Satu kecenderungan dalam sesetengah masyarakat kita hari ini ialah mereka suka melemparkan tuduhan kepada orang lain tanpa mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong tuduhan tersebut. Bahkan sebaliknya bila dicabar untuk mengemukakan bukti, mereka pula memaksa orang yang dituduh untuk mengemukakan bukti bagi membebaskan diri mereka daripada tuduhan yang dilemparkan kelompok ini. Ini satu perbuatan yang harus dicegah kerana jika ia dibiarkan, ia boleh mencetuskan situasi huru-hara dan memecahkan perpaduan sesama anggota masyarakat.

Mari kita lihat hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. Dalam hadis tersebut, baginda bersabda, “Jika semua orang diberi hak hanya berdasarkan dakwaan mereka semata-mata, nescaya mereka akan mendakwa harta orang lain dan darah-darah mereka. Namun, si pendakwa/penuduh harus mendatangkan bukti dan sumpah harus diucapkan bagi orang yang engkar (tidak mengaku).” (Riwayat Baihaqi, hadis berstatus hasan)

Ulasan para ulama berkenaan hadis ini:a) Imam Nawawi rahimahullah menyifatkan hadis ini antara salah satu kaedah dalam menentukan hukum dalam syariat. Sementara Imam Ibnu Daqiq menyifatkan hadis ini menyentuh asas hukum-hakam dalam agama dan menjadi rujukan utama dalam soal pertelagahan dan permusuhan. Hadis ini menurut beliau mengajar manusia tidak boleh dianggap benar dengan membenarkan tuduhannya saja.

b) Para ulama mensyarahkan hadis ini memperlihatkan ketinggian agama dalam soal keadilan dan kesaksamaan. Ini kerana agama Islam menjamin hak semua orang seperti yang digariskan dalam maqasid syariah. Syariat amat arif tentang pertelagahan dan permusuhan yang berlaku sesama manusia, maka atas sebab itu ia menggariskan kaedah dan penentuan. Ini bagi memastikan sesebuah pihak mendapat hak mereka dan mengelakkan aspek penindasan dan kezaliman. Atas sebab itulah, hadis ini menekankan sebarang dakwaan hanya dianggap sah sekiranya disokong dengan bukti yang kuat dan sahih. Si pendakwa/penuduh pula harus mengemukakan bukti yang kuat dan berkait sama sekali dengan tuduhan tersebut. Ini kerana bukti tersebut yang akan dinilai oleh hakim untuk mengetahui kebenaran dan menentukan hukum berdasarkan kebenaran tersebut.

c) Hadis ini menyatakan secara jelas tentang Al-Bayyinah atau saksi/bukti. Ini kerana saksi/bukti ialah sesuatu perkara yang dapat membuktikan sesuatu dakwaan/tuduhan itu benar atau tidak. Secara asas, Al-Bayyinah lebih merujuk kepada saksi dalam semua perkara membabitkan hukum seperti darah, harta dan jenayah. Penentuan saksi berdasarkan beberapa kategori:

i. empat orang saksi lelaki bagi kes zina. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 15, Surah An-Nisa, “Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu).”

ii. dua orang saksi lelaki bagi kes bunuh dan perkara membabitkan hukum tertentu seperti pernikahan, perceraian, minum arak dan mencuri. Ini berdasarkan firman-Nya dalam ayat 2, Surah At-Talaaq, “Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).”

iii. dua orang saksi lelaki atau seorang saksi lelaki dan dua saksi perempuan bagi perkara membabitkan harta seperti jual beli, sewaan dan pinjaman. Ini berdasarkan firman-Nya dalam ayat 282, Surah Al-Baqarah, “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

iv. saksi bagi perkara yang boleh dilakukan wanita saja membabitkan isu kewanitaan seperti isu susuan, haid dan nifas. Pada satu ketika, seorang sahabat bernama Uqbah bin Harits r.a mengahwini seorang wanita tetapi datang seorang wanita berkulit hitam yang menyatakan Uqbah dan isteri barunya itu saudara susuan. Uqbah mengadukan perkara tersebut kepada Nabi s.a.w dan menyatakan perempuan tersebut berbohong. Mendengar kenyataan beliau, baginda berpaling daripadanya. Lalu Uqbah mengulangi kenyataan sama. Nabi s.a.w bersabda, “Bagaimana lagi? Dia telah menyatakan dia telah menyusukan kamu berdua. Maka tinggalkanlah dia (wanita yang baru dinikahinya)!” Beliau meninggalkan wanita tersebut dan mengahwini seorang perempuan yang lain.

Figure 1: Sebarang tuduhan yang dilemparkan perlu didatangkan saksi atau bukti yang kukuh dan sahih. Tanpa bukti atau saksi yang bagus, maka ianya dianggap palsu dan fitnah.

Perlu diingat, Al-Bayyinah tidak selamanya merujuk kepada saksi tetapi juga boleh menjadi dalam bentuk bukti yang kuat bagi menyokong si pendakwa/penuduh atau yang didakwa/dituduh. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t tentang kisah Nabi Yusuf a.s dan ibu angkatnya, Zulaikha dalam ayat 25-28, Surah Yusuf, “Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya.” Yusuf pula berkata: “Dia lah yang memujukku berkehendakkan diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata, “Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta. Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar.” Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, berkatalah ia: “Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.”

d) Bagi orang yang dituduh, maka perlu baginya untuk bersumpah atas nama Allah s.w.t bahawasanya dia berada di pihak yang benar dan tuduhan yang dilemparkan itu adalah palsu. Sekiranya seseorang itu enggan bersumpah mengikut apa yang dinyatakan Nabi s.a.w dalam hadis ini, keengganan tersebut menunjukkan yang tertuduh mengakui hak orang yang menuduh atau dia rela menyerahkannya kepada si penuduh. Sekiranya si penuduh/pendakwa gagal mengemukakan bukti, maka yang tertuduh terlepas dari dakwaan/tuduhan sekiranya dia bersumpah.e) Imam Nawawi rahimahullah mengulas bahawasanya si pendakwa/penuduh dianggap benar bila melemparkan tuduhan kepada orang lain, ini boleh membawa kepada situasi tuduh-menuduh dan mengaku dalam soal pemilikan harta atau darah orang lain. Atas sebab itu, Nabi s.a.w menegaskan dalam hadis ini keperluan si penuduh/pendakwa mendatangkan saksi atau bukti yang kukuh bagi setiap dakwaan/tuduhan yang dikemukakan.f) Jangan mengada-ada nak tuntut sesuatu perkara yang kita sendiri tiada hak dan menggunakan taktik kotor seperti saksi dan sumpah palsu bagi mendapat perkara yang dimahukan. Ini kerana Nabi s.a.w mengingatkan golongan ini, sekiranya mereka menang walaupun tahu sesuatu perkara itu milik saudaranya, maka golongan ini mendapat bahagian dari neraka. Ini berdasarkan hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari rahimahullah.

TIPS MENANGANI TUDUHAN/DAKWAAN PALSU

  1. Menyelidik terlebih dahulu dakwaan/tuduhan yang dilemparkan dan siapa/apa sumber yang mengemukakan dakwaan/tuduhan tersebut. Ini kerana tuduhan/dakwaan sebegini boleh saja dilemparkan oleh individu fasik atau organisasi berhati busuk. Rujuk firman Allah s.w.t dalam ayat 6, Surah Al-Hujurat, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
  2. Perbaiki kualiti sikap atau kualiti kehidupan yang menyumbang kepada sebab kita difitnah atau dituduh sebegitu rupa.
  3. Mengingati aib dan dosa kita sendiri. Ingatlah bahawa manusia itu tidak dapat lari dari melakukan dosa. Semua amalan kita sama ada baik atau buruk dicatat oleh malaikat Raqib dan Atid. Dan semua amalan kita itu akan dihisab walaupun ianya sebesar zarah. Ini berdasarkan firman-Nya dalam ayat 7-8, Surah Az-Zalzalah, “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”
  4. Anggaplah tuduhan/dakwaan yang dilemparkan itu sebenarnya teguran ‘halus’ Allah s.w.t untuk mengingatkan kita untuk berlaku taat kepada-Nya dan menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah-Nya di atas muka bumi ini.
  5. Berusaha untuk sabar dan ikhlas dalam menghadapi tuduhan/dakwaan yang dilemparkan. Jika kita berada di pihak yang benar, maka tidak perlu rasa takut. Ini kerana pada akhirnya, kebenaran itu akan didedahkan juga.
  6. Mendoakan si penuduh/pendakwa agar mendapat hidayah-Nya dan menghentikan perbuatan kejinya itu. Jika berkemampuan, berusahalah untuk menasihatinya berhenti daripada melakukan kesalahan tersebut. Namun jika merasakan tindakan dia keterlaluan, boleh saja membuat sebarang tindakan yang boleh membersihkan nama baik termasuk tindakan perundangan.
  7. Melakukan solat istikharah bagi mendapat panduan dan bimbingan-Nya dalam usaha membela diri dan membersihkan nama baik yang cuba diconteng si penuduh/pendakwa.
  8. Anggap tuduhan/dakwaan palsu yang dilemparkan itu satu kebaikan bagi diri kita. Sementara bagi si penuduh/pendakwa ini pula, jika mereka tidak bertaubat, memohon maaf dan tidak mengulangi perbuatan tersebut, maka mereka kelompok yang rugi pada hari akhirat kelak. Ini berdasarkan firman-Nya dalam ayat 11, Surah An-Nur, “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”
  9. Akhir kalam, saya memohon kepada saudara-saudari yang berterusan melakukan perbuatan keji ini untuk berhenti melakukannya. Ketahuilah, tindakan melemparkan tuduhan tanpa bukti dan tuduhan tersebut didapati palsu, tidakkah anda sedar, anda sebenarnya melakukan salah satu dosa besar di sisi Allah s.w.t? Ketahuilah, jika anda berterusan melakukannya, maka anda termasuk dalam golongan yang dikecam Allah s.w.t dalam ayat 11, Surah Al-Qalam, “Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai).” Dan kerana kelancangan lidah, anda dianggap sebahagian daripada golongan yang disebut-Nya dalam ayat 68, Surah Al-Ahzab. “Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.” Hentikanlah!

    SUMBER:

    1. Hidayah, Taufiq. (2013). Muslim.co.id. Bawa Bukti-Buktimu Bila Menuduh. https://muslim.or.id/18730-bawa-bukti-buktimu-bila-menuduh.html
    2. Abdul Qadir Jawas, Yazid. (2013). Al-Manhaj. Penuntut Wajib Mendatangkan Bukti dan Saksi serta Yang Tertuduh Bersumpah. https://almanhaj.or.id/3572-penuntut-wajib-mendatangkan-bukti-saksi-dan-terdakwa-bersumpah.html
    3. Mohamad Fuad, Mohamad Razif. (2015). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Bayan Linnas. Berita: Konsep Tabayyun dan Penerimaannya. http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/615-berita-konsep-tabayyun-dan-penerimaannya
    4. Anuz, Fariz Gasim. (2013). Republika. 8 Sikap Mengatasi Fitnah dan Tuduhan. http://www.republika.co.id/berita/dunia-islam/hikmah/13/06/11/mo7zui-8-sikap-mengatasi-fitnah-dan-tuduhan
    5. Surah.my. Terjemahan Al-Quran Bahasa Melayu.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply