Mansa Musa: Raja Paling Kaya Dalam Sejarah

0
1378
views

Dalam dunia fiksyen Marvel Universe, kita semua tahu T’Challa atau Black Panther bukan saja merupakan pemerintah Wakanda, sebuah negara fiksyen Afrika. Tetapi baginda juga dikenali sebagai superhero paling kaya di dunia kerana sumber asli vibranium, meletakkannya setaraf dengan Tony Stark/Iron Man (Marvel) dan Bruce Wayne/Batman (DC). Tetapi tahukah anda ada satu versi sebenar Black Panther di luar sana iaitu Maharaja Musa I dari Empayar Mali atau Mansa Musa yang memerintah antara 1312 hingga 1332/1337 Masihi.

Mengikut adat masyarakat ketika itu, seorang maharaja perlu melantik seorang pemangku raja sekiranya baginda hendak menunaikan ibadat haji ke Baitullah atau mengadakan pelbagai ekspedisi yang memerlukannya pergi untuk satu tempoh masa tertentu. Sekiranya sang raja tidak pulang dari urusannya, maka pemangku raja itu dipilih menaiki takhta. Dalam kes Mansa Musa, maharaja sebelumnya Abubakari Keita II memulakan usaha mencari penghujung Lautan Atlantik. Sebelum baginda keluar meninggalkan empayarnya, Musa I dilantik sebagai pemangku raja. Tetapi selepas beberapa tahun, tiada lagi kedengaran berita berkenaan Maharaja Abubakari Keita II. Sebelum menaiki takhta pada tahun 1312, Musa I mengirim 2,000 kapal untuk mencari maharaja berkenaan. Selepas semua kapal tidak kembali dari pencarian, ramai sebulat suara bersetuju mengangkat Musa I sebagai Maharaja Mali yang baru.

Semasa Mansa Musa mengambil alih pemerintahan, kebanyakan negara Eropah masih lagi bergelut dengan masalah penyakit, kebuluran dan perang saudara sesama monarki di benua berkenaan. Tatkala itu, Empayar Mali berkembang luas terima kasih kepada sumber asli yang baik seperti emas dan garam. Pada era baginda, Empayar Mali mempunyai keluasan 2,000 kilometer per segi dan menguasai sebahagian besar wilayah Afrika seperti Mauritania, Mali, Senegal, Gambia, Chad dan Burkina Faso. Dan dengan pertambahan wilayah ini, begitu juga wujud pertambahan pada kedudukan ekonomi rakyatnya.

Bagaimanapun, kemakmuran empayar ini tidak diketahui seluruh dunia ketika itu termasuk dunia Islam. Jika ada pun, ia hanyalah khabar yang bersifat khabar angin dan tidak diketahui sejauh mana kekayaan yang dimiliki Empayar Mali. Walaupun dikenali sebagai seorang pemerintah yang adil, Mansa Musa juga merupakan seorang yang warak. Maka pada tahun 1324 Masihi, baginda memulakan perjalanan menunaikan haji di Makkah. Bagaimanapun, Musa tidak mengembara keseorangan kerana baginda diiringi rombongan mengandungi puluhan ribu tentera, hamba dan bentara dengan memakai kain sutera Parsi dan membawa tongkat-tongkat emas. Walaupun rekod berkenaan bilangan mereka tiada tetapi konvoi yang mengiringi baginda bergerak bersama kuda-kuda dan unta-unta yang membawa emas yang banyak.

Kehadiran rombongan ini menarik perhatian sesiapa saja yang melihat dan ada satu peristiwa yang akan memberi impak besar kepada Mesir lebih dari satu dekad. Semasa berada di Mesir, Mansa Musa disambut oleh orang bawahan Sultan Mamluk, An-Nasir Muhammad yang merupakan pemerintah kesembilan dari dinasti berkenaan. Dalam pertemuan itu, utusan itu menjemput baginda bertemu dengan Sultan An-Nasir tetapi ditolak Mansa Musa atas alasan baginda hanya singgah sebentar dalam perjalanan ke Baitullah. Bagaimanapun, selepas dipujuk berulang-kali, baginda bersetuju mengadakan pertemuan dengan Sultan Mamluk berkenaan. Apabila dua pemerintah ini bertemu, ia bermula dengan tegang apabila Musa enggan mencium kaki Sultan An-Nasir tetapi menjadi tenang apabila baginda memberi salam hormat kepada pemerintah Mesir itu. Usai pertemuan, Sultan An-Nasir menawarkan penginapan sementara kepada Musa dan rombongannya dengan Maharaja Mali itu meninggalkan impak tersendiri di bumi Mesir.

Semasa baginda di Mesir, kemurahan hati Mansa Musa dan pembelian barang-barang asing menyebabkan jalan-jalan Kaherah dipenuhi dengan emas, satu sumber yang amat dihargai tetapi pada masa sama punyai bekalan yang terhad. Tetapi kemurahan hati baginda itu telah menyebabkan harga emas jatuh dan mengakibatkan kemelesetan ekonomi Mesir selama 12 tahun. Kisah sama juga terjadi di tempat lain termasuk di Makkah dan Madinah. Untuk mengelakkan harga emas dari terus merosot, dalam perjalanan pulang ke Timbuktu, ibu negara Empayar Mali, Mansa Musa meminjam semua emas yang boleh dibawa dari semua peminjam wang di Mesir. Tindakan baginda bukan saja berjaya menstabilkan semula harga komoditi itu tetapi menempa satu lagi sejarah sebagai satu-satunya individu yang dapat mengawal harga emas di Mediterranean secara langsung. Namun baginda tidak hanya meninggalkan emas dalam perjalanan pergi ke dan balik dari Baitullah. Mansa Musa turut mendirikan ratusan masjid, sesetengah daripadanya terus berfungsi sehingga ke hari ini di Dukurey, Bako dan Wanko.

Figure 1: Masjid Djinguereber berdasarkan lakaran Felix Dubois pada tahun 1896.

Satu wilayah yang sentiasa menjadi tumpuan Mansa Musa ialah wilayah Gao. Wilayah ini yang kita kenali sebagai Mali hari ini menyaksikan Musa membina beberapa masjid sekembalinya baginda dari mengerjakan haji. Selain Gao, Timbuktu turut menjadi tumpuan di mana pelbagai infrastruktur seperti sekolah, universiti, masjid dan perpustakaan.

Di sini juga terdirinya sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu dan batu-bata lumpur iaitu Masjid Djinguereber. Masjid yang dibina 500 tahun lepas terus berfungsi sehingga ke hari ini dan menjadi sebahagian dari empat madrasah yang membentuk Universiti Timbuktu. Salah satu daripada madrasah berkenaan iaitu Universiti Sankore atau Madrasah Sankore ditukar peranan sebagai universiti penuh semasa akhir pemerintahan Mansa Musa. Universiti berkenaan mempunyai koleksi buku terbesar di Afrika selepas Perpustakaan Agung Alexandria dengan mengandungi sejuta manuskrip dan mampu menempatkan 25,000 pelajar.

Figure 2: Imej Mansa Musa yang dilukis oleh Abraham Cresques dalam atlasnya

Kisah kekayaan dan pengaruh Mansa Musa terus tersebar walaupun selepas baginda mangkat antara 1332 atau 1337 Masihi. Pada akhir abad ke-14, ahli kartografi Sepanyol bernama Abraham Cresques melukis satu atlas sebagai panduan kepada jurupandu pada Zaman Pertengahan Eropah. Untuk menggambarkan kedudukan Timbuktu dan Empayar Mali, Cresques melukis imej Mansa Musa duduk di atas takhta sambil memegang cogan alam dan memakai mahkota diperbuat daripada emas.

Pada tangan kanannya, baginda memegang seketul emas. Kisah Mansa Musa ini dilihat menjadi inspirasi kepada kisah Black Panther dan berkenaan soal kekayaannya, ianya sukar untuk digambarkan. Bagi Profesor Madya Rudolph Ware dari Universiti Michigan, beliau berpandangan, “Bayangkan sebanyak emas yang kita boleh ambil dan miliki serta digandakan, itulah nilai sebenar kekayaan yang cuba digambarkan. Baginda merupakan orang paling kaya sesiapa yang pernah melihatnya.” Sebagai penutup, lihat sendiri kedudukan kekayaan Mansa Musa selepas inflasi:

  1. Mansa Musa – $400 bilion
  2. Keluarga Rothschild – $350 bilion
  3. John D. Rockefeller – $340 bilion
  4. Muammar Gaddafi – $200 bilion
  5. Bill Gates – $136 bilion
  6. Carlos Slim – $68 bilion

Tiada siapa yang kita kenali sebagai orang kaya yang dapat menyaingi nilai sebenar harta yang dimiliki Maharaja Mali itu.

SUMBER

  1. Morgan, Thad. (2018). History.com. This 14th-Century African Emperor Remains The Richest Person in History. https://www.history.com/news/who-was-the-richest-man-in-history-mansa-musa
  2. Sullivan, Kerry. (2016). Ancient-Origins. Mansa Musa: The Richest Man in History. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/mansa-musa-richest-man-history-006847

 

 

Previous articleErdogan, Diriliş Ertuğrul dan Payitaht Abdulhamid.
Next articleKenali Trope | Being Good Sucks
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE