Mangalyaan: Peneroka Marikh Pertama India

506
views

Pada tahun 2014, India menempa sejarah tersendiri dalam dunia astronomi. Tatkala beberapa negara lain gagal menghantar satelit dalam misi sulung mereka ke Marikh, India berjaya menerusi Misi Satelit Marikh (MOM) atau lebih mesra dipanggil Mangalyaan. Satu lagi sejarah dilakar buat negara berkenaan ialah Mangalyaan merupakan misi antara planet pertama yang dilakukan Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO). Tetapi bagaimana kejayaan ini dapat dilakar tatkala negara-negara pendahulu seperti Amerika Syarikat dan Rusia gagal?

Pada November 2008, pengerusi ISRO ketika itu iaitu G. Madhavan Nair mengumumkan hasrat India menghantar misi prob ke Marikh. Konsep misi berkenaan dikaji sebaik mungkin oleh Institut Sains dan Teknologi Angkasa Lepas India (IIST) pada tahun 2010 selepas pelancaran prob bulan pertama negara berkenaan, Chandrayaan-1 pada tahun 2008. Selepas ISRO membelanjakan sejumlah $19 juta untuk kajian projek berkenaan, New Delhi meluluskan projek itu pada tahun 2012 dengan anggaran kos mencecah $68 juta. ISRO menganggarkan $23 juta akan dibelanjakan untuk pembinaan satelit sementara baki belanjawan digunakan untuk membina stesen bumi dan penambahbaikan sistem transmisi yang akan digunakan untuk projek-projek ISRO lain.

Tidak semua merasa gembira dengan pengumuman New Delhi berkenaan projek ini. Seperti biasa, ramai mengeluh mengapa dana disalurkan kepada MOM sedangkan ia boleh saja dimanfaatkan untuk pembangunan kemudahan rakyat lebih baik. Bagi pengerusi ISRO ketika itu, K. Radhakrishnan berpandangan ia dilakukan demi menyelesaikan masalah yang dihadapi manusia dan masyarakat. Menerusi temubualnya bersama BBC pada tahun 2013, Radhakrishnan mendedahkan India membelanjakan $1 bilion untuk program angkasa lepas atau 0.34% daripada belanjawan program angkasa lepasnya. Kebanyakan belanjawan diperuntukkan untuk pembinaan satelit komunikasi, penderiaan jauh dan pengemudian untuk aplikasi angkasa lepas. Hampir 35% dibelanjakan untuk pembangunan kenderaan pelancaran dan tujuh hingga lapan peratus dibelanjakan untuk program eksplorasi dan sains. Menurut beliau lagi, melalui program angkasa lepasnya, ia membantu kerajaan dalam pelbagai aspek seperti penambahbaikan dari segi membuat keputusan, pengurusan bencana yang lebih baik dan menyediakan kemudahan komunikasi kepada rakyat melalui satelit-satelit INSAT.

Semasa ia dilancarkan ke angkasa lepas pada 5 November 2013 dari sebuah tapak roket di Sriharikota, tidak ramai tahu kos misi berkenaan merupakan paling murah dalam mana-mana misi ke Marikh setakat ini. Radhakrishnan bila diminta mengulas pasal itu berkata, “Inilah misi antara planet paling murah yang pernah dilakukan India.” Malah, semasa Perdana Menteri Narendra Modi mengadakan lawatan ke Sriharikota pada 30 Jun secara bergurau menyifatkan kos filem Gravity (2013) yang diterbitkan Warner Bros jauh lebih mahal berbanding misi Marikh Delhi, satu pencapaian menakjubkan bagi India. Untuk memastikan kos satelit berkenaan berpatutan, India membina sendiri komponen satelit, mereka reka bentuk satelit dan staf-staf ISRO terpaksa bekerja lebih masa untuk memastikan semuanya berjalan lancar pada hari pelancaran.

Figure 1: Filem Gravity (2013) arahan Alfonso Cuaron yang menampilkan Sandra Bullock dianggap lebih mahal berbanding kos Mangalyaan. Kredit https://edition.cnn.com/2013/11/07/showbiz/sandra-bullock-gravity-isnt-female/index.html

Jadi bagaimana India berkemampuan menghasilkan Mangalyaan? Menurut Profesor Andrew Coates, rahsianya terletak pada saiznya yang kecil. Menurut beliau, saiz satelit yang kecil dan hanya mempunyai berat sebanyak 15 kilogram menyumbang kepada kosnya yang rendah. Selain itu, Mangalyaan juga tidak dilengkapi peralatan yang rumit kerana India mensasarkan kajian dan penyelidikan penting di tempat lain yang dilihat boleh melengkapi kajian yang dilakukan negara-negara lain. Mangalyaan dilengkapi alat untuk menguji tahap gas metana di atmosfera Marikh dan ini menarik perhatian ramai saintis kerana diharap dapat menjawab soalan paling besar berkenaan Marikh: benarkah ada hidupan di Marikh?

Ini kerana menurut Coates, ukuran yang diambil Mangalyaan pada komponen-komponen atmosfera Marikh pasti akan membantu lebih banyak kutipan data yang dibuat oleh satelit Amerika Syarikat, Maven dan satelit agensi angkasa lepas Eropah, Mars Express. Ini pasti membantu para penyelidik memahami bagaimana planet merah itu kehilangan sebahagian besar atmosferanya berbilion tahun dahulu. Selain itu, dengan kehadiran tiga satelit ini juga boleh menentukan apa jenis iklim yang pernah wujud di Marikh dan apakah ianya sesuai untuk hidupan wujud di situ.

Ramai menganggap peluang Mangalyaan tipis ke Marikh kerana mengikut peratusan kejayaan misi ke Marikh, peluang kejayaan hanya sebanyak 42% sejak misi pertama Marikh dilancarkan pada tahun 1960. Tetapi bagi MyIswamy Annadurai yang juga ketua misi Marikh India berpandangan, “Undang-undang fizik akan menyebelahi India dan negara ini juga akan mempunyai robot Marikhnya yang pertama.” ISRO sendiri melihat misi berkenaan sebagai satu pertunjukan teknologi untuk menunjukkan kepada dunia pencapaian India sebagai sebuah negara yang berkemampuan membina teknologi tinggi walaupun berhadapan pelbagai halangan.

Bagi Modi sendiri, pencapaian Mangalyaan juga merupakan satu kenyataan geopolitik besar India kepada dunia terutama Amerika Syarikat di mana pada tahun sama ia dilancarkan, Perdana Menteri India itu mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama. Dan dengan India berjaya mengalahkan China dalam perlumbaan menuju ke Marikh, ia sudah memberi isyarat kepada Beijing bahawa pengaruh dan kemampuan New Delhi tidak patut dipandang remeh.

Jangkaan misi Mangalyaan ialah selama enam bulan dan ketika ini, ia sudah berada di Marikh selama tiga tahun, sembilan bulan dan 28 hari. Dan dari jam pertama ia berada di orbit Marikh, ia akan mengambil imej pertama planet berkenaan untuk menjawab persoalan kenapa dan bagaimana Marikh kehilangan air. Jika jawapan dapat diperoleh dari Marikh, maka ini dapat membantu kelangsungan hidup manusiawi di bumi untuk jangka masa panjang dan apa pelan kecemasan yang dapat dirancang jika situasi yang pernah melanda Marikh melanda bumi pula.

Figure 2: Kumpulan saintis yang gembira selepas pelancaran MOM pada 5 November 2013. Kredit https://www.bbc.com/news/world-asia-india-29357472

Kejayaan Mangalyaan merupakan satu kebanggaan bukan saja bagi seluruh rakyat India tetapi juga benua Asia. Bagi mengabadikan kejayaan Mangalyaan, salah satu imej satelit berkenaan digunakan untuk duit 2,000 rupee. Pada tahun 2015, pasukan MOM turut mendapat Anugerah Pelopor Angkasa Lepas 2015 oleh Persatuan Angkasa Lepas Kebangsaan atas kejayaan melaksanakan misi pertama Marikh dengan jayanya. Ianya lebih manis bagi pasukan ini kerana ia ditunjangi beberapa saintis wanita sekaligus mencabar stereotaip bidang sains roket didominasi oleh saintis lelaki. Antara saintis perempuan yang terlibat dengan projek MOM ialah dua Timbalan Pengarah Operasi MOM, Ritu Karidhal dan Nandini Harinath serta Pengarah Program Geosat di Pusat Satelit Isro, Anuradha TK.

Tetapi ISRO tidak mahu berhenti di situ saja. Pada tahun lepas, selepas New Delhi memberi lampu hijau kepada usaha penyelidikan Marikh melalui cadangan belanjawan 2017. Menerusi projek MOM2, India bakal bekerjasama dengan Perancis dan ISRO berjanji melalui projek ini, ia akan mendapat penaiktarafan berbanding misi Mangalyaan pertama. Buat masa ini, ISRO masih mempertimbang idea menghantar misi satelit, kapal pendarat atau kenderaan perayau atau hanya menghantar satelit dengan kelengkapan lebih canggih. Semua itu akan ditentukan selepas India menghantar satelit Chandrayaan-2 ke bulan pada Disember 2018, di mana akan menampilkan kenderaan perayau India pertama.

Jika benar India mahu menggunakan kenderaan perayau untuk misi kedua Mangalyaan di Marikh, Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mahu menawarkan peralatan radio Elektra bagi memudahkan hubungan antara kenderaan perayau dengan pusat kawalan misi dan memperbaiki komunikasi NASA dengan misi-misinya di Marikh. ISRO juga sedang mempertimbang idea yang diutarakan Pengarah Makmal Pendorongan Jet (JPL) NASA, Michael M. Watkins untuk membantu kelengkapan saintifik yang boleh dibawa MOM2.

Figure 3: Planet Zuhrah merupakan sasaran seterusnya kajian dan penyelidikan ISRO selepas Marikh.

ISRO juga mempunyai hajat besar iaitu mengadakan misi penerokaan planet Zuhrah. Walaupun ia masih lagi dalam peringkat perancangan, ISRO mahu mengkaji tahap karbon dioksida atmosfera planet berkenaan untuk mengetahui bagaimana pertambahan gas rumah hijau dalam atmosfera bumi kita. Profesor Jacques Blamont, seorang ahli astrofizik dan bekas ketua agensi angkasa lepas Perancis berpandangan ISRO mungkin melengkapkan satelit mereka dengan belon yang membawa radar pengimejan sintetik. Satelit itu akan dilancarkan ke atmosfera planet yang digelar kembar bumi itu untuk mengkaji keadaan dan perubahan suhu planet berkenaan. Bekas pengarah ISRO merangkap pengerusi jawatankuasa penasihat ISRO, U.R. Rao sedar antara cabaran yang menanti ialah keadaan planet yang panas akan memendekkan jangka hayat peralatan bila berada di atmosfera Zuhrah. Ini mendorong Rao berpandangan antara cara mengatasi masalah berkenaan ialah membuat belon dari bahan metalik. Dan ini sekali lagi menarik perhatian Amerika dan Watkins tidak menolak NASA berkemungkinan sedia bekerjasama dengan rakan sejawat mereka dari New Delhi untuk misi Zuhrah.

SUMBER

  1. Amos, Jonathan. (2014). BBC. Why India’s Mars mission is so cheap – and thrilling. https://www.bbc.com/news/science-environment-29341850
  2. Bagla, Pallava. (2014). BBC. Mangalyaan: India’s race for space success. https://www.bbc.com/news/world-asia-india-29307123
  3. Bagla, Pallava. (2017). ScienceMag.com. India eyes a return to Mars and a first run at Venus. http://www.sciencemag.org/news/2017/02/india-eyes-return-mars-and-first-run-venus
  4. Limaye, Yogita. (2013). BBC. India’s space-based ‘revolution’. https://www.bbc.com/news/science-environment-24772147
  5. Pandey, Geeta. (2016). BBC. The women scientists who took India into space. https://www.bbc.co.uk/news/world-asia-india-38253471

 

Previous articleHaiwan-Haiwan Yang Darahnya Tidak Berwarna Merah!
Next articleWhirling Dervish
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE