Setiap negara mempunyai mitos dan kisah hantunya yang tersendiri. Di Malaysia, bukan sekali dua kita mendengar kisah Volkswagen kuning di Lebuhraya Karak yang bisa membuatkan bulu roma sesiapa saja meremang. Tetapi di Jepun atau lebih tepat di Edo, kisah hantu ini berhubungkait dengan seorang lelaki yang selayaknya digelar samurai pertama di Jepun dan dianggap musuh kepada maharaja yang memerintah pada zamannya. Dan walaupun selepas satu milenia, namanya menjadi igauan ngeri penduduk Tokyo. Kisah yang saya maksudkan ialah sumpahan Taira no Masakado.

Tokyo yang kita kenali hari ini amat berbeza dengan Edo/Tokyo pada masa lampau. Ini kerana wilayah ini menjadi tumpuan kelompok pahlawan terutama golongan terpinggir dan penjenayah berleluasa. Tetapi ini juga permulaan kepada kewujudan samurai, nama gelaran yang diberi mereka yang bermaksud sedia untuk berkhidmat dan kesetiaan mereka ditumpahkan kepada maharaja Jepun. Tetapi bagi Masakado, kesetiaan sebegini tidak akan ke mana kerana beliau merasakan akan wujud satu era di mana samurai menjadi penentu kekuasaan takhta dan kuasa bakal beralih arah kepada mereka.

Dan ini yang mendorong pembesar yang menguasai wilayah Kanto itu memutuskan untuk memberontak dan menubuhkan kerajaannya sendiri. Pada tahun 939, Masakado mengetuai pemberontakan ke atas kerajaan pusat di Kyoto dengan menyerang dan membunuh gabenor daerah Hitachi sebelum menawan daerah Shimotsuke dan Kosuke pada Disember tahun sama. Selepas berjaya menakluk dua kawasan itu, beliau memberitahu para pengikutnya bahawa beliau dipilih oleh Amaterasu sebagai pemerintah baru Jepun sekaligus membolehkannya ditabalkan sebagai maharaja baru, satu perkara yang menimbulkan kemurkaan Maharaja Suzaku ketika itu.

Sebagai tindak balas, baginda meletakkan ganjaran lumayan bagi sesiapa saja yang berjaya membunuh individu yang dianggap pengkhianat kepada kerajaannya. 59 hari selepas itu, Masakado mati dibunuh oleh sepupunya Taira no Sadamori dan Fujiwara no Hidesato dalam Pertempuran Kojima pada tahun 940. Sebagai ganjaran kepada tindakannya itu, beliau mendapat kedudukan istimewa dalam istana termasuk dilantik sebagai gabenor daerah Mutsu. Tetapi bagi Masakado, kematiannya bukan pengakhiran tetapi permulaan kepada sumpahan yang terus bertahan sehingga hari ini.

Legenda ada menyebut bahawa beliau kebal kecuali pada bahagian kepala berikutan kegagalan ibunya, seekor ular gagal menjilat kepalanya. Dan penduduk tempatan ada melihat kumpulan rama-rama dan pelangi muncul serentak di Kyoto sekaligus sebagai petanda pemberontakan Masakado. Bagi pihak pemerintah ketika itu, semua ini cuba ditembak jatuh dengan mengeluarkan propaganda beliau mati dalam keadaan terhina dan terseksa di barzakh. Tetapi khabar-khabar ini membuktikan mereka sebenarnya amat terkesan dengan ancaman Masakado.

Anak perempuannya, Takiyasha mempunyai kemahiran ilmu hitam dan berjaya membangkitkan sekumpulan katak semasa tinggal di runtuhan kubu milik bapanya itu. Dalam Bahasa Jepun, perkataan katak atau kaeru turut merujuk kepada kepulangan. Kepulangan yang dimaksudkan ialah kembalinya Masakado sebagai hantu untuk membalas dendam. Untuk mengelak perkara ini berlaku, Sadamori dan Hidesato diarah membawa kepala Masakado ke Kyoto di mana ianya digantung di atas pokok di sebuah pasar. Masalahnya, kepalanya terbang ke udara setiap malam dan mencetuskan keributan dalam kalangan orang ramai sambil bertanya, “Di manakah badanku?!”

Tidak lama selepas itu, ia terbang menghilangkan diri sebelum dipanah oleh seorang pahlawan tempatan. Lokasi peristiwa itu berlaku ditandakan menerusi pembinaan sebuah kuil di Gifu. Akhirnya, kepala Masakado jatuh di sebuah perkampungan nelayan terpencil di Shibazaki. Bila penduduk tempatan mengetahui kepala itu milik siapa dan kisah di sebaliknya, mereka segera membasuhnya, memberi pengebumian secara terhormat dan meletakkan batu nisan yang diukir dengan mantera-mantera untuk menghalangnya dari menganggu penduduk. Namun, itu tidak menghalang lebih banyak peristiwa aneh termasuk kemunculan hantu Masakado dan apa saja peristiwa buruk yang menimpa perkampungan itu, mereka tahu siapa yang harus dipersalahkan.

Tetapi kehebatan dan ketokohan Masakado turut memberi inspirasi kepada samurai-samurai lain selepasnya mendapatkan kuasa melalui pertempuran. Dan sejak itu, gelaran shogun yang seharusnya bersifat sementara dan hanya digunakan semasa darurat dipergunakan sepenuhnya mereka untuk memerintah Jepun dengan maharaja-maharaja selepas itu dijadikan sebagai boneka untuk mengesahkan kekuasaan mereka. Hasil daripada semua ini, mereka tidak pernah lupa individu yang bertanggungjawab merealisasikan impian mereka: Masakado. Justeru, Kuil Kanda yang menempatkan kepalanya menjadi sebahagian daripada ibu negara baru Jepun yang diperintah shogun: Edo atau Tokyo hari ini.

Namun, kekuasaan dan pengaruh Masakado gagal membantu samurai-samurai selepasnya menangani ancaman samurai yang setia kepada maharaja menjelang abad ke-19. Ya, ulangan Pertempuran Kojima tetapi bezanya, ini membabitkan pemulihan semula institusi maharaja. Samurai yang bertanggungjawab menaikkan shogun juga bertanggungjawab memulihkan kekuasaan Maharaja Meiji pada tahun 1868 dan menyediakan asas kepada Jepun moden hari ini. Edo dinamakan semula To-kyoto (ibu negara timur) sebelum dipendekkan kepada Tokyo. Manakala Masakado pula diisytiharkan secara rasmi sebagai musuh maharaja sekaligus menamatkan status semi-kedewaannya itu. Ini termasuklah tanah yang menempatkan kubur kepalanya dimiliki oleh Kementerian Kewangan Jepun pada pertengahan abad ke-19.

Tetapi jika kerajaan Jepun moden menyangka sumpahan Masakado sudah berakhir, mereka salah. Sejak itu, kementerian sentiasa dilanda pelbagai masalah termasuk bangunannya musnah semasa gempa bumi 1923. Dan bila sebuah bangunan baru dibina, ia menyaksikan lebih banyak tragedi yang menyaksikan 14 orang terbunuh termasuk Menteri Kewangan Jepun sendiri. Pada tahun 1928, barulah pihak kementerian mengakui tapak bangunan mereka dibina di atas kubur Masakado. Satu upacara diadakan untuk menenangkan hantu Masakado tetapi mereka terlupa meletakkan batu nisan baru di tempat asal.

Dan ini merupakan alasan yang digunakan apabila sembilan premis pejabat termasuk pejabat kementerian musnah terbakar bila disambar petir. Pada tahun 1945 pula, cubaan tentera Amerika memusnahkan kubur samurai pertama itu mengakibatkan seorang pemandu jentolak terbunuh apabila jentolak yang dipandunya terbalik semasa cuba hendak meratakan kubur berkenaan. Plot tanah membabitkan kubur itu seharusnya menjadi kawasan tempat meletak kenderaan tetapi rancangan tersebut dibatalkan selepas dinasihati oleh kerajaan Jepun kerana bimbang lebih banyak insiden tidak diingini berlaku jika ia tetap diteruskan.

Pada tahun 90-an pula, firma kewangan Mitsui Finance Corporation menjual hak mineral di tanah yang mengandungi plot kubur Masakado. Bagi yang tahu kisah di sebalik ini, pasti ada menganggap eksekutif-eksekutif syarikat berkenaan sudah hilang akal. Tetapi pada mereka, itu saja peluang untuk menstabilkan kedudukan kewangan mereka. Hasilnya, syarikat sama musnah apabila memfailkan perintah muflis pada tahun 2002. Dan sejak itu, sebuah kumpulan sukarelawan yang bertugas menjaga kuburnya ditubuhkan dan sebuah akaun bank atas namanya turut dibuka di Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ kononnya sebagai rasuah terhadap hantu itu.

Untuk mengelak lebih banyak masalah, syarikat-syarikat turut mengeluarkan pantang larang tertentu berkenaan binaan yang menghadap kubur Masakado. Pertama, bahagian yang menghadap kuburnya tidak dipasang dengan tingkap. Kedua, susunan meja dibuat agar ia tidak membelakangkan kubur itu. Jika ada yang berbuat demikian, maka mereka dianggap tidak menghormati hantu Masakado. Jadi, faham-fahamlah sendiri jika premis bangunan yang digunakan dihantui oleh samurai pertama Jepun itu.

Tetapi bukan kubur Masakado saja yang dianggap antara tempat paling berhantu di Jepun. Jika anda berkunjung ke Toyama Park pada waktu malam, maka bersedialah mendengar raungan dan tangisan yang menakutkan di situ. Di sinilah terletaknya kubur besar menempatkan mangsa-mangsa jenayah perang Jepun atau lebih tepat mangsa eksperimen unit perang kimia dan biologi Jepun semasa Perang Dunia Kedua, Unit 731 yang diketuai Mejar Jeneral Jiro Ishii. Mangsa-mangsa eksperimen bukan saja orang awam tetapi juga tentera musuh dari China hinggalah Mongolia.

Dan bagi rakan-rakan yang pernah menjadi ekspatriat di Jepun, pasti sudah dengar kisah kediaman Perdana Menteri Jepun yang berhantu. Kediaman ini dihantui pelbagai peristiwa berdarah termasuk pembunuhan Perdana Menteri Inukai Tsuyoshi pada tahun 1932 dan cubaan rampasan kuasa pada tahun 1936. Lubang peluru dan kesan kebakaran masih boleh dilihat sehingga hari ini. Tetapi kesan fizikal ini tidak setanding dengan kelibat hantu-hantu berpakaian uniform tentera merayau di taman pada waktu malam yang dilihat sesetengah staf kediaman rasmi itu.

Bukan sekali dua kisah bekas-bekas Wanita Pertama Jepun enggan berpindah ke kediaman itu alasan ia berhantu. Walaupun Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menyatakan kediaman rasmi itu terlalu besar untuk keperluannya, wujud spekulasi beliau enggan berpindah atas alasan ianya berhantu. Jika tidak, mengapa Abe boleh menanyakan soalan cepumas ini kepada rakan-rakan penggubal Parti Liberal Demokratik Jepun (LDJ) semasa satu majlis makan malam di Nagatacho, “Saya tidak rasakan boleh tinggal di sini kerana ia berhantu. Jadi, boleh tak kita tinggal di sini bersama-sama?”

RUJUKAN:

1. Clements, Jonathan. (2019). The curse of Masakado: why a malevolent ghost haunts Tokyo. The Guardian. https://www.theguardian.com/cities/2019/jun/10/the-curse-of-masakado-why-a-malevolent-ghost-haunts-tokyo?fbclid=IwAR3Uo3ArFvTg3EQHsRnBQPgWd5V8EKaeuG6FTrFfrVqxAU7Qp-w1G-Hc7SI

2. McCurry, Justin. (2013). Japanese prime minister fails to move back into ‘haunted’ residence. The Guardian. https://www.theguardian.com/world/2013/aug/19/japan-prime-minister-official-residence-haunted

3. Lloyd-Parry, Richard. (2011). Suburban Tokyo park may hide a terrible wartime secret. The Australian. https://www.theaustralian.com.au/news/world/suburban-tokyo-park-may-hide-a-terrible-wartime-secret/news-story/b15cd11f1cab45d50d69d30ef3a6dad5

4. SoraNews24. (2015). Japan is full of ghosts: Visiting the grave of Taira no Masakado’s head. https://soranews24.com/2015/06/30/japan-is-full-of-ghosts-visiting-the-grave-of-taira-no-masakados-head/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.