Masjid Dari Zaman Sahabat & Tabi’in Ditemui Di Israel

1,305

Bersempena sambutan hari raya Aidiladha yang bakal diraikan oleh umat Islam di seluruh dunia tidak lama lagi, sesuai kiranya kami dari The Patriots berkongsikan sebuah berita arkeologi yang pastinya sangat dekat dengan hati kita sebagai umat Islam.

Penemuan kali ini melibatkan sebuah masjid yang diperkirakan berusia hampir 1400 tahun (sekitar abad ke-7 atau ke-8M), hanya beberapa tahun selepas kewafatan baginda Nabi Muhammad s.a.w. (632M).

Masjid ini ditemui semasa ahli-ahli arkeologi dari Jabatan Barangan Antik Israel (IAA) menjalankan kerja pemantauan di tapak pembinaan sebuah petempatan yang akan didirikan tidak lama lagi.

Sebagai sebuah negara yang kaya dengan sejarah dan turut maklum sebagai tanah para anbiya, kejadian sebegini merupakan suatu kebiasaan di negara haram Israel – iaitu penemuan arkeologi dijumpai semasa sesebuah pembinaan baru hendak dijalankan.

Sejumlah pemuda dan masyarakat badwi tempatan turut diberikan upah untuk mengambil bahagian dalam kerja-kerja ekskavasi melibatkan masjid ini yang ditemukan di gurun Negev, negara haram Israel pada hari Khamis, tanggal 19 Julai 2019. Lokasi tepat penemuan tersebut adalah di bandar Rahat.

Pengarah bagi kerja-kerja ekskavasi ini yang bernama Jon Seligman dan Shahar Zur masing-masing memaklumkan bahawa masjid ini merupakan satu penemuan yang jarang (rare) berlaku di mana-mana ceruk dunia sekalipun, terutama di wilayah utara Be’er Sheva. “Tiada bangunan sebegini pernah ditemui sebelum ini”, ujar mereka.

Kenyataan yang dibuat ini sememangnya tidak berlebih-lebihan, kerana sebagaimana yang boleh dilihat di dalam gambar yang disertakan, masjid ini sama sekali berbeza dengan masjid-masjid tertua yang pernah ditemui sebelum ini seperti Masjid Besar atau Masjid Umayyah di Damsyik, Syria (abad ke-8) yang memiliki seni bina yang megah. Masjid ini sebaliknya hanyalah sebuah binaan berbentuk segi empat tepat bersaiz kecil tanpa kubah mahupun bumbung – terdedah tidak bertutup. Kalau bukan kerana mihrabnya yang menghadap ke arah kiblat (Mekah) di selatan, sudah tentu identiti binaan ini sebagai sebuah masjid tidak dapat dikesan.

Masjid yang diperkirakan dibina pada zaman para sahabat menyebarkan Islam ke Levant (Zaman Pembukaan Syam, sekitar 636M) ini turut ditemui bersama sebuah petempatan petani yang dipercayai telah pun beroperasi dan dihuni sejak bumi itu masih lagi merupakan sebahagian daripada jajahan Empayar Byzantine (kurun ke-5 atau ke-6 Masihi). Antara yang ditemukan adalah ruang-ruang kamar, ruang penyimpanan awam, dan perkarangan awam yang dilengkapi ketuhar tidak-bertutup.

“Penemuan kampung dan masjid di kawasan ini merupakan satu sumbangan yang signifikan kepada sejarah berkenaan zaman peperangan bagi negara ini,” ujar Gideon Avni yang merupakan ketua jabatan arkeologi di IAA merangkap pensyarah di Universiti Hebrew di Jerusalem.

Masjid Umayyah di Damsyik, Syria yang dibina pada masa yang lebih kurang sama seperti masjid yang ditemui di Israel ini (malangnya Masjid Umayyah telah musnah akibat serangan militan ISIS)

Dengan sejumlah signifikasi yang dipikul oleh masjid ini – antara masjid tertua di dunia, masjid yang dibangunkan di zaman sahabat dan tabi’in, rumah ibadah yang sangat unik, dan bermacam-macam lagi signifikasi lain – sudah tentu masjid dan petempatan ini berupaya menambat perhatian dan minat yang bukan kecil dari masyarakat Islam sedunia khususnya.

Berdirinya masjid kecil ini menjadi saksi hidup kepada semangat juang, ketaatan dan kesediaan untuk berkorban yang dipamerkan oleh para sahabat dan tabi’in semasa menyebarkan Islam ke Levant, menghadapi empayar gergasi Byzantine – suatu semangat yang lama masa dahulu dipersembahkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang mana episod tersebut diabadikan pada tarikh perayaan yang bakal kita raikan ini.

Kini, pihak arkeologis masih cuba mengenal pasti cara yang sesuai untuk menyepadukan tapak arkeologi berharga ini ke dalam projek pembinaan kawasan kejiranan yang hendak dibina itu. Ini merupakan suatu sikap yang perlu dipuji dan diteladani di mana dalam mengejar kemajuan dan pembangunan, nilai sejarah yang tersimpan di tapak yang dihajatkan untuk dibangunkan itu tidak dikesampingkan sebaliknya dipelihara dan ditonjolkan seupaya mungkin bersama pemajuan yang mahu dilakukan.

RUJUKAN

Ashley Cowie. (24 Julai 2019). One of the Oldest Islamic Holy Sites in the World Discovered in Israel. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/mosque-israel-0012343

Rami Amichay. (18 Julai 2019). Archaeologist find mosque frome when Islam arrived in holy land. Reuters. https://www.reuters.com/article/us-archaeology-israel-mosque/archaeologists-find-mosque-from-when-islam-arrived-in-holy-land-idUSKCN1UD21Z

Reuters. (19 Julai 2019). Mosque Dating from Islam’s arrival in Holy Land found. Japan Times. https://www.japantimes.co.jp/news/2019/07/19/world/science-health-world/mosque-dating-islams-arrival-holy-land-found

Stephanie Pappas. (21 Julai 2019). This Ancient Mosque in Israel May Have Been Built Just A Few Years After Muhammed’s Death. Live Science.
https://www.livescience.com/65993-rural-mosque-just-before-muhammed-death.html

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.