Masjid Negara merupakan sebuah bangunan yang ikonik dan menjadi salah satu kebanggaan di Malaysia. Pembinaan dan seni bina Masjid Negara mencerminkan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi negara di dalam perlembagaan Malaysia. Sehingga kini, Masjid Negara masih menjadi sebagai salah sebuah masjid yang mempunyai seni bina yang unik dan mempunyai identiti tersendiri di Malaysia khususnya hasil tangan dan idea seorang arkitek Melayu beragama Islam, Datuk Baharuddin Abu Kassim.

Sejarah pembinaan Masjid Negara bermula apabila Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama berhasrat untuk membina sebuah masjid negara sebagai memperingati kemerdekaan negara. Idea ini telah diutarakan di dalam mesyuarat Majlis Eksekutif Persekutuan pada 30 Julai 1957. Bagi Tunku, Masjid Negara ini akan melambangkan perpaduan rakyat negara ini. Pada asalnya, Masjid Negara ini ingin dinamakan sebagai Masjid Tunku Abdul Rahman, tetapi Tunku menolak untuk meletakkan nama beliau sebaliknya memberikan nama ‘Masjid Negara’ sebagai tanda menghargai pencapaian kemerdekaan Malaysia tanpa tumpahan darah yang dikenali sehingga hari ini.

Datuk Baharuddin Abu Kassim merupakan arkitek yang utama bertanggungjawab di dalam mereka bentuk seni bina Masjid Negara bersama-sama dengan rakannya, Hisham Al-Bakri dan di bawah penyelia British, Howard Ashley. Mereka merupakan arkitek-arkitek yang bekerja di Jabatan Kerja Raya pada ketika itu. Datuk Baharuddin merupakan anak kelahiran Kuala Selangor dan merupakan graduan seni bina daripada University of Manchester, England. Datuk Baharuddin telah memberi idea dan ilham di dalam menghasilkan sebuah seni bina yang tidak pernah dibina sebelum ini. Masjid Negara telah mula dibina pada tahun 1960 dan siap sepenuhnya pada tahun 1965. Masjid Negara telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tunku Syed Putra pada hari Jumaat, 27 Ogos 1965. Kemudian, pada tahun 1990, Masjid Negara telah diubahsuai dan dibesarkan sehingga boleh memuatkan 15,000 jemaah dalam satu-satu masa.

Terletak di atas 13 ekar tanah di Kuala Lumpur, seni bina Masjid Negara adalah sangat unik. Gabungan seni bina melayu tradisional dan seni bina moden telah menghasilkan sebuah ‘masterpiece’ yang cukup membanggakan Malaysia. Falsafah seni bina yang dibawakan oleh Datuk Baharuddin telah mencetuskan fenomena baru di dalam mereka bentuk sebuah masjid di mana pada zaman itu, kebanyakan masjid baru yang dibina dipengaruhi oleh seni bina Moghul dan Timur Tengah. Ruang utama solat terletak di tingkat satu yang memberikan persamaan dengan ruang tamu di dalam seni bina tradisional rumah Melayu. Kubah utama pula berbentuk seperti separuh bukaan payung yang mempunyai 18 lipatan. Menara masjid pula adalah berbentuk lipatan payung yang mencapai ketinggian sehingga 73 meter. Masjid Negara mempunyai 3 tingkat yang mengandungi ruang solat utama, ruang solat wanita, ruang solat luar, makam diraja, dewan konferen, pejabat pengurusan dan kelas-kelas. Pintu masuk utama Masjid Negara adalah melalui ‘courtyard’ utama. Tulisan-tulisan kaligrafi ayat Al-Quran dan seni-seni ukiran perincian yang berkonsepkan romantisme menambahkan lagi keunikan seni bina Masjid Negara disamping mampu memberikan aura penghayatan Islam kepada jiwa para jemaah.

Menurut Datuk Baharuddin ketika menyambut sambutan Jubli Emas Masjid Negara pada tahun 2015, beliau telah menceritakan bagaimana beliau mendapat ilham konsep kubah Masjid Negara itu. Konsep kubah Masjid Negara telah diilhamkan daripada payung diraja yang memayungi golongan diraja. Bagi Datuk Baharuddin, simbol payung itu adalah sangat sesuai tetapi beliau tidak boleh mereka bentuk payung berbentuk bulat kerana binaan kubah itu perlu dibina dengan konkrit, yang memerlukan garisan-garisan yang lurus. Lalu, beliau teringat akan ‘payung kertas’ yang mempunyai lipatan-lipatan dan garisan-garisan lurus yang diperlukan. Maka, terhasillah kubah ‘payung’ yang berbentuk lipatan-lipatan, 18 jumlahnya.

Kini, Masjid Negara telah berdiri gah selama lebih 50 tahun di dalam peranannya sebagai pusat komuniti Islam utama yang memberikan kefahaman tentang Islam kepada masyarakat sama ada dari dalam dan luar negara. Masjid Negara menjadi salah satu tarikan utama pelancong di dalam menghayati falsafah seni bina dan menjadi antara seni bina masjid yang unik di dunia. Masjid Negara juga turut menyediakan kemudahan-kemudahan bagi para pelancong untuk melawat Masjid Negara. Setiap tahun, Masjid Negara telah menerima lebih kurang 240,000 pelancong sama ada dari dalam dan luar negara.

 

Seni bina Masjid Negara yang ikonik menjadi kebanggaan buat Malaysia menunjukkan akan kemampuan arkitek tempatan di dalam menghasilkan sebuah ‘masterpiece’ yang sama hebat dengan arkitek-arkitek luar sekaligus membuktikan arkitek tempatan juga kreatif di dalam bidang seni bina. Masakan tidak, sejak berzaman lagi, bangsa Melayu telah banyak menghasilkan seni-seni ukiran yang sangat unik dan terperinci yang banyak terdapat di dalam seni bina melayu.

 

BACAAN LANJUT:

  1. The Man Behind Masjid Negara’s Iconic ‘umbrella’ Dome by Kenny Mah, http://m.themalaymailonline.com/features/article/the-man-behind-masjid-negaras-iconic-umbrella-dome
  2. Masjid Negara: 50 years National Mosque Exhibition, https://www.iamm.org.my/masjid-negara-50-years-national-mosque-exhibition/

GAMBAR:

  1. Masjid Negara. Sumber: http://kuala-lumpur.attractionsinmalaysia.com/img/photoState/kl/NationalMosque/5.jpg
  2. Datuk Baharuddin Abu Kassim. Sumber: http://m.themalaymailonline.com/features/article/the-man-behind-masjid-negaras-iconic-umbrella-dome

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan graduan Sarjana Seni Bina daripada UiTM Puncak Alam (LAM and RIBA Part II). Mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang agama, seni bina dan sains telah menjadikan bidang penulisan sebagai medium menyebarkan ilmu dan mendidik masyarakat.

Comments are closed.