Moving Forward As One

Manusia Kalau Lumba Lari Dengan T-Rex, Siapa Menang?

819

Normal bagi sesiapa yang menonton siri Jurassic Park atau Jurassic World menjerit melihat watak-watak dua siri filem berkenaan berlari sambil dikejar dinosaur. Ramai merasakan menerusi dua siri filem ini, manusia merupakan mangsa mudah dinosaur terutama reptilia maging bernama Tyranosaurus rex. Tetapi saintis mendedahkan manusia boleh saja berjalan pantas mengatasi haiwan karnivor itu.

Untuk menguji teori ini, sekumpulan saintis menjadikan model fosil T-rex yang dipanggil Trix sebagai model pilihan mereka. Trix ialah fosil T-rex yang kini menjadi bahan pameran Muzium Negara Sejarah Alam Semulajadi Belanda. Dan hasil analisis model mendedahkan satu keputusan yang mengejutkan.

Analisis model mendedahkan kelajuan dinosaur semasa berjalan ialah sekitar 4.6 km sejam, kurang separuh daripada analisis sebelumnya. Sementara purata kelajuan manusia semasa berjalan ialah sekitar 4.8 hingga 6.4 km sejam. Pada mata kasar, ini menunjukkan manusia boleh mengatasi T-rex sekurang-kurangnya dari aspek berjalan.

Penyelidik dari Universiti Free, Amsterdam, Pasha van Bijlert memberitahu keputusan analisis sebelum ini hanya mengambil kira faktor kaki tanpa mengambil kira faktor ekor. Atas sebab itulah, keputusan kelajuan dinosaur sebelum ini lebih tinggi. Tetapi dengan mengambil kira soal ekor, ia hampir sama dengan haiwan-haiwan lain.

Dalam satu laporan kajian sebelum ini, kaki T-rex dicipta bukan untuk berlari tetapi untuk berjalan dan lebih berkesan untuk jangka masa panjang. Tambah van Biljert, ekor T-rex seperti Trix mengeluarkan banyak daya untuk mendorong badan bergerak ke hadapan.

Pergerakan ekor sebegini memberi kesan kepada cara T-rex berjalan sekaligus mendorongnya berjalan dan mencapai purata kelajuan berjalan tanpa menggunakan banyak tenaga. Selain itu, ia turut memberi kesan kepada T-rex bila ia cuba berlari laju.

Analisis kajian sebelum ini mendedahkan T-rex mampu berlari dengan kelajuan 27.7 km sejam. Tetapi dengan berlari pantas, ia memberi tekanan besar kepada kaki mereka, Menerusi analisis Trix, bahagian ekor T-rex dapat mengurangkan tekanan pada bahagian kaki semasa ia berjalan atau berlari.

Jadi, manusia boleh mengatasi T-rex dengan hanya berjalan kaki tetapi ada satu syarat. Jika anda tidak boleh berjalan laju macam pelari pecut seperti Khairul Hafiz Jantan atau Usain Bolt, lupakan saja idea itu dan buka langkah seribu!

RUJUKAN:

Carpineti, A. (2021). Humans Could Probably Outpace A T. Rex, Even At Walking Speed. IFLScience.

Ruangan komen telah ditutup.