Margaret Thatcher: Wanita Besi – Perdana Menteri Wanita Pertama British

0
660
views

“Mana-mana wanita yang faham masalah menguruskan rumah tangga akan lebih dekat untuk memahami masalah menguruskan negara.”

Semenarik-menarik kata-kata ini, menarik lagi diri tuan empunya. Mana tidaknya, dari seorang anak pemilik kedai runcit dia berjaya memanjat tangga politik sehingga berjaya menjadi perdana menteri. Tidak cukup dengan itu, dia juga berani mengambil risiko, memalu beduk, menarik negaranya ke dalam kancah peperangan. Merupakan perdana menteri wanita pertama British dan Perdana Menteri British yang paling lama berkhidmat dalam abad ke-20. Margaret Thatcher mendapat gelaran  Wanita Besi daripada seorang jurnalis Soviet oleh kerana pidato-pidatonya yang sering kedengaran pedas dan kritikal terhadap Soviet Union. Gelaran ini kemudiannya dilihat sangat sinonim dengan dirinya yang terkenal dengan ketegasan dalam mengambil keputusan sekalipun terpaksa berhadapan dengan risiko yang tinggi.

Margaret dilahirkan pada 13 Oktober 1925 di Grantham. Bapanya merupakan pengkhutbah methodist dan juga Datuk Bandar Grantham. Margaret mula cenderung untuk melibatkan diri dalam politik apabila terinspirasi dengan ceramah-ceramah bapanya. Dia juga mula aktif berpolitik sebagai Presiden Persatuan Konservatif Universiti Oxford apabila berjaya memperoleh biasiswa untuk melanjutkan pengajian di sana. Setelah menematkan pengajian, Margaret terus terjun dalam lapangan politik sebenar dan berkecimpung  dengan masyarakat.

Suatu hari, Margaret menghadiri Konferens Parti Konservatif, di mana buat pertama kalinya dia berjumpa dengan bakal suaminya, Denis Thatcher, seorang usahawan berjaya. Oleh sebab Margaret adalah anak pemilik kedai runcit dan dia juga adalah seorang wanita, dia menghadapi kesukaran untuk meyakinkan ahli partinya yang didominasi oleh lelaki untuk membenarkan dia  bertanding di kawasan Dartford mewakili parti tersebut dalam pilihan raya umum. Walau bagaimanapun, setelah dibenarkan untuk bertanding, Margaret gagal untuk memenangi kerusi kawasan Dartford . Enggan berputus asa, pada tahun 1959, Margaret sekali lagi menawarkan dirinya untuk bertanding. Tapi kali ini dia bertanding di kawasan yang berbeza iaitu Finchley dan membawa reputasi baru iaitu sebagai isteri kepada seorang usahawan yang berjaya. Akhirnya, Margaret berjaya memenangi kawasan tersebut dan mendapat kerusi di House of Commons.

Suara maki hamun dan gelak tawa benar-benar menggamat suasana dalam dewan parlimen. Setelah beberapa lama berkhidmat, Margaret sudah masak dengan karenah-karenah ahli parlimen. Walaupun dia merupakan satu-satunya ahli parlimen wanita, Margaret tidak semudahnya dibuli. Dia bijak mematahkan hujah-hujah pembangkang yang disasarkan kepadanya.

Dalam pilihan raya 1974, Parti Konservatif (kerajaan)  yang dipimpin oleh Edward Heath telah kalah kepada Parti Buruh (pembangkang). Ini sekaligus menyebabkan akar umbi parti mula mempersoalkan kewibawaan pemimpin tertinggi. Tapi sayangnya, tiada siapa yang berani bersuara. Walaupun Margaret merupakan orang kepercayaan Heath, tapi Margaret berpendapat Heath seorang pemimpin yang lemah dan dia telah melemahkan parti. Oleh kerana tiada siapa yang ingin bertindak, Margaret tiada pilihan lain selain dia sendiri menawarkan dirinya untuk menjadi presiden parti sekaligus mencabar Heath untuk bertanding dengannya merebut jawatan tersebut.

Pada awalnya, bukanlah tujuan asal Margaret bertanding mencabar Heath untuk benar-benar merebut jawatan presiden parti. Margaret berpendapat perbuatannya itu hanya akan menggegarkan parti dan menyedarkan ahli parti yang lain. Pucuk dicita ulam mendatang. Margaret mendapat sokongan penuh dari akar umbi, bukan sahaja untuk mengetepikan Heath dari jawatan ketua pembangkang, bahkan untuk terus memimpin parti itu merebut jawatan perdana menteri. Bagi menghadapi pilihan raya 1979, Margaret telah melakukan beberapa perubahan dari segi penampilannya agar dia kelihatan lebih “fit” untuk merebut jawatan perdana menteri. Margaret telah mengubah gaya rambut dan intonasi suaranya. Dia juga tidak lagi mengenakan topi.

Pada tahun 1979, sejarah tercipta apabila buat pertama kalinya British mengangkat seorang wanita sebagai perdana menteri apabila Parti Konservatif memenangi pilihan raya 1979. Berita tergempar penabalan Margaret sebagai Perdana Menteri British mendapat liputan antarabangsa.

Walau bagaimanapun, Margaret dikatakan telah mewarisi sebuah negara yang kesihatan ekonominya dalam keadaan kronik. Dia perlu berani mengambil keputusan yang tidak popular demi kebaikan negaranya. Sebagai contoh, pada tahun 1981, Margaret telah memperkenalkan polisi kewangan dan bajet tahunan yang ketat sekaligus menyebabkan kadar pengangguran meningkat. Keputusan ini diambil demi mengelakkan British daripada bankrap.  Pada tahun 1984 hingga 1985, kerajaan Margaret terpaksa berhadapan dengan mogok pelombong UK besar-besaran yang melibatkan 142,000 orang pelombong yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan untuk menutup industri perlombongan arang batu di negara tersebut. Margaret berpendapat industri perlombongan arang batu tidak lagi menguntungkan British. Tindakan ini telah menyebabkan sejumlah 26,000,000 orang hilang pekerjaan. Margaret juga dikatakan sanggup membiarkan 10 orang pelombong yang mogok mati kelaparan.

Jumaat, 2 April 1982, British telah digemparkan dengan berita penawanan Pulau Falkland oleh Argentina. Pulau Falkland merupakan tanah jajahan British yang terletak di Atlantik Selatan, jauh daripada British. Marah dengan berita tersebut, Margaret enggan menyelesaikan masalah ini dengan perbincangan diplomatik kerana dia berpendapat Argentina adalah penjenayah yang cuba mencuri tanah British. Sebaliknya dia telah mengutuskan 28,000 askar dan 100 buah kapal sejauh 12,000 batu semata-mata untuk merampas kembali Pulau Falkland sekaligus mengisytiharkan peperangan terhadap Argentina.

Walaupun Pulau Falkland dilihat tidak signifikan dari segi politik dan ekonomi, Margaret tetap berkeras untuk merebut kembali pulau tersebut yang dianggap sebagai tanggungjawabnya. Margaret juga orang yang bertanggungjawab di atas keputusan menenggelamkan kapal perang Argentina, ARA General Belgrano yang telah mengorbankan 320 orang anak kapal tersebut. Sebagai serang balas, Argentina telah mempeluru berpandukan kapal Pemusnah jenis 42 HMS Sheffield milik British sekaligus mengorbankan 20 orang anak kapalnya. Sebagai seorang ibu, Margaret dapat rasakan keperitan yang terpaksa dihadapi oleh keluarga yang kehilangan ahlinya akibat kecelekaan tersebut. Sebagai tanda simpati, dia telah menulis sendiri surat kepada setiap keluarga yang terlibat.

Setelah melalui 10 minggu yang memeritkan, akhirnya Perang Falkland ini berakhir dengan kemenangan di tangan British apabila Argentina menyerah kalah pada 14 Jun 1982. Berita kemenangan ini telah menaikkan semangat nasionalisme rakyat British sekaligus menaikkan reputasi Margaret di dalam dan luar negara. Hal ini ditambah pula dengan ledakan ekonomi UK di akhir tahun 1980-an dimana ekonomi British memuncak. Margaret telah melahirkan ramai jutawan yang digelar “Maggie’s millionaires”. Dari seorang perdana menteri yang paling dibenci, Margaret berubah menjadi buah hati seluruh rakyat British.

Sepanjang kariernya sebagai Perdana Menteri British, episod paling menarik bagi penulis adalah sewaktu pertembungannya dengan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pada tahun 1981, Tun Mahathir telah memperkenalkan “Buy British Last Policy” sebagai serangan balas terhadap tekanan British ke atas Malaysia yang sekaligus memaksa Wanita Besi ini sendiri turun padang menyelesaikan masalah yang timbul.

Semuanya bermula apabila syarikat British menjual anak syarikat Guthrie kepada Multi-Purpose Holding kepunyaan MCA. Guthrie ketika itu memiliki tanah penanaman getah yang berkeluasan 200,000 ekar di Malaysia. Penjualan syarikat Guthrie ini bertentangan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mensasarkan 30% pemilikan korporat dikuasai oleh orang Melayu menjelang tahun 1990. Dasar ini bertujuan untuk merapatkan jurang pendapatan antara kaum di samping membasmi kemiskinan terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu yang paling terkesan dengan Dasar Pecah dan Perintah British.

Tindakan British ini telah meninggalkan kepada Malaysia tiada pilihan lain selain merampas kembali syarikat tersebut. Pada tanggal 7 September 1981, Malaysia melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melancarkan “dawn raid” terhadap London Stock Exchange yang menatijahkan pengambil alihan Guthrie. Berita ‘rompakan’ London Stock Exchange dalam masa kurang daripada 4 jam oleh kerajaan Malaysia ini telah memberikan tamparan hebat kepada kerajaan British. Demi mengelakkan perkara yang sama berulang lagi, kerajaan British segera meminda peraturan London Stock Exchange.

Selain penjualan Guthrie , kerajaan British juga telah menekan kerajaan Malaysia dengan menaikkan yuran pendidikan pelajar luar negara sebanyak 3 kali ganda. Semestinya ini akan membebankan kerajaan Malaysia yang ketika itu menanggung 13,000 pelajar tajaan kerajaan di UK.

Pantang dicabar, Perdana Menteri Malaysia segera membalas serangan British ini dengan memperkenalkan “Buy British Last Policy”, di mana semua kontrak dan produk yang diimport daripada British mestilah mendapat kelulusan daripada Pejabat Perdana Menteri sendiri melalui sebuah surat permohonan yang disertakan dengannya senarai syarikat bukan British yang mampu menjadi pengganti. Birokrasi yang rumit ini akhirnya menyekat perdagangan di antara kerajaan Malaysia dan British. Tidak cukup dengan itu, Perdana Menteri Malaysia juga telah memboikot Commonwealth Head of Government Meeting (CHOGM) pada tahun 1981 dan 1983 sebagai tanda protes terhadap tekanan British.

Margaret berharap ketegangan ini akan berakhir dengan segera. Tidak seperti di Pulau Falkland, Wanita Besi ini tidak bercadang untuk menghantar 28,000 askar bersama 100 buah kapal untuk ‘mengajar’ Malaysia. Sebaliknya, dia telah mengutus Menteri Luarnya, Baron Carrington dan Menteri Pertahanannya, John Notts untuk berbincang dengan Perdana Menteri Malaysia agar isu ini diselesaikan secara diplomatik.

Usaha Margaret ini akhirnya menjadi sia-sia apabila Tun Mahathir tidak termakan dengan pujukan menteri-menteri British, bahkan Tun Mahathir telah bertindak merampas kembali Bukit Carcosa daripada British. Bukit Carcosa yang menempatkan Pesuruhjaya Tinggi British merupakan hadiah daripada Tunku Abdul Rahman kepada British apabila Malaya mencapai kemerdekaan. Nampaknya, kerajaan Malaysia benar-benar tak makan saman. Baru 24 tahun merdeka, sudah berani nak menconteng arang ke muka British. Merdeka pun di tangan mereka.

Ketegasan kerajaan Malaysia telah memaksa Mergaret sendiri menjemput Perdana Menteri Malaysia untuk ke London bertentang mata dengannya. Ketegangan ini akhirnya selesai dengan sebuah kata sepakat. Tun Mahathir mengumumkan “Buy British Last Policy” akan ditamatkan dan isu yuran pendidikan pelajar Malaysia juga telah diselesaikan. Selain itu, kerajaan British juga berjanji untuk membangun sumbangan bernilai 160 juta $ khusus untuk rawatan kesihatan pelajar Malaysia.

Pada tahun 1990, Margaret sekali lagi telah mengambil keputusan berani mati untuk memperkenalkan “Poll Tax”. Pengenalan “Poll Tax” yang disifatkan sebagai cukai yang tidak adil dan membebankan ini telah mencetuskan kebangkitan rakyat. Sepanduk yang bertulis “Can’t Pay, Won’t Pay” telah diarak diseluruh negara. Kali ini dia bukan sahaja tidak mendapat sokongan rakyat, dia juga gagal mendapat sokongan padu daripada kabinetnya sendiri. Dalam sebuah mesyuarat kabinet, Margaret dikatakan telah mengangkat suaranya apabila dia mendapati rata-rata daripada ahli kabinet tidak bersetuju dengannya atau tidak berani untuk memperkenalkan “Poll Tax”.

Ketidak sefahaman ini akhirnya mencapai kemuncak apabila Timbalan Perdana Menteri, Goeffray Howe meletakkan jawatan sebagai tanda protes. Tindakan ini kemudianya disusuli dengan salah seorang ahli kabinet iaitu Heseltine telah menawarkan dirinya untuk menjadi perdana menteri menggantikan Margaret. Margaret yang bersetuju untuk bertanding bagi mempertahankan jawatannya sebagai perdana menteri tidak mendapat sokongan rakyat dan akhirnya kalah.

Setelah melalui 3 pilihan raya umum dan berkhidmat selama 11 tahun setengah, Margaret pun meletakkan jawatan sebagai perdana menteri. Dia berasa terkilan dan amat kecewa dengan peristiwa ini. Walau bagaimanapun, Margaret percaya bahawa dia telah meninggalkan negaranya dalam keadaan yang lebih baik daripada waktu dia mula-mula menjadi perdana menteri. Margaret menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 8 April 2013 ketika berumur 87 tahun di The Ritz Hotel akibat sakit strok.

Disebalik segala onak duri yang dilalui oleh Margaret sepanjang kehidupannya, kita tidak dapat nafikan bahawa Margaret telah membuktikan kepada kita bahawa wanita juga mampu dan berhak berjaya seperti mana seorang lelaki. Tetapi, sisi yang lebih menarik perhatian penulis pada Margaret ialah walaupun dia seorang perdana menteri, Margaret juga adalah seorang isteri dan ibu yang baik. Terdapat stigma dalam kalangan masyarakat kita yang percaya bahawa hanya wanita bujang mampu untuk berjaya, melakar sejarah dan mencipta nama. Pada pendapat penulis, pandangan ini adalah kurang tepat dan perlu diperbetulkan.

Sesunggunya, wanita yang memilih untuk hidup berumah tangga adalah lebih dekat untuk berjaya kerana sentiasa mempunyai penyokong di sisi untuk memberikan motivasi. Hal ini dapat dibuktikan melalui kata-kata Margaret dalam bukunya “The Downing Street Years”.

“Menjadi seorang perdana menteri menyebabkan anda berasa keseorangan.  Memang begitulah semestinya. Tetapi dengan Denis di sana, saya tidak pernah berkeseorangan. Dialah lelaki. Dialah suami. Dialah rakan.”