Mandailing Itu Batak?

0
3049
views

Masyarakat Mandailing berasal dari wilayah Mandailing-Natal atau setelah dipendekkan namanya, lebih dikenali sebagai Madina, yang terletak di Sumatera Utara, Indonesia. Masyarakat Mandailing memanggil tempat ini sebagai ‘tano rura Mandailing’ (tanah air Mandailing).  Dari segi antropologi, masyarakat Mandailing tergolong dalam kelompok Proto-Melayu bersama dengan Batak (Pane 2013). Persoalan sama ada orang Mandailing itu suku Batak atau tidak akan saya jawab nanti.

Masyarakat Mandailing boleh ditemui di negara Singapura, Malaysia, dan Indonesia. Dianggarkan jumlah orang Mandailing di Sumatera, Indonesia berjumlah 300,000 manakala di Malaysia dianggarkan terdapat seramai 200,000 orang Mandailing (Lubis 2005:1037). Majoriti orang Mandailing beragama Islam dan terdapat minoriti yang beragama Kristian (Rotonga, dipetik Pane 2013, dan Lubis 2005).  Ekonomi masyarakat Mandailing berdasarkan penanaman padi, getah, kayu manis, kopi, dan perlombongan emas (Lubis 2005:1037).

Di Malaysia, masyarakat Mandailing boleh ditemui di negeri Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan. Manakala di Indonesia, masyarakat Mandailing boleh ditemui di Sumatera Utara, terutamanya di Selatan Tapanuli dan Mandailing-Natal. Mereka boleh ditemui di kota-kota seperti kota Medan, Penyabungan, dan Bandung. Masyarakat Mandailing telah menyumbang banyak kepada sastera moden Indonesia dan Malaysia (Lubis 2005:1037). Seperti suku-suku lain, masyarakat Mandailing terkenal dengan tradisi mereka sebagai pengembara (Tugby, dipetik Idris dan Hassan 2016). Pada abad ke-19, masyarakat Mandailing telah berpindah ke Semenanjung Tanah Melayu secara beramai-ramai untuk mencari kehidupan yang lebih baik atau menimba ilmu agama (Idris dan Hassan 2016).

Gambar 1: Peta lokasi Mandailing-Natal (Madina). Sumber gambar: Wikipedia

Asal-Usul Nama Mandailing

Perkataan atau nama Mandailing dipercayai berasal daripada “Mande Hiling” yang bermaksud “Ibu hilang” atau “Ibu yang hilang” dalam Bahasa Minangkabau (Nasution 2007:9).  Ini agak menarik untuk difikirkan kerana orang Mandailing ini bersifat patrilineal manakala jiran mereka, orang Minangkabau, bersifat matrilineal. Disebabkan teori sebalik asal-usul nama ini, ada juga yang mendakwa bahawa orang Mandailing ini adalah suku Minang, soalan ini akan saya jelaskan sama ada ianya benar atau tidak.  Namun begitu, sebab dan sejarah apakah yang menyebabkan terciptanya nama Mandailing ini sehingga kini menjadi satu misteri dan sering dibahaskan dari masa ke masa. Pertama kali perkataan Mandailing muncul dalam teks sejarah adalah dalam kitab Nagarakretagama yang menjelaskan aktiviti perluasan jajahan dan pengaruh empayar Majapahit di Nusantara pada abad ke-14 (Ansyah 2012 dan Nasution 2007:11). Pada syair ke XIII, tercatatnya nama Mandailing (Nasution 2007:11):

“Lwir ning pranusa sakahawat ksoni ri Malaya

Ning Jambi mwang Palembang karitang i Teba len Dharmacraya tumut

Kandis Kahwat Manangkabau ri Siyak i Rekan Kampar mwang i Pane

Kampe Harw athwe Mandahiling I Tumihang Parlak mwang i Barat”

Mandailing di dalam teks tersebut merujuk kepada suatu kawasan di Sumatera Utara. Selepas itu perkataan dan nama Mandailing hilang daripada lembaran sejarah untuk beberapa abad sehinggalah pada abad ke-19.

Abdurr Razaq Lubis (2003) berhujah bahawa salah satu teori nama Mandailing berasal daripada terma Mandala Holing, iaitu terma untuk idea pentadbiran dan perundangan dalam masyarakat Mandailing purba. Terma Holing ditemui dalam ungkapan berikut:

“..muda tartiop haopatna,

nipaspas naraco Holing,

niungkap buntil ni adat,

 nisuat dokdok ni hasalan,

 ni dabu utang dohot baris…”

Ungkapan di atas menurut Nasution (2007) bermaksud,

“…bahwa untuk mengadili seseorang harus didasarkan empat syarat. Apabila ke empat syarat itu dipenuhi barulah naraco holing (suatu lambang pertimbangan yang seadil-adilnya) dibersihkan, selanjutnya dilihat ketentuan adat, diukur beratnya, kesalahan, dan setelah itu barulah hukuman dapat dijatuhkan”.

Sehingga kini, masyarakat Mandailing dan Batak menggunakan ‘Surat Tumbaga Holing’ yang merupakan rujukan perundangan dan adat di Sumatera Utara. Mereka berpegang pada kata-kata “Surat Tumbaga Holing na so ra sasa” yang bermaksud “Surat Tembaga Holing tidak boleh dipadam”, atau dalam kata-kata lain – adat tidak boleh dipadamkan. Dalam konteks orang Mandailing pula ia bermaksud bahawa ketentuan adat-istiadat akan tetap menjadi anutan hidup orang Mandailing untuk selama-lamanya (Nasution 2003:10).

Gambar 2: Bagas Godang, rumah adat tradisional Mandailing. Sumber gambar: Wikipedia

Teori yang seterusnya menyatakan bahawa Mandailing berasal dan mendapat nama mereka daripada kerajaan Mandala Holing. Kerajaan Mandala Holing adalah sebuah kerajaan purba yang meliputi daerah Portibi di Padang Lawas hingga ke Panyabungan (kini ibu kota Mandailing Natal) yang dipercayai telah wujud seawal abad ke-12 (Nasution 2003:9, Pane 2013, dan Siregar 2015).  Semasa serangan Majapahit, pusat pemerintahan Mandala Holing telah berpindah ke Piu Delhi, (sekarang dikenali sebagai Pidoli) berdekatan kota Panyabungan. Terdapat tinggalan candi-candi purba yang dipercayai milik kerajaan Mandala Holing, tetapi malangnya ada yang dipercayai telah dihancurkan oleh tentera Islam semasa Perang Padri yang berlangsung dari tahun 1820 hingga 1838 (Pane 2013).

Adakah Orang Mandailing itu Batak?

Perbahasan sama ada orang Mandailing itu adalah suku Batak atau tidak merupakan satu topik kontroversial yang sehingga kini masih lagi dibahaskan dan sering diungkit dari masa ke masa. Oleh itu, saya ingin menulis hujah dua-dua pihak yang menjelaskan kenapa Mandailing itu ialah Batak dan kenapa Mandailing itu bukan Batak. Saya juga akan membawa hujah-hujah sarjana yang mengatakan bahawa orang Mandailing ini bukan suku Minang.

Orang Mandailing adalah suku atau pecahan suku Batak

  1. Antropologi dan sejarah

Dari segi antroplogi, Viner (1979) dan Cohen (1974) mengklasifikasikan Mandailing sebagai berketurunan atau suku Batak. Selain daripada Mandailing, suku Pakpak, Karo, Simalungun, Pardembanan, Toba, dan Angkola juga tersenarai sebagai suku atau keturunan Batak.  Viner (1979) dan Bruner (1961) juga berhujah bahawa orang Mandailing merupakan pecahan suku Batak yang memeluk agama Islam. Pane (2013) menyatakan bahawa masyarakat Mandailing tergolong dalam kelompok Proto-Melayu dan mempunyai persamaan dengan suku Toba, Simalungun, Karo, dan Pakpak/Dairi. Namun begitu, setelah mereka memeluk agama Islam, orang Mandailing tidak suka dilabel Batak dan telah memutuskan hubungan kebudayaan mereka dengan masyarakat Batak. Menurut Cohen (1974), ada kalanya seseorang daripada sebuah etnik boleh mengubah identiti mereka dan menjadi etnik lain. Perkara ini terpakai untuk isu Mandailing dan Batak. Menurut beliau lagi, terdapat pelbagai cara untuk mencapai perkara tersebut. Contohnya di kota Bandung, bergantung pada keadaan terutamanya semasa ketegangan politik, masyarakat Mandailing akan berganding bahu dengan masyarakat Toba dan membahaskan bahawa diri mereka dan Toba berkongsi selasilah atau moyang Batak yang sama. Mereka juga akan membahaskan bahawa mereka semua adalah satu bangsa kerana berkongsi adat dan selasilah yang sama (Cohen 1974:271).  Cohen (1974) berkata lagi bahawa orang Mandailing boleh memilih untuk jadi Batak atau tidak bergantung pada situasi.

Isu Mandailing bukan Batak setelah memeluk Islam pula akan saya huraikan dengan lebih terperinci selepas ini.

  1. Bahasa dan linguistik

Seterusnya, kita perlu lihat dari segi bahasa atau linguistik. Menurut Tugby dan Embury (1973), Bahasa Mandailing mempunyai persamaan dengan beberapa Bahasa suku Batak. Ini juga disokong Cohen (1974) yang berkata orang Mandailing dan Batak Toba mempunyai dialek yang hampir sama. Manakala Viner (1979) pula berhujah bahawa Bahasa Mandailing merupakan satu sub-bahasa Batak. Seperti rumpun Melayu yang lain, orang Mandailing juga menggunakan Bahasa Melayu sebagai lingua franca atau bahasa perantaraan dalam upacara agama atau semasa mereka berdagang dengan kaum-kaum Nusantara lain. Menurut Lubis (2003) pula, walaupun Toba, Karo, Simelungan, Pakpak, Angkola, dan Mandailing adalah Batak, setiap satu suku tersebut mempunyai dialek, tulisan atau bahasanya yang sendiri. Contohnya, orang Mandailing mempunyai bahasa atau dialeknya yang sendiri dipanggil Hata Mandailing. Selain itu, orang Mandailing juga mempunyai aksaranya sendiri.

Gambar 3: Bahasa-bahasa Batak. Sumber gambar: Wikipedia
  1. Adat dan budaya Mandailing yang ada persamaan dengan Batak

Pane (2013) berkata bahawa masyarakat Mandailing mempunyai persamaan dengan suku-suku Batak lain dari segi bahasa dan adat. Oleh kerana masyarakat Mandailing dan Batak tergolong dalam Proto-Melayu, terdapat persamaan dalam adat mereka (Pane 2013). Contohnya, seperti suku-suku Batak yang lain, orang Mandailing juga ada konsep marga atau klan. Kadangkala, nama-nama di pangkal nama mereka merupakan nama marga. Contoh nama marga dalam masyarakat Mandailing termasuklah Lubis, Nasution, Rangkuti, Harahap, Batubara, Pulungan, Hasibuan (atau Nasibuan), dan lain-lain. Namun begitu, Islamisasi telah menyebabkan sesetengah orang Mandailing untuk membuang nama-nama marga mereka (Lubis 2005). Selain itu, semua suku-suku Batak ini menulis Pustaha iaitu rekod atau kitab yang dibuat daripada kulit kayu yang mempunyai catatan ilmu pengubatan tradisional (Ansyah 2012). Walaupun berbeza agama dengan suku-suku Batak lain, Mangaraja Parliondoengan, seorang bangsawan dan tokoh Mandailing meminta agar perbezaan agama tidak dijadikan alasan perpecahan di dalam sesebuah bangsa. Beliau berpendapat suku-suku Batak harus bekerjasama untuk meningkatkan posisi dan nama bangsa ini yang seringkali dipandang remeh oleh bangsa-bangsa asing (Perret 2010:317).

Gambar 4: Sebuah keluarga yang bersuku Batak Toba. Sumber gambar: Wikipedia

Orang Mandailing bukan suku Batak

  1. Campur tangan penjajah Barat telah mengkategorikan orang Mandailing sebagai Batak.

Satu fakta menarik yang mungkin ramai orang tidak tahu ialah komuniti Mandailing sudah lama menolak idea bahawa mereka ini adalah Batak (Nur’aini, Sudaryono dan Wijono 2003). Salah satu hujah menarik yang menyatakan bahawa orang Mandailing bukan Batak dibawa oleh Abdur-Razzaq Lubis (2010). Menurut beliau, orang Mandailing asalnya tidak dikategorikan sebagai suku Batak. Namun begitu, disebabkan campur tangan penjajah Barat, orang Mandailing mula dikategorikan sebagai suku atau sub-etnik Batak pada abad-19. Hal ini demikian kerana, pada masa itu, Stamford Raffles telah mencadangkan kepada penjajah Belanda untuk memisahkan Aceh dari Minangkabau dengan mencipta satu daerah Kristian iaitu Batakland atau dalam Bahasa Belanda, Bataklanden, di antara Aceh dan Minangkabau (Lubis 2010 dan Viner 1979). Menurut Lubis (2010), daerah ini merupakan satu daerah Batak Kristian yang telah menjadi bufferzone atau kubu Belanda untuk menghalang orang Islam Minangkabau dan Aceh daripada bersatu untuk menentang penjajah Belanda di Sumatera. Daerah ini bertujuan untuk menjadi satu sempadan dan telah memisahkan orang Aceh dan orang Minangkabau. Akibatnya, tanah-tanah Mandailing seperti Mandailing Julu dan Mandailing Godang juga telah termasuk ke dalam Bataklanden ini yang akhirnya menyebabkan orang Mandailing dikategorikan sebagai sub-etnik Batak walaupun ramai di antara orang Mandailing ini sudah beragama Islam (Lubis 2010). Dalam kata-kata lain, dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh penjajah Belanda telah ditekankan di daerah ini untuk memecahbelahkan atau memisahkan orang Islam Sumatera daripada bersatu. Mangsa-mangsa dalam dasar penjajahan Belanda ini bukan sahaja orang Minangkabau dan Aceh, tetapi juga etnik-etnik lain yang duduk di dalam kawasan antara mereka termasuklah orang Mandailing dan orang Batak.

Pada masa ini, penjajah Belanda telah menghantar pendakwah Kristian atau zending ke tanah-tanah Batak dan Mandailing. Orang Mandailing menjadi sasaran pertama pendakwah-pendakwah Kristian ini. Hal ini demikian kerana ramai orang Mandailing pada masa itu sudah memeluk Islam dan para pendakwah Kristian melihat ini sebagai satu ancaman kepada status Bataklanden.  Namun begitu, dakyah evangelis Kristian yang ditekankan di tanah Mandailing telah gagal (Aritonang, dipetik Lubis 2010). Lubis (2010) berpendapat bahawa salah satu sebab kegagalan dakyah Kristian di Mandailing berpunca daripada kegagalan pendakwah Kristian untuk melihat orang Mandailing sebagai etnik yang berbeza daripada Batak. Selain itu, kerja-kerja dakwah Kristian ini juga gagal sebab ramai orang Mandailing mula mendekatkan diri dengan identiti Islam mereka. Walaupun orang Batak Toba dan Mandailing pernah mempunyai persamaan yang ketara dulu, kedatangan agama Islam dan Kristian telah mengubah segala-galanya. Ramai orang Toba telah memeluk agama Kristian manakala ramai orang Mandailing telah memeluk agama Islam. Akibatnya, berlakunya jurang perbezaan yang besar antara orang Mandailing dan Toba (Lubis 2010). Menurut Lubis (2010) lagi, beliau berkata setelah orang Batak Toba menjadi sinonim dengan agama Kristian, orang Mandailing telah mendefinisikan Mandailing sebagai satu antitesis kepada Batak.  Perbezaan Mandailing dan Batak ini juga telah dinyatakan oleh Perret (2009), di mana masyarakat Mandailing, terutamanya yang menduduki Selatan Tapanuli, menolak identiti Batak kerana perbezaan agama. Selain itu, masyarakat Mandailing menolak identiti Batak kerana berpendapat ianya memalukan kepada mereka (Perret 2009:158).

Waqaf Saham

  1. Agama Islam telah menonjolkan orang Mandailing sebagai etnik yang berbeza daripada Batak.

Viner (1979) berkata setelah orang Mandailing memeluk Islam mereka telah berhenti mendefinisikan diri mereka sebagai Batak. Menurut beliau lagi, orang Mandailing juga telah memutuskan hubungan kebudayaan mereka dengan suku-suku Batak lain. Cohen (1974) juga mengatakan bahawa orang Mandailing membahaskan diri sebagai “Mandailing” sahaja dan meninggalkan label Batak. Setelah memeluk Islam, adat dan tradisi orang Mandailing juga telah berubah dan menjauhi elemen Batak. Pemelukan agama Islam oleh orang Mandailing secara beramai-ramai telah menonjolkan Mandailing lebih sebagai satu etnik yang berbeza daripada etnik Batak yang kebanyakkannya mengamalkan agama Kristian atau animisme (Pelly, dipetik Idris dan Hassan 2016). Kesannya, sehingga kini ramai orang Mandailing memisahkan diri mereka daripada Batak.

Anysah (2012) berkata bahawa

“Eksistensi masyarakat Mandailing sebagai suku-bangsa atau kelompok etnis ditandai dan dikukuhkan oleh kenyataan bahwa masyarakat Mandailing memiliki kebudayaannya sendiri, yang didalamnya termasuk bahasa, sehingga mereka dapat dibedakan dari suku-bangsa lain di Indonesia. Di samping itu warga masyarakat Mandailing juga menyadari adanya identitas dan kesatuan kebudayaan mereka sendiri yang membuat mereka (merasa) berbeda dari warga masyarakat yang lain.

  1. Konflik Mandailing vs Batak

Menurut laporan Abdulsalam (2017), tahun lepas, organisasi dan masyarakat Mandailing di Medan telah mengeluarkan petisyen yang ingin mengisytiharkan bahawa orang Mandailing bukan Batak.

Bukan kali pertama laporan dan pengisytiharan seperti ini berlaku. Dipercayai tindakan seperti ini sudah lama dibuat sejak abad ke-19 dan abad ke-20 lagi. Dalam satu insiden, pada 1919, terdapat sebuah perjumpaan di Medan yang bertujuan untuk berbincang dan berbahas mengenai adat dan bangsa Batak (Pewarta Deli, dipetik Tirto 2017). Semua suku atau pecahan suku Batak telah diminta hadir ke perjumpaan tersebut. Namun begitu, orang Mandailing telah menolak untuk turut serta kerana berpendapat bahawa perbincangan tersebut tidak ada kaitan langsung dengan adat dan bangsa Mandailing (Pewarta Deli, dipetik Tirto 2017, dan Perret 2010).

Menurut Perret (2010) lagi,

“Dua bulan kemudian, diluncurkan sebuah ajakan dari Selangor di Semenanjung Melayu untuk membentuk suatu negeri yang menggabungkan orang dari Mandailing, Angkola, Sipirok, Padang Lawas, Batang Toru, Batang Natar, dan Ujung Gading. Menurut penulis ajakan itu, mereka semua merupakan sebuah “bangsa”, yaitu “bangsa Mandailing”, menggunakan bahasa yang sama, adat yang sama, dan memiliki perasaan yang sama. Dikatakan negeri itu akan dipimpin oleh seorang raja saja, yang dipilih rakyat di antara raja-raja yang sudah ada dan yang akan menyandang gelar “Jang Dipertuan Longgam Mandailing”. Ia akan menjadi “Bapa” bagi para pemimpin kuriah serta wakil “bangsa” berhadapan dengan pemerintah Belanda.”

Berikut merupakan beberapa insiden yang menunjukkan konflik Mandailing vs. Batak.

I. Perbalahan Mandailing dan Batak dalam Sjarikat Tapanuli

Gerakan “bangsa Mandailing” tidak berhenti di situ sahaja. Pada tahun 1919 juga, satu syarikat di Medan bernama Sjarikat Tapanuli terjangkit konflik Batak vs. Mandailing ini. Sjarikat Tapanuli merupakan syarikat yang menerbit khabar berita harian Pewarta Deli dan dimonopoli oleh orang Mandailing dan Angkola-Sipirok (Adam 1995:150). Dalam syarikat tersebut, sebahagian pemegang saham syarikat adalah orang Batak manakala sebahagian lagi adalah orang Mandailing. Semasa pemungutan suara dalam sebuah perhimpunan berlangsung, pemegang-pemegang saham Batak memberikan suara untuk orang Batak sahaja manakala orang Mandailing telah memberikan suara untuk kedua-dua orang Batak dan Mandailing (Perret 2010:317).  Rentetan insiden ini, pemegang-pemegang saham Mandailing tidak berasa puas hati lalu telah membentuk syarikat mereka sendiri bernama Sjarikat Mandailing pada 1921 yang diketuai Mohammad Noech (Perret 2010:317). Dalam syarikat ini, orang bukan Mandailing telah dilarang untuk menjadi anggota.

Permusuhan antara orang Mandailing dan Batak dalam syarikat tersebut tidak berakhir di situ. Pada Mac 1922, semasa pemungutan suara dalam Sjarikat Tapanuli, anggota-anggota Mandailing hanya memberikan suara kepada calon-calon Mandailing sahaja. Disebabkan kali ini jumlah anggota Mandailing lebih ramai berbanding anggota Batak dalam pemungutan suara tersebut, maka hanya calon-calon Mandailing sahaja yang telah dipilih untuk mengetuai dewan pimpinan atau lembaga pengarah Sjarikat Tapanuli (Perret 1995). Sebagai tanda memberontak dan kerana tidak berasa puas hati, orang Batak telah mendirikan syarikat mereka sendiri yang dinamakan Handel Maatschappij Batak. Pengarah untuk syarikat ini diketuai oleh Haji Mohammad Tahir, mantan pengarah Sjarikat Tapanuli. Tidak lama kemudian, Pewarta Deli telah menaikkan artikel-artikel yang berbaur buruk terhadap orang Batak (Perret 2010:318). Dalam satu artikel Pewarta Deli yang dinaikkan pada 1922, penulis artikel tersebut telah memberikan persepsi bahawa orang Batak ini tidak bertamadun dengan berkata “Kehidoepan Batak itoe, tingkah dan lakoenja precies dengan monjet itoe”. Artikel tersebut juga menyatakan bahawa orang Batak telah ditamadunkan oleh orang Mandailing setelah “kalah berperang dengan orang Mandailing” dan diislamkan. Perret (2010) berpendapat artikel tersebut ingin menampilkan orang Mandailing sebagai lebih bertamadun berbanding orang Batak. Kenyataan-kenyataan seperti ini juga ingin menampilkan orang Mandailing sebagai etnik yang berbeza daripada etnik Batak juga.

II. Insiden Mandailing vs. Batak di Perkuburan Sungai Mati, Medan.

Pada tahun 1922, terdapat satu perbalahan yang berlaku antara orang Batak dan Mandailing tentang isu pengebumian di tanah perkuburan Sungai Mati, Medan. Penjaga tanah kubur tersebut telah melarang orang Batak untuk dikebumikan di situ atas sebab yang tanah perkuburan tersebut khas untuk orang Mandailing sahaja (Lubis 2005 dan Perret 2010:321). Tahun yang berikutnya, pada 1923, Madjelis Sjara’iah, telah dibentuk dengan perkenan Gabenor Belanda untuk mencari penyelesaian bagi masalah ini. Isu ini ternayata amat serius apabila ia juga disuarakan di dalam Diwan Raiat (Dewan Rakyat) atau Volksradd dalam Bahasa Belanda. Apabila Gabenor-Jeneral Belanda telah membuat keputusan yang berpihak kepada komuniti Batak, komuniti Mandailing telah membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi iaitu Rad van Justitie. Mahkamah Tinggi kemudian telah menarik semula keputusan Gabenor-Jeneral (Lubis 2005 dan Perret 2010).

Kisah ini telah didokumentasikan dalam Asal-Oesoelnja Bangsa Mandailing, di bawah sub-tajuk Berhoeboeng dengan Perkara Tanah Wakaf Bangsa Mandailing, di Soengei Mati, Medan. Dokumen tersebut telah diterbit pada tahun 1926 dan sehingga kini mengingatkan komuniti Mandailing tentang kejayaan mereka ke atas komuniti Batak (Lubis 2005).

Mangaradja Ihoetan, penyusun dokumen tersebut, telah menekankan sebanyak tiga kali dalam pendahuluan dokumen tersebut bahawa kes Sungai Mati merupakan satu peringatan kepada generasi-generasi muda Mandailing, terutamanya mereka yang berada di luar tanah air mereka untuk tidak menghapuskan identiti mereka:

“Riwajat tanah wakaf ini dikarangkan dan dihimpoenkan, goenaja teroetama ialah sebagai peringatan kepada sekalian bangsa Mandailing jang mentjintai kebangsaannja, terlebih-lebih bagi mereka itoe jang berdiam dipertantauan. …riwajat ini djadi peringatan kepada bangsa Mandailing…hanjalah kadar djadi peringatan dibelakang hari kepada toeroen-toeroenan bangsa Mandailing itoe, soepaja mereka tahoe bagaimana djerih pajah bapa-bapa serta nenek mojangnja mempertahankan atas berdirinja kebangsaan Mandailing itoe. Dengan djalan begitoe diharap tiadalah kiranja mereka itoe akan sia-siakan lagi kebangsaannja dengan moeda maoe mehapoeskannja dengan djalan memasoekkan diri pada bangsa lain jang tidak melebihkan martabatnja” (Ihoetan, dipetik Lubis 2005).

Namun begitu menurut Lubis (2005), kejayaan komuniti Mandailing di mahkamah ini bukanlah jaminan pengikitirafan politik berjangka panjang. Hal ini demikian kerana, Comite Kebangsaan Mandailing di Mandaing Natal, walaupun berjaya membuang label ‘Batak Mandailing’ dalam bancian, orang Mandailing masih lagi dikategorikan sebagai Batak

Adakah orang Mandailing ini suku Minang?

  1. Orang Mandailing, kaum Padri, dan Perang Padri (1820 – 1838).
Gambar 5: Gambaran rejimen Belanda bertempur dengan tentera Padri. Sumber gambar: Wikipedia

Setelah tercetusnya Perang Padri pada 1820, golongan Padri dari Minangkabau telah menjajah tanah Mandailing dan Batak. Selama sedekad, tanah Mandailing dan Batak telah ditadbir oleh kaum Padri dari Minangkabau sebelum dibebaskan oleh tentera Belanda pada tahun 1838 setelah dipujuk oleh seorang raja Mandailing bernama Raja Gadombang (Lubis 2003). Semasa pentadbiran Minangkabau di Mandailing inilah lebih ramai orang Mandailing telah mula memeluk Islam (Tugby dan Embury 1973). Disebabkan penjajahan Minangkabau ini juga munculnya dakwaan bahawa orang Mandailing ini telah diresap dan menjadi suku Minang dan bukannya Batak setelah memeluk Islam. Namun begitu, jika benar, mengapakah konsep adat dan Islam orang Minangkabau berbeza dengan adat konsep Mandailing? Dalam konsep Minangkabau, adat adalah bersendikan syarak tetapi bagi orang Mandailing ianya “ombar do adat ugamo” yang bermaksud adat berdampingan agama (Lubis 2005). Dalam konsep ini, adat tempatan dipercayai sebagai satu kebaikan bagi masyarakat dan patut dipegang selagi ianya tak melanggar hukum Islam. Selain itu, konsep ini meletakkan agama hukum-hukum Islam setaraf adat Mandailing (Lubis 2003). Jika orang Mandailing ini adalah suku Minang, bukankah konsep adat mereka sepatutnya sama dengan Minangkabau yakni adat bersendikan syarak bukannya adat berdampingan agama?

Setelah tamatnya Perang Padri, orang Batak dan Mandailing mula bermusuhan orang Minang dan telah membuka tanah-tanah mereka kepada perlindungan Belanda. Namun begitu pada 1860-an, orang Batak dan Mandailing telah berubah sikap dan mula membenci penjajah Belanda.

  1. Siapa itu orang Mandahiliang? Nama lain untuk orang Mandailing?

Mungkin terdapat kekeliruan, kerana dalam etnik Minang terdapat satu suku bernama Mandahiliang yang merupakan salah satu daripada tujuh jorong Minangkabau (Lubis 2010:298). Suku Mandahiliang ini sering dikelirukan dengan etnik Mandailing kerana mempunyai nama yang serupa. Menurut Lubis (2010), suku Mandahiliang ini merupakan hasil perkahwinan antara orang Minangkabau dengan orang Mandailing. Menurut beliau lagi, semasa orang Agam (panggilan orang Mandailing untuk orang Minangkabau dulu) datang ke tanah Mandailing untuk melombong emas, orang Agam ini telah berkahwin dengan orang Mandailing. Apabila orang Agam pulang ke tanah Minangkabau, mereka telah membawa isteri-isteri Mandailing mereka sekali. Akibatnya, keturunan atau anak-anak kepada orang Agam dan Mandailing ini telah melahirkan suku Mandahiliang. Kenapa pilih nama Mandahiliang dan bukannya Agam atau Minang? Hal ini demikian kerana, orang Minang adalah matrilineal, maka anak-anak mereka ini dinamakan sempena keluarga atau marga ibu mereka yakni Mandailing.

Kesimpulan

Masyarakat Mandailing mempunyai sejarah, budaya, dan adat yang kompleks dan kaya di Indonesia dan juga di Malaysia. Campur tangan penjajah, peperangan, dan kedatangan agama Islam dan Kristian di tanah Mandailing telah menyebabkan masyarakat Mandailing mempunyai krisis identiti, sama ada mereka Batak ataupun etnik yang berbeza daripada Batak sehingga kini masih lagi dibahaskan oleh para sarjana. Perkara ini juga telah mengelirukan banyak pihak termasuklah masyarakat Mandailing sendiri. Masalah ini menjadi semakin keruh kerana faktor kekurangan rekod sejarah Mandailing sebelum abad ke-14 yang juga telah menjadikan identiti masyarakat Mandailing masih lagi samar. Tidak dinafikan juga terdapat gerakan atau perjuangan untuk mengisytiharkan etnik Mandailing berbeza dari Batak yang sehingga kini masih lagi diperjuangkan. Lantaran itu, perbalahan antara masyarakat Mandailing dan Batak pada masa lalu telah mengakibatkan masyarakat Mandailing ingin menjauhi identiti Batak. Kita seharusnya ingat bahawa konsep bangsa, etnik, atau rumpun sering berubah mengikut masa, budaya, politik dan agama.  Oleh kerana itu, sehingga kini persoalan sama ada orang Mandailing adalah Batak atau tidak masih lagi tidak menemui tanda noktah. Sekiranya kajian tentang masyarakat Mandailing dihentikan, maka identiti mereka akan diancam arus globalisasi. Oleh itu, masyarakat Mandailing di Indonesia dan Malaysia serta para sarjana wajarlah mencari elemen-elemen yang mendefinisikan seseorang itu sebagai Mandailing dan pada masa yang sama mencari elemen-elemen yang membezakan Mandailing daripada etnik-etnik lain.  Akhir sekali, masyarakat Mandailing kini perlulah memperkenalkan generasi muda Mandailing mereka kepada sejarah, budaya, dan adat Mandailing agar mereka dan warisan mereka tidak akan hilang daripada muka bumi ini.

Rujukan

Ansyah, A. (2012) Willem Iskander (1840 – 1876) Pelopor Pendidikan Di Mandailing Sumatra Utara [online] Unpublished dissertation. Universitas Negeri Yogyakarta. available from < http://eprints.uny.ac.id/13506/> [10 May 2018]

Abdulsalam, H. (2017) ‘Polemik Etnisitas antara Batak dan Mandailing’. Tirto.id [online] 30 October 2017.  available from <https://tirto.id/polemik-etnisitas-antara-batak-dan-mandailing-cze2> [10 May 2018]

Ahmat, A. (1995) The Vernacular Press And The Emergence Of Modern Indonesian Consciousness (1855-1913). New York: SEAP Publications.

Bruner, E.M. (1961) ‘Urbanization and Ethnic Identity in North Sumatra’. American Anthropologist 63 (3), 513-514.

Cohen, A. (1974) Urban Ethnicity. London: Routledge.

Hassan, H. and Idris, M. (2016) Bravery from the Perspective of a Mandailing Scholar: An Analysis of Perisai Bagi Sekalian Mukallaf [online] Unpublished dissertation. Northern University of Malaysia. available from <http://www.futureacademy.org.uk> [9 May 2018]

Lubis, A.R. (2003) ‘Transformation of Mandailing Cultural Identity and Leadership’. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society 76 (1), 55-79.

Lubis, A.R. (2005) ‘Mandailing People (Sumatra)’. in The Encyclopedia of Religion and Nature. ed. by Kaplan, J. and Taylor, B.R. New York: Thoemmes Continuum, 1037-1038.

Lubis, A.R. (2005) ‘Mandailing Islam Across Borders’. Taiwan Journal of Southeast Asian Studies 2 (2), 57-102.

Lubis, A.R (2010) ‘Mandailing–Batak–Malay: A People Defined and Divided’, in From Palermo to Penang, A Journey into Political Anthropology/De Palerme à Penang, Un itinéraire en anthropologie politique. ed. by Ruegg, F. and Boscoboinik, A. Germany: Lit Verlag, 297-308.

Nasution, E. (2007) Tulila: Muzik Bujukan Mandailing. Penang: Areca Books.

Nur’aini, C., Sudaryono, dan Wijono, D. (2003) The Structure of Buildings Arrangement In The Alaman Bolak Selangseutung Site Of Batak Mandailing Ethnic Settlement, North Sumatra. Unpublished dissertation. Yogyakarta: Gadjah Mada University.

Pane, M.S. (2013) Analisis Fungsi Dan Struktur Musikal Gordang Sambilan Dalam Upacara Adat Perkahwinan Mandailing Di Kota Medan [online] Unpublished dissertation. University of North Sumatra. available from <http://www.etnomusikologiusu.com/uploads/1/8/0/0/1800340/skripsimahyarspane.pdf> [10 May 2018]

Perret, D. (2009) ‘Ethnicity And Colonialization In Northeast Sumatra: Bataks And Malays’. in From Distant Tales: Archaeology And Ethnohistory In The Highlands of Sumatra.  ed. by Bonatz, D., Miksic, J., Neidal, J. and Bonatz, M. New Castle: Cambridge Scholars Publishing, 143-159.

Perret, D. (2010) Kolonialisme dan Etnisitas Batak dan Melayu di Sumatra Timur Laut. Jakarta: Kepustakaan Populer Gramedia.

Siregar, I. (2015) Konservasi Kesenian Mandailing [online] Unpublished dissertation. Institut Seni Indonesia Yogyakarta. available from <http://digilib.isi.ac.id/587/1/bab%201.pdf> [10 May 2018]

Tugby, D. and Embury, B. (1973) ‘The Persistance Of The Mandailing Language In West Malaysia’. Southeast Asian Journal of Social Science 1 (2), 29-33.

Viner, A.C. (1979) ‘The Changing Batak’. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society 52 (2), 84-112.