Tatkala seseorang terfikirkan tentang manusia yang paling kaya dalam sejarah, seringkali golongan yang terlintas di dalam benak adalah ahli-ahli industri dari era moden, seperti keluarga Rothschild, keluarga Rockefeller, atau keluarga Carnegie. Mungkin juga beberapa nama billionair seperti Bill Gates, Carlos Slim, atau pak-pak sheikh Arab yang kaya belaka. 

Namun, manusia yang paling kaya dalam sejarah ialah seorang pemerintah Mali yang bernama Musa Keita I. Beliau merupakan Mansa ke-10 bagi Empayar Mali (Mansa adalah gelaran seperti ‘sultan’ atau ‘maharaja’). Baginda merupakan seorang yang sangat kaya dan bermewah-mewahan dalam perbelanjaannya sampaikan mampu menjejaskan ekonomi Mesir dengan hanya melaluinya!

Dilahirkan pada tahun 1280an, Mansa Musa memperluaskan wilayah Empayar Mali dengan menakluk 24 buah kota dan wilayah sekitar. Menjelang kemangkatannya pada tahun 1337M, harta kekayaan yang dikumpulkannya terlalu banyak sehingga tidak dapat dihitung. Jika mengambil kira inflasi, jumlah kekayaan Mansa Musa I mungkin mencecah sehingga $400 billion.

Kekayaan kedua yang menyusulinya – iaitu harta terkumpul keluarga Rothschild – hanya mencecah $350 billion. Harta kekayaan J.D. Rockefeller pula mencecah $340 billion; $310 billion bagi Carnegie; $200 billion bagi Muammar Gaddafi; $136 billion bagi Bill Gates dan Carlos Slim pula dengan jumlah kekayaan sebanyak $68 billion. Dalam erti kata lain, tidak seorang pun manusia yang disinonimkan dengan kekayaan mampu berada hampir dengan nilai bersih harta milik Raja Afrika ini.

“Mustahil sama sekali untuk meletakkan angka yang tepat bagi mengukur harta kekayaannya,” ujar Jacob Davidson dalam Time Magazine.

Ilustrasi Mansa Musa

MAHARAJA MUSA

Mansa Musa I menghasilkan kekayaan awalnya dari sumber lombong emas dan garam di Afrika Barat. Empayar Mali ini ditubuhkan dari saki-baki Empayar Ghana. Pada masa kemuncaknya di bawah pemerintahan Musa I, Empayar Mali mendominasi Afrika Barat; bermula dari Lautan Atlantik hingga ke Timbuku, termasuklah wilayah-wilayah moden Chad, Cote d’Ivoire, Gambia, Guinea, Guinea-Bissau, Mali, Mauritania, Niger, Nigeria dan Senegal. Keluasan empayar tersebut mencecah 2000 batu (3218.69 km). 

Selain itu, Mansa Musa turut memasukkan sejumlah kota ke bawah pemerintahan langsungnya – antara kota paling penting adalah Timbuktu dan Gao. Beliau mengutip ufti daripada kota-kota tersebut. Semasa Eropah sedang bergelut dengan masalah kebuluran, wabak dan peperangan golongan bangsawan, kerajaan-kerajaan di Afrika pula menikmati kelimpahan harta kekayaan.

Menurut adat masyarakat Mali, seorang raja perlu melantik seorang pemangku apabila baginda bermusafir bagi menunaikan haji ke Mekah atau sedang mengendalikan suatu urusan luar. Andai raja tersebut tidak pulang, pemangku yang dilantik tersebut bakal naik takhta. Keadaan seperti ini berlaku apabila Abubakari Keita II (pendahulu Musa) berangkat keluar untuk melaksanakan misi mencari hujung Laut Atlantik dan baginda tidak pulang-pulang sesudah itu.

Sebelum menaiki takhta pada tahun 1312M, Musa I menghantar 2000 buah kapal untuk mencari maharaja Mali tersebut. Apabila tiada siapa kembali dari misi pencarian itu, kesemua pembesar Mali bersetuju agar Musa I diangkat menjadi maharaja Mali yang sah.

KEKAYAAN MANSA MUSA

Kekayaan Mansa Musa I bukanlah satu-satunya legasi yang beliau miliki. Dengan mengawal laluan-laluan perdagangan penting antara Mediterranean dan pesisiran Afrika Barat, Mansa Musa menjadikan kota Timbuktu yang dikuasainya itu sebagai pusat kebudayaan dan keilmuan Islam di Barat.

Beliau memberikan upah berupa 440 paun (hampir 200kg) emas kepada artikek Andalusia agar membina Masjid Djinguereber, binaan yang masih berdiri pada hari ini. Mansa Musa juga mendirikan Universiti Timbuktu untuk menarik lebih ramai ilmuwan dan artisan dari seluruh dunia Islam. Beliau menggalakkan kemajuan di seluruh empayarnya dengan menyalurkan dana pembinaan sekolah dan masjid.

Masjid Djinguereber, Timbuktu

Mansa Musa I mula meraih perhatian dunia pada tahun 1324M apabila melakukan perjalanan haji ke Mekah. Di dalam bukunya, Chronicle of the Seeker, Mahmud Kati, seorang ilmuwan Muslim-Afrika mencatatkan sebuah peristiwa yang mendorong Mansa Musa untuk menunaikan haji.

“Mali-koy Kankan Musa merupakan seorang sultan yang soleh dan memiliki pekerti mulia… Sebab kepada penunaian hajinya disampaikan seperti berikut kepada saya oleh seorang ulama bernama Muhammad Quma, seorang yang menghafal kebudayaan purba. Beliau berkata bahawa Mali-koy Kankan Musa telah membunuh ibundanya, Nana Kankan secara tidak sengaja. 

Beliau berasa begitu menyesal atas perkara tersebut. Untuk bertaubat, beliau mengeluarkan sejumlah besar wang dalam amal sedekah dan bertekad untuk berpuasa sepanjang hayat. Beliau pernah bertanya kepada salah seorang ulama pada zamannya tentang perbuatan yang perlu dilaksanakan bagi menebus kesalahan tersebut. 

Ulama itu menjawab, “Kamu perlu mencari perlindungan menerusi (keberkatan) Nabi Allah. Segeralah mendapatkannya, letakkan diri tuanku di bawah lindungannya dan meminta pada baginda agar memberi syafaat buat kamu di hadapan Tuhan – Tuhan pasti akan menerima syafaatnya.” (Kati, 1987).

Musa digambarkan memegang sekeping syiling emas dari Atlas Catalan 1375

PERBELANJAAN BESAR DALAM PERJALANAN HAJI MANSA MUSA

Perjalanan sejauh 4000 batu (6437.38km) ke Mekah merupakan sebuah permusafiran yang mempamerkan kekayaan Mansa Musa sampaikan ia menarik perhatian dunia Eropah. “Beliau membawa kafilah yang merentang begitu panjang – sejauh mata memandang,” ujar Jessica Smith dalam satu sesi TED-Ed.

“Para penghikayat merincikan bahawa rombongan pengiringnya terdiri dari puluhan ribu tentera, orang awam dan hamba sahaya, termasuklah 500 orang bentara yang membawa barangan emas dan berpakaian sutera. Begitu juga dengan unta-unta dan kuda-kuda yang mengangkut sejumlah besar jongkong emas.”

Mansa Musa turut membawa bersama isterinya, Inari Konte dan 500 orang dayangnya. Dalam perjalanan, beliau membina sejumlah masjid termasuklah di Dukurey, Gundam, Direy, Wanko, dan Bako. Kebanyakan masjid yang dibinanya itu masih lagi berdiri pada hari ini. 

Turut dikisahkan bahawa ketika beliau tiba di kota Kaherah yang masyhur, Mansa Musa I berbelanja dengan begitu besar – memberikan habuk emas kepada golongan miskin, membelikan makanan untuk rombongannya, dan berbelanja buah tangan untuk dibawa pulang – hinggakan beliau menyebabkan inflasi kepada Kaherah yang mengambil masa selama bertahun-tahun untuk pulih. Madinah dan Mekah juga mengalami inflasi berikutan perbelanjaan Mansa Musa di sana. Beliau mengambil masa setahun untuk menghabiskan musafirnya itu dan kembali ke Mali.

Empayar Mali menjelang kemangkatan Mansa Musa

MELETAKKAN MANSA MUSA DI PETA

Kisah berkenaan perjalanan haji Mansa Musa ini telah dilupakan oleh ramai ilmuwan, walaupun ia dikenang semula sebagai sebahagian dari pameran permusafiran “Kafilah-Kafilah Emas, Serpihan Sejarah: Kesenian, Kebudayaan dan Pertukaran Merentas Gurun Sahara di Afrika Pada Zaman Pertengahan.” Mansa Musa merupakan figura besar dalam pameran tersebut yang menjejak perjalanan hajinya menerusi artifak-artifak mewah yang dikaitkan dengan zaman pemerintahannya dan sultan Kaherah di Mesir.

Kekayaan milik Mansa Musa I ini meletakkannya, secara literal, dalam peta apabila sebuah lukisan yang menggambarkan dirinya disertakan dalam Atlas Catalan tahun 1375M, iaitu salah satu peta dunia paling penting bagi dunia Eropah pada zaman pertengahan.

Mansa Musa mangkat sekitar tahun 1332 hingga 1337M. Takhtanya diwarisi oleh puteranya yang bernama Mansa Maghan I, yang memerintah selaku pemangku semasa ayahandanya keluar menunaikan haji.

Namun, Maghan I hanya memerintah selama empat tahun sebelum pakciknya, Mansa Sulayman mewarisi takhta. Empayar Mali terus mengecap kemewahan selama seabad selepas kemangkatan Mansa Musa, hinggalah pihak Portugis kemudiannya menubuhkan jalan perdagangan yang baru.

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.