Seorang penyelidik Venice percaya pengembara terkenal, Marco Polo mempunyai anak luar nikah selain tiga puterinya selepas berkahwin dengan isterinya, Badoer. Wanita yang dikenali nama Agnese ini lahir antara tahun 1295 hingga 1298.

1295 merupakan tahun kepulangan Polo ke kota kelahirannya Venice. Sementara 1298 pula ialah tahun beliau menjadi tawanan perang di Genoa. Ini selepas berlakunya konflik ketenteraan antara dua negara kota berkenaan pada ketika itu.

Menurut penyelidik Marcello Bolognari dari Universiti Ca’Foscari, Venice, dakwaan ini bersandarkan kepada penemuan wasiat terakhir Agnese di arkib lama Venice. Sebelum ini, wujud khabar angin nama wanita itu disebut dalam pelbagai dokumen Polo tetapi ia tidak disokong dengan bukti.

Advertisements

Dalam wasiat terakhirnya, Agnese meminta bapanya, Polo agar menyampaikan wasiat terakhir dan pengakuannya kepada paderi Pietro Pagano di Gereja San Felice. Gereja tersebut terletak di kawasan kejiranan San Giovanni Grisostomo, Venice.

Tambah Bolognari lagi, mereka hanya mampu berspekulasi bila Agnese dilahirkan iaitu hasil hubungan sulit atau perkahwinan terdahulu sebelum Polo berkahwin dengan Badoer. Tetapi yang pasti, hubungan kedua-duanya amat baik menerusi permintaan terakhir Agnese kepadanya.

Tanpa menyebut nama ibunya dalam wasiatnya, Bolognari percaya ibu wanita tersebut telah tiada. Wasiat tersebut turut menceritakan perihal kehidupannya yang bahagia dengan suami tercinta dan dua orang anak.

Mengikut keterangan sejarah, Polo dan Badoer dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Fantina, Bellela dan Moreta. Dengan penemuan dokumen ini, ia menyingkap lebih banyak rahsia tentang pengembara Itali itu. Polo meninggal dunia pada tahun 1324 semasa berusia 69 tahun.

RUJUKAN

Giuffrida, A. (2022, 7 Februari). Marco Polo had previously unknown daughter before marriage, will suggests. The Guardian.

Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply