Mamalia Yang Beracun Dan Bertoksik

0
742
views

Apabila bercerita tentang haiwan yang beracun atau bertoksik, pasti anda akan terus membayangkan ular (reptilia), katak (amfibia) dan juga pelbagai haiwan lain dan bukannya haiwan dari kumpulan mamalia. Ini kerana mamalia selalunya dikaitkan dengan aktiviti pemburuan yang menggunakan sama ada gigi, kuku serta gigitan kuat seperti jaguar.

Tetapi tahukah anda bahawa terdapat mamalia yang bertoksik serta beracun? Artikel ini akan mendedahkan tentang mamalia yang menggunakan racun atau toksik sama ada untuk mempertahankan diri,  memburu mangsa atau semasa persaingan untuk membiak.

*Funfact: Gigitan jaguar adalah gigitan terkuat didalam keluarga “kucing besar”. Mengalahkan kucing besar yang lain seperti singa, harimau dan sebagainya.

Skunk

Ancaman yang dibawa skunk kepada manusia dan haiwan lain adalah semburan bau-bauan yang sangat busuk. Semburan skunk mempunyai 7 bahan kimia yang mengandungi sulfur di dalamnya. Seterusnya, semburan skunk mengandungi kompaun kimia yang bernama Thiol. Menariknya, thiol juga terdapat didalam bawang dan bawang putih. Kompaun thiol ini adalah campuran atom diantara 1 atom sulfur + 1 atom hidrogen.

Simptom yang terhasil apabila terkena semburan “bertoksik” skunk bergantung pada jarak skunk yang menyembur cecair dan lokasi kawasan badan yang terkena semburan. Semburan skunk tidak diserap dengan baik oleh kulit, menyebabkan hanya simptom minima sahaja selain daripada bau-bauan yang busuk.

Antara simptom yang terjadi kepada manusia akibat semburan skunk ialah mata berair dan muntah. Tetapi, apabila semburan terkena tepat pada bebola mata ia boleh menyebabkan ulser, keradangan serta hilang penglihatan sementara. Di dalam situasi yang jarang-jarang berlaku, ia juga boleh menyebabkan anemia (sel darah merah berkurang). Malah ada direkodkan bahawa terdapat kes serius semburan skunk memerlukan pemindahan darah akibat anemia.

*Funfact: Selain dari menyebabkan semburan skunk itu bau yang sangat busuk, kompaun thiol juga memberikan rasa yang sedap kepada bawang dan bawang putih.

Skunk bersama anak-anaknya. Comel, tapi busuk

Platipus

Platipus atau nama saintifiknya Ornithorhynchus anatinus adalah sejenis haiwan mamalia semi-akuatik yang terdapat di Australia serta Pulau Tasmania. Seperti Echidna, platipus adalah haiwan monotreme, yang bermaksud mamalia yang bertelur dan bukannya beranak seperti mamalia lain.

Platipus boleh dikatakan seperti haiwan mutan atau hibrid oleh kerana ciri-cirinya memiliki paruh seperti itik serta badan yang berbulu seperti memerang atau beaver. Tetapi, tahukah anda bahawa platipus ini merupakan haiwan yang beracun?

Ini kerana pada sepasang kaki belakang platipus jantan terdapat “taji” kecil seperti yang terdapat pada kaki ayam. “Taji” ini mempunyai sambungan kepada kelenjar beracun yang dihasilkan oleh sistem imunisasi platipus sendiri. Oh ya, cuma platipus jantan sahaja yang mempunyai taji beracun, manakala taji platipus betina akan gugur sendirinya apabila meningkat dewasa.

Racun platipus boleh menyebabkan kematian kepada haiwan kecil seperti kucing atau anjing malah terdapat sebuah kes merekodkan tentang kematian anjing akibat racun platipus. Racun platipus ini tidak berkemampuan menyebabkan kematian kepada manusia. Walaubagaimanapun, ia tetap menyebabkan kesakitan yang teramat sangat dan boleh juga menyebabkan berlakunya (hyperalgesia), keadaan dimana kawasan yang disuntik racun menjadi semakin sensitif kepada kesakitan dan ianya boleh berlanjutan berbulan lamanya.

Mengapa platipus menghasilkan racun? Para saintis berpendapat, taji beracun itu digunakan semasa persaingan untuk mendapat pasangan. Hipotesis ini dikuatkan lagi dengan fakta bahawa platipus jantan menghasilkan lebih banyak racun semasa musim panas yang kebetulannya sama waktu dengan musim mengawan.

Rupa bentuk fizikal platipus.
Taji yang bersambung pada kelenjar beracun pada kaki belakang platipus jantan

Slow Loris

Slow loris adalah primat yang bersifat nocturnal. Slow loris terdapat di Asia Tenggara. (Malaysia, Indonesia, Thailand dan sebagainya). Nokturnal itu apa? Nokturnal diklasifikasikan sebagai sifat yang aktif pada waktu malam. Slow loris adalah haiwan omnivor, mereka memakan tumbuhan, buah serta serangga kecil di hutan.

Tetapi tahukah anda haiwan comel bermata besar ini mempunyai gigitan yang bertoksik? Toksik ini dihasilkan kelenjar yang terdapat dibawah lengannya. Toksik ini hanya terhasil apabila slow loris menjilat kelenjar tersebut dan enzim yang terdapat pada air liur slow loris akan bertindak balas dengan bahan kimia dihasilkan kelenjar seterusnya menjadikan ia bertoksik. Kemudian campuran air liur bertoksik itu akan diletakkan pada gigi mereka menjadikan gigitan mereka lebih merbahaya. Ini adalah mekanisma pertahanan diri untuk melindungi diri daripada pemangsa.

Malangnya, slow loris kini telah menjadi haiwan buruan manusia setelah tular rakaman video “comel” slow loris mengangkat lengannya apabila digeletek. Ini menyebabkan permintaan untuk menjadikan slow loris ini sebagai haiwan peliharaan meningkat. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perdagangan haram slow loris, sila ke pautan dibawah.

Waqaf Saham

*Haiwan liar bukan haiwan peliharaan. Jangan hanya kerana ingin tampak lain dari yang lain, anda mengambil haiwan ini dari habitatnya.

Slow Loris dan kelenjar beracun dibawah lengannya

Cencorot

Cencorot yang dibincangkan adalah Cencorot Berekor Pendek Utara atau nama saintifiknya Blarina brevicauda. Cencorot spesies ini hanya terdapat di bahagian utara benua Amerika dari Nova Scotia di Kanada sehingga ke negeri Georgia di Amerika Syarikat.

Ia membina sarangnya di terowong bawah tanah ataupun dibawah batu dan kayu besar. Mereka juga membina laluan yang kompleks dibawah daun, tanah dan salji bagi mengelak dikesan pemangsa.

Seterusnya, cencorot berekor pendek ini merupakan pemakan yang pelahap dan makan dengan kerap. Dianggarkan bahawa cencorot berekor pendek ini memakan makanan melebihi 3 kali beratnya dalam 1 hari. Cencorot ini akan makan lebih banyak pada musim sejuk demi untuk mengekalkan suhu badannya.

Haiwan kecil ini juga mempunyai senjata hebat iaitu gigitan beracun. Cencorot berekor pendek ini mempunyai kelenjar air liur yang menghasilkan racun. Racun yang dihasilkan membolehkan cencorot berekor pendek memburu haiwan yang lebih besar dari saiz badannya. Racun cencorot ini digunakan bagi melumpuhkan mangsanya sama ada katak, tikus kecil, ular, burung serta cencorot lain.

Slow Loris dan kelenjar beracun dibawah lengannya

Solenodon

Solenodon adalah haiwan prasejarah yang telah wujud lebih 76 juta tahun dahulu! Lebih lama dari zaman semasa dinosaur pupus akibat peritiwa hentaman metor. Walaubagaimanapun, akibat penebangan hutan yang tidak terkawal dan juga haiwan-haiwan lain seperti anjing yang diperkenalkan di habitat nya, telah menyebabkan jumlah solenodon ini berkurangan.

Kini, hanya terdapat 2 spesies solenodon di dalam dunia, Solenodon cubanus yang mendiami kepulauan Cuba dan Solenodon paradoxus yang mendiami kawasan Hispaniola (Santa Domingo dan Haiti).

Solenodon mempunyai saiz yang sedikit besar daripada tikus biasa dan mempunyai kuku panjang yang digunakan untuk mengorek tanah. Solenodon juga mempunyai mata yang kecil yang menyebabkan ia tidak dapat melihat dengan baik. Walaubagaimanapun, kekurangan penglihatan tersebut dibelakangi oleh kebolehan untuk menghidu dan sentuhan yang hebat. Oh ya, solenodon betina mempunyai lokasi puting yang sedikit aneh, oleh kerana ia terletak di bahagian pelipat kaki belakangnya.

Solenodon ini juga merupakan antara beberapa jenis mamalia yang beracun. Namun solenodon sangat menarik bukan hanya kerana ianya beracun, ianya adalah kerana solenodon menyuntik racun tersebut melalui taringnya seperti ular. Simptom yang disebabkan oleh racun solenodon adalah sama seperti gigitan ular iaitu keradangan pada bahagian gigitan serta kesakitan yang berlanjutan beberapa hari. Walaubagaimanapun racun tersebut hanya menyebabkan kematian pada haiwan kecil sahaja.

Solenodon paradoxus yang terdapat di Hispaniola

Rujukan:

[i] https://io9.gizmodo.com/the-chemistry-of-skunk-spray-1567355548

[ii] https://valleycottageanimalhospital.com/2014/07/24/getting-skunked-its-not-just-about-the-stink/

[iii] https://animals.howstuffworks.com/mammals/platypus-poison.htm

[iv] https://news.nationalgeographic.com/news/venomous-primate-discovered-in-borneo/

[v.] http://www.biokids.umich.edu/critters/Blarina_brevicauda/

[vii.] http://thescienceexplorer.com/nature/mysterious-solenodon-mammal-snake-bite

[viii.] https://www.wired.com/2016/02/absurd-creature-of-the-week-the-mystery-of-solenodon-the-mammal-that-bites-like-a-snake/