Ketawa merupakan cara semulajadi manusiawi meraih kegembiraan dalam hidup. Dengan ketawa, ia bukan saja menambahbaik emosi tetapi turut memperkukuh hubungan sesama manusia. Tetapi ketawa juga boleh menjadi punca kematian mengejut!

Chrysippus

Antara kes mati akibat ketawa yang direkodkan sejarah ialah kisah seorang filsuf Yunani bernama Chrysippus. Filsuf Stoic itu dikatakan mati akibat ketawa selepas melihat keldai miliknya makan daun-daun ara. Sebaik melihat apa yang berlaku, beliau berkata, “Berikan wain tulen kepada keldai itu bagi membersihkan perutnya daripada daun-daun ara.” Chrysippus dikatakan ketawa tidak henti sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 73 tahun.

Ketawa sebegini boleh saja mencetuskan pelbagai masalah kesihatan kepada si pelakunya. Salah satunya ialah aneurisme otak – bengkak atau gelembung dalam salur darah otak. Bila ia pecah, ia boleh mengakibatkan pendarahan pada otak dan memberi tekanan kepada tengkorak individu itu. Dari situ, ia menyebabkan si polan koma atau mati.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, KITAB TAMADUN CINA di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman

Selain aneurisme, ketawa juga boleh memberi kesan negatif kepada penghidap lelah. Kebiasaannya, serangan lelah boleh terjadi akibat tekanan, sedih, seronok dan ketawa. Simptom boleh saja bersifat ringan tetapi dalam sesetengah kes, serangan lelah yang teruk boleh menyebabkan seseorang itu sukar bernafas. Tanpa bantuan perubatan, si polan boleh saja berdepan kegagalan sistem pernafasan atau serangan jantung.

Advertisements

Dalam sesetengah kes, ada individu yang mati akibat ketawa kerana tercekik. Ketawa terlalu kuat boleh menyebabkan seseorang itu sukar bernafas dengan baik. Akibatnya, ia boleh menafikan badan daripada mendapat jumlah oksigen yang mencukupi. Ini boleh terjadi sekiranya si polan itu terlebih menghidu gas nitrus oksida atau nama lainnya, gas ketawa.

Chrysippus bukan satu-satunya individu yang direkodkan sejarah mati akibat ketawa. Pelukis Yunani abad kelima SM Zeuxis mati atas sebab sama. Ini selepas seorang pelanggan wanita berstatus warga emas memintanya menghasilkan lukisan Dewi Aphrodite dan bertegas mahukan dirinya sebagai model untuk lukisan berkenaan.

Lukisan The Death of Pietro Aretino oleh Anselm Feuerbach.

Pada abad ke-16, pelukis dan sasterawan Itali, Pietro Aretino mati tercekik selepas ketawa tidak henti. Walaupun ada menyatakan punca sebenar kematiannya ialah sakit jantung atau strok, mati akibat ketawa juga tidak boleh diketepikan. Tetapi yang pasti, ramai individu terkenal yang diugut oleh beliau kerana mengetahui rahsia perbuatan gelap mereka menghela nafas lega sebaik mendengar berita kematian Aretino.

Pada era moden, terdapat satu kes mati akibat ketawa yang setaraf dengan kes Chrysippus. Ini berlaku kepada seorang lelaki bernama Alex Mitchell dari King’s Lynn, England. Pada 24 Mac 1975, dia ketawa terbahak-bahak semasa menonton satu episod sitkom British The Goodies. Mitchell ketawa selama 25 minit sebelum mati akibat sakit jantung. Balu Mitchell kemudiannya menghantar satu surat terima kasih kepada barisan pelakon sitkom itu kerana menjadikan tempoh 30 minit terakhir mendiang suaminya itu sebagai tempoh gembira kepadanya.

Ketawa sememangnya satu ubat yang baik untuk jiwa. Tetapi jika terlebih ketawa, buruk padahnya termasuk kematian.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, GENESIS II di webstore kami: bit.ly/GenesisIIZamir

RUJUKAN

Sleight, E. (2021, 16 Julai). Curious cases of people who have died laughing – can a giggle really be fatal?. Daily Mirror.

Funnell, R. (2022, 19 Mei). The Greek Philosopher Who “Died Of Laughter” After Witnessing A Donkey Eat Some Figs. IFL Science.

Higuera, V. (2019, 11 Jun). Can Laughing Too Hard Kill You?. Healthline.

Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply