Bila kita berbicara tentang Martin Bormann, pandangan pertama ialah beliau merupakan individu kedua paling berkuasa dalam Parti Pekerja Sosialis Kebangsaan Jerman atau Nazi selepas Adolf Hitler. Dan ini berlaku berikutan kejayaannya mengatasi pesaing-pesaing dalam kalangan orang yang dipercayai Hitler untuk mendapatkan kuasa semasa Perang Dunia Kedua. Namun, siapa sebenarnya individu ini sehingga digelar oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam satu laporan bertarikh 1948 sebagai manusia yang bersaiz seperti mole yang mempunyai keinginan mendapatkan kuasa tanpa kesudahan?

CERITA AWAL

Bormann dilahirkan pada 17 Jun 1900 di Wegeleben dan merupakan anak kepada seorang pekerja pejabat pos. Pada usia mudanya, selepas mengambil keputusan untuk tidak menyambung pelajaran, beliau bekerja di sebuah ladang di Mecklenburg. Semasa Perang Dunia Pertama (WWI), Bormann berkhidmat sebagai tentera pada tahun-tahun terakhir perang. Selepas perang berakhir, beliau berkhidmat dalam Freikorps, sebuah unit separa tentera berhaluan kanan yang berkhidmat dengan kerajaan melawan komunis Jerman yang disokong oleh Soviet Union. Unit ini menganggap pihak komunis mengkhianati Jerman dan mengakibatkan negara tersebut kalah dalam WWI. Dan kumpulan ini tidak teragak-agak menggunakan pendekatan keganasan dalam menamatkan pemberontakan komunis terutama di Munich. Pada Mac 1924, Bormann dipenjarakan selama 12 bulan atas dakwaan bersubahat dalam pembunuhan Walther Kadow, individu yang dikatakan bertanggungjawab mendedahkan Leo Schlageter kepada pihak berkuasa Perancis semasa mereka menguasai wilayah Ruhr.

Selepas dibebaskan dari penjara, Bormann mengikut jejak langkah rakan seperjuangannya dalam Freikorps menyertai Parti Nazi. Keupayaan beliau menguruskan aspek pentadbiran dengan baik menarik perhatian kepimpinan parti dan pada tahun 1928, Bormann dilantik sebagai pengurus perniagaan parti tersebut. Pada ketika itu, Parti Nazi masih lagi kecil dan mempunyai 12 kerusi dalam Parlimen Jerman (Reichstag). Namun kejatuhan saham di Wall Street yang membawa kepada Era Kemelesetan mengubah nasib parti tersebut selama-lamanya. Setahun selepas itu, beliau berkahwin dengan Gerda Buch di mana perkahwinan tersebut disaksikan oleh Hitler sendiri. Hasil dari perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan sepuluh cahaya mata.

KESAYANGAN HITLER

Pada Julai 1933, Bormann dilantik sebagai setiausaha sulit Rudolf Hess, timbalan pengerusi parti. Pada bulan Oktober tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Reichsleiter dalam parti, jawatan paling tinggi dalam parti pada ketika itu. Sebulan selepas itu, Bormaan dilantik sebagai timbalan Reichstag. Pada tahun 1935, Hitler melantik beliau mengetuai operasi pengubahsuaian kawasan kediaman beliau di Obersalzberg. Di sinilah, beliau mengarahkan pembinaan berek pengawal Schutzstaffel (SS), jalan raya, laluan pejalan kaki, garaj kenderaan, rumah tetamu, rumah pekerja dan kemudahan asas yang lain. Di sini juga, Bormann dan beberapa pemimpin kepercayaan Hitler membina kediaman mereka supaya berhampiran dengan Berghof. Semasa Hitler mendiami Berghof, Bormann berperanan sebagai setiausaha sulit beliau, mengawal akses tetamu kepadanya dan diberi tanggungjawab menjaga kewangan peribadinya.

Pada tempoh tersebut, Bormann menubuhkan satu tabung dipanggil Dana Adolf Hitler Untuk Perdagangan Dan Industri Jerman. Dana ini ditubuhkan untuk mengutip duit dari industri-industri Jerman bagi pihak Hitler di mana sebahagian daripada duit yang diterima disalurkan kepada pemimpin-pemimpin Nazi. Sementara sebahagian lagi digunakan untuk kegunaan peribadi Hitler. Dan Bormann juga tahu bagaimana hendak mengawal Hitler lebih-lebih lagi selepas bos beliau, Hess mengambil keputusan terbang ke Britain pada tahun 1941 untuk cuba mengadakan rundingan damai dengan mereka. Tindakan Hess menimbulkan kemarahan Hitler dan ramai individu dikaitkan dengan Hess seperti pakar astrologi dan pakar ilmu ghaib ditahan. Semua pangkat yang dimilikinya turut dilucutkan dan peranan Hess diambil alih oleh Bormann yang mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada Fuhrer. Dan hadiah beliau kepada diktator Jerman ini ialah seekor anjing yang menjadi teman setia sepanjang hayatnya, Blondie.

Semasa menjawat jawatan sebagai Kanselor Parti, beberapa tindakan beliau menimbulkan kontroversi:

a) menyerang institusi gereja. Bagi Bormann, institusi gereja ibarat kanser yang perlu dihapuskan dari bumi Nazi Jerman. Antara langkah yang diambil beliau pada ketika itu ialah mengarahkan pelajaran agama dikurangkan kepada dua jam seminggu dan membuang lambang salib dari bilik darjah. Bormann turut mengarahkan mana-mana ahli atau pemimpin parti yang masih aktif menghadiri gereja meletak jawatan dan menyerahkan semula keahlian mereka kepada parti. Selain itu, ratusan gereja di Austria dan Jerman dirampas oleh Gestapo di mana kepimpinan gereja dihalau keluar.

Kemuncak pada serangan ini ialah Bormann mahukan Bishop Katolik dari Munster, August von Galen dihukum gantung sampai mati berikutan kenyataannya kepada para hadirin yang mengecam keras beberapa polisi Nazi ketika itu. Hitler bimbang sekiranya tindakan tersebut diteruskan, Galen akan diangkat sebagai syuhada dan ini pasti memarakkan lagi api penentangan terhadap kerajaan Nazi Jerman. Atas sebab itu, beliau dan Joseph Goebbels menangguhkan semua bentuk tindakan terhadap gereja sehingga perang berakhir. Menurut Albert Speer dalam memoirnya, Inside The Third Reich, semasa merancang ibu negara baru Jerman, Germania, Bormann mengarahkan tiada sebarang ruang diberi kepada gereja dalam pelan Speer.

Antara contoh serangan Nazi ke atas institusi gereja di Poland. Kredit: https://en.wikipedia.org/wiki/Nazi_persecution_of_the_Catholic_Church_in_G
August von Galen menjadi sasaran kebencian Nazi terutama Bormann kerana lantang mempertikai polisi-polisi rasmi Nazi Jerman.

b) menggubal polisi-polisi kejam terhadap orang Yahudi, orang Slavik dan tawanan perang. Pada 31 Mei 1941, satu dekri ditandatangani Bormann untuk melaksanakan Undang-Undang Nuremberg pada wilayah-wilayah yang ditakluk di sebelah Timur (negara-negara Baltik, Ukraine dan sebahagian daripada Rusia). Setahun selepas itu, pada 9 Oktober, beliau menandatangani satu dekri yang memberi pengesahan kepada Final Solution iaitu pembunuhan beramai-ramai di kem maut Nazi. Dan ini dikukuhkan lagi dengan satu lagi dekri bertarikh 1 Julai 1943 yang memberi kuasa penuh kepada Adolf Eichmann berkenaan orang Yahudi. Di sebelah Timur, Bormann turut menyokong pendekatan keras Erich Koch terhadap orang-orang Slavik walaupun sesetengah daripada mereka ini menyokong Nazi.Pada hari-hari terakhir perang, Bormann terus kekal bersama Hitler dan menjadi saksi kepada perkahwinan beliau dengan Eva Braun. Bormann turut bertanggungjawab menandatangani wasiat dan arahan terakhir Hitler. Pada 30 April 1945, Hitler dan Braun membunuh diri (mengikut versi rasmi) dan mayat mereka dibakar seperti mana diarahkan.

Dalam wasiat tersebut, Hitler menamakan Karl Donitz sebagai Presiden Jerman dan Joseph Goebbels sebagai ketua kerajaan dan Kanselor Jerman. Bormann turut dinamakan sebagai menteri dalam kabinet baru Donitz sekaligus mengesahkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung tidak rasmi bagi Parti Nazi. Pada hari yang sama, Goebbels dan seluruh ahli keluarganya membunuh diri.

HARI-HARI TERAKHIR

Versi rasmi mengatakan pada 1 Mei 1945, Bormann bersama beberapa lagi pemimpin Nazi keluar dari bunker Hitler dan cuba melarikan diri daripada kepungan tentera Soviet Union. Namun cubaan tersebut gagal apabila kereta perisai Tiger tempat mereka bersembunyi dibedil dengan artileri yang mengorbankan beliau dan doktor SS, Ludwig Stumpfegger. Ketua Hitler Youth, Artur Axmann yang bersama mereka semasa melarikan diri menyatakan dia melihat mayat mereka berdua namun tidak dapat mengesahkan sama ada mayat tersebut sememangnya Bormann atau sebaliknya. Keterangan Axmann ini dipertikai ramai pihak termasuk sejarawan-sejarawan arus perdana. Ini disokong dengan keterangan Tentera Merah tidak mengakui mereka menemui mayat beliau, ini mencetuskan kekecohan untuk tahun-tahun berikutnya.

HIDUP ATAU MATI…

Pada bulan-bulan berikutnya selepas perang berakhir, wujud pelbagai laporan yang menyebut Bormann terselamat daripada serangan artileri Soviet dan berjaya melarikan diri dari Berlin. Dan apabila Tribunal Jenayah Perang Nuremberg membicarakan semua pemimpin Nazi yang terlibat dengan jenayah perang seperti Heinrich Himmler, Hermann Goring, Speer dan Bormann, pengumuman radio dibuat bagi membolehkan beliau disenaraikan sebagai salah seorang defendan. Menariknya di sini, tribunal membicarakan beliau in absentia (tanpa kehadirannya sebagai defendan) sekaligus menambah lagi dakwaan bahawa Bormann tidak mati dan masih lagi hidup.

Bagi Dr John Cencich, seorang pensyarah di California University of Pennsylvania merangkap bekas penyiasat jenayah perang Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan panel rancangan dokumentari Hunting Hitler berpandangan keputusan membicarakan Bormann in absentia bukanlah satu keputusan mudah yang diambil ringan oleh panel hakim terlibat. Ini kerana mereka pasti mengambil kira laporan-laporan yang timbul berkenaan Bormann dan menganggap bekas setiausaha sulit Hitler itu masih lagi hidup. Ini ditambah dengan hukuman gantung yang dijatuhkan pada beliau dengan meletakkan syor sekiranya Bormann masih lagi hidup dan sebarang fakta baru dikemukakan pada ketika itu boleh saja membantu mengurangkan hukuman atau mengubah terus hukuman yang dijalankan.

Berikutan laporan Bormann masih hidup, semua agensi perisikan dari Agensi Perisikan Pusat (CIA) hingga MI5 menyiasat semua kesahihan laporan tersebut. Bagi MI5, banyak laporan yang menyatakan lokasi Bormann sama ada di Argentina, Sepanyol dan Sri Lanka merupakan palsu berikutan sumber yang digunakan mereka tidak boleh dijamin kredibiliti atau memang sah gila. Ini berdasarkan banyak laporan yang telah dinyahsulit untuk pandangan umum yang dilepaskan kepada Arkib Kebangsaan pada tahun 2009.

MI5 amat obses dalam mencari Martin Bormann berdasarkan laporan yang dinyahsulit pada tahun 2009. Kredit: https://jobs.theguardian.com/employer/205126/mi5-the-security-service/

Kita tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku pada Bormann tetapi ramai berkeras mengatakan orang kedua paling berkuasa dalam Parti Nazi itu masih hidup untuk tahun-tahun berikutnya. Menurut pemburu Nazi terkenal, Simon Wiesenthal, beliau percaya Bormann masih hidup dan bersembunyi di Amerika Selatan bersama dengan pemimpin-pemimpin Nazi yang lain.

Dan ini tidak menghairankan berdasarkan pendedahan sensasi yang dibuat oleh Uki Goni, seorang koresponden akhbar The Guardian berkenaan pembabitan beberapa negara dan Gereja Katolik dalam menyeludup keluar individu-individu ini keluar dari Eropah, diberi identiti baru dan mendapat perlindungan pemerintah yang bersimpati dengan mereka. Contohnya, tindakan Presiden Argentina, Juan Peron yang memberi perlindungan kepada ramai penjenayah Nazi yang melarikan diri daripada tindakan keadilan termasuk Josef Mengele dan Eichmann.

Pemburu Nazi terkenal, Simon Wiesenthal percaya Bormann berjaya melarikan diri dari Berlin selepas Pertempuran Berlin pada 1 Mei 1945.

Ada beberapa keterangan saksi yang menyatakan Bormann masih hidup selepas Perang Dunia Kedua:

i) Panel Hunting Hitler yang juga wartawan penyiasatan, Gerrard Williams menemubual seorang lelaki bernama Emilio Zajer di Misiones, Argentina di mana bapanya mempunyai latar belakang Nazi. Menurut Zajer, bapanya pernah berkhidmat dalam Hitler Youth dan berhijrah ke Argentina pada usia 15 tahun semasa tahun 1940. Menurut beliau, bapanya pernah berkhidmat sebagai pemandu kepada Bormann semasa beliau berada di Argentina.

ii) Semasa di Osorno, Chile, Williams dan bekas Ranger Amerika Syarikat, Tim Kennedy mendapat maklumat bahawa Juan Keller ialah identiti penyamaran yang digunakan Martin Bormann semasa berada di Amerika Selatan. Berdasarkan maklumat, Keller/Bormann menjadi peladang yang kaya-raya dan dikawal oleh ramai individu bersenjata. Selain itu, Keller/Bormann turut mengambil anak penjaga rumahnya sebagai anak angkat iaitu Marianna. Menurut Marianna, beliau diambil sebagai anak angkat pada usia dua bulan. Kali terakhir Marianna bertemu dengan bapanya ialah semasa beliau berumur 13 tahun di mana pada hari itu, Keller/Bormann menghantarnya pergi ke sekolah dan mengucapkan selamat tinggal kepada anak kesayangannya itu. Beliau mendedahkan punca bapanya itu melarikan diri selepas mendengar berita penahanan Eichmann oleh agensi perisikan Israel, Mossad. Tak lama selepas pemergian Keller/Bormann, empat individu dari Colonia Dignidad berjumpa dengan Marianna untuk mengesahkan bahawa beliau ialah anak kepada Martin Bormann. Bila Kennedy menunjukkan beberapa gambar Bormann kepada beliau, Marianna mengesahkan bahawa Keller sememangnya Bormann.

iii) Pada tahun 1964, satu dokumen dari Kementerian Dalam Negeri Paraguay mendedahkan memo dari Reinhard Gehlen, ketua perisikan Jerman Barat pada pihak mereka bahawa Bormann hidup di situ pada akhir tahun 50-an dan meninggal dunia di Asuncion pada tahun 1959. Memo tersebut turut mendedahkan Dr Josef Mengele menjaga Bormann sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir. Menurut memo berkenaan, beliau memanggil Don Fritz, identiti rahsia yang digunakan Mengele semasa bersembunyi di Amerika Selatan untuk datang ke rumah salah seorang penyokong Nazi berpengaruh, Werner Jung. Bormann menyangka kesakitan yang dialaminya itu hanya sakit perut biasa tetapi selepas pemeriksaan menurut Gehlen, beliau sebenarnya menghidap kanser. Apabila Bormann mati pada Februari 1959, Mengele dan beberapa individu lain mengebumikan mayat Bormann pada satu kubur tak bertanda di Ita, Asuncion.

Menurut Graeme Wood, seorang wartawan The Atlantic dan pensyarah di Universiti Yale, kegagalan pihak Jerman Barat menemui mayat Bormann merupakan satu tamparan hebat kepada mereka. Ini kerana usaha penggalian pada tahun 1965 di lokasi di mana Axmann menyatakan Bormann dan Stumpfegger mati tidak menemui apa-apa tulang-tulang di kawasan tersebut. Namun apabila proses ekskavasi dilakukan di lokasi sama pada tahun 1972, entah bagaimana tulang-tulang Bormann boleh ditemui di lokasi sama menimbulkan persoalan dalam kalangan pakar dan sejarawan. Ini kerana berdasarkan pemeriksaan gigi, pakar mendapati wujud rawatan gigi yang dibuat selepas tahun 40-an. Ini ditambah dengan kewujudan tanah merah yang kaya dengan mineral pada tulang-tulang tersebut semasa pemeriksaan. Tanah tersebut tidak ada di Jerman tetapi wujud di beberapa bahagian di Amerika Selatan termasuk Paraguay. Justeru, wujud teori pihak perisikan Jerman Barat menggali kubur tidak bertanda itu, mengeluarkan tulang-tulang Bormann dan meletakkan tulang-tulang tersebut di lokasi sama dikatakan beliau mati semasa Pertempuran Berlin pada 1 Mei 1945.

Dan ini dikukuhkan lagi dengan siasatan dilakukan Wood dan bekas operator Pasukan Khas Amerika Syarikat, Mike Simpson semasa di Paraguay. Di situ, mereka menemubual beberapa saksi tempatan yang menyatakan upacara pengebumian Bormann dilakukan di Ita, Asuncion. Menurut seorang saksi bernama Isidrio, beliau ada pada upacara tersebut kerana dipanggil paderi untuk membantu menguruskan proses pengebumian. Sehari selepas upacara pengebumian, timbul khabar angin dalam kalangan orang ramai bahawa mayat yang dikebumikan dalam kubur tak bertanda itu milik Bormann. Dan ini disahkan oleh paderi yang menguruskan pengebumian tersebut kepada Isidrio. Dan bila ditanya siapa paderi yang bertugas, Isidrio mendedahkan paderi bernama Asencio Ayala itu mempunyai hubungan kuat dengan pihak tentera dan kerajaan Paraguay.

Namun yang pasti, ujian DNA yang dijalankan pada tulang-tulang tersebut mengesahkan tulang-tulang tersebut memang milik Bormann pada tahun 1998. Selepas pengesahan telah dibuat, anak sulung beliau, Martin Bormann Jr mengaturkan tulang-tulangnya dibakar dan ditabur di Laut Baltik. Bagi kedua-dua kerajaan Jerman dan Paraguay,  tindakan Bormann Jr sebenarnya menyelamatkan mereka daripada soalan-soalan sukar yang bakal diajukan oleh pakar dan sejarawan. Bagi kerajaan Paraguay, mereka terpaksa mengalami pengalaman sama selepas menyembunyikan Mengele daripada pengetahuan perisikan asing seperti CIA dan Mossad. Bagi kerajaan Jerman, pasti pihak Parlimen akan mempersoalkan kenapa mereka tidak berusaha lebih gigih menjejaki orang nombor dua dalam Nazi selepas Hitler. Penemuan tulang-tulang itu dan keputusan Bormann Jr dilihat bersifat menang-menang untuk kedua-dua kerajaan.

SUMBER

  1. Wood, Graeme. (2009). The Atlantic. Martin Bormann Has A Stomachache. https://www.theatlantic.com/international/archive/2009/07/martin-bormann-has-a-stomachache/21679/
  2. Harvey, Ian. (2017). The Vintage News. The Nazi Ratlines: The system of escape routes for Nazis fleeing Europe at the end of WWII. https://www.thevintagenews.com/2017/02/04/the-nazi-ratlines-the-system-of-escape-routes-for-nazis-fleeing-europe-at-the-end-of-wwii/
  3. Booth, Robert. (2009). The Guardian. Secret files reveal MI5’s obsession with Martin Bormann manhunt. https://www.theguardian.com/uk/2009/sep/01/secret-mi5-files-nazi-martin-bormann
  4. Gardham, Duncan. (2009). The Telegraph. MI5’s hunt for the ‘peripatetic’ Nazi Martin Bormann. http://www.telegraph.co.uk/journalists/duncan-gardham/6106929/MI5s-hunt-for-the-peripatetic-Nazi-Martin-Bormann.html
  5. Trueman, C.N. (2015). The History Learning Site. Martin Bormann. http://www.historylearningsite.co.uk/nazi-germany/nazi-leaders/martin-bormann/
  6. Friedman, Jan dan Wiegrefe, Klaus. (2011). Der Spiegel. Document Suggests Hitler Knew of Hess’ British Flight Plans. http://www.spiegel.de/international/germany/historian-uncovers-new-account-document-suggests-hitler-knew-of-hess-british-flight-plans-a-765607.html
  7. Goni, Uki. (2002). The Guardian. The Real Odessa by Uki Goni: Blind Refugee Led to Eichmann. https://www.theguardian.com/world/2002/jan/25/bookextracts.israel
  8. Karacs, Imre. (1998). The Independent. DNA test closes book on mystery of Martin Bormann. http://www.independent.co.uk/news/dna-test-closes-book-on-mystery-of-martin-bormann-1161449.html
  9. Hunting Hitler. (2016). History. Episod 3: Eyewitness Account. https://www.youtube.com/watch?v=tVwB_P-g4ZA
  10. Hunting Hitler. (2016). History. Episod 7: Unmarked Grave. https://www.youtube.com/watch?v=AEMM7jgOgo0

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply