DIKETIKA jatuhnya Sarawak di tangan pendudukan Jepun pada akhir tahun 1941 menyaksikan ramai penjawat awam Sarawak Kingdom diburu oleh tentera Nippon Go.  Ada pelbagai taktik mereka gunakan bagi memastikan penjawat awam berketurunan Eropah ini tidak akan ada lagi di muka bumi pada masa itu.  Tragedi pembunuhan Sir Gilbert Roger Harris Arundell iaitu Residen Simanggang misalnya menyaksikan beliau sekeluarga yang sedang mendapat perlindungan di rumah panjang masyarakat Iban di Ulu Ai akhirnya dibunuh dengan kejam oleh mereka yang pernah dijatuhkan hukuman olehnya iaitu Pong, Ajon, Mikai dan Sunying sengaja dibebaskan oleh Jepun agar mereka membalas dendam terhadapnya.

Itu ceritanya seorang residen berketurunan Eropah yang bertemu jodohnya dengan gadis Iban dari Ulu Ai iaitu Sir Arundell pada tahun 1942 yang mana pembelaan ke atas kematiannya hanya dilakukan setelah Sarawak diserahkan menjadi wilayah jajahan Koloni Mahkota Sarawak British.  Dan mungkin ramai tidak mengetahui bahawa ada lagi seorang penjawat awam berketurunan British Scottish iaitu yang bernama Andrew McPherson turut mengakhiri hayatnya dengan penuh tragis.

Andrew McPherson adalah antara seorang penjawat awam Sarawak Kingdom yang pernah bertugas dikala Tuan Rajah ketiga iaitu Sir Charles Vyner Brooke memerintah.  Lahir dikalangan keluarga tentera di Scotland malah dikatakan hampir separuh daripada keluarganya pernah berkhidmat di dalam mana-mana perang di Eropah samada sebagai juruterbang, anggota payung terjun dan sebagainya menjadikan beliau sendiri seorang penjawat awam yang penuh berdisiplin dan tegas ketika menjalankan tugas.  Mula memijakkan kakinya di bumi Sarawak sekitar tahun 1920an merupakan seorang penjawat awam bangsa Eropah yang pernah berkhidmat sebagai majistret, timbalan hakim dan juga Residen bagi Kapit sekitar tahun 1930an.

Jika di zaman Tuan Rajah James Brooke, anggota penjawat awam bangsa Eropah yang berkhidmat di Sarawak Kingdom dilarang sama sekali untuk bercampur gaul dengan masyarakat tempatan namun ianya berlainan di ketika pemerintahan Tuan Rajah Charles Brooke.  Ini kerana menurut kefahaman Tuan Rajah pada masa itu bagi memberi impak yang lebih berkesan ke atas perkhidmatan di Sarawak adalah perlu untuk setiap penjawat awam bercampur gaul dan perkahwinan dengan masyarakat tempatan itu amatlah digalakkan.  Dan polisi yang sama turut diteruskan di ketika Tuan Rajah CV Brooke memerintah.

Seperti Sir Arundell, residen Kapit pada masa itu iaitu Andrew McPherson turut bertemu jodohnya dengan gadis tempatan iaitu di kalangan Iban dari Kapit.  Dikatakan gadis iban tersebut hadirnya di kalangan keluarga pemimpin ternama etnik Iban sendiri iaitu sepupu kepada Mendiang Tun Jugah anak Barieng.  Hasil perkahwinan dikurniakan dengan beberapa orang cahayamata namun perkahwinan mereka terhenti di tengah perjalanan akibat tiada kesefahaman.  Walaupun begitu, kesemua cahayamata hasil perkahwinan mereka tetap dibawah jagaan Andrew McPherson iaitu seorang ayah yang digambarkan cukup tegas tetapi cukup menyayangi keluarganya.

Alkisahnya McPherson ini bermula menjelang sambutan Krismas 1941 iaitu di ketika Sibu mula dihujani dengan bom-bom dari pasukan udara “Kamikaze” Jepun.  Pada ketika itu sebagai satu persediaan, ramai dari penjawat awam berbangsa Eropah sudah mula menyelamatkan diri kerana mengetahui nyawa mereka akan dituntut oleh tentera Jepun apabila mereka berkuasa iaitu sebagai Tahanan Perang (Prisoner Of War).  Bagi yang bujang sudah tentu tiada apa yang mereka perlu risaukan namun untuk yang sudah mempunyai keluarga, nyawa isteri dan anak-anak akan sentiasa didahulukan lebih daripada keselamatan sendiri.

Jika kita menggodek pensejarahan yang diceritakan di sebelah Kalimantan mengikut apa yang dikenali sebagai Peristiwa Pembunuhan Beramai-ramai Long Nawang 1942 (The Long Nawang Massacre 1942) iaitu yang berlaku di Long Nawan, satu daerah di perbatasan Kalimantan/Sarawak yang dibawah kawal selia Koloni Belanda mengatakan ada lebih kurang 40 orang penjawat awam Sarawak yang telah diseksa dan seterusnya dibunuh dengan kejam oleh tentera Jepun di Long Nawang. Dan kesemua mangsa pembunuhan beramai-ramai ini dikuburkan di dalam dua kubur besar yang kemudiannya setelah beberapa tahun digali semula serta dipindahkan ke Pulau Tarakan iaitu di Makam Pahlawan.

Mengikut pensejarahannya seharusnya Andrew McPherson adalah antara individu yang terlibat kerana dikatakan mereka sempat sampai ke Long Nawang.  Sebaliknya jika kita melihat kepada senarai Commonwealth War Graves tiada namanya dicatatkan.  Hakikatnya Andrew McPherson, residen Kapit itu tidak pernah sampai ke Long Nawang sebaliknya mempunyai jalan cerita yang cukup berbeza dan matinya tetap di bumi Sarawak itu sendiri pada tahun 1942.

Menurut penceritaan lisan langsung dari keluarga McPherson dikatakan bahawa Andrew McPherson seharusnya menyertai penjawat awam yang lain untuk ke Long Nawang namun beliau bersama enam lagi rakan yang mempunyai keluarga Sarawak tidak berbuat demikian sebaliknya mereka cuba menyelamatkan dirinya dengan membawa sekali keluarga mereka bersama. Bayangkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk survival pada masa itu lebih-lebih lagi dengan corak mukabumi Sarawak yang berhutan rimba yang tebal serta berbukit bukau ditambahlagi adanya wanita dan anak-anak kecil.

Perjalanan mereka dimulai dengan menghilir Sungai Rajang dan seterusnya ke Batang Ai.  Dari pengangkutan air mereka harus berjalan kaki meredah hutan rimba barulah akan sampai sehingga ke sempadan Sarawak/Kalimantan.  Dan dikatakan di ketika dalam survival inilah ahli keluarga sebelah Iban McPherson iaitu tidak lain tidak bukan Mendiang Tun Jugah telah menghulurkan bantuan memberi mereka perlindungan.  Mereka disembunyikan dari pengetahuan Jepun namun sayangnya akibat daripada adanya musuh dalam selimut akhirnya tempat persembunyian McPherson dan keluarganya terbongkar yang mana menyaksikan tentera Jepun telah membunuh mereka tanpa belas kasihan dengan tidak mengira jantina mahupun anak-anak kecil.

Tidak terhenti disitu, di dalam hirak pikuk pembantaian Jepun itu dikatakan ada waris McPherson iaitu anak-anaknya telah berjaya melarikan diri apabila diselamatkan oleh ibu susuan mereka, seorang Melayu Sarawak yang dikenali sebagai Nek Kiah telah berjaya menyamar dan seterusnya membawa anak-anak McPherson sehingga ke perkampungan asalnya iaitu di Kampung Panglima Seman, Kuching.  Disitulah dikatakan anak-anak McPherson yang berusia 9 tahun pada ketika itu dan adiknya dijaga yang mana akhirnya memeluk Islam dan dibesarkan mengikut adat istiadat dan budaya komuniti Melayu Sarawak.

Bersama-sama Nek Kiah ibu susuan inilah mereka membesar sebagai anak angkatnya dan dari Kampung Panglima Seman mereka berpindah ke Kampung Santubong.  Setelah meningkat dewasa dan cukup matang untuk melayari bahtera perkahwinan telah dijodohkan dengan seorang pemuda Melayu Sarawak kemudiannya serta melahirkan waris-waris McPherson yang berdarah campuran Scottish/Iban dan Melayu Sarawak.

Jika sudah survival dari kecil malah lahir di kalangan jiwa dan roh pejuang baik dari genetik di Scotland (ayahnya) mahupun dari keluarga kepimpinan etnik Dayak Iban (ibunya) dan telahan lagi dibesarkan di kalangan perkampungan Melayu yang sentiasa malar segar dengan sifat patriotisme maka tidak hairanlah waris McPherson iaitu anak perempuannya yang bernama Hajjah Bibi McPherson dinobatkan sebagai antara wanita Sarawak terawal paling berpengaruh di dalam dunia politik Sarawak.  Dan seterusnya disusuli oleh cucunya iaitu tidak lain tidak bukan antara ahli politik wanita Sarawak yang menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia dan Ahli Parlimen Batang Sadong sekarang yakni yang bernama Yang Berhormat Dato Seri Hajjah Nancy binti Syukri.

Begitulah antara alkisahnya seorang penjawat awam bangsa Eropah yang bernama Andrew McPherson, Residen Kapit yang pernah berkhidmat di kala pemerintahan 100 tahun Brooke di Sarawak.  Seperti residen Simanggang iaitu Sir Arundell, McPherson juga matinya juga cukup tragis iaitu di pedang tajam samurai tentera Jepun pada tahun 1942 di Ulu Moyan, Sarawak BUKANNYA di Long Nawang, Kalimantan. RIP.

Ini merupakan foto koleksi peribadi Keluarga McPherson di Sarawak

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

  1. War and Memory In Malaysia and Singapore edited by Patricia Huen Lim and Dana Wong.
  2. The Japanese Occupation Of Borneo, 1941-1945 by Ooi Keat Gin
  3. Borneo Post, 13 April 2017 – A Lady Named Nancy

http://www.theborneopost.com/2017/04/13/a-lady-named-nancy/

  1. Sidang temubual ekslusif bersama waris keluarga McPherson di Sarawak dan Kuala Lumpur yang dilakukan oleh penulis.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.