Anda tentu tidak percaya jika saya katakan bahawa saya sangat takut ketika ditawarkan berlakon sebagai pontianak”. Begitulah kenyataan seniwati Maria Menado ketika ditanya tentang peranannya sebagai Comel di dalam filem Pontianak (1957). Nama Maria Menado (kini bergelar Dato’ Sri) menjadi sangat sinonim dengan pontianak setelah filem itu membawa kejayaan yang besar. Ia sekaligus memberi impak terhadap karier lakonannya.

Menurut satu temubual, Maria Menado menyatakan bahawa berlakon sebagai pontianak tidaklah semudah yang disangka. Beliau perlu disolek untuk tiga wajah, iaitu gadis hodoh, perempuan jelita dan hantu yang menakutkan. Solekan yang dilakukan itu agak sukar dilakukan memandangkan sewaktu itu tenaga kerja yang mahir dalam bidang persolekan masih kurang.

Sewaktu itu tidak ada teknologi canggih seperti hari ini. Semuanya dibikin mengikut kreativiti sendiri” tambah beliau lagi.

Pengarah seni akan membantu beliau agar benar-benar kelihatan seram dan menakutkan. Untuk pakaian pula, Maria Menado telah menggunakan koleksi pakaiannya sendiri semasa melakukan penggambaran.“Filem itu dibikin dengan bajet sekitar $60, 000 dalam tempoh tiga bulan,” menurut seniwati cantik ini.

Filem Pontianak merupakan filem seram pertama dalam sejarah perfileman tanah air. Ia telah mendapat sambutan yang hangat daripada masyarakat ketika itu. Oleh kerana filem Pontianak membawa keuntungan besar kepada Cathay-Keris Film, pihak studio telah membuat dua lagi filem pontianak iaitu Dendam Pontianak (1957) dan Sumpah Pontianak (1958). Ketiga-tiga cerita tersebut ditulis oleh suami Maria Menado sendiri iaitu A. Razak dan diarahkan oleh pengarah B.N. Rao.

Maria Menado terjun ke dalam bidang lakonan selepas memenangi pertandingan ratu kebaya di Singapura. Pihak Shaw Brothers telah berjaya mengikat beliau untuk berlakon di bawah syarikat naungannya, Malay Film Productions pada tahun 1951. Filem pertama yang dilakonkan oleh Maria Menado ialah Penghidopan sebagai heroin kepada P. Ramlee.

Pada tahun 1959, Maria Menado telah menempa nama sebagai produser filem wanita yang pertama di dalam sejarah perfileman Melayu dengan menubuhkan syarikat perfilemannya iaitu Maria Menado Productions. Akhbar The Straits Times bertarikh 16 Julai 1959 telah melaporkan bahawa filem pertama terbitan Maria Menado Productions ini berjudul Korban Fitnah dan bajet untuk membikin filem ini adalah sebanyak $60, 000.

Agak menarik di sini kerana pada tahun 1959, Maria Menado telah mampu untuk menubuhkan syarikat perfileman beliau sendiri walaupun baru 8 tahun menceburkan diri di dalam bidang seni lakonan. Akan tetapi, syarikat Maria Menado Productions (yang mendapat kerjasama pihak Cathay-Keris) ini hanya menerbitkan 5 buah filem sahaja sepanjang mereka beroperasi dari tahun 1959 hingga 1963. Filem-filem tersebut ialah Korban Fitnah (1959) arahan P.L. Kapur (Usmar Ismail), Darah-Ku (1963) arahan Ramon A. Estella, Bunga Tanjong (1963) arahan Ramon A. Estella, Raja Bersiong (1963) arahan K.M. Basker dan yang terakhir Pontianak Kembali (1963) arahan Ramon A. Estella.

Filem sulung terbitan Maria Menado Productions iaitu Korban Fitnah dibintangi oleh pelakon-pelakon dari Indonesia, Sukarno M. Noor dan A.N. Alcaff. Seniman Malek Selamat telah berlakon di dalam 3 buah filem dengan Maria Menado Productions iaitu Darah-Ku, Raja Bersiong dan Pontianak Kembali. Begitu juga dengan seniman Ghazali Sumanteri. Beliau telah berlakon di dalam 3 buah filem dengan Maria Menado Productions iaitu Darah-Ku, Bunga Tanjong dan Pontianak Kembali. Maria Menado sendiri telah membintangi 4 daripada 5 filem terbitan syarikatnya. Beliau cuma tidak berlakon di dalam filem Pontianak Kembali.

Sumber

  • Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik

  • Dato’ Sri Maria Menado

  • Dato’ Ahmad Fauzee Samad

  • Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Filem ke Studio Merdeka

  • Daftar Filem Melayu 1933-1993

  • Singapore Cinema by Raphael Millet

  • The Star, 19 August 2007


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang peminat sejarah filem tanah air. Suka menonton filem-filem Melayu hitam putih, terutama sekali arahan Hussain Haniff dan M. Amin.

Comments are closed.