Maria Pita: Srikandi Yang Melawan Gempuran British

584

Pada penghujung kurun ke-16 Masehi, armada Ratu Elizabeth memasang impian mahu menguasai jalan perairan antara England ke Portugal. Sejumlah kapal geliung pimpinan Sir Francis Drake yang dihantar Ratu Elizabeth berhasil menanam kegerunan pada pelabuhan-pelabuhan di barat Sepanyol.

Tepat pada tanggal 4 Mei 1589, armada Inggeris tersebut kelihatan bakal menguasai bandar La Coruna di Spanish Galicia. Para penduduknya masing-masing menaruh harapan memohon keselamatan. Ternyata, pemakbulan ke atas harapan tersebut hadir bukan dalam bentuk sebatalion tentera, akan tetapi menerusi seorang srikandi yang keberaniannya berhasil menyelamatkan bandarnya.

DETIK KEPERWIRAAN


Pada awal bulan Mei 1589, British menyerang salah sebuah bandar tertua di Sepanyol – iaitu La Coruna. Pada pertempuran yang berlangsung pada empat haribulan, Pita keluar daripada rumahnya sama seperti sebilangan kecil wanita lain, demi mempertahankan bandar bersama suami masing-masing. Namun malang menimpa apabila suami Maria Pita terkena bidikan busur silang sekaligus terkorban di medan perang.

Ketika itu, boleh sahaja Maria Pita melarikan diri pulang ke rumah. Namun, catatan-catatan sejarah menyebutkan bahawa Pita yang didorong oleh perit kehilangan insan tersayang bertindak menyertai barisan tentera lelaki dalam memerangi pihak British.

Beliau berjaya membunuh seorang tentera Inggeris semasa musuh tersebut cuba menembusi tembok pertahanan. Kemudian, Maria mengambil kedudukan di puncak tembok kota dan berteriak dengan lantang, “Quen tena honra que me siga!’ (“Sesiapa daripada kalian yang masih mempunyai maruah, ayuh ikut aku!”)

Ilustrasi Maria Pita bertempur melawan tentera-tentera British

Berkat laungan penuh semangatnya itu, pasukan pertahanan yang melindungi La Coruna seakan-akan memperoleh kekuatan baharu sekaligus berjaya menyelamatkan bandar berkenaan. Tindakan perwira Maria Pita ini diganjari oleh Raja Philip II yang menganugerahkannya pencen pegawai tentera. Berikutan meritnya itu, beliau kemudiannya dikenali sebagai salah seorang wanita paling dihormati di Sepanyol.

SRIKANDI YANG DILUPAKAN


Hampir 200 tahun sesudah kematiannya, masih tiada siapa yang menulis tentang biografi beliau. Maria Pita seakan-akan dilupakan oleh negara dan bahkan bandarnya sendiri. Malang sekali, sepanjang tempoh itu, banyak maklumat tentang beliau hilang tanpa sempat dicatatkan oleh tinta sejarah.
Buku pertama yang memerihalkan kehidupan dan keperwiraan beliau hanya muncul pada lewat kurun ke-19.

Buku tersebut mengisahkan bahawa Maria Pita dilahirkan pada tahun 1565 di Cambre, sebuah pekan berhampiran bandar La Coruna. Nama sebenarnya adalah Mayor Fernandez de Carnara y Pita. Namun atas sebab yang tidak diketahui, beliau dikenali sebagai Maria. Terdapat beberapa teori yang dikemukan berkenaan isu nama ini. Antara penjelasan yang paling munasabah adalah namanya itu merupakan tanda kenang-kenangan terhadap saudara perempuannya.

Maria sempat berkahwin sebanyak empat kali dan memiliki empat orang anak. Suami yang kematiannya menyuntik semangat kepahlawanan dalam diri Maria Pita merupakan suami keduanya. Bilangan perkahwinan dan kekurangan sumber sejarah tentang diri beliau mengakibatkan banyak permasalahan buat penyelidik moden dalam usaha menyempurnakan biografi Maria Pita.

DI MANAKAH KUBUR MARIA PITA?


Maria Pita meninggal dunia pada tahun 1643 di pekan kecil yang sama tempat beliau dilahirkan. Setelah bertahun-tahun lamanya hidup dengan penuh penghormatan di bandar La Coruna, beliau yang telah meningkat usia memutuskan untuk kembali ke rumah keluarganya. Beliau meninggalkan La Coruna dan meninggal dunia dengan tenang di Cambre. Pita disemadikan bersebelahan dengan salah seorang suaminya. Namun seiring peredaran masa, orang ramai mula lupa di manakah lokasi kubur beliau.

Potret Maria Pita

Lokasi pertama yang dianggap paling munasabah adalah Gereja St Mary di Cambre. Gereja tersebut dianggap sebagai gereja paling berprestij di pekan tersebut. Lokasi ini merupakan lokasi yang paling diyakini oleh para penyelidik sebagai lokasi bersemadinya Maria Pita.

Namun, menurut maklumat yang ditinggalkan oleh Pita sendiri, jasad beliau seharusnya bersemadi di Gereja St Dominic di bandar La Coruna. Di dalam wasiatnya, beliau meminta agar jasadnya disemadikan di gereja yang terletak berhampiran dengan tempat paling lama beliau luangkan masa hidupnya. Tempat itu juga merupakan tempat bersemadinya salah seorang suaminya.

Kajian terkini berpendapat bahawa wasiatnya itu mungkin tidak dilaksanakan dan beliau berkemungkinan disemadikan di sebuah gereja yang terletak di Oza, sebuah lagi pekan kecil yang terletak di wilayah yang sama. Apapun, lokasi kubur Maria Pita masih lagi belum dapat dipastikan.

TUGU MARIA PITA


Di celah-celah jalanan kecil di kawasan paling tua di bandar La Coruna, terdapat sebuah tempat yang secara khusus menghargai memori Maria Pita. Tempat yang dimaksudkan ini adalah Museo Maria Pita Casa, iaitu sebuah muzium kecil yang terletak di sebuah rumah yang dahulunya pernah didiami oleh Maria Pita sendiri. Dari rumah inilah beliau berangkat ke medan perang semasa mempertahankan bandar La Coruna pada tahun 1589.

Para pengunjung mungkin akan berasa terkejut apabila mendapati betapa sedikitnya artifak-artifak sebenar dari zaman Maria Pita yang dipamerkan. Namun dengan kekreatifan dan kedalaman pengetahuan para penyelidik, para pengunjung dapat mengetahui tempat-tempat yang pernah dijejaki oleh Maria Pita dan keluarganya.

Potret Maria Pita

Kini, di tengah-tengah bandar berkenaan, terdapat sebuah dataran bernama Plaza Maria Pita. Di dataran ini, masyarakat Galicia mengenang jasa srikandi yang pernah mengubah sejarah bandar mereka itu menerusi sebuah tugu. Tugu tersebut menggambarkan Maria Pita yang sedang menyerang pihak British. Tepat di kaki tugu tersebut, terdapat sebuah plak yang mempamerkan tulisan yang berbunyi ‘Libertad’ (Kebebasan) – satu perkataan yang paling penting dalam menyimpulkan seluruh kehidupan srikandi Sepanyol ini.

Tugu Maria Pita di Plaza Maria Pita

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

Natalia Klimczak. (25 Disember 2015). Maria Pita: The Woman Who Saved a Galician Town from the British. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/maria-pita-woman-who-saved-galician-town-british-005028

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.