Manifestasi Helang Sebagai Panji-Panji Empayar Rom

0
496
views

Jika kita melihat kepada panji-panji perang Empayar Rom, terdapat seekor binatang yang digunakan sebagai lambat utama bagi menujukkan simbol kegagahan – burung helang ataupun aquilla. Perang pada zaman dahulu memerlukan suatu bentuk penanda untuk membezakan unit serta menudahkan panglima perang untuk memberi arahan terhadap kelompok unit-unit tertentu. Di sini, panji-panji (standard bearer) memainkan peranan penting sebagai aspek visual untuk pengecaman di medan tempur. Selalunya setiap legion mempunyai panji-panji yang unik, ini dibuat berdasarkan pengalaman tempur ataupun senioriti pasukan. Terdapat empat sebab mengapa panji-panji aquila sangat penting dalam kehidupan tentera Rom.

  • Untuk pengecaman unit tempur yang berbeza (sama seperti apa yang dipraktikkan pada masa sekarang seperti Skuadron, Unit, dan Kor).
  • Untuk memudahkan tentera mencari pasukan mereka ketika di tengah-tengah pertempuran serta meningkatkan moral pasukan.
  • Untuk menandakan tapak perkhemahan tempur, sama seperti konsep Forward Operating Base (FOB) masa kini.
  • Untuk menujukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi serta penghormatan terhadap Empayar Rom dan para tenteranya.
i. Gambaran sebuah Kohort Rom – perhatikan Centurion (helmet bulu melintang), Aquilifer serta Signifer di dalam gambar.

Dalam sebuah legion, terdapat beberapa hieraki yang utama:

Jetpack Langkawi

  • Centurion – memegang status sebagai seorang pegawai untuk memastikan disiplin pasukan, beliau akan mengawal secara langsung terhadap 80 anak buah.
  • Signifer – memegang status sebagai pemegang simbol pasukan yang berbentuk disc, menunjukkan kekayaan atau kehebatan sesebuah pasukan.
  • Praefectus Castorum – memegang status sebagai pegawai kem tempur, mengurus jadual dan peralatan tempur serta melatih askar.
  • Aquilifer – memegang panji-panji utama Empayar Rom, sang Helang (aquila).
  • Tribunus Laticlavius – merupakan anak muda yang akan terlibat dalam arena politik di Rom, Selalunya dari golongan keluarga bangsawan seperti ahli senator yang akan menjalani cursus honorum yang akan memegang jawatan penjawat awam Rom selepas posting sebagai tentera tamat.
  • Legatus Legionis – merupakan pegawai senior yang memegang status seperti seorang jeneral dan berkuasa untuk menjalankan hukuman sepertimana seorang hakim. Selalunya setiap kawasan yang ditawan oleh sebuah legion akan dikawal oleh beliau sebagai seorang gabenor.
ii. Ilustrasi Denis Zolotarev – Hierarki Sebuah Legion

Terdapat sesuatu perbezaan ketara di antara seorang aquilifer dan signifer, seorang signifer membawa simbol-simbol unit dan mempunyai pelbagai logo dan imej berdasarkan haiwan, mitos, kapal ataupun item-item tradisi masyarakat Rom. Manakala seorang aquilifer membawa tombak panjang yang digabungkan dengan perhiasan berbentuk burung helang yang dibuat daripada emas atau perak.

iii. Signifer akan membawa bendera kecil seperti yang ditunjukkan di atas.

Berbalik pada manifestasi helang dalam Empayar Rom, Aquila menjadi lambang rasmi legion Rom apabila Konsul Rom, Gaius Marius menggunakannya pada tahun 102 SM. Sebelum itu, lima simbol telahpun berkhidmat sebagai standard ketenteraan: helang, serigala, minotaur, kuda, dan babi hutan. Burung helang memegang simbolisme khusus untuk orang Rom kerana ianya berkaitan dengan simbolisme keagamaan. Burung helang itu dikaitkan dengan Dewa Jupiter, dewa ketua Pantheon Rom yang menguasai langit dan guruh. Jupiter juga mempunyai seekor burung helang sebagai lambang haiwan kesucian beliau.

Selain simbolisme agama, helang tersebut dikaitkan dengan kekuatan, keberanian, dan mempunyai visi pandangan yang jauh di dunia kuno. Sebagai kesinambungan religio romana, maka helang itu terbang dari standard legion ke Gereja di Rom. Hal ini juga telah melihat bagaimana ia turut dipraktikkan oleh masyarakat awal Kristian yang mengantikkan simbolisme salib sebagai panji-panji sepertimana yang dilihat ketika Perang Salib.

iv. Dewa Jupiter sebagai ikon Gaius Marius untuk menguatkan sokongan rakyat Rom terhadap beliau melalui simbolisme keagamaan.

Burung helang itu sangat penting untuk tentera Rom, ianya lebih daripada lambang sebuah legion. Ia mempunyai piawai dimana kehilangannya mampu membawa kecelakaan dan ini terbukti apabila tentera Rom sering melindungi panji-panji ini dan berusaha untuk memulihkannya jika ia hilang. Ia dikaitkan dengan maruah Rom dimana kehilangan sebuah panji-panji adalah sama seperti kehilangan Rom sebagai tamadun itu sendiri.

Sebagai contoh, kita lihat selepas Pertempuran Hutan Teutoburg, di mana orang-orang Rom menghabiskan beberapa dekad untuk memulihkan standard aquila yang hilang dari tiga pasukan yang dipimpin oleh Varus – Legio XVII, Legio XVIII, and Legio XIX. Jumlah bagi kehilangan panji-panji aquila yang dicatatkan dalam rekod sejarah adalah sebanyak 17 kali iaitu dalam 17 pertempuran. Menurut sumber arkeologi, tiada helang legion yang diketahui selamat. Walau bagaimanapun, sejumlah helang yang digunakan dalam kerajaan, sama ada melambangkan pemerintahan empayar atau digunakan sebagai lambang pengebumian, telahpun ditemui.

v. Tapak batu pengebumian yang dijumpai ketika zaman Augustus.

Dalam konteks tentera Muslim, Nabi Muhammad SAW juga mempunyai panji-panji berwarna hitam yang digelar, rāyat al-ʿuqāb (Panji-Panji Helang). Umum mengetahui bahawa sebelum kemunculan Islam, Empayar Rom merupakan suatu kuasa besar yang utuh pada zaman dahulu. Ini telah meluaskan pengaruh tentang pengunaan helang sebagai suatu imej kegagahan di mana masyarakat Arab awal mengaplikasikan simbol yang sama terhadap panji-panji mereka. Kita juga boleh melihat bendera Holy Roman Empire yang mempunyai helang yang berkepala dua, Nazi Jerman, Poland dan juga ketika pemerintahan monarki Tsar Rusia, Peter the Great yang mengisytiharkan dirinya penyambung Holy Roman Empire yang ketiga. Kebanyakkan heraldry di bahagian Eropah sedikit sebanyak memasukkan helang sebagai jata negara mereka.

vi. Antara heraldry di Eropah yang menggunakan burung helang sebagai pengaruh daripada Empayar Rom. Cuba anda teka setiap logo daripada empayar atau negara mana.

Ia jadi mainstream dan masih dijadikan trend pada masa kini. Pada masa kini pula, kita boleh melihat bagaimana simbolisme helang ini muncul pada jata-jata negara. Amerika Syarikat menggunakan bald eagle yang terdapat secara meluas di Amerika, ia dikenali sebagai burung kebangsaan mereka dan ianya diangkat untuk dijadikan sebagai jata negara mereka. Hal ini kerana Amerika Syarikat jelas ingin memaparkan persamaan kekuatan mutlak sepertimana Empayar Rom. Kepetingan jata-jata negara ini terletak kepada kita sebagai rakyat untuk memahami secara jelas maksud yang ingin dibawa melalui suatu simbol itu serta dapat mentafsirkan simbolisme tersebut dalam menghayati semangat patriotik negara. Apakah maksud dan signifikasi bagi jata negara kita, Malaysia?

vii. Jata Negara Amerika Syarikat

P.S – Jika anda melihat filem-filem atau permainan video yang berkisarkan Empayar Rom, cuba-cubalah untuk mengaplikasikan ilmu yang anda belajar hari ini dalam mengenali struktur sebuah Legion.

S E N A T V S   P O P V L V S Q V E · R O M A N V S

Rujukan

Dickson, W. and Mommsen, T. (2010). The History of Rome. Cambridge: Cambridge University Press.

Gibbon, E. and Mueller, H. (2003). The Decline and Fall of the Roman Empire. New York: Modern Library.

Mark, J. and Mark, J. (2014). Roman Standard. [online] Ancient History Encyclopedia. Available at: https://www.ancient.eu/Roman_Standard/ [Accessed 28 Jul. 2018].

Zolotarev, D. (n.d.). Zolotarev Design – Roman legion. [online] Zolotarevdesign.com. Available at: https://zolotarevdesign.com/roman-legion [Accessed 28 Jul. 2018].