Siapa yang mahukan kecelakaan pada ambang hari perayaan bukan? Namun itulah realiti yang pernah dialami ramai dalam kalangan pekerja-pekerja syarikat Marvel. Krismas 1996 merupakan hari yang paling pahit bagi mereka.

Sementara ramai orang menyambut secara gilang-gemilang, Marvel diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Bankrapsi Amerika Syarikat. Syarikat ini sedang kehilangan wang bagaikan tangki air yang retak. Dan masalah paling besar mereka ialah hutang, yang menyebabkan pemberhentian kerja seramai 275 orang (Leonhardt, 1996).

Namun pada hari ini, realitinya sangat berbeza bagi Marvel. Syarikat inilah paling berkuasa bagi pembikinan filem berdasarkan watak-watak komik. Tarikan, cerita dan konsistensi yang berjaya diterapkan dalam Marvel Cinematic Universe telah memberikan Avengers: Endgame laluan mudah untuk menundukkan Avatar sebagai filem kutipan paling tinggi dalam masa 90 hari sahaja.

Sebelum Tony Stark meninggal dunia akibat petikan jari yang mendebukan Thanos, Marvel juga mempunyai filem-filem berkeuntungan besar seperti Iron Man 3, Captain America: Civil War, Black Panther dan Captain Marvel iaitu filem komik pertama yang berjaya mencecah AS$1 bilion dengan wanita sebagai watak utama.

Transformasi yang dirancakkan sememangnya meletakkan Marvel di tempat yang tinggi. Dengan sokongan, dokongan dan dorongan daripada kuasa paling besar dalam industri perfileman, masa depan dilihat mekar dan segar bagi Marvel. Namun 10 tahun sebelum Iron Man diterbitkan, mereka sedang sengsara. Bagaimanakah Marvel membetulkan keadaan?

Risiko.

Marvel mempunyai dua pilihan: make or break. Walaupun berjaya membayar hutang sebelum memasuki alaf baru, Marvel masih belum selamat. Mereka mempunyai banyak rancangan, seperti restoran-restoran bertema komik iaitu Marvel Mania. Idea ini dijayakan pada tahun 1998… yang tutup dalam tempoh setahun. Jadi Marvel perlu sesuatu untuk berjaya. Kemuflisan diisytiharkan dua tahun selepas filem Blade telah menyengat prestasi mereka.

Blade merupakan sebahagian daripada perjanjian berisiko tinggi yang menyaksikan penjualan hak untuk X-Men dan Spider-Man kepada 20th Century Fox (kini dibawah Disney) dan Sony Pictures. Atas kertas, rancangan ini nampaknya berjaya. Hugh Jackman menajamkan kuku X-Men pertama dengan kutipan hampir AS$300 juta dengan kos AS$75 juta sahaja. Spider-Man 1 menjana keuntungan besar yang mencecah angka bilion jika digabungkan kutipan pawagam dan jualan DVD.

Namun Marvel tidak mendapat satu sen pun daripada keuntungan berganda ini. Hak perfileman telahpun dicapai kata sepakat dengan pembayaran awal (up-front payment). Blade yang mengutip AS$70 juta pun menyumbangkan sebanyak AS$25,000 sahaja kepada akaun Marvel.

Maka pada tahun 2003, seorang agen bernama David Maisel membuat pembentangan yang mempersoalkan strategi Marvel. Beliau menimbulkan persoalan tentang strategi semasa syarikat iaitu penyerahan aset atas yuran kecil. Maisel mencadangkan penubuhan Marvel Studios yang memiliki Marvel menguasai secara sepenuhnya. Pada ketika itu, perancangan relevan ini dilihat terlalu besar. Namun Maisel tetap menekankan bahawa strategi semasa Marvel yang tiada untung mahupun rugi tetap tidak membebaskan Marvel daripada belenggu kos operasi.

Pada tahun 2005, idea Maisel dilaksanakan dengan sebuah perancangan tujuh tahun. Mereka memoon pinjaman sebanyak AS$525 juta daripada bank Merill Lynch. Filem-filem yang bakal dibikin pula akan diedarkan oleh Paramount Pictures. Tetapi untuk mendapat dana AS$525 juta tersebut, Marvel perlu mencagarkan 10 harta. Jika gagal, Marvel akan kehilangan hak untuk the Avengers, Nick Fury, Black Panther, Ant-Man, Cloak & Dagger, Doctor Strange, Hawkeye, Power Pack dan Shang-Chi kepada Bank of America, termasuk juga Captain America.

Maka apabila Thanos melancarkan serangan besar-besarannya, Iron-Man dan Thor Gemuk sahaja yang akan berdepan dengan Black Order. Sebenarnya hak perfileman Iron-Man pun terlepas daripada tangan Marvel juga. Tetapi hak ini diserahkan dari studio ke studio, bermula dengan Universal sampailah New Line Cinema. Tiada seorang pun berjaya melepasi fasa perancangan; maka hak kembali kepada Marvel, yang ditolak seramai 30 penulis skrip atas alasan musykil dengan kemampuannya (Armitage, 2019).

Jika rancangan ini gagal, Marvel perlu berdepan dengan pokok dan bunga pinjaman mereka – dan kehilangan hampir semua harta mereka. Tanpa sebarang peluang dalam minit-minit layar perak, Iron-Man sahajalah tombak utama Marvel. Dikemudikan Robert Downey Jr. yang turut mencari peluang untuk menebus kariernya, Iron-Man boleh dikatakan mendapat keuntungan yang menjaminkan masa depan mereka. Pengaruh Iron-Man mula merebak sehingga penulis ini pun menyimpan jambang seperti Tony Stark.

Kini dibawah pentadbiran Kevin Feige, Marvel telah mengutip sebanyak AS$26.6 bilion. Belum pernah mana-mana filem komik dicalonkan sebagai Filem Terbaik dalam Academy Awards. Itulah yang membuatkan Hugh Jackman menyanyi “how come comic book movies never get nominated? How can a billion dollars beyond sophisticated? Everyone went to see the Dark Knight” pada tahun 2009. Namun Kevin Feige memecahkan kebuntuan tersebut dengan Black Panther yang menerima pencalonan tersebut, tetapi tewas pada Green Book. Namun Black Panther memenangi Muzik Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik dan Rekaan Pakaian Terbaik.

Dengan tujuh filem terbaru diumumkan yang akan menyambung Marvel Cinematic Universe, tentu sekali Marvel takkan mudah kecundang.

Sumber:

Armitage, H. (2019). How Iron Man’s first film almost destroyed Marvel. [online] Digital Spy. Available at: https://www.digitalspy.com/movies/a26232993/iron-man-marvel-loan-bankruptcy/ [Accessed 7 Feb. 2019].

Leonhardt, D. (1996). What Evil Lurks In the Heart of Ron?. Bloomberg, p.44.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.