkatkan perbelanjaan dalam pembangunan, kerajaan akan dapat mengurangkan perbelanjaan sosial untuk orang yang menganggur.

Terbaru: Fiksyen Mahakarya

Pengurangan kadar pengangguran atas sebab tindakan kerajaan akan menyebabkan kuasa beli rakyat semakin tinggi, dan ini akan menggalakkan perbelanjaan daripada rakyat dan semestinya firma akan mendapat lebih banyak keuntungan. Ini akhirnya menyebabkan kutipan cukai yang dapat dikutip akan semakin bertambah.

Dan perbelanjaan kerajaan terhadap pembangunan juga akan memberi satu suntikan terhadap sektor swasta dan ini akan menyebabkan perniagaan mereka akan berkembang lalu meningkatkan cukai yang dapat dikutip. Penambahan kutipan cukai inilah yang akan dapat membayar hutang-hutang yang telah dibuat untuk menambahkan perbelanjaan kerajaan.

Mazhab Keynesian telah menjadi tunjang kepada sistem ekonomi Britain pada tahun 1940an dan pemikiran ini telah digunapakai oleh negara-negara yang sedang membangun selepas Perang Dunia yang kedua. Namun Mazhab Keynesian menjadi tidak popular bilamana sebahagian kuasa besar ekonomi telah mengalami masalah stagflasi di mana pemikir-pemikir mazhab Keynesian tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Maka muncullah pemikir yang baru mengkritik mazhab Keynesian. Siapakah pemikir itu? Insya-Allah penulis akan beritahu di artikel yang akan datang.

Mazhab Keynesian telah banyak memberi sumbangan terhadap pembangunan pemikiran ekonomi di dunia ini. Banyak teori yang dibawa oleh mazhab ini masi digunapakai oleh banyak negara pada masa kini. Pada tahun 2009 di mana krisis ekonomi telah berlaku secara global, kebanyakan negara menggunakan pendekatan mazhab Keynes untuk keluar daripada kemelut ekonomi yang berpanjangan. Maka dengan ini tidak hairanlah John Maynard Keynes dinobatkan sebagai salah satu tokoh ekonomi yang paling berpengaruh sehingga hari ini.

RUJUKAN:

Abel, Andrew; Ben Bernanke (2005). “14.3”. Macroeconomics (5th ed.). Pearson Addison Wesley. pp. 543–57. ISBN 978-0-321-22333-3

Brue, Stanley L. and Grant, Randy R., “The Evolution of Economic Thought, 8th Edition” (2013). Linfield Authors Book Gallery. 59.

Keynes, J. M. (1937). The general theory of employment. The quarterly journal of economics, 51(2), 209-223.

Lavoie, Marc (2014) . Post-Keynesian economics: new foundations. Edward Elgar Publishing,.

McGee, Matt (2005). Economics – In terms of The Good, The Bad and The Economist. S.l.: IBID Press. p. 354. ISBN 1-876659-10-6. OCLC 163584293.

Robertson, D. H. (1936). Some notes on Mr. Keynes’ general theory of employment. The Quarterly Journal of Economics, 51(1), 168-191.

Skidelsky, Robert (2003). John Maynard Keynes: 1883–1946: Economist, Philosopher, Statesman. Pan MacMillan Ltd. pp. 14, 43–46, 456, 263, 834. ISBN 0330488678.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.