Manila Hostage Crisis

789

Pada 23 Ogos 2010, sebuah bas pelancong yang dinaiki oleh seorang pemandu bas dan 21 pelancong cina daripada Hong Kong sedang menghala ke Fort Santiago bagi menghabiskan hari terakhir lawatan mereka ke Filipina sebelum mereka menghala balik ke Hong Kong. Dalam perjalanan, mereka tiba-tiba ditahan oleh seorang anggota berpakaian seragam polis serta membawa sepucuk senapang karbin M16, sepucuk pistol dan sebilah pisau.

Asalnya dia memberitahu pemandu bas hentian ini adalah sekadar pemeriksaan kastam, tetapi saat pemandu bas tersebut mula melawan, lelaki tersebut memperkenalkan dirinya sebagai seorang anggota polis bernama Captain Rolando Mendoza (Rolando) dan dia menyatakan niatnya untuk mengambil kesemua penumpang bersama pemandu bas tersebut sebagai tebusan.

Dia mengarahkan pemandu bas berkenaan memandu ke arah Rizal Park, dan meletakkan bas di Quirino Grand Stand. Jam 10.00 pagi, dia kemudiannya melekatkan beberapa keping kertas bertulis “Big mistake to correct a big wrong decision” serta mulai menghubungi pihak berkuasa bagi menyatakan tuntutannya iaitu ingin mengadakan sesi temubual secara langsung dengan media televisyen

Captain Rolando Mendoza merupakan seorang pegawai polis yang sangat berdedikasi dan cekap. Pada tahun 1986, dia berjaya menghentikan satu sindiket penyeludupan wang ke negara jiran, menjadikannya sebagai 10 orang polis terhebat di Filipina serta menerima 17 pingat perkhidmatan cemerlang.

Namun, segalanya tamat apabila pada tahun 2008, seorang tukang masak memfailkan saman dengan menuduh Rolando menerima rasuah sebanyak 20,000 Pesos (RM1595) bagi membebaskan dirinya yang dituduh memiliki dadah jenis methamphetamine. Pemfailan saman ini dibuat melalui satu badan guaman bernama Ombudsman (pakar penyiasatan dalaman), yang mana menyebabkan Rolando beserta 4 orang rakannya dipecat dan tidak akan menerima bayaran pencen langsung.

Rolando membuat rayuan agar kesnya dibicarakan semula oleh Peguam Firma Ombudsman, namun salah seorang orang tertinggi di dalam firma berkenaan meminta Rolando membayar sejumlah wang bagi melayakkan kesnya untuk dibincangkan semula. Setelah setahun kes tersebut dihantar, masih tiada berita mengenai pengulangan semula kes Rolando ini.

Bengang dengan tindakan Ombudsman, Rolando nekad untuk mengambil 21 orang tebusan bersama seorang pemandu bas atas usaha untuk menceritakan masalahnya secara langsung bagi seluruh rakyat Filipina serta inginkan dirinya dilantik menjadi polis kembali. Dia menampal poster inginkan temuduga dari media televisyen sebelum jam 3.00 petang, atau dia mula membunuh tebusan-tebusan berikut (deadlock).

Sejam setengah kemudian (~11.30 Pagi), Rolando mula melepaskan beberapa orang tebusan yang terdiri daripada orang tua dan kanak-kanak. 7 orang dibebaskan sebagai pertukaran untuk makanan dan air bagi dirinya dan tebusannya yang lain

Colonel Orlando Yebra mengetuai rundingan antara Rolando dengan kerajaan Filipina bagi membebaskan tebusan. Dia menghampiri Rolando dan diberikan fail mengenai kesnya. Dia menegaskan untuk Col Yebra pergi berurusan dengan Ombudsman dan kerajaan Filipina bagi urusan perlantikan dirinya semula sebagai anggota polis.

Masalah besar timbul apabila terlalu ramai wartawan daripada pelbagai stesen televisyen dan radio hadir membawa kelengkapan kamera mereka serta merakam semua kejadian dan disiarkan secara langsung. Kawalan perimeter yang terlalu lemah serta tiada kawalan wartawan yang hadir merupakan satu masalah besar.

Bukan itu sahaja, media yang membuat rakaman yang di hantar secara langsung di televisyen, di mana para pembaca berita membaca dan memburuk-burukkan nama Rolando. Masalah ini bertambah buruk apabila setiap apa yang diperkatakan dan disiarkan di dalam berita secara langsung ditonton oleh Rolando sendiri melalui televisyen yang terletak di dalam bas. Dia memaki hamun saat menonton segalanya sambil mengugut untuk menembak tebusan-tebusannya di dalam bas.

Setelah jam hampir menunjukkan pukul 3.00 petang, iaitu deadline untuk mendapatkan temuduga media, tidak semena-mena, adik Rolando bernama Gregorio Mendoza (Gregorio), yang juga merupakan seorang polis melepasi kawalan perimeter polis dan terus berjalan ke arah Rolando. Niat hatinya adalah untuk berbincang dengan abangnya agar menamatkan kejadian ini secepat mungkin dan berdamai. 

Namun dia dihalang oleh Colonel Yebra yang berjaya merampas sepucuk pistol darinya. Rolando tambah tertekan apabila permintaannya untuk mendapatkan temuduga secara langsung tidak dituntut di mana polis tidak membenarkan kamera untuk dibawa ke atas bas.

Jam 5.00 petang, Rolando mengarahkan salah seorang tebusannya untuk berdiri di hadapan pintu bas, dan dia menggari tebusan tersebut betul-betul di balik pintu sebelah kanan bas. Pada awalnya dia mahu membunuh lelaki berkenaan, namun tidak jadi dan dia menunggu terlebih dahulu tindakan polis dan Colonel Yebra mengenani permintaannya untuk kesnya diulang bicara dan lantikkannya menjadi polis kembali dibuat.

Jam 7.00 petang, sebuah stesen radio tempatan bernama Radio Mindanao Network (RMN) berjaya menghubungi Rolando secara terus di telefon bimbitnya. Dia mula menceritakan tentang perkara sebenar mengenai kesnya

Berikut adalah skrip perbualan yang telah saya terjemahkan ke dalam bahasa Melayu (RMN – Radio, R – Rolando)

RMN – Awak merupakan yang sedang mengambil tebusan bukan?

R – Ya, betul

RMN – Apakah pelan perancangan anda selepas ini?

R – Begini, ada satu berita baik. Pihak Mayor telahpun bersetuju untuk mengimbas semula kes saya serta mengambil kira untuk meluluskan diri saya untuk menjadi seorang polis semula

RMN – Jadi, jika pihak mereka tidak meluluskan, apa pelan perancangan anda pula?

Tidak, tidak mungkin mereka menolak permohonan saya. Segala bukti telah saya serahkan pada Col Yebra untuk dihantar ke pejabat bagi menilai semula permohonan saya.

Masalah besar timbul kerana pihak polis dan pihak perunding langsung tidak mengetahui bahawa Rolando sedang bercakap dan menceritakan segalanya kepada semua rakyat Filipina untuk mereka dengar melalui temuduga secara langsung ini. Jam 8.00 malam, Col Yebra hadir semula membawa utusan jawapan daripada pejabat Mayor.

RMN – Cuba anda bacakan apa yang tertulis dalam surat tersebut?

R – Kehadapan Captain Mendoza, saya telah mengimbas semula kes anda, dan akan mengambil alih kes ini secara peribadi bagi tujuan pelantikan semula anda, Terima kasih kerana memahami posisi saya.

RMN – Jadi?

R – Ini mengarut! Surat ini tidak guna! Apa gunanya kalau setakat mengimbas kembali sahaja?! Saya nak pelantikan, bukan review sahaja!

Keadaan media yang tidak terkawal juga mendedahkan kedudukan penembak tepat yang bersedia untuk menembak, malangnya mereka semua dirakam dan disiarkan secara langsung, dan dipertontonkan kepada semua termasuk Rolando sendiri yang kemudiannya memberitahu pihak RMN.

R – Sila pastikan kesemua penembak tepat berkenaan berundur, atau saya mula membunuh satu per satu tebusan ini!

Akibat terlalu geram, Rolando melepaskan sedas tembakan rambang tanpa mengenai siapa-siapa.

Dalam masa yang sama, Mayor mencadangkan kepada pasukan polis agar menahan adik kepada Rolando, iaitu Gregory atas tuduhan bersubahat melakukan perbuatan menahan tebusan ini. Penahanan Gregory bertukar kekecohan apabila Gregory sendiri tidak menyangka mereka tiba-tiba bertindak sedemikian. Gregory berkata “Bunuhlah saya sekarang, apa guna kalau saya juga dipecat? Apa salah saya?”

Segala drama ini berlaku secara langsung dan dirakam oleh media sambil diperhatikan oleh Rolando di dalam bas. Rolando berkata kepada RMN

“Lepaskan abang aku! Lepaskan! Dia tiada kaitan dengan kes ini, dia tidak bersubahat melakukan perkara ini! Hentikan, hentikan mengheretnya seperti babi! Aku bagi 5 minit, jika kau tidak hentikan, aku akan mula membunuh!”, kata-kata itu kedengaran dan malangnya, pihak polis masih tidak tahu menahu tetang perbualan dan ugutan Rolando menerusi telefon ke radio RMN ini.

Akhirnya, jam 9.00 malam, Rolando mula menembak tebusan. Mangsa yang pertama mati adalah tebusan yang sedang berdiri dan digari di pintu bas. Diikuti dengan penumpang lain. Satu demi satu tembakan dilepaskan setiap langkah yag diambil, membunuh penumpang kiri dan kanan. Dia kemudiannya mengarahkan pemandu bas untuk memandu bas ke hadapan. Malangnya, baru sahaja bas tersebut hendak bergerak, tayar hadapannya ditembak oleh penembak tepat.

Apabila tembakan dan pembunuhan tebusan bermula, pasukan polis tidak dapat bertindak memandangkan komander operasi, Mayor dan orang atasan polis sedang menikmati makanan di sebuah restoran Cina lebih kurang 1 kilometer daripada tempat kejadian.

Pemandu bas tersebut dapat meloloskan diri dan berlari mendapatkan pertolongan. Beberapa minit kemudian, pasukan taktikal polis mula mengepung bas, cuma masalahnya mereka tidak cukup kelengkapan dan tiada baju kalis peluru. Mereka mula memecahkan cermin bas menggunakan tukul besi, tetapi tidak berjaya kerana ketebalan cermin tingkap bas yang menjadikannya agak mustahil untuk dipecahkan menggunakan tukul besi.

Tali diikat pada pintu di sebelah kanan pemandu dalam usaha untuk membuka pintu, tetapi apabila ditarik menggunakan trak, tali tersebut putus memandangkan ada mayat yang tersangkut di hadapan pintu bas tersebut

Mereka kemudiannya berjaya membuka pintu kecemasan bas, tetapi malangnya mereka terus ditembak saat salah seorang anggota masuk menjengah di pintu kecemasan yang mengenai seorang lagi anggota pasukan polis. Akhirnya, mereka mendapat akal untuk meletakan gas pemedih mata ke dalam bas. Saat asap kuning mula memenuhi tempat duduk penumpang, mana-mana penumpang yang masih hidup terbatuk. Dan mana-mana yang terbatuk akan disusuli dengan tembakan kepada mereka oleh Rolando.

Akhirnya, setelah beberapa puluh minit, Rolando tidak tahan dengan gas pemedih mata, saat dia menghulurkan kepalanya dihadapan bas, penembak tepat terus menmbak mengenainya. 7 lagi tembakan menyusul, satu daripadanya dikepala. Kejadian ngeri ini direkodkan sepenuhnya di dalam video. Amaran! Video ini mengandungi sketsa yang graphic! Gambar seterusnya juga merupakan gambar yang graphic!

Mayat Rolando terkujur di hadapan pintu bas.

Akhirnya, kejadian ini berahir. 7 daripada tebusan maut, manakala selebihnya mengalami kecederaan teruk. Pihak Filipina pada awalnya tidak mahu mengakui operasi mereka gagal, tetapi akhirnya mereka terpaksa mengaku dan meminta maaf kepada kerajaan Hong Kong atas sebab operasi penyelamatan tebusan yang teruk, di samping pengabaian tanggungjawab orang-orang atasan dalam menangani dan menguruskan kes ini. Beberapa orang atasan daripada firma Ombudsman juga ditahan selepas kegiatan mereka yang makan rasuah ini terbongkar.

PS – Kita di Malaysia seharusnya bersyukur kerana negara kita mempunyai pasukan-pasukan tindakan khas yang begitu efisyen dalam krisis menyelamatkan tebusan. Apa pun, banyak iktibar dan pengajaran dapat kita pellajari daripada kejadian ini. Apa pandangan anda?

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.