Marikh Dari Kaca Mata Dunia Seni

564
views

Beberapa hari ini, peminat dan saintis astronomi tidak sabar melihat keberadaan prob pendarat Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang diberi gelaran InSight di permukaan planet Marikh. Dan pada 27 November 2018 atau lebih tepat hari ini, ia selamat sampai di Marikh untuk menjalankan kajian bahagian dalam planet berkenaan. Sebut pasal Marikh, ia banyak dipaparkan sama ada di kaca televisyen, layar perak atau lembaran kertas, kadangkala gambaran yang diberi menyamai iklim politik dunia mengikut tahun-tahun tertentu.

  1. Serangan makhluk asing

H.G Wells sememangnya dikenali dengan karya-karya sains fiksyen seperti The War of the Worlds, The Time Machine dan The Island of Doctor Moreau. Justeru, tidak hairanlah mengapa ramai menggelarnya bapa genre sains fiksyen bersama Jules Verne dan Hugo Gernsback. The War of the Worlds misalnya berkisar tentang serangan makhluk asing dari Marikh ke bumi di mana latar tempatnya berlaku di England. Dalam novel tersebut, tentera British tidak dapat berbuat apa-apa dan gagal mengekang asakan tentera penceroboh itu.

Motif novel ini sebenarnya mengambil peristiwa-peristiwa yang berlaku pada akhir abad ke-19 ketika itu. Perlu diingat, pada ketika itu, kuasa-kuasa koloni berusaha mengembangkan wilayah jajahan mereka. Tetapi pada masa sama, penentangan terhadap penjajahan koloni juga semakin kuat. Antara siri penentangan yang dianggap terkenal ketika itu ialah Revolusi Filipina, Perang Kemerdekaan Cuba dan Perang Amerika Syarikat-Sepanyol. Trend sebegini berterusan sehinggalah Perang Dunia Pertama. Bagi Wells, makhluk asing dari Marikh dianggap simbol kepada penentangan kuasa koloni yang berlaku di seluruh dunia ketika itu.

Figure 1: Filem War of the Worlds yang menampilkan Tom Cruise dan Dakota Fanning merupakan antara adaptasi The War of the Worlds karya H.G Wells.

The War of the Worlds sudah banyak kali diadaptasi sama ada dalam bentuk animasi, drama radio, drama televisyen atau filem. Adaptasi pertama novel ini dibuat pada tahun 1953 yang diterbitkan oleh George Pal dan arahan Byron Haskin. Adaptasi kedua pula mendapat sentuhan pengarah filem E.T dan Ready. Player. One, Steven Spielberg dan dibintangi oleh protagonis siri Mission Impossible Tom Cruise. Filem tersebut ditayangkan pada tahun 2005 dan mendapat sambutan positif dalam kalangan penonton dan pengkritik.

  1. “Perkataan hari ini ialah panik…”

30 Oktober 1938 ialah satu lagi hari biasa yang dilalui warga Amerika. Tetapi semua itu berubah selepas mereka mendengar ‘Mercury Theatre on the Air’ di mana drama yang digunakan ialah The War of the Worlds karya Wells. Dan lelaki di sebalik suara latar pencerita dan pengarah drama radio itu ialah bakal pelakon dan pengarah filem terkenal Orson Welles. Bagi yang sudah biasa dengan cerita sains fiksyen itu, ia hanyalah satu lagi bentuk hiburan radio untuk seisi keluarga. Tetapi bagi sesetengah pendengar, mereka menyangka Amerika sedang diserang lebih-lebih lagi dengan penggunaan New York sebagai latar tempat.

Jadi, kenapa reaksi ekstrem terhadap kisah sebegini? Pada ketika itu, Amerika baru saja pulih dari zaman Great Depression yang menyaksikan separuh dari bank-banknya ditutup dan kadar pengangguran lebih 25%. Dan di seberang Atlantik pula, Jerman menyaksikan kenaikan Adolf Hitler dan Parti Sosialis Kebangsaan (Nazi) di mana beberapa bulan sebelum drama Welles disiarkan, Austria diilhak oleh rejim berkenaan. Bagi orang Yahudi terutama 1.7 juta penduduk di New York, mereka pasti ketakutan dengan prospek keganasan yang dibawa rejim berkenaan.

Akhbar-akhbar utama seperti New York Times segera memetik drama radio Welles dan menjadikan ia satu berita sensasi. Tetapi ia turut mencetuskan kemarahan orang ramai berkenaan soal berita palsu. Malah pada satu ketika, Kongres Amerika Syarikat mempertimbang usul mengehadkan kebebasan bersuara. Sementara Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) melancarkan siasatan bagi melihat sama ada wujud perlanggaran undang-undang membabitkan drama Welles. Kontroversi drama tersebut akhirnya berlalu dan beliau terlepas sebarang tindakan dengan permohonan maaf secara terbuka kepada pendengar.

  1. Ancaman komunis

Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, berakhirlah juga ancaman Nazisme dan obsesi pembikin filem terhadap Marikh. Tetapi obsesi itu kembali timbul pada tahun 1950-an, ditambah dengan situasi Perang Dingin dan sentimen anti-komunis yang kuat yang dipromosikan oleh pendukung anti-komunis seperti Senator Joseph McCarthy. Dan bagi sesiapa yang disyaki pro-komunis, mereka dilabel merah/Red (diambil dari warna bendera Kesatuan Soviet dan komunis antarabangsa) boleh berhadapan dengan hukuman penjara atau prospek pengangguran berikutan disenaraihitam dari senarai pekerjaan.

Atas sebab itu, semasa kempen keras McCarthy dari tahun 1950 hingga 1954, Marikh sentiasa digambarkan sebagai satu planet yang jahat dan mempromosikan agenda komunisme. Antara filem yang menggunakan tema ini ialah Invaders from Mars dan Devil Girls from Mars. Tetapi ada pula menggunakan Marikh sebagai peluang penebusan manusia seperti dipaparkan dalam novel The Green Morning. Dalam novel tersebut, protagonis Benjamin Driscoll menanam benih-benih yang tumbuh secara ajaib dalam masa semalaman hingga menjadi pokok-pokok yang rendang dan menyediakan oksigen kepada atmosfera Marikh.

  1. Destinasi seterusnya

Selepas ekspedisi pertama manusia ke bulan menyaksikan Neil Armstrong dan Buzz Aldrin berjaya menjejakkan kaki di bulan pada tahun 1969, imaginasi manusia untuk meneroka alam semesta menjadi lebih luas. Dan prospek menjejakkan kaki ke Marikh merupakan satu kemungkinan yang tidak boleh ditolak. Namun dengan melihat keadaan Marikh hari ini, ada yang mencadangkan idea menukar persekitaran planet agar ianya bersesuaian untuk manusia mendudukinya. Satu novel yang dianggap terkenal ialah The Martian karya Andy Weir di mana ia kemudian diadaptasi ke layar perak dengan tajuk sama The Martian (2015). Filem ini menampilkan Matt Damon sebagai angkasawan dan ahli botani Mark Watney yang terperangkap di Marikh selepas disangka mati kerana terperangkap dalam ribut planet tersebut.

Figure 2: The Martian (2015) menampilkan Matt Damon. Kredit: https://www.moviequotesandmore.com/the-martian-2015-movie-review/
  1. Masa hadapan

Jika dahulu, manusia menganggap Marikh sebagai dewa perang Rom (nama planet itu sendiri diambil dari nama Mars, dewa peperangan) tetapi tidak lagi hari ini. Manusia menganggap ia sebagai satu lagi persekitaran mencabar yang boleh ditakluk dengan pendekatan saintifik dan sikap tidak mudah berputus asa. Ini digambarkan secara jelas dalam The Martian (2015) di mana Watney (Damon) terpaksa mencari jalan untuk terus hidup sehingga boleh dibawa pulang oleh pasukan penyelamat yang dihantar NASA.

Tetapi ekspedisi ke Marikh tidak lagi terikat kepada dunia fiksyen semata-mata. Kini, NASA dan beberapa syarikat swasta sudah mula berlumba-lumba untuk sampai ke Marikh. Pertubuhan Mars One misalnya berhasrat mahu mendaratkan manusia di Marikh pada 2032 dengan tujuan menghasilkan rumah kedua untuk kemanusiaan. Bagi Elon Musk dan pertubuhannya SpaceX, cubaan manusia ke Marikh ialah langkah pertama ke arah penerokaan alam semesta.

SUMBER

Rabkin, Eric. (2018). HistoryExtra. In thrall to the red planet: 5 facts about our view of Mars through history. https://historyextra.production.wcp.imdserve.com/period/20th-century/mars-our-view-red-planet-aliens-life-space/

 

Previous article“Melayu Tak Ada Tamadun, Bahasa, Agama, Pakaian.”- Menteri Perpaduan
Next articleMenjawab Peta “Malaiyur Dan Kadaram” Yang Disebarkan Geng Chola
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE