Tidak mungkin.

Dua patah perkataan ini telah lama terlibat dalam perkembangan politik, ekonomi dan sosial. Tidak mungkin kaum Yahudi boleh membentuk sebuah kerajaan merdeka. Tidak mungkin ada negara boleh menandingi ekonomi Amerika Syarikat sebagai negara paling kaya dunia. Tidak mungkin sekumpulan parti-parti pembangkang berbeza ideologi boleh menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

Tidak mungkin telah lama menghantui hujah-hujah kebarangkalian berlakunya satu perkara, sama ada baik atau buruk. Dan sekarang ini tidak mungkin juga diperkatakan terhadap kebarangkalian peperangan antara Amerika Syarikat dan Iran kerana kononnya mereka bersekutu di sebalik tabir.

Sebenarnya tiada apa yang mustahil dalam geopolitik melainkan kemustahilan itu sendiri. Malah penubuhan sebuah khilafah antara Arab Saudi dan Yaman pun tidak boleh dihitung kira sebagai suatu kemustahilan, meskipun kedua-dua negara tersebut sedang bertarung. Berkaitan pula dengan perhubungan dingin Amerika Syarikat dan Iran, sebuah peperangan boleh sahaja meletus pada bila-bila masa. Cuma Iran mempunyai kelebihan yang kerajaan di Tehran takkan sama sekali lepaskan.

Suatu pengajaran boleh didapati daripada Syria. Apabila barisan pemberontakan gagal menumbangkan kerajaan Bashar al-Assad, telah berbunyinya semboyan peperangan nun jauh dari Washington D.C. Tiupan trompet pertempuran ini tidak direstui seorang penguasa di Kremlin. Maka dua kuasa besar ini mempunyai konflik kepentingan.

Moscow telah selama ini diam sambil melihat dengan teliti tentang kedudukan Bashar Assad. Jika jatuh kerajaan Assad, tentu sekali Vladimir Putin akan bertindak dengan pantas. Ini kerana Syria telah lama menjadi sahabat baik kepada bangsa Rusia sejak Kesatuan Soviet lagi. Dan bangsa Rusia takkan sama sekali mengkhianati persahabatan.

Gagal mendenyutkan nadi peperangan, akhirnya Syria pun secara perlahan-lahan dikuasai Bashar Assad. Amerika Syarikat dan Persekutuan Rusia hanya berpakat untuk membedil Daulah Islamiyah (ISIL) sahaja. Perkara yang sama bakal berlaku jika Amerika Syarikat menghantarkan kumpulan-kumpulan pengangkutan ketenteraan (CBG).

Syria mungkin merupakan sepupu kepada dasar pentadbiran Moscow. Tetapi Iran ialah adik paling rapat sekali. Disebabkan itulah Iran selama ini tidak boleh disentuh walau sedikit pun melainkan sekatan-sekatan ekonomi sahaja.

Sungguhpun begitu, Amerika Syarikat tidak boleh melepaskan Timur Tengah dan dasar peperangan. Seringkali pentadbiran White House dituduh tamak dan gigih untuk menjadi polis dunia dalam Timur Tengah. Dakwaan tersebut separa benar. Amerika Syarikat berjuang di Timur Tengah atas dua aspirasi yang bercanggah: (1) pemeliharaan kepentingan-kepentingan sendiri dan (2) keinginan untuk menjauhi rantau ini. Namun matlamat tidak menghalalkan cara. Dan perlaksanaan pula telah membatasi teori.

Disebabkan itu juga Amerika Syarikat tidak melepaskan Afghanistan begitu sahaja. Malah jika difikirkan tiada apa pun di republik berkecai tersebut yang boleh memberikan justifikasi di sebalik perbelanjaan bertrilion melainkan satu perkara sahaja. Sejak Perang Dunia Kedua, dasar luar negara Amerika Syarikat selalunya menekankan keperluan untuk mengelakkan kebangkitan sebuah kuasa dominan yang tidak mesra. Dengan kekayaan bahan api, kuasa dominan ini boleh menghalang mereka untuk bertindak. Malah peperangan besar boleh meletus, di mana musuh menguasai bahan yang menyalakan enjin-enjin peperangan mereka.

Tetapi pada zaman ini, Amerika Syarikat merupakan gergasi pengeluar tenaga sendiri. Maka dengan penguasaan di Timur Tengah, kerajaan White House dengan sebelah tangan mengelakkan peperangan besar yang boleh menyusahkan mereka. Namun setiap kali suatu pihak cuba menghentikan peperangan sebelum bermulanya peperangan tersebut, kesannya buruk. Disebabkan itulah Amerika Syarikat pada hari merupakan antara punca di sebalik kebuluran dan kehancuran dalam negara-negara Timur Tengah.

Disini jelas bahawa peperangan antara Amerika dan Iran merupakan permainan berbeza. Jika selama ini mereka juara ragbi, peperangan tersebut ialah sukan bolasepak yang peraturannya berbeza. Malah peperangan bersama Iran ialah ibu kepada segala masalah besar.

Disebabkan itu juga Presiden Donald Trump sedang mengusahakan sejenis mekanisme mengelak peperangan yang melibatkan penghantaran 120,000 anggota tentera ke Timur Tengah untuk berjaga-jaga jika Iran menyerang. Iran juga didapati sedang memasangkan misil-misil sebagai persediaan untuk menyerang kapal-kapal perang Amerika Syarikat.

Dan blok-blok politik di seluruh Amerika Syarikat pun sebulat suara menyatakan bahawa jika Tehran serang, maka padahnya besar terhadap Iran. Kaedah serangan pun takkan berlaku seperti Iraq dan Afghanistan, kerana republik ini mempunyai sistem pertahanan rapi dari Rusia.

Gagasan ketenteraan NATO boleh menewaskan Iran dengan mudah. Namun harus diakui juga kegagalan operasi boleh saja berlaku. Amerika Syarikat mengebom Vietnam dengan bahan-bahan letupan tiga kali ganda lebih banyak dari segala bom dalam Perang Dunia Kedua. Tetapi Perang Vietnam masih dimenangi komunis.

Dan Iran pula mempunyai satu kunci yang mengikatkan kedudukan mereka: senjata nuklear. Maka dalam hal ini, perjanjian persefahaman antara White House-Tehran sebenarnya menjaminkan keselamatan global melalui diplomasi.  Cuma perjanjian tersebut merupakan hasil kepintaran Barack Obama.

RUJUKAN:

A War With Iran would be the mother of all quagmires. https://www.washingtonpost.com/opinions/2019/05/20/war-with-iran-would-be-mother-all-quagmires/

Iran Threat Debate Is Set Off by Images of Missiles at Sea.

The Joint Comprehensive Plan of Action (JCPOA) at a Glance. https://www.armscontrol.org/factsheets/JCPOA-at-a-glance

White House Reviews Military Plans Against Iran, in Echoes of Iraq War. https://www.armscontrol.org/factsheets/JCPOA-at-a-glance

Why America Can’t Quit the Middle East. https://www.nytimes.com/2019/05/13/world/middleeast/us-military-plans-iran.html

https://www.hoover.org/research/why-america-cant-quit-middle-east


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.