Masjid Tertua Di Tanah Melayu

2,153

Kita selalu mendengar bahawa Negeri Che Siti Wan Kembang sangat terkenal dengan Bandar Raya Islam yang dihiasi pelbagai keindahan alam dan kesenian yang tersendiri. Negeri Pantai Timur ini mempunyai pelbagai tempat menarik yang menjadi tumpuan seperti zon bebas cukai Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, Bazaar Tok Guru, Pasar Siti Khadijah serta pelbagai lagi.

Namun, sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa masjid yang terawal di Tanah Melayu adalah sebuah masjid yang terletak di negeri Kelantan berlokasi kira-kira 10-20 kilometer dari Kota Bharu. Masjid Kampung Laut merupakan masjid tertua di Malaysia, lebih tua daripada Masjid Peringgit, Masjid Kampung Hulu dan Masjid Tengkera di Melaka.

Bahkan Masjid Kampung Laut juga merupakan di antara masjid tertua yang masih wujud di Nusantara. Masjid ini agak lewat sedikit dibina jika dibandingkan dengan Masjid Demak  di Jawa, Masjid Kuno di Champa dan dikatakan sezaman dengan Masjid Wadi Hussin di Narathiwat, Thailand. Ini menguatkan hujah bahawa kedatangan Islam di Tanah Melayu adalah datang daripada arah timur berbanding daripada arah barat.

Pada awalnya, masjid ini dibina pada abad yang ke-18 oleh pendakwah Islam yang berulang-alik antara Champa dan Jawa dengan bantuan penduduk tempatan di Kampung Laut, Tumpat di pinggir Sungai Kelantan yang merupakan tapak asal masjid bersejarah ini. Sesetengah menyebutkan bahawa pendakwah yang dimaksudkan itu adalah Wali Songo.

Menurut hikayat lisan tradisi, berabad-abad dahulu, para pendakwah atau mubaligh tersebut belayar di seluruh kepulauan Melayu demi menyebarkan syiar Islam. Dalam lingkungan 1730-an, sekumpulan mubaligh dikatakan telah melalui pantai Timur Tanah Melayu dalam perjalanan mereka dari Pattani di Thailand Selatan ke Jawa di Indonesia. Malangnya biduk atau kapal mereka telah bocor.

Ini menyebabkan para mubaligh bernazar sekiranya mereka dapat ke pantai dengan selamat, mereka akan membina sebuah masjid dengan serta merta untuk memperingati peristiwa itu. Takdir menentukan bahawa mereka terselamat dan mendarat di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan lantas membina masjid dengan bantuan orang tempatan.

Walaubagaimanapun, asas tapak Masjid Kampung Laut mulai melemah oleh sebab dibina di tebing sungai menyebabkan ianya sering dilanda oleh banjir kilat seperti banjir tahun 1926 yang dikenali sebagai ‘Bah Air Merah’. Tambah parah apabila masjid ini sekali lagi dilanda banjir besar pada tahun 1966 yang menghanyutkan sebahagian daripada struktur binaan masjid tersebut.

Kerajaan Negeri Kelantan ketika itu bertindak menutup masjid serta membina sebuah masjid yang baru di tempat yang lebih selamat sebelum bekerjasama pada November 1967 untuk membina semula warisan bersejarah tersebut. Ini berikutan Persatuan Sejarah Malaysia yang telah mencadangkan untuk memindahkan Masjid Kampung Laut ke tempat yang lebih selamat.

Kerjasama yang dibentuk akhirnya telah berjaya merombak bangunan masjid dan membina semula di tapak barunya iaitu di Nilam Puri mengikut bentuk asal serta menggunakan semua bahan yang lama seberapa yang boleh tetapi hanya sebahagian ruang utama masjid sahaja yang dapat didirikan semula. Sehingga kini Masjid Kampung Laut terbuka  di tapak barunya iaitu Nilam Puri dalam kawasan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra yang bertentangan dengan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, kampus Nilam Puri, Kelantan.

Menariknya, masjid ini acap kali menjadi kajian para penyelidik oleh sebab struktur dan seni binanya yang tersendiri. Masjid ini dibina dengan unsur seni bina Nusantara di mana masjid ini merupakan sebuah struktur asas dengan hanya empat tiang yang menyangga bumbung tiga tingkat yang diperbuat daripada daun rumbia.

Terbaru: Fiksyen Mahakarya

Tatkala berada di akhir- akhir abad ke-19, masjid ini bertukar menjadi satu pusat agama yang penting sehingga diperbesarkan beberapa bahagiannya merangkumi bilik sembahyang tambahan, peran, serambi, dan menara. Binaan tambahan ini tidak kalah uniknya kerana dibina menggunakan teknik “Tebuk-Pasak”.

Warisan bersejarah ini dibina daripada kayu tetapi tidak menggunakan walau sepucuk paku sekalipun manakala atap daun rumbianya ditukarkan kepada atap genting kerana atap genting yang lebih kukuh. Bahkan penulis juga pernah merasai suasana di masjid ini semasa menuntut di Akademi Pengajian Islam UM Nilam Puri, sungguh nyaman dan seolah-olah merasai zaman-zaman kegemilangannya yang dahulu.

Sehingga kini, masjid ini mengekalkan lantai papan yang tinggi dari tanah dan diletakkan beberapa kayu panjang yang disusun di bawah lantai sebagai alasnya yang disebut sebagai kayu gelegar manakala pengejapan bangunan masjid ini melalui alat pengejap. Seorang pengkaji, Mubin Sheppard berpendapat bahawa masjid ini merupakan satu-satunya masjid yang diperbuat daripada kayu tertua di semenanjung Tanah Melayu .

RUJUKAN:

Azim A. Aziz, Masjid – Selected Mosques and Musollas in Malaysia.

Nur Asfarahanim Binti Muda, Simbolisme Masjid Kampung Laut , (Latihan Akademik, Universiti Malaysia Sarawak: Fakulti Seni Gunaan dan Krealif, 2012).

Nurul Fhatihah Zakinan, “Masjid Kampung Hulu bukan masjid tertua di Malaysia”, Berita Harian, 15 Jun 2015.

Portal Rasmi Majlis Daerah Ketereh, “Masjid Kampung Laut, Nilam Puri”, http://www.mdketereh.gov.my/ms/pelawat/destinasi-menarik/masjid-kampung-laut-nilam-puri

Portal Rasmi Majlis Daerah Tumpat, “Masjid Kampung Laut”, http://mdtumpat.gov.my/ms/pelawat/destinasi-menarik/masjid-kampung-laut

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.