Apabila kapal RMS Titanic tenggelam pada tengah malam 15 April 1912, lebih 1,500 penumpang dan krew terbunuh dalam tragedi maritim berdarah dalam sejarah moden. Dan seperti biasa, pihak media memfokuskan berita mereka kepada individu-individu terkenal seperti Benjamin Guggenheim, John Jacob Astor IV dan pasangan Ida dan Isidor Straus. Selain mereka, media turut memfokuskan kepada kisah-kisah keberanian beberapa figura yang membantu menyelamatkan penumpang. Tetapi mereka terlupa satu nama yang dianggap besar dalam dunia kewartawanan Barat ketika itu, William Thomas Stead.

Siapa sebenarnya William Thomas Stead ini? Stead merupakan seorang wartawan penyiasatan yang dianggap kontroversi pada era Victoria. Jasanya menjadi pelopor kepada kewujudan akhbar tabloid moden di Britain dan menunjukkan bagaimana media boleh mempengaruhi pandangan orang ramai serta polisi kerajaan ketika itu. Antara isu yang menarik perhatiannya ialah isu kebajikan kanak-kanak, perundangan sosial dan reformasi berkenaan kod jenayah England. Tetapi jika benar lelaki ini seorang yang hebat, mengapa namanya jarang disebut? Ini kerana Stead jarang dipaparkan dalam mana-mana drama atau filem berkenaan era ketika itu seperti filem Titanic (1996) arahan James Cameron atau siri televisyen Downton Abbey hasil buah fikiran Julian Fellowes.

Anak kepada Reverend William Stead, seorang paderi Protestan dan Isabella Jobson ini mendapat pendidikan awal di rumah oleh bapanya dan sudah mampu menghafal kitab Bible serta fasih membaca teks Latin dan Bahasa Inggeris. Tetapi ibunya, Isabella yang memberi pengaruh terbesar kepada kehidupan Stead untuk tahun-tahun berikutnya. Ibunya merupakan seorang aktivis dan antara kenangan Stead semasa kecil ialah tindakan Isabella mengetuai satu kempen memansuhkan Akta Penyakit Berjangkit yang dianggap kontroversi kerana memaksa pelacur-pelacur menetap di bandar-bandar garison untuk menjalani pemeriksaan perubatan.

Selepas mendapat pendidikan di Sekolah Silcoates, Wakefield dan latihan perantis di sebuah pejabat saudagar sebagai kerani, Stead mula menyumbang artikel kepada sebuah akhbar liberal bernama The Northern Echo pada tahun 1870. Setahun selepas itu, walaupun dianggap masih hijau dalam dunia penulisan dan kewartawanan, akhbar berkenaan melantiknya sebagai editor pada usia 22 tahun, sekaligus editor paling muda di Britain ketika itu. Stead mempergunakan rangkaian landasan keretapi Darlington untuk meningkatkan pengedaran akhbar tersebut hingga ke peringkat kebangsaan. Selepas berkahwin dengan kekasih zaman kanak-kanak, Emma Lucy Wilson pada tahun 1873, beliau mula dikenali menerusi kempen anti-Akta Penyakit Berjangkit, membuat liputan Pemberontakan April di Bulgaria dan menyumbang kepada kemenangan Benjamin Gladstone dalam pilihan raya 1880.

Selepas bersama The Northern Echo selama sembilan tahun, Stead diambil bekerja sebagai penolong editor Pall Mall Gazette, perintis kepada akhbar London Evening Standard. Selepas bosnya, John Morley dilantik sebagai Setiausaha Negara (Ireland) di bawah kerajaan baru Gladstone, Stead mengambil alih tugas editor dan melancarkan reformasi dunia kewartawanan yang dilihat masih lagi konservatif ketika itu. Antara inovasi beliau ialah memasukkan elemen peta dan rajah dalam rencana akhbar, memecahkan artikel panjang kepada beberapa bahagian dengan pengenalan tajuk-tajuk kecil dan memasukkan pandangannya sendiri dalam setiap temubual membabitkan tetamu khas. Dan tidaklah mengejutkan, di sinilah juga bermulanya asal-usul wartawan penyiasatan dan asas kepada laporan tabloid bermula.

Antara kejayaan Stead semasa berada di Pall Mall Gazette ialah pendedahan kehidupan setinggan di London dengan tajuk The Bitter Cry of Outcast London. Pendedahan kisah tersebut membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Diraja dan cadangan kepada kerajaan untuk membersihkan kawasan setinggan dan membina rumah-rumah kos rendah untuk penduduk terlibat. Pada tahun 1884, Stead menggesa kerajaan menghantar Mejar Jeneral Charles Gordon ke Sudan untuk melindungi warga dan kepentingan British di negara berkenaan. Tindakan Gordon yang enggan meninggalkan Khartoum walaupun sudah diarah berbuat demikian oleh kerajaan Gladstone, Kepungan Khartoum, kematian jeneral terbilang itu dan kegagalan kerajaan Britain menyediakan bantuan dikecam ramai termasuk dari pihak media sendiri. Stead menulis berita utama berkenaan kematian Gordon dengan menggunakan tajuk berita ‘TERLAMBAT!’ (Too late!) dan menyalahkan kelewatan kerajaan menghantar tentera bantuan. Insiden tersebut dianggap bencana bagi empayar pada era Victoria dan mengurangkan populariti kerajaan Gladstone.

Setahun selepas itu, akhbar tersebut sekali lagi menarik perhatian masyarakat dengan pendedahan kewujudan pelacur kanak-kanak di London. Rencana Stead yang bertajuk ‘The Maiden Tribute of Modern Babylon’ ini memaparkan aktiviti pelacuran kanak-kanak yang berleluasa ketika itu. Sebagai bukti kegiatan berkenaan wujud, Stead menyamar sebagai seorang pelanggan dengan mengatur ‘pembelian’ seorang kanak-kanak perempuan bernama Eliza Armstrong yang berusia 13 tahun di East End dengan harga lima paun sterling saja. Artikel tersebut turut mendedahkan rangkaian pembeli dan pengamal perubatan yang terlibat mengesahkan seseorang kanak-kanak itu mempunyai dara atau tidak. Pendedahan kisah sebegini bukan saja mengejutkan malah membuka ruang seluas-luasnya kepada diskusi dalam kalangan masyarakat.

Pejabat akhbar Pall Mall Gazette di Fleet Street sentiasa dipenuhi orang ramai yang mahu mendapatkan keluaran terbaru akhbar berkenaan. Pendedahan ini juga membawa kepada kerajaan dengan meminda Akta Pindaan Jenayah dengan meningkatkan usia sah kanak-kanak dibenarkan mengadakan hubungan seks dari 13 tahun kepada 16 tahun di Parlimen. Pindaan tersebut dibuat beberapa hari selepas pendedahan Pall Mall Gazette. Bagaimanapun, Stead terpaksa membayar harga mahal dengan dipenjarakan selama tiga bulan atas dakwaan menculik di Penjara Coldbath Fields dan Penjara Holloway.

Walaupun dipenjarakan, Stead dibenarkan menulis dari selnya. Di sinilah, beliau menulis satu esei kontroversi bertajuk ‘Kerajaan Melalui Kewartawanan’ (Government by Journalism). Dalam esei tersebut, Stead berhujah sesebuah akhbar yang bersifat demokratik yang dikendalikan rangkaian pembaca yang prihatin dan aktif boleh menyebabkan sesebuah jentera kerajaan yang korup tumbang. Hujah beliau ini dilihat versi radikal Big Society dan ia diperkukuhkan selepas Stead keluar dari penjara. Selepas meletak jawatan dari Pall Mall Gazette, beliau menubuhkan jurnal bulanan bertajuk Reviews of Reviews pada tahun 1890 dengan tujuan menggabungkan empayar dengan menggunakan sepenuhnya semua aspek kewartawanan terbaik. Selain itu, Stead tidak ketinggalan berinovasi dengan menjadi editor pertama menggaji wartawan wanita dan suka kepada pengenalan teknologi baru seperti wayarles pada tahun 1890-an.

Hasrat Stead memiliki akhbar sendiri akhirnya tercapai apabila menubuhkan akhbar The Daily Paper pada tahun 1904. Bagaimanapun, akhbar berkenaan hanya bertahan selama enam minggu dan mengakibatkan kerugian sebanyak 35,000 paun sterling (tiga juta paun sterling mengikut nilai terkini). Selain itu, beliau juga dikenali sebagai pejuang keamanan dengan memperjuangkan idea seperti ‘United States of Europe’ (idea pelopor kepada Kesatuan Eropah (EU)) dan ‘Mahkamah Tinggi Keadilan dalam kalangan negara-negara’ (idea pelopor penubuhan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)). Semasa Persidangan Keamanan Hague pada 1899 dan 1907, Stead menerbitkan akhbar harian sepanjang persidangan yang berlangsung selama empat bulan. Berikutan itu, beliau menerima banyak pencalonan untuk Hadiah Nobel Keamanan.

Bagaimanapun, kredibiliti beliau sebagai wartawan dan tokoh awam tercalar selepas menentang keputusan kerajaan Britain terlibat dalam kempen Perang Boer. Dan reputasinya semakin merosot apabila mempromosikan bahasa baru dipanggil Esperanto dalam kolum akhbarnya dan terlibat dengan aktiviti alam ghaib.

Buktinya pada tahun 1893, Stead menerbitkan majalah bersifat keagamaan bertajuk Borderland dengan beliau sebagai editor dan Ada Goodrich Freer sebagai penolong editor. Bagaimanapun, majalah tersebut tidak bertahan lama dan ditutup pada 1897. Dan beberapa tahun sebelum tragedi Titanic, Stead turut menubuhkan sebuah pejabat dipanggil Julia’s Bureau yang mengupah sekumpulan perantara wanita untuk bertindak sebagai operator telefon, mengatur hubungan antara dunia realiti dan alam ghaib. Penerbit buku Grant Richards menyifatkan ketaksuban Stead kepada alam ghaib dilihat mengurangkan secara drastik kedudukannya di khalayak ramai.

Bagi yang pernah membaca artikel mitos berkenaan Titanic, pasti anda sudah biasa mendengar sumpahan mumia yang dikatakan menyumbang kepada tenggelamnya kapal Titanic. Cerita berkenaan sebenarnya direka oleh Stead dan seorang rakannya sebagai satu bentuk gurauan kepada seorang rakan. Dan semasa beliau menaiki kapal malang itu, ini juga merupakan cerita yang dikongsikannya bersama para penumpang lain. Jadi apa sebenarnya mendorong tokoh kewartawanan ini menaiki kapal berkenaan? Stead sebenarnya menerima jemputan dari Presiden William Taft untuk menghadiri satu persidangan keamanan di Carnegie Hall, New York City.

Selepas kapal berkenaan melanggar aisberg, beliau membantu penumpang menaiki bot penyelamat dan turut menyerahkan jaket keselamatannya sendiri kepada seorang lagi penumpang. Mangsa Titanic yang terselamat, Philip Mock menceritakan Stead dan Jacob Astor cuba berpaut pada bot tetapi kaki mereka menjadi sejuk, sekaligus memaksa mereka melepaskan pegangan. Kedua-duanya lemas dan mayat mereka tidak dapat dijumpai sehingga ke hari ini. Satu lagi detik yang dianggap pahit ialah Stead seharusnya menerima Hadiah Nobel Keamanan pada akhir tahun tersebut.

Ramai menangisi pemergiannya dan dianggap legenda kewartawanan pada zamannya. Salah seorang temannya bernama Lord Alfred Milner menganggap Stead seorang pejuang dan sentiasa menganggap dirinya berpihak kepada kebaikan. Sementara Baron Roy Jenkins yang merupakan seorang ahli politik dan penulis biografi tokoh-tokoh politik menganggapnya figura kewartawanan paling sensasi pada abad ke-19.

SUMBER

Luckhurst, Roger. (2012). The Telegraph. WT Stead, a forgotten victim of Titanic. https://www.telegraph.co.uk/history/titanic-anniversary/9195793/WT-Stead-a-forgotten-victim-of-Titanic.html

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.