Masjid Brunei Di Kelantan Lambang Persahabatan

200

Mencuaikan kemerdekaan bermakna mencuaikan sejarah, serta sekali gus ‘menyambaranakan’ mahkota bangsa.”DYMM PSB Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, 2018.

Walaupun Negara Brunei, hari kemerdekaannya dimasyhurkan pada 1 Januari 1984 tetapi sambutannya dilaksanakan pada setiap 23 Februari setiap tahun. Ini adalah kerana walaupun Brunei mencapai kemerdekaan dari british pada 1 Januari 1984, british tidak benar-benar meninggalkan negara tersebut sehinggalah tarikh 23 Februari. Jadi rakyatnya menyambut Hari Kebangsaan pada tarikh tersebut setiap tahun. Tahun 2019 adalah sambutannya yang ke-35, dengan tema Menjayakan Wawasan Negara.

Sempena hari kemerdekaan Brunei Darul Salam, mari kita kenali sebuah Masjid di Kelantan. Diceritakan pembinaan masjid itu merupakan lambang persahabatan yang utuh antara bekas Menteri Besar sekitar tahun 70-an, Datuk Muhamed Nasir dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah. Menurutnya, hubungan erat itu diterjemahkan menerusi pembinaan bangunan masjid yang kosnya dibiayai sepenuh­nya oleh baginda.

Masjid Brunei, Kelantan

Masjid Brunei Darussalam merupakan masjid atas air terapung pertama di Malaysia, masjid ini telah diwakafkan oleh Sultan Brunei Darussalam, terletak di Danau Tok Uban atau lebih tepat di Rong Chenok, Pasir Mas, Kelantan, berkedudukannya di pinggiran Danau Tok Uban.Pada awalnya tiada ramai yang tahu tentang masjid ini,namun setelah 20 tahun pembinaannya,ia mula menjadi popular kerana ada kaitan dengan Sultan Brunei.

Masjid Brunei Darussalam, Masjid ini dibina berserta dengan sebuah Madrasah atas nama Almarhum Sultan Omar ‘Ali Saifuddien III iaitu ayahanda kepada Sultan Brunei kini (Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Omar ‘Ali Saifuddien) dan dirasmikan oleh Sultan Kelantan pada 23 Januari 1992 bersamaan 18 Rejab 1412H,Masjid ini diwakafkan oleh Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah kepada sekolah tahfiz di Kampung Rong Chenok.

Suasana di kawasan Masjid ini amat mendamaikan dan mententeramkan jiwa dan sesuai dijadikan kawasan pengajian terutama bagi pelajar Tahfiz di sini. Masjid Brunei yang tersergam indah di Tasik Danau Tok Uban di sini merupakan antara mercu tanda ‘tersembunyi’ di kawasan Chetok. Mana tidaknya, masih ada dalam kalangan penduduk di kawasan sekitar bahkan di negeri ini tidak mengetahui kewujudan masjid berkenaan yang mempunyai pemandangan cantik terutama setiap kali matahari terbenam.

Nama masjid itu dikaitkan dengan Brunei kerana perbelanjaan pembinaannya dibiayai Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang melakukan amal jariah untuk kepentingan umat Islam di negara ini. Keunikan masjid itu ketara kerana ia dibina di tepi Danau Toban dengan dua pertiga bahagiannya mencecah air. Jika dilihat daripada jauh, masjid itu seolah-olah terapung. Sebaik pembinaannya siap pada 23 Februari 1992, Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra merasmikan masjid terbabit.

Sementara itu, seni binanya yang bercirikan Asia Barat serta Melayu Brunei yang klasik, di samping warnanya yang putih bersih berjaya menarik perhatian sesiapa sahaja yang melalui kawasan tersebut. Meskipun terletak agak jauh di kawasan pedalaman, masjid berkenaan tidak pernah sunyi dengan kegiatan keagamaan.

Masjid yang tersergam indah di tepi Tasik Danau Tok Uban tersebut digunakan oleh pelajar sebuah maahad tahfiz sebagai lokasi untuk mereka mendalami ilmu agama. Pada waktu pagi dan petang penduduk di sekitar kawasan berkenaan pasti akan terdengar alunan merdu ayat suci al-Quran yang dilontarkan oleh para pelajar tersebut. Sehingga kini, masjid ini dijaga pihak pengurusan masjid. Bagi sesiapa yang ingin mengunjungi masjid ini perlu meminta kebenaran dengan pihak tahfiz terlebih dahulu untuk rekod.

Sahabat saya merupakan Penduduk Pasir Mas Kampung Tok Uban, Azilkhoiril Abd Aziz mengatakan pembinaan masjid itu merupakan satu kebanggaan kepada mereka yang tinggal berhampiran kawasan tersebut. Masjid berkenaan kini digunakan sepenuhnya oleh pelajar mahaad tahfiz untuk mendalami ilmu agama dan difahamkan operasi pengurusan pusat pengajian yang kini digelar Maahad Tahfiz Tok Uban berkenaan disumbangkan secara terus oleh Sultan Brunei.

Rujukan:

  1. Brunei Merdeka 1984. https://www.thepatriots.asia/brunei-merdeka-1984/
  2. Masjid-brunei-mercu-tanda-tersembunyi-di-danau-tok-uban.. http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kelantan/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.