Manuskrip Paling Misteri Di Dunia

2,061

Pada tahun 1912 di Itali, Wilfrid Voynich, seorang penjual buku telah menemui sebuah manuskrip pelik. Manuskrip yang tidak diketahui penulisnya. Manuskrip yang tidak dapat difahami tulisannya. Manuskrip yang penuh dengan ilustrasi-ilustrasi yang rumit dan membingungkan.

Manuskrip yang hanya tinggal 240 muka surat ini kemudiannya dibeli oleh Voynich sendiri. Nama manuskrip tersebut diberikan nama Voynich kerana dialah yang telah mambawa manuskrip tersebut ke Amerika dan penyelidikan kali pertama dimulakan untuk mengetahui pelbagai perkara misteri daripada manuskrip itu.

Antara perkara yang diselidik daripada manuskrip tersebut adalah;

i.  Penulisnya. Sehingga kini, tiada siapa yang tahu siapa penulis manuskrip tersebut. Tetapi pelbagai calon telah diketengahkan oleh penyelidik. Antaranya adalah Roger Bacon – seorang polymath Perancis pada abad pertengahan. Dikatakan manuskrip tersebut ditulis oleh beliau untuk memahami tatabahasa sejagat (universal grammar).

Selain Roger Bacon, John Dee adalah calon seterusnya. John Dee merupakan ahli mistik dan ahli al-kimia ketika era Ratu Elizabeth. Mungkin juga manuskrip tersebut ditulis oleh Edward Kelly, juga ahli mistik. Kemudian menunggang nama Bacon supaya dapat dijual dengan harga yang mahal.

Ada teori lain menyatakan ia ditulis oleh Jacobus Sinopius, seorang doktor peribadi Maharaja Rudolf II. Dikatakan manuskrip tersebut adalah catatan beliau sebagai seorang ahli kimia, botanis dan farmasis. Ada sampai ke satu tahap, manuskrip tersebut ditulis oleh Voynich sendiri.

ii. Antara perkara misteri lain adalah tarikh manuskrip tersebut ditulis. Ramai bersetuju ia ditulis pada kurun ke-15. Tetapi tarikh spesifik manuskrip tersebut tidak dapat dijejak walaupun setelah menggunakan pentarikhan radiokarbon. Ada yang kata pada tahun 1420, ada yang kata tahun 1404, ada juga yang kata pada tahun 1438.

iii. Kemudian, perkara yang paling serius dikaji adalah tulisannya. Sehingga kini tiada siapa yang tahu sistem tulisan yang digunakan dalam manuskrip tersebut. Yang pasti ia ditulis dari kiri ke kanan. Ada yang berspekulasi bahawa sistem tulisan tersebut pernah dituturkan suatu ketika dahulu, tetapi tidak pernah ada sistem tulisan. Dalam kata lain, manuskrip tersebut adalah sebagai percubaan untuk mencipta tulisan untuk pertuturan tersebut.

Ada juga teori lain menyatakan ia ditulis berniat untuk menyembunyikan mesej tertentu dengan menulis tulisan dalam bentuk kod-kod. Ada juga yang menyatakan tulisan tersebut sengaja ditulis dalam bentuk yang tiada makna untuk menyembunyikan maklumat-maklumat penting. Ada juga yang kata manuskrip tersebut memang tidak mempunyai sebarang maksud kerana tidak dapat dibaca dan difahami.

iv. Perkara misteri lain adalah pengetahuan yang terkandung dalam manuskrip Voynich. Manuskrip tersebut, bukan saja tulisan yang menjadi misteri, tetapi ilustras-ilustrasi dalam manuskrip tersebut juga penuh dengan misteri.

Walaupun sebahagian ilustrasinya dapat difahami, tetapi mesej disebalik ilustrasi tersebut masih tidak dapat digarap. Adakah ia tafsiran mimpi-mimpi? Adakah ia pengetahuan yang hilang daripada budaya yang dilupakan seperti Atlantis (Atlantis tidak wujud)? Adakah ia rahsia-rahsia tentang ilmu perubatan? Adakah ia mengandungi misteri yang terungkap dalam tafsiran astrologi?

Tiada siapa lagi yang tahu.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.