Pernahkah terjadi kepada anda situasi di mana sedang anda menyelak halaman kertas dalam buku di kedai buku, ataupun sedang anda berjalan-jalan mengelilingi kedai buku, secara tiba-tiba perut anda memulas teruk tanpa boleh ditahan-tahan?

Dengan hati yang bengkak, anda pun cepat-cepat meletakkan buku, lari keluar dari kedai buku dan mencari tandas yang terdekat. Pernahkah?

Sekiranya pernah, anda merupakan salah seorang dari 10 manusia yang mengalami Fenomena Mariko Aoki (青木まりこ現象, Aoki Mariko genshō) yang misterinya sampai kini belum terungkaikan.

Pada tahun 1985, seorang wanita berumur 29 tahun bernama Mariko Aoki menulis pengalamannya di kolum surat pembaca lalu menghantarnya kepada sebuah majalah Jepun; ‘Hon no Zasshi’.

Dalam suratnya Mariko menyebut; “Entah kenapa tetapi sejak 2-3 tahun yang lalu, saya sering merasakan keperluan mendesak untuk membuang air besar setiap kali saya berada dalam kedai buku.” Perkataan ‘kedai buku’ digaris bawahi.

Surat tersebut dikatakan ‘meletup’ dan menarik perhatian ramai pihak. Masing-masing mula mengulas pengalaman peribadi mereka yang serupa dengan Mariko. Disebabkan respon pembaca yang menggalakkan, majalah tersebut menerbitkan artikel edisi berikutnya –  ‘Fenomena Yang Sedang Menggemparkan Industri Kedai Buku’.

Artikel tersebut mengolah pelbagai pendapat dan teori di sebalik Fenomena Mariko Aoki.

Pendapat pertama mengatakan bau dan bahan kimia dalam ink dan kertas mengundang kesan laksatif pada tubuh badan. Dalam erti kata lain, ia ‘menggalakkan’ pergerakan najis dalam usus. Menurut seorang penulis Mariko Ishibashi, inilah teori yang lebih logik dan dominan terutamanya dalam kalangan komuniti maya.

Lain pula dengan seorang pengkaji fenomena paranormal Shinichiro Namiki yang sinis terhadap pendapat tersebut. Beliau mempersoalkan kenapa gejala ingin membuang air besar tidak pula didapati dalam kalangan orang-orang yang bekerja di sektor percetakan atau kedai buku?

Hipotesis seterusnya mengaitkan bahawa aktiviti membaca kepada sesetengah orang lebih kerap berlaku ketika mana mereka berada di dalam tandas di rumah. Sambil selesaikan hajat, sambil itu lah ambil peluang baca akhbar, buku dan gosip-gosip hangat.

Kebiasaan tersebut terbawa-bawa sehingga ke kedai buku. Inilah yang dinamakan salah satu contoh pelaziman klasik Pavlov (Pavlovian Effect) hasil kesan rangsangan dan tindak balas pada masa-masa tertentu; baca buku à perut memulas, buang najis.

Satu pandangan terpencil yang saya kira menarik apabila seseorang dikatakan boleh mengalami fenomena Mariko Aoki saat dia berada dalam keadaan ‘ethereal mind state’- gabungan rasa tenang bercampur keterujaan yang melampau (‘nervous excitement’) apabila di samping buku-buku kecintaannya. Perasaan khusyuk dan terawang-awang bagai di syurga lagaknya.

Selain itu, fenomena ini juga tak lari dari bisik-bisik ‘teori konspirasi’. Ada yang mendakwa fenomena ini hasil tangan konspirasi industri kilang kertas yang sengaja mencampurkan bahan-bahan kimia tertentu yang bersifat laksatif ke dalam buku dan produk lain demi melariskan ‘demand’ terhadap tisu tandas.

Tak perlu teori konspirasi pun tisu tandas di mana-mana memang asyik habis!

Macam-macam lagi teori dan pendapat yang dikemukakan. Sehingga sekarang, ramai yang masih berteka-teki dengan fenomena ini.  Adakah ianya berpunca dari masalah biologikal, genetik, psikologi? Atau bukan mana-mana pun?

Untuk mereka yang suka berkunjung ke kedai buku, sebelum itu pastikan anda tahu laluan paling pintas ke tandas.

Sekiranya tidak, anda tanggunglah risikonya. Jangan cakap akak tak payung!

RUJUKAN:

  1. https://en.wikipedia.org/wiki/Mariko_Aoki_phenomenon
  2. https://mishayurchenko.me/2018/05/25/the-mariko-aoki-effect/

Artikel dikirimkan oleh Syazwani Azmee untuk The Patriots. Penulis merupakan graduan Bachelor of Dental Surgery (BDS) dari Manipal University, India dan sedang berkhidmat di negeri Selangor.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.