Sheikh Mansour bin Zayed bin Sultan bin Zayed bin Khalifa Al Nahyan dan Khaldoon Khalifa Al Mubarak. Ramai diantara kita terutamanya rakyat Malaysia tidak akan pernah lupa dua nama ini.

Masakan tidak, mereka antara watak-watak penting dalam rakaman perbualan yang disiarkan oleh SPRM kepada umum pada 6 Januari 2020. Rakaman yang dipercayai turut melibatkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tidak perlu kita ulas panjang tentang isu yang berbangkit dalam beberapa rakaman suara tersebut. Topik pada hari ini lebih kepada mengulas apakah sebenarnya yang dilakukan oleh mereka berdua ini di persada politik dan ekonomi antarabangsa.

Menariknya, mereka turut terlibat dalam satu lagi skandal antarabangsa melibatkan kelab bola sepak ternama Eropah, Manchester City.

Tepat sekali, Manchester City FC. Kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris yang menempah nama di persada prestij dunia bola sepak Eropah setelah dibeli oleh Sheikh Mansour pada September 2008 melalui syarikatnya Abu Dhabi United Group (ADUG) dengan nilai pembelian sekitar £210 juta.

Siapakah Mereka ini?

Sheikh Mansour yang berdarah raja Abu Dhabi merupakan Timbalan Perdana Menteri Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan juga Naib Pengerusi bagi Mubadala Investment Company, syarikat milik penuh kerajaan UAE.

Beliau juga merupakan Pengerusi International Petroleum Investment Company, syarikat petroleum milik penuh kerajaan UAE. Ironinya, kedua-dua syarikat tersebut terpalit dengan skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Khaldoon Al Mubarak pula merupakan orang paling dipercayai oleh keluarga diraja UAE. Beliau merupakan Pengerusi bagi City Football Group (CFG) yang mengawal selia urusan kelab bola sepak milik Sheikh Mansour termasuklah Manchester City FC, New York City FC dan Melbourne City FC. Selain itu, beliau juga merupakan Ketua Pengarah Eksekutif Mubadala Investment Company.

(Sheikh Mansour)
(Khaldoon Al Mubarak)

Manchester City Didenda

Pada tanggal 14 Februari 2020, Manchester City dikenakan denda sebanyak £25 juta serta dihalang daripada bermain di pentas bola sepak UEFA selama dua musim (2020/2021, 2021/2022).

Keputusan yang dibuat oleh badan bola sepak Eropah itu ekoran hasil siasatan Badan Kawalan Kewangan Kelab (CFCB) UEFA yang bermula pada bulan Mei 2019 mendapati bahawa kelab tersebut telah melanggar peraturan Financial Fair Play (FFP) yang telah ditetapkan.

Keputusan ini ternyata satu tamparan hebat buat kelab yang baru sedekad cuba untuk menjadi kelab yang relevan di benua Eropah. Ternyata dengan hukuman yang diberikan ini, Manchester City pastinya akan diheret ke kancah kehinaaan bola sepak kelab pertengahan yang mereka pernah rasai sebelum Sheikh Mansour membeli kelab tersebut.

Namun demikian, perlu juga kita ketahui apakah sebenarnya peraturan FFP yang dilanggar oleh kelab itu. Hal ini kerana pada tahun 2011, Bekas Pengerusi Arsenal FC, Arsene Wenger pernah melemparkan tuduhan terhadap Manchester City.

Beliau mengatakan kelab tersebut telah berjaya melanggar peraturan FFP tanpa diambil tindakan oleh UEFA. Bermakna isu yang membelenggu kelab itu kini bukanlah isu baru.

Malah, pada May 2014, Manchester City pernah didenda oleh UEFA akibat daripada kelab melaporkan kerugian sebanyak £150 juta pada tahun 2012, £130 juta lebih daripada yang dibenarkan oleh FFP (£20 juta, ditukar kepada £10juta mulai musim 2015/2016).

Hasilnya, kelab hanya dibenarkan berbelanja sebanyak £49 juta untuk musim berikutnya dan skuad Liga Juara-Juara Eropah mereka dikecilkan kepada 21 pemain.

Didenda Lagi   

Memetik kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh UEFA bertarikh 14 Februari 2020, UEFA berkata, “Berikutan perbicaraan yang diadakan pada 22 Januari 2020, pihak Kamar Pengadilan bagi Badan Kawalan Kewangan Kelab UEFA (CFCB) yang dipengerusikan oleh Jose Da Cunha Rodrigues telah menyampaikan keputusan akhir siasatan kes yang dirujuk oleh Ketua Penyiasat CFCB kepada kelab bola sepak Manchester City.

Setelah meneliti semua bukti yang dibentangkan, Kamar Pengadilan mendapati Manchester City telah melakukan pelanggaran peraturan yang serius terhadap Lembaga Perlesenan Kelab UEFA dan FFP dengan menokok tambah nilai pendapatan melalui tajaan dalam penyata akaun kelab. Mereka juga telah melakukan perkara yang sama terhadap maklumat pulang modal yang dibekalkan oleh kelab kepada UEFA antara tahun 2012 dan 2016.

Malah, kelab itu juga gagal untuk memberikan kerjasama kepada CFCB untuk membantu siasatan. Kelab itu dibenarkan merayu kepada Pusat Penimbangtaraan Bagi Sukan (CAS). Sekiranya rayuan dibuat, pihak UEFA tidak akan menyiarkan alasan pengadilan sehingga CAS memutuskan keputusan rayuan tersebut.”

Ini bermaksud bahawa Manchester City FC telah menipu angka dalam laporan kewangan mereka yang diserahkan kepada UEFA bagi membuktikan operasi kelab mereka memberi pulangan modal yang telah ditetapkan sebagai syarat oleh FFP bermula pada tahun 2013. Oleh kerana UEFA tidak akan mengeluarkan alasan pengadilan mereka atas sebab yang diberikan, cara bagaimana kelab tersebut memanipulasi angka tersebut tidak dapat diketahui secara jelas.

Tuduhan Dilemparkan

Pada tahun 2011, syarikat penerbangan milik kerajaan Abu Dhabi, Etihad Airways telah menaja Manchester City FC dengan kontrak bernilai £400 juta selama 10 tahun. Dalam pada masa yang sama, mereka turut menaja Arsenal FC, kelab utara London hanya sebanyak £90 juta.

Ketika itu nilai tajaan sebesar itu mengejutkan banyak pihak sehinggakan pengerusi Arsenal FC ketika itu, Arsene Wenger menuduh Manchester City melakukan doping kewangan.

Tambahan pula, pada musim lepas sahaja, Manchester City FC mencatatkan pendapatan komersil berjumlah £229 juta. Jumlah itu sangat besar jika dibandingkan dengan seteru mereka, Liverpool (£186 juta) dan Chelsea (£185 juta) yang mempunyai bilangan peminat yang lebih ramai serta bertaraf juara Eropah. Ini membuatkan pihak UEFA musykil.

Pengurus kelab berkenaan, Pep Guardiola juga pernah diajukan soalan kontroversi oleh wartawan Associated Press sejurus selepas kemenangan Manchester City FC keatas Watford FC pada perlawanan akhir Piala FA musim lalu, Ditanya sama ada beliau menerima bayaran lain daripada pemilik kelab , Sheikh Mansour diluar daripada yang dipersetujui di dalam kontrak pekerjaan, beliau hanya memberikan reaksi tidak senang. Beliau berkata, “Anda tahu atau tidak apa yang anda tanyakan ini? Di hari kami baru sahaja menang trebel anda pula menanyakan soalan sebegini?’, katanya dalam nada marah.

Soalan tersebut ditanyakan susulan sejumlah besar email yang telah digodam dan disebarkan oleh Football Leaks kepunyaan Rui Pinto yang mengandungi tuduhan keatas kelab dan juga bekas pengurus kelab Roberto Mancini.

Tuduhan itu menyatakan antara lain, Roberto Mancini menerima bayaran berlainan daripada kelab kepunyaan Sheikh Mansour, Al Jazira FC sedangkan beliau masih lagi pengurus pasukan Manchester City.

Hal ini menandakan bahawa pembayaran dibuat secara pintu belakang untuk kelab mengelak daripada mengira kos pembayaran kedalam penyata kewangan kelab. Ini juga salah satu cara bagi memastikan supaya kelab dapat melepasi syarat FFP secara salah.

Email Dan Laporan Der Spiegel

Merujuk pula kepada laporan yang dikeluarkan oleh Der Spiegel, majalah berita negara Jerman pada tahun 3 November 2018, wakil kelab Machester City FC ada membincangkan tentang bagaimana cara untuk mereka melenyapkan angka kerugian £9.9 juta dalam penyata kewangan pada tahun 2013. Kerugian itu berpunca daripada pemecatan pengerusi klab ketika itu , Roberto Mancini.

Perbincangan itu berlaku melalui email yang telah dibocorkan oleh Rui Pinto, seorang pengodam siber berbangsa Portugal. Email tersebut telah diperolehi oleh beliau bersama dengan 70 juta dokumen berlainan dan disebarkan oleh laman web Football Leaks.

Kini, beliau telahpun ditahan oleh pihak berkuasa Portugal atas 147 tuduhan menggodam, sabotaj dan penipuan.

Selain itu, Der Spiegel juga melaporkan bahawa pemilik Manchester City FC, Sheikh Mansour telah secara salah memberikan tambahan dana kepada para penaja kelab tersebut dari Abu Dhabi termasuklah Etihad Airways, Aabar Investments dan Badan Pelancongan Abu Dhabi untuk memberikan tajaan yang lebih besar berbanding apa yang telah dipersetujui dalam kontrak asal sejak 2013.

Seperti yang dilaporkan dalam email tersebut, Etihad Airways membayar lebihan sejumlah £1.5 juta, Aabar Investments sebanyak £500 ribu manakala Badan Perlancongan Abu Dhabi pula sebanyak £5.5 juta. Bermaksud, sejumlah £7.5 juta telah ditambahkan kedalam nilai tajaan dan digambarkan seperti jumlah tersebut dipersetujui dalam kontrak asal, sedangkan tidak.

Malah, email oleh Eksekutif Kelab ketika itu kepada pengerusi Khaldoon Al Mubarak pada tahun 2010 memaparkan perbincangan tentang pelaburan tahunan Aabar Investments sebanyak £15 juta.

Petikan email tersebut berbunyi, “Seperti yang kita telah bincangkan, Aabar hanya perlu membayar £3juta. Manakala selebihnya (£12 juta) akan dibayar oleh Tuanku Raja (Sheikh Mansour)”.

Ini jelas bertentangan dengan kaedah pelaburan yang dibenarkan walaupun wakil kelab telah beberapa kali mengatakan bahawa Aabar Investment adalah penaja yang tidak terkait dengan pemilik kelab itu.

Memetik kata-kata Jorge Chumillas, Ketua Pegawai Kewangan Manchester City FC apabila ditanya oleh rakan sekerjanya  Simon Pearce sama ada tarikh pembayaran tambahan nilai tajaan itu boleh ditukarkan ataupun tidak, jawapan yang diberikan oleh beliau adalah “mestilah boleh, kita boleh buat apa yang kita mahu”. Begitulah keangkuhan yang membarah di dalam kelab tersebut.

Lebih mengejutkan, nilai sebenar tajaan Etihad Airways yang dikatakan berjumlah £400 juta hanyalah sebuah penipuan semata-mata. Simon Pearce menyatakan di dalam email kepada Etihad Airways pada Disember 2013, syarikat tersebut hanya perlu patuh kepada pembayaran tahunan sebanyak £8 juta.

Sedangkan jumlah yang patut mereka bayar secara tahunan kepada kelab menerusi kontrak yang telah ditandatangani pada 2011 adalah sebanyak £35 juta. Ini bermakna kelab tersebut telah menipu nilai tajaan sebenar.

Malah, Pearce mengatakan bahawa, walaupun Etihad perlu membayar sejumlah £65.7 juta, mereka hanya perlu membayar £8 juta manakala baki £59.5 dibayar oleh ADUG, pemilik kelab itu sendiri. Ini menunjukkan bahawa kegiatan pengubahan wang haram sedang dijalankan oleh mereka.

Projek Longbow

Pada 13 Mei 2013, Manchester City FC menjual hak imej pemasaran pemain ternama mereka kepada anak syarikatnya, Manchester City Football Clubs (Image rights) Ltd atau dikenali sebagai MIR. Kelab itu kemudiannya menjual MIR kepada Fordham Sports Management, syarikat milik David Rowland dan anaknya Jonathan Rowland.

MIR bersetuju untuk membayar Manchester City FC £24.5 juta dan seterusnya sebanyak £10 juta selagi mana mereka masih memegang hak tersebut. Sebagai balasan, MIR berhak untuk menjual hak imej para pemain tetapi bergantung kepada terma dan syarat yang ketat. Akibatnya, MIR mencatatkan kerugian sebanyak £70 juta setakat tahun 2017.

Namun, dalam email antara kelab dan Fordham, pemilik kelab, ADUG  bersetuju untuk menampung segala kerugian yang ditanggung oleh MIR kepada Fordham.

Ini bermaksud, sekalipun kerugian dicatatkan oleh MIR, Fordham sebagai pemilik syarikat MIR tidak akan menanggung apa-apa kerugian. Kewangan kelab juga tidak akan bersentuh kerana pembayaran dibuat oleh ADUG secara berasi. ngan.

Ini adalah salah satu cara bagaimana Manchester City FC cuba untuk mengurangkan kerugian kelab melalui skim penipuan untuk menepati syarat pulang modal yang ditetapkan oleh FFP.

Tambahan pula, kelab berjaya untuk mencipta keuntungan palsu melalui pembayaran berjumlah £24.5 juta dan £10 juta setahun melalui kontrak yang ditandatangani antara MRI dan Manchester City FC.

Inilah yang dinamakan sebagai Projek Longbow (Busur Panjang). Idea ini dipelopori oleh Ketua Pegawai Eksekutif Manchester City FC, Ferran Soriano dan juga Ketua Penasihat Undang-Undang Kelab, Simon Cliff.

Nama projek ini diambil sempena nama senjata yang digunakan oleh tentera Inggeris untuk mengalahkan tentera Perancis dalam peperangan di Crecy dan Agincourt.

Ini kerana kelab menganggap musuh utama mereka adalah Pengerusi UEFA ketika itu, Michel Platini yang berbangsa Perancis.

Michel Platini merupakan watak yang bertanggungjawab merealisasikan projek FFP, sekaligus melenyapkan harapan Manchester City FC untuk meneruskan kegiatan haram mereka tanpa halangan.

Kesan Ke Atas Kelab

Selain daripada kelab tidak dapat beraksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Eropah selama dua musim, mereka juga akan mengalami kerugian berjumlah £100 juta kerana hilang hak beraksi di pentas berprestij itu seterusnya hilang punca pendapatan melalui hak penyiaran dan hasil pemasaran.

Mereka juga akan berdepan kehilangan kuasa beli terhadap pemain berprestij kerana mereka tidak lagi menjadi tumpuan para pemain yang mahu beraksi di pentas elit Eropah. Lebih memeritkan, tentu sekali beberapa pemain akan membuat keputusan untuk beralih arah ke kelab yang boleh memberikan peluang kepada mereka beraksi di pentas tersebut.

Seorang peguam sukan, John Mehrzad melalui ciapan beliau di laman Twitter berkata, tindakan kelab melanggar peraturan UEFA sehingga menyebabkan mereka dikenakan tindakan pengharaman beraksi selama dua musim ini juga melanggar terma tersirat berkenaan kepercayaan dan keyakinan pemain yang termaktub dalam kontrak mereka.

Justeru, termasuklah dengan fakta berasas lainnya, para pemain berhak untuk meninggalkan kelab secara percuma. Ternyata keadaan ini sekiranya berlaku lebih memeritkan kedudukan kelab.

Selain itu, kelab juga berdepan dengan tindakan dilucutkan ke liga divisyen 2 dan berdepan potongan 30 mata oleh Liga Perdana Inggeris. Berkemungkinan juga kemenangan liga mereka sebelum ini akan dibatalkan oleh pihak liga sekiranya rayuan kepada CAS gagal memihak kepada kelab tersebut.

Reaksi Pihak Manchester City FC

Ketika mana kelab itu dikenakan tindakan buat pertama kali oleh UEFA pada 2014, Khaldoon telah memberitahu kepada Gianni Infantino (Setiausaha Agung UEFA ketika itu) bahawa beliau lebh rela membayar £25 juta untuk melantik 50 peguam terbaik dunia untuk menyaman UEFA buat 10 tahun akan datang daripada membayar denda yang dikenakan oleh badan tersebut.

Keangkuhan pengerusi kelab itu disebut di dalam email Simon Cliff, Ketua Penasihat Undang-Undang Kelab.

Ketika Jean-Luc Dehaene, bekas pengerusi Kamar Pengadilan CFCB meninggal dunia, Simon Cliff mengeluarkan kenyataan yang dipetik “1 sudah, 6 lagi”. Kenyataan bersifat jahat ini mungkin antara penyebab mengapa hubungan antara UEFA dan Manchester City FC semakin memburuk.

Ini jelas menunjukkan bahawa pihak kelab itu tidak akan sesekali menyerah kalah dan akan merayu kepada CAS bagi membatalkan keputusan UEFA keatas mereka kali ini. Ketua Pegawai Eksekutif Kelab,  Ferran Soriano pada 20 Februari menegaskan sekali lagi bahawa mereka tidak bersalah dan segala tuduhan yang dilemparkan keatas mereka adalah salah sama sekali.

Soriano juga berkata kepada para pemain kelab bahawa “percayalah saya sepertimana saya percaya kamu semua, hukuman ini akan dibatalkan”.

Reaksi Penggiat Bola Sepak

Ketua Pembangunan FIFA yang baharu dan juga bekas pengurus Arsenal FC memberitahu kepada media bahawa beliau talh menjangkakan perkara ini akan berlaku. Beliau dipetik sebagai berkata “Mereka yang tidak menghormati undang-undang harus dihukum”.

Pengurus Tottenham Hotspurs FC dan juga bekas pengurus Manchester United FC lebih gemar berseloroh dengan mengatakan dihadapan media bahawa “Adakah dengan tindakan UEFA ini menyebabkan bekas kelabnya akan ditabalkan sebagai juara musim 2017/2018?”.

Pengurus kelab Liverpool FC, Jurgen Klopp pula bersimpati keatas nasib yang menimpa rakan sejawatnya Pep Guardiola dan juga para pemain Manchester City FC. Beliau berkata “Saya bersimpati dengan apa yang terjadi terhadap mereka terutamanya pengurus pasukan, para jurulatih serta para pemain.

Kami sebagai penggiat bola sepak hanya cintaka sukan ini. Apa yang berlaku di belakang tabir kami tidak tahu kerana kami meletakkan kepercayaan keatas pengurusan tertinggi kelab”.

Pengulas Sukan di Sky Sports dan juga bekas bek kanan Manchester United, Gary Neville menyelar tindakan UEFA ini.

Beliau berkata “Saya tidak bersetuju dengan UEFA untuk menidakkan pelaburan pemilik kelab keatas kelabnya sendiri. Saya selalu beranggapan bahawa FFP tidak sesuai digunapakai sebagai peraturan kewangan. Saya merasakan bahawa Manchester City FC akan mengalahkan UEFA kerana mereka organisasi yang tidak boleh diharap.”

Pep Guardiola pula memilih untuk bersama dengan kelab disaat sukar ini. Beliau berkata kepada media “Sekalipun kami dilucutkan ke divisyen 2, saya akan tetap bersama kelab ini”. Pemain bintang mereka, Raheem Sterling juga menyuarakan pandangan serupa.

Bilakah Kes Ini Akan Selesai?

Pada tahun 2008 pemain kelab Trabzonspor yang berpangkalan di Turki, Omer Riza telah keluar daripada kelab tersebut setelah gajinya tidak dibayar. Beliau telah didenda oleh badan bola sepak Turki sebanyak £50, 701 kerana telah melanggar kontrak.

Beliau merayu kepada CAS kemudiannya kepada Mahkamah Persekutuan Switzerland dan akhirnya ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah.

Kes ini baru sahaja selesai pada bulan lepas dan beliau menang rayuan di mahkamah tersebut. Beliau kini sudahpun bersara dan telapun menjadi ketua jurulatih di Akademi Bola Sepak Watford FC.

Bayangkan sahaja betapa lamanya kes berskala besar ini akan dibicarakan. Wang bukan masalah bagi Sheikh Mansour serta Khaldoon AL Mubarak.

Keluarga diraja Abu Dhabi sahaja dianggarkan bernilai sebanyak £1 trilion. Khaldoon sahaja mempunyai aset bernilai £200 bilion. CFG yang menguruskan kesemua kelab kepunyaan ADUG milik Sheikh Mansour bernilai £5 bilion.

Mereka tidak lansung takut perihal undang-undang ini. Mereka punya sumber kewangan yang tidak akan habis selagi mana negara UAE masih wujud.

Mereka yang tidak teragak-agak untuk mengheret firma besar seperti Goldman Sachs ke mahkamah bagi kes melibatkan 1MDB bukanlah lawan mudah bagi UEFA.

UEFA berdepan dengan sebuah negara kaya, bukan sahaja sebuah kelab di Manchester. Lawan mereka ini sanggup untuk menghabiskan berates juta pound hanya untuk membalas dendam keatas apa yang UEFA lakukan kepada mereka. UEFA perlu bersedia kerana Manchester City FC adalah simbol Sheikh Mansour dan keluarga diraja Abu Dhabi.

Apa yang boleh dikatakan adalah, tiba masanya untuk UEFA kembali membetulkan imej mereka yang tercalar ekoran skandal rasuah yang melibatkan bekas pengerusi mereka, Michel Platini. Ini adalah masa terbaik bagi UEFA untuk melakukan perkara yang betul.

Biarpun akan mengambil masa yang panjang, tetapi kelab seperti Manchester City FC harus dihukum sebagai pedoman buat pemilik kelab lain yang cuba untuk meniru model bisnes Sheikh Mansour dan sekutunya.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.