Moving Forward As One

Mary Celeste – Misteri Kapal Yang Berlayar Tanpa Pengemudi

3,117

Pada tanggal 4 Disember 1872, kapal Mary Celeste dijumpai terhuyung-hayang di Lautan Atlantik. Semasa dijumpai, kapal tersebut berkeadaan sempurna dengan kain layarnya dibuka penuh  dan bekalannya pula masih ampuh. Cuma yang anehnya, kapal tersebut kosong tanpa kehadiran manusia. Kesemua anak kapalnya hilang tanpa sebarang jejak sekaligus ia menjadi suatu misteri yang menyelubungi sebahagian manusia sehingga ke hari ini, yakni lebih 148 tahun lamanya.

Walau bagaimanapun, selepas ia ditemui, kapal tersebut dikemudikan seperti biasa dan pada bulan Januari 1885, Mary Celeste yang ketika itu dikemudi oleh Kapten Gilman Parker menghentam Terumbu Rochelois dan karam di pantai Haiti. Dengan demikian, tamatlah riwayat salah sebuah kapal yang namanya paling disebut-sebut dalam sejarah perlayaran manusia.

Lukisan yang menggambarkan kapal Mary Celeste, 5 Disember 1872

MARY CELESTE DAN ANAK-ANAK KAPAL

Mary Celeste merupakan sebuah kapal dagang jenis brig yang didaftarkan di bawah kerajaan British pada tahun 1861, dengan nama asalnya adalah Amazon. Tujuh tahun kemudian, ia dipindah-milik kepada seorang lelaki Amerika dan namanya pun diubah menjadi Mary Celeste.

Kapal tersebut terus berlayar menggagahi samudera tanpa mengalami sebarang kejadian aneh, sehinggalah tahun 1872 di mana ia diberangkatkan dari New York menuju ke Genoa. Kapten kapal yang mengemudi Mary Celeste ketika itu ialah Benjamin Briggs, yang disifatkan sebagai seorang penganut Kristian yang taat dan pelaut berani yang tidak mudah menyerah kecuali demi menyelamatkan nyawa sendiri dan anak-anak kapal. Pembantu kanannya, atau disebut sebagai first mate, Albert Richardson, juga diperincikan sebagai seorang yang cekap dan dipilih sendiri oleh Kapten Briggs. Selain mereka berdua, Mary Celeste juga dinaiki oleh enam orang anak kapal dan isteri serta bayi perempuan Kapten Briggs.

Anak-anak kapal Mary Celeste yang hilang. Dari kiri: Benjamin Briggs, Albert C. Richardson, Sarah Briggs (isteri kapten), dan Sophia Briggs (anak kapten)

Pada penghujung Oktober 1872, Mary Celeste mula dimuatkan dengan kargo yang terdiri daripada 1701 buah tong arak. Ia berangkat meninggalkan Pelabuhan New York pada tanggal 7 November dan hampir sebulan kemudian, iaitu pada tanggal 4 Disember, ia ditemui oleh sebuah kapal British bernama Dei Gratia sedang berlayar tanpa pengemudi di Lautan Atlantik atau tepatnya, di kawasan antara Azores dan Portugal.

KEADAAN MARY CELESTE SEMASA IA DIJUMPAI

Setelah meninjau keadaan dengan lebih dekat, anak-anak kapal Dei Gratia mendapati Mary Celeste tidak mempunyai seorang pun penumpang di atasnya dan entri terakhir dalam buku log kapal menunjukkan tarikh 24 November. Pun begitu, kapal masih dalam keadaan sempurna. Kargonya tidak berusik, dan bekalan makanan serta minumannya cukup untuk mengharungi enam bulan perlayaran.

Pipa atau paip rokok milik anak-anak kapal Mary Celeste juga antara yang turut dijumpai, justeru David Morehouse, kapten kapal Dei Gratia, menyimpulkan bahawa kru kapal Mary Celeste meninggalkannya secara tergesa-gesa. Tambahan pula, satu-satunya bot penyelamat serta kronometer dan sekstan milik Mary Celeste didapati hilang. Dalam laporan yang dibuat oleh Augustus Andersan (anak kapal Dei Gratia), halyard utama milik Mary Celeste ditemui putus dan tergantung di sisi kapal tersebut.

Gambaran keadaan kabin kapal Mary Celeste semasa anak-anak kapal Dei Gratia menemuinya

SENARIO YANG MUNGKIN MENIMPA MARY CELESTE

Menerusi laporan-laporan tersebut, satu senario atau urutan peristiwa kemudiannya dibentuk bagi menggambarkan kejadian sebenar yang menimpa Mary Celeste: berlaku sesuatu pada Mary Celeste sehingga membuatkan kapten kapal, Benjamin Briggs, berasa panik lalu mengarahkan kesemua penumpangnya menaiki bot penyelamat.

Halyard utama (tali pada kapal) kemudian digunakan untuk mengikat bot penyelamat pada badan kapal, dan Briggs serta kesemua anak kapal pun memerhatikan nasib Mary Celeste dari atas bot penyelamat. Cuma malang tidak berbau. Tali halyard yang menyambungkan bot penyelamat dengan Mary Celeste terputus sekali gus Briggs dan kesemua anak kapal hanyut dibawa ombak, meninggalkan Mary Celeste berlayar tanpa pengemudi.

Plak memperingati anak-anak kapal Mary Celeste yang hilang tanpa jejak

TEORI-TEORI YANG CUBA MENJELASKAN FAKTOR MARY CELESTE DITINGGALKAN

Sebab yang membuatkan Kapten Briggs naik cemas sehingga mengarahkan Mary Celeste ditinggalkan masih belum disepakati, justeru timbul banyak teori yang cuba menjelaskannya. Menurut seorang pelaut bernama David Williams, Mary Celeste ditinggalkan kerana berlaku gempa bumi bawah laut yang dianggap sebagai satu fenomena lazim di Azores. Beliau mengandaikan kejadian tersebut mengakibatkan sembilan buah tong arak dalam kargo Mary Celeste tumpah sekaligus membuatkan Briggs khuatir kalau-kalau ia bakal menyebabkan berlaku letupan pada kapal lantas mengarahkan kesemua anak kapal meninggalkan Mary Celeste.

Sememangnya semasa Mary Celeste dijumpai, terdapat sembilan tong arak dalam kargonya yang kosong. Namun, tong tersebut kosong bukanlah kerana ia tertumpah. Sebaliknya, ia disebabkan oleh tong itu sendiri yang berbeza dengan tong-tong lain, di mana sembilan tong tersebut diperbuat daripada kayu oak merah yang lebih berliang-rongga berbanding kayu oak putih, sekaligus lebih mudah bocor. Tambahan, anak-anak kapal yang menemui Mary Celeste langsung tidak melaporkan tentang wasap* daripada arak yang tertumpah dan menyatakan bahawa pintu dek utama kapal masih utuh, sekaligus membuktikan bahawa letupan dek tumpahan arak sememangnya tidak berlaku.

Bagaimanapun, ada juga pakar yang menegaskan berlaku letupan pada Mary Celeste sebagaimana yang dikemukakan oleh Dr. Andrea Sella, seorang saintis di UCL. Beliau bahkan melakukan simulasi yang menunjukkan berlaku penjanaan-haba yang mengakibatkan letupan pada kapal tersebut tanpa meninggalkan sebarang kesan kebakaran mahupun  jelaga. Menurutnya, letupan inilah yang mencemaskan Kapten Briggs.

Anne MacGregor, seorang pengarah dokumentari pula berpendapat Mary Celeste mengalami kebocoran di bahagian badan kapal dan dimasuki air sekaligus membuatkan ia mulai tenggelam. Maka, Kapten Briggs pun mengarahkan kesemua anak kapal supaya meninggalkan Mary Celeste.

Walaupun teori-teori yang dikemukakan di atas dilihat cukup munasabah, wujud juga spekulasi-spekulasi liar yang cuba mengaitkan misteri Mary Celeste dengan beberapa senario aneh; seperti pengkhianatan anak kapal, pembunuhan anak kapal Mary Celeste oleh kru kapal Dei Gratia, serangan sotong gergasi, penculikan makhluk asing, penemuan kapal terbengkalai yang dipenuhi harta karun sehingga menggamit anak kapal Mary Celeste untuk meninggalkan kapal, dan pelbagai lagi teori-teori pelik lain.

Lukisan kapal Mary Celeste, semasa ia masih dikenali sebagai Amazon, tahun 1861

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (10 September 2020). The Mystery of the Mary Celeste: Crew Vanishes from Seaworthy Ship. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/unexplained-phenomena/mystery-mary-celeste-crew-vanishes-seaworthy-ship-002958

Ruangan komen telah ditutup.