Mawlid Alam Melayu

2825
views

Melayu itu tidak sesekali melupakan alif, ba’ & ta’.

(ا،ب،ت)

Alif: Agama.

Ba’: Bangsa.

Ta’: Tanah Air.

Betapa luas rahmat Allah kepada orang Melayu, bahawa Islam itu sendiri menjadi identiti agama yang tidak terpisah daripada adat budayanya. Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah. Malahan tradisi kehidupan orang Melayu itu sendiri walaupun tampak sederhana, banyak diambil daripada roh agama. Hebatnya orang Melayu, paling lemah lembut bertolak ansur dengan bangsa lain, tetapi kental dan teguh mempertahankan akidah ketika diasak penjajah kafir.

Tanah Melayu masih milik Melayu. Malaysia masih berdaulat di bawah Raja-raja Melayu. Tanah Melayu tidak berhasil dimurtadkan keseluruhan oleh penjajah dan pengkhianat, berkat selawat kepada Nabi Muhammad. Amalan selawat yang disebatikan dengan budaya leluhur menjadikan Melayu itu tampak lemah lembut ketika bergaul, namun di dadanya tersimpan kasih sayang yang jujur ikhlas kepada kekasih Allah, tidak sesekali berganjak meskipun dihenjak.

Cinta ialah kekuatan.

Prof al-Habib Syed Muhammad Naquib al-Attas berkata, “Ciri-ciri kesan Islam pada sejarah sesuatu bangsa harus dicari bukan pada perkara-perkara atau sesuatu yang zahir mudah ternampak oleh mata kepala, akan tetapi lebih pada perkara-perkara yang terselip tersembunyi dari pandangan biasa, seperti pemikiran sesuatu bangsa yang biasa terkandung dalam bahasa.”

Kehebatan orang Melayu bersumber daripada selawat.

Dalail Khairat

Tanah air gagal dimurtadkan, adalah berkat selawat.

Amalan selawat Dalail Khairat telah lama diamalkan di alam Melayu. Ia meniupkan roh kerohanian bagi ulama’, kerabat istana dan pejuang kemerdekaan. Silap besar bagi segelintir sarjana palsu yang membidaahkan selawat ini, akibat buta sejarah dan buta mata hati. Jihad hakiki tidak terpisah daripada kasihkan Nabi.

Raja Ali Haji Fisabilillah telah syahid dibunuh penjajah Belanda dalam jihadnya membebaskan tanah air. Di tangannya tergenggam kemas kitab selawat Dalail Khairat. Meski berlumuran darah, dia tidak rela kitab selawat Nabi dipijak petualang bangsa. Di sebelah tangannya pedang terhunus, di sebelah lagi Dalail Khairat.

Silsilah sanad selawat ini sampai ke Nusantara adalah seperti berikut:

  1. Syeikh Ahmad al-Fathani
  2. Sayyid Muhammad Amin ar-Ridwan
  3. Syeikh Abdul Ghani Bin Syeikh Sa’id al-‘Umari
  4. Al-Yafi’e al-Habani
  5. Syeikh Muhammad Abu Khidir
  6. Syeikh Muhammad Shalih al-Bukhari
  7. Syeikh Muhammad Rafi’uddin al-Qandahari
  8. Asy-syarif Muhammad Bin Abdullah al-mAghribi
  9. Syeikh al-Bashri
  10. Surur az-Zawawib ad-Damanhuri
  11. Sayyid Hasan Bin Sayyid Darwisy al-Quwaisni
  12. Sayyid Daud al-Qal’ie
  13. Syeikh Abdullah as-Syabrawi
  14. Syeikh ‘Athiyatul Qumadyad Dimyathu
  15. Syeikh Musthafa
  16. Syeikh Syamsuddin Muhammad al-Mahdi Bin Muhammad Bin Salin al-Hifni
  17. Syeikh Muhammad al-Budairi
  18. Sayyid Muhammad Bin Sayyid Sulaiman al-Jazuli asy-Syarif al-Hasani.

Mualimbunsu Syam merekodkan “Dikhabarkan bahawa panglima dan bala-bala tentera Sultan (Melaka) banyak yang menghafal dan mempraktikkan amalan dalam kitab ini (Dalailul Khairat). Maka tidak hairan kalau kitab tersebut sering dijumpai bersama jasad para syuhada yang melawan kafir penjajah di era awal 1511 Masihi, menghadapi pasukan kerajaan Katolik Portugis yang datang menyerang Kesultanan Melaka.”

Syaikh Abdul Aziz bin Mansyur berkata, “Membaca shalawat Dala’ilul Khairat itu kalau bisa sehari khatam. Kalau tidak bisa senhari khatam, seminggu khatam. Kalau tidak bisa seminggu khatam, sebulan khatam. Kalau tidak bisa sebulan khatam, setahun bisa khatam. Kalau tidak bisa setahun khatam, seumur hidup membaca satu kali.”

Tanpa selawat, riwayat Melayu ‘kan tamat.

Barzanji & Marhaban

Iqd al Jauhar fi Maulid al Nabiyy al Azhar karangan Syeikh Ja’far al Barzanji tidak asing di Nusantara. Secara ringkas, kitab ini mengandungi sirah Rasulullah, kisah kemuliaan keturunan baginda, peristiwa isra’ dan mikraj beserta keterangan bentuk tubuh, sifat dan akhlak Nabi Muhammad. Susunan prosa yang mengasyikkan sering dilagukan dengan suara yang merdu.

Barzanji dibacakan orang Melayu ketika:

  • Majlis kesyukuran
  • Doa selamat
  • Menyambut kelahiran bayi
  • Potong jambul bayi
  • Majlis berkhatan
  • Majlis perkahwinan
  • Majlid mawlid Nabi

Imam Mujtahid Abu Syamah al Maqdisi menyatakan, “Di antara perkara baik yang dilakukan pada zaman kami ini ialah perkara-perkara yang diadakan bersempena dengan hari Maulid seperti bersedekah, melakukan perkara-perkara yang baik dan melahirkan perasaan gembira. Di dalam mengadakan majlis seumpama ini, di samping melakukan kebaikan kepada faqir miskin, ia melahirkan kecintaan terhadap Baginda.”

Syeikh Fuad al-Maliki berkata, “Amalan Barzanji yang selama ini dilakukan oleh umat Islam adalah salah satu agenda dalam sambutan Maulid Nabi s.a.w yang diadakan di negara ini. Sebutannya sahaja yang berlainan, tetapi pengisian dan tujuannya sama sahaja. Kita dapati, tujuan mengadakan Maulid Nabi s.a.w, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membesarkan syiar Islam.”

Bacaan Barzanji seharusnya dihidupkan semula oleh generasi muda, jangan biarkan ia menghilang bersama generasi berusia. Barangkali, penambahbaikan yang boleh dibuat ialah dengan menerangkan makna bagi setiap bait, agar alunan merdu selawat bukan sahaja didengari, malahan difahami dan dihayati.

Mawlidur Rasul

Sayyid Alwi Al-Maliki berkata, “Tidak layak bagi seseorang yang berakal bertanya: “Mengapa kalian memperingati mawlid?” Kerana seolah-olah dia bertanya: Mengapa kalian bergembira dengan lahirnya Rasulullah?”

Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buthi berkata, “Saya ulangi bahawa orang-orang yang hatinya dipenuhi dengan cinta kepada perkara-perkara duniawi, dan keinginan, tidak menghiraukan ucapan saya kerana tidak ada ruang untuk mencintai Nabi, maka saya minta Allah memberi mereka manisnya mencintai Rasulullah … ”

Katanya lagi, “Orang yang tidak berpeluang melihat Rasulullah dalam masa yang sama dia rindukan Rasulullah, maka dengan cara apa untuk dia luahkan rindunya? (Jawapannya) Dengan menceritakan tentang Rasulullah. Menceritakan tentang keperibadian Rasulullah, memuji baginda.”

Mawlid bukanlah bidaah yang dilarang.

Tradisi melayu berasimilasi dengan sunnah. Budaya melayu sudah lama meraikan Mawlidur Rasul. Ia bukanlah suatu perayaan asing yang baru dilangsungkan. Maka, tuduhan bida’ah dan seumpamanya amat tidak wajar ditimbulkan, bahkan ia bisa meretakkan perpaduan kita sekian lama.

Helaian Misa Melayu karangan Raja Chulan mencatitkan sambutan Mawlidur Rasul oleh Kesultanan Melayu Perak. Ketika siap Istana di Pulau Indera Sakti, Sultan Perak berkenan untuk mengadakan Majlis Maulid. Lalu dipanggilnya dari Raja-raja hinggalah rakyat berhimpun. Maka mereka pun bermaulidlah di dalam mahligai itu. Menurut Misa Melayu, mahligai istana mempunyai 7 tingkat dengan setiap tingkatnya terdapat lapis golongan yang bermaulid, berzikir dan berqasidah sehingga gegak-gempita bunyinya. Sehingga ke hari ini, istana Perak masih meraikan mawlid dan majlis tarekat sufi.

Qasidah Anak Melayu

Tak Melayu hilang di dunia

Wahai Melayu, kaum terpandang
Para mubaligh, padamu datang
Islam dan iman, sejak kaupegang
Martabat naik, tinggi cemerlang

Allah, Allahu Allah
Allah Allah, Allahu Allah.

Orang Melayu, sedari silam
Kuat memegang, syariat Islam
Pandang luas, tiliknya dalam
Engkau dipelihara, Allah as-Salam

Allah, Allahu Allah
Allah Allah, Allahu Allah.

Wahai Melayu, ingat sesepuh
Jangan kaurela akhlakmu runtuh
Adab pekerti mesti perkukuh
Ilmumu tuntut amalmu sumgguh

Allah, Allahu Allah
Allah Allah, Allahu Allah.

Jaga adabmu, terhadap Allah
Jangan kau ikut gejala salah
Wajib kaujunjung suruh dan tegah
Kembali menjadi bangsa bermaruah

Allah, Allahu Allah
Allah Allah, Allahu Allah.

Sedarlah tuan, zaman dah akhir
Ramai yang rosak, iman gelincir
Lindungi kaumku
Wahai al-Qadir
Kabulkan doa
Dari al-Faqir.

Allah, Allahu Allah
Allah Allah, Allahu Allah.

Madah Pujangga Raja Ali Haji Kepada Rasulullah.

Syair Sinar Gemala Mestika Alam ialah karya nukilan ulama’ nusantara, iaitu Raja Ali Haji.

Bismillahir rahmanir rahim

bismillahi permulaan kalam
alhamdulillah Tuhan seru alam
selawatkan nabi sayidil anam
serta keluarganya sahabat yang ikram

wa ba’duhu kemudian daripada itu
faqir mengarang syair suatu
kepada Allah mintak perbantu
menyudahkan maulud nabi yang ratu

Nabi Muhammad rasul yang mulia
ialah penghulu segala dunia
barang siapa berimankan dia
dunia akhirat mendapat bahagia

bangsanya Quraisy yang utama
ayahandanya Abdullah bernama
bundanya Aminah nama selama
binti Al-Wahab yang seksama

masa dia mengandung nabi-Allah
tiadalah berat tiadalah lelah
di dalam Mekkah syarafatullah
beberapa tanda kemuliaan terjumlah

tatkala bundanya mengandungnya
ringan dan senang tiada sakitnya
pada suatu masa waktunya
antara jaga dengan tidurnya

datanglah malaikat memberi khabar
kepada bundanya Aminah muktabar
engkau ini buntingkan sayidil basyar
nabi yang mulia yang amat besar

tatkala hampir akan bulannya
datanglah malaikat mengajarnya
beberapa jampi dengan serapahnya
memeliharakan daripada kejahatan seterunya

pada awal bulan pertama
bermimpilah Aminah perempuan utama
nabi-Allah Adam datang menjelma
berkatalah ia bersama-sama

katanya hai Aminah yang mulia
engkau buntingkan penghulu dunia
beranakkan dia tiada sia-sia
dunia akhirat mendapat bahagia

bulan kedua bermimpilah serta
nabi-Allah Idris memberi berita
kepada Aminah ia berkata
engkau buntingkan junjungan mahkota

bulan ketiga dikata orang
nabi-Allah Nuh datang seorang
berkhabarlah ia dengan yang terang
nabi dibuntingkan futuh berperang

bulan yang keempat tahun Fil
datang kepadanya Ibrahim Al-Khalil
berkhabar kepadanya sirr dan qalil
engkau buntingkan nabi yang jalil

bulan yang kelima khabar yang tentu
nabi-Allah Ismail datang begitu
berkhabar juga demikian itu
akan kelebihan nabi yang ratu

apabila sampai bulan yang enam
nabi-Allah Musa ‘alaihis salam
datang berkhabar di dalam manam
kelebihan nabi sayidil anam

bulan yang ketujuh pula dikata
nabi-Allah Daud datanglah serta
kepada Aminah memberi warta
kelebihan nabi alam semesta

bulan kedelapan nabi Sulaiman
datang dengan kesukaan iman
memberi khabar yang keterangan
buntingkan nabi akhirul zaman

bulan sembilan tidak selisih
datang kepadanya Isa al masih
ia berkata hai kekasih
engkau buntingkan nabi yang fasih

segala nabi yang disebut itu
memberi ia khabar yang tentu
apabila diperanakkan matahari perbantu
namakan Muhammad demikian itu

Allahumma shalli wa sallim ‘alaihi

FASAL 1.

malam Isnin dua belas harinya
dahulu sedikit daripada fajarnya
masa diperanakkan oleh bundanya
beberapa mukjizat zahir padanya

setengah daripada irhash ikram
menerangi cahaya tempat-tempat yang kelam
masyrik dan magrib tempat yang balam
teranglah cahaya sayidil anam

setengah daripada irhash ter’ala
habis tersungkur segala berhala
yang disembah oleh kafir yang cela
ibadatnya batal tiada pahala

setengah daripada hairan kira-kira
bergoncang maligai singgasana Kusra
terkejut atasnya hulubalang tentera
lenyaplah akal budi bicara

padamlah api yang disembah kufar
masa diperanakkan sayidil basyar
beberapa lagi irhash yang besar-besar
di dalam barzanji berpanjangan khabar

dihias syurga pada malamnya
menyerulah segala kainat padanya
masyrik dan magrib tiap-tiap pihaknya
ahla wa sahla perkataannya

Allahumma shalli wa sallim ‘alaihi

FASAL 2.

sifat diperanakkan nabi kita
terkerat pusat bercelak mata
berkhatan memang khabar yang nyata
dengan kodrat Tuhan semesta

beberapa lagi khabar yang sah
tatkala dibuntingkan bundanya Aminah
segala anbiya’ memberi basyarah
kepada bundanya memberi isyarah

masa diperanakkan junjungan alam
hadirlah sertanya Asiah dan Maryam
serta bidadari syurga yang ikram
datang memuliakan nabi yang ‘azam

itulah nabi yang ajaib
bin Abdullah bin Abdul Muntallib
bin Hasyim bi larib’
bin Abdil Manaf nama Liqaib

nama yang betul Al-Mughirah
bin Qusai bin Hakam bin Murrah
bin Ka’ab bin Luwai masyhurah
bin Ghalib bin Fihar bin Quraisyiyah

keturunan daripada nabi-Allah Ismail
bin nabi-Allah Ibrahim al-khalil
nabi kekasih ra-izil jalil
dunia akhirat dialah zhalil

Allahumma shalli wa sallim ‘alaihi

FASAL 3

wafat dahulu ayah bundanya
tinggallah ia dengan yatimnya
tinggal mamaknya memeliharakannya
kata orang Abu Thalib namanya

menyusukan dia beberapa jariyah
perempuan yang baik-baik shahbul ‘affah
setengah daripadanya Tsuaibah al-Aslamiyah
setengah daripadanya Halimatus Sa’diyah

mamaknya memeliharakan bersungguh-sungguh
makan dan minum ialah merengkuh
seumpama menating minyak yang penuh
karena ia orang tua senonoh

masa kecilnya beberapa ‘ajaibiyah
irhash yang nyata mukhaliful ‘addah
dipayungkan oleh awan yang rendah
beberapa lagi ajaib yang indah

seperti tersebut di dalam siarah
memberi salam setengah hajarah
susu yang hampa jadi mencurah
tiadalah payah lagi diperah

ajaib manusia pada masanya
melihatkan irhash berbagai macamnya
di dalam Mekkah beberapa zamannya
tiada pernah seumpamanya

Allahumma shalli wa sallim ‘alaihi

FASAL 4

umurnya sampai duabelas ‘am
dibawa mamanya ke negeri Syam
pergi berniaga dagangan bermacam
berjual beli siang dan malam

seorang ulama rahib yang ihsan
dikenalnya nabi akhirul zaman
ia pun terkejut serta hairan
keluarlah tuturnya tiada tertahan

aku melihat rasul yang mulia
jadi penghulu sekalian dunia
Taurat dan Injil menyebutkan dia
sifat nubuwahnya nyata sedia

kayu dan batu sujud baginya
khatamun-nubuwah antara belikatnya
apabila mamanya mendengar khabarnya
ia terkejut serta takutnya

lalu disuruhnya hantar pulang
takutkan fitnah Yahudi jembalang
tiada berapa lamanya berselang
mamaknya balik ke negeri terbilang

yaitu Mekkah negeri sendiri
sampai ke Mekkah berdiam diri
memeliharakan nabi sehari-hari
makan dan pakai yang ugahari

Allahumma shalli wa sallim ‘alaihi

FASAL 5

apabila sampai umurnya ramuzkah
pergi berniaga ke negeri Bashrah
membawa modal Siti Khadijah
perempuan yang mulia di dalam Mekkah

serta khadamnya Maisyarah namanya
dengan nabi disuruhkannya
serta beberapa khalifah sertanya
daripada Quraisy kaum kerabatnya

apabila sampai ke negeri Bashrah
berhentilah nabi pada satu arah
bertentangan dengan suatu shauma’ah
bagi pendeta nashraniyah

namanya datuk Nastur Nashrani
dikenalnya nabi habibur rahmani
sebab beberapa pertandaan seni
daripada irhash Tuhan rabbani

bersandar kepada kayu hampirnya
sudah tersebut di dalam kitabnya
tiadalah lain daripadanya
melainkan nabi juha mustahiknya

dia pun datang menghormatkan
kepada Maisyarah ditanyakan
alamat di mata diizahirkan
Maisyarah mengata ia bahkan

apabila selesai daripada hal
berbalik ke Mekkah nabi yang akmal
serta kaumnya berambal-ambal
serta keuntungan daripada modal

sekira-kira negeri Mekkah dekat
zahirlah pula irhash dahsyat
Siti Khadijah ada melihat
nabi dinaungi dua orang malaikat

apabila tiba nabi yang syahda
berjumpalah dengan Siti yang muda
berkhabarlah dagangan untung berganda
Siti pun suka di dalam dada

datanglah hidayah yang akbar
daripada Tuhan ilahul jabbar
kepada Khadijah perempuan ahyar
jatuhlah hatinya dengan sebentar

hendak bersuamikan nabi yang muda
karena ada kelebihannya ada
mukjizat dan irhash beberapa tanda
perkhabaran Maisyarah sudah memada

kepada rasulullah dikhabarkannya
barang yang dimaksud kepada hatinya
bersuamikan jua kehendaknya
rihul-iman sudah diciumnya

selesailah nabi mendengarkan peri
berangkatlah balik ke rumah sendiri
segala mamanya kanan dan kiri
berkhabarlah nabi akan hal diri

gemarlah segala mamanya tuan
karena Khadijah setinggi-tinggi perempuan
di dalam bangsa Quraisy sekalian
bangsa dan rupa serta hartawan

pergilah Abu Thalib serta mama
meminang Khadijah perempuan utama
kepada walinya yang utama
tiada tertahan lalu diterima

sudah selesai demikian itu
nikah kahwinlah serta bersatu
duduklah keduanya beberapa waktu
dapatlah anak satu ke satu

Allahumma shalli wa sallim ‘alaihi

FASAL 6

tatkala sampai umur empat puluh
dibangkitkan Allah jadi pesuruh
mendirikan ugama yang amat teguh
segala ugama habislah runtuh

tiadalah diterima ilahul ‘alam
selain daripada ugama Islam
dimulai dengan ra-itul manam
seperti cahaya falak-ul subhul ikram

hikmatnya jangan ia terperanjat
akan melihat malaikat yang hebat
yaitu Jibrail malaikat yang kuat
jadi suruhan rabbul kainat

kemudian daripada itu halnya
menjauhkan diri daripada kampungnya
suka bersunyi seorang dirinya
di bukit Hira’ konon khabarnya

bagi Bukhari punya perkataan
di jabal Hira’ kira-kira sebulan
li ibni Ishaq pada bulan ramadhan
keduanya itu riwayat handalan

pada malam tujuh belas lailatul qadriyah
malaikat Jibril pun datanglah
katanya iqra’ makna bacalah
jawab nabi yang dibaca apalah

dipeluk Jibrail serta dipicitnya
katanya iqra’ dengan sesungguhnya
dijawab bagaimana bacaannya
dipeluk Jibrail serta diajarnya

katanya iqra’ bismirabbika
membacalah nabi tiadalah leka
kemudian dari itu beberapa ketika

kemudian Jibrail datang semula
membawa firman Allah ta’aala
ya ayyuhal mudatsir dibacakan pula
kemudian yang lain Quran yang a’la

Allahumma shalli wa sallim ‘alaihi

FASAL 7

nabi pun berhadap kepada kaumnya
membawa firman amar nahinya
kebanyakan Quraisy mendustakannya
melainkan Abu Bakar membenarkannya

setengah Quraisy membenarkannya
mana-mana yang terdahulu pada azalnya
membenarkannya bersungguh hatinya
tiadalah takut atau gentarnya

seperti Ali karamullahu-wajhah
dan perempuannya Siti Khadijah
dan Zaid bin Haritsah
demikian Bilal ibni Rabbah

kemudian Usman bin Thalhah
dan Sa’ad dan Sa’id kedua bertuah
dan ibni ‘Auf ibni Shafiah
dan lain daripada Quraisyiyah

dan lain mana-mana untung janji
masuklah ia ugama terpuji
ditinggalkannya ugama yang keji
mengikut ugama shahibul furaji

mana-mana yang disesatkan Allah
seperti Abu Jahal laknatullah
akan nabi didustakannyalah
jadilah syaitan seteru Allah

nabi sebagai jua menyeru
tiada diperdulikan bapa dan ibu
tiadalah takut langgar dan serbu
seumpama tetap kota dan kubu

lain daripada itu beberapa pula
suruh dan larang Allah ta’ala
di dalam Quran ‘azza wa jalla
perintahan yang baik tiada cela

Allahumma shalli wa sallim ‘alaihi

FASAL 8

apabila dizahirkan olehnya nabi
ugama Islam yang terpuji
mendustakan kaumnya ahlil-makki
menyakiti dengan sumpah dan maki

tiada diindahkan nabi Muhammad
bersungguh-sungguh juga mengajar ummat
melepaskan daripada kafir zhalalat
di negeri akhirat boleh selamat

tiadalah mereka itu mengindahkan dia
diperbuatnya juga perbuatan sia-sia
menyakitkan nabi beberapa bahaya
sampai dilontarnya nabi yang mulia

di dalam hal yang demikian itu
diperintahkan oleh Tuhan yang satu
mikraj ke langit khabar yang tentu
mukjizat yang besar demikian itu

apabila mati Abu Thalib mamanya
serta Khadijah isterinya
kesakitanlah muslimin sekaliannya
beberapa kesusahan ditanggungnya

di dalam tiada beberapa lama
berpindahlah nabi Muhammad ternama
ke negeri Madinah yang utama
di situlah bertambah keras ugama

ketika itu teranglah kelam
tampak tingginya ugama Islam
tampak kehinaan kafir yang tenggelam
berhujah berperang mukanya hiram

perang Badar permulaannya
perang Uhud kemudiannya
perang Khandaq mengiringinya
perang Khaibar pula di belakangnya

tiap-tiap perang nabi yang mulia
si kafir juga mendapat bahaya
terbunuh tertawan dijadikan sahaya
Islam juga mendapat bahagia

sebab nabi rasul yang benar
mukjizatnya Quran yang amat besar
khabar yang gaib khabar izhar
semuanya berbetulan dengannya khabar

ugama Islam kekal berdiri
ilal akir yaumid dahari
mansuh sekalian ugama yang bahari
Yahudi Nasrani demikain peri

hingga sampai pada khalifahnya
mendirikan ugama sangat teguhnya
Syam dan Rum, Parsi sertanya
dilanggar diperang dikalahkannya

sebab berperang ugama yang mulbih
nabi Muhammad lisanul fasih
hatinya suci sangatlah bersih
akan dunia tiada ia kasih

sifat kepujian dihimpun kepadanya
sifat kecelaan jauh daripadanya
hai segala kamu umatnya
ikut olehmu akan jalannya

serta kasih akan dianya
sukakan olehmu mendengar kisahnya
apalagi bulan mauludnya
harus dibesarkan itu waktunya

seperti makan minum ugahari
jangan yang berat menyakiti diri
menzahirkan kesukaan demikian peri
kepada ahlil Islam masyhuri

karena beberapa negeri yang besar
mengerjakan maulud sayidil basyar
tiada ada ulama yang ingkar
karena adat hasanah yang benar

tamatlah syair maulud ini
bahasa Melayu di sebelah sini
aku mukhtasarkan hai ikhwani
kuambil waqa’ahnya sahaja begini

Rujukan:

1. Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah. 2000. Penyebaran Thariqat-thariqat muktabarah di dunia melayu. Khazanah Fathaniah.

2. Pdf Dalail Khairat. http://www.4shared.com/document/705-w2nH/01_Dalail_Khairat__Bahagian_1_.html

3. Pdf Barzanji. https://penuntutilmu.files.wordpress.com/2016/11/2008-amalan-barzanji-menurut-perspektif-islam.pdf

4. Syair Raja Ali Haji. http://www.rajaalihaji.com/en/works.php?a=Ny9lL3c%3D=

5. SILSILAH THARIQAH AL-JAZULIYAH: SHALAWAT DALAILUL KHAIRAT. http://arifmuzayinshofwan.blogspot.com/2013/12/silsilah-thariqah-al-jazuliyah-shalawat_6372.html?m=1

6. Seni Barzanji dun Marhaban: Sejarah dun Amalannya Dalam Masyarakat Melayu. http://ddms.usim.edu.my/bitstream/123456789/9166/1/Vol.14.Dec%202014%20part%203.pdf

7. Mujahid Ghazi Therawasi

8. Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara

9. Hasanudin Yusuf