Maliau Basin: Sabah’s Lost World

2702
views

Maliau Basin, Lembangan Maliau atau Maliau Basin Conservation Area (MBCA) adalah kawasan lembangan yang terdiri daripada Sungai Maliau serta hutan tropika liar yang bertempat di daerah Tongod, berdekatan dengan kota Tawau, Sabah. Ia ditetapkan sebagai kawasan pemuliharaan oleh Yayasan Sabah pada tahun 1981. Pada tahun 1997 Sabah State Assembly mewartakan Maliau Basin sebagai Protection Forest Reserve atau Rizab Perlindungan Hutan (Class I) dengan keluasan 588 kilometer persegi.

Gambar 1: Lokasi Maliau Basin yang seakan bentuk kawah.
Gambar 2: Peta MBCA

Maliau Basin dikenali dengan gelaran Sabah’s Lost World kerana bukan sekadar hutan dilindungi malah kawasan seluas 58 ribu hektar yang mempunyai lekukan seperti kawah mempunyai hutan dara yang masih tidak disentuh oleh sesiapa, meliputi Gunung Lotung dengan ketinggian 1,667 meter, Air Terjun Maliau, dan Tasik Linumunsut. Pada tahun 2011, Pusat Kajian Maliau Basin ditubuhkan bagi menggalakkan para naturalis, biologis, dan para pengkaji tempatan dan luar negara bagi mengkaji kepelbagaian flora dan fauna yang misteri.

Walaupun Maliau Basin kini dijadikan sebagai tempat eko-perlancongan, hanya 1/3 saja dapat pelancong menikmati penjelajahan hutan (jungle tracking) dan aktiviti memerhati burung (bird watching). Kawasan selebihnya menjadi tapak kajian para pengkaji. Maliau Basin adalah kawasan konservasi yang mempunyai air terjun terbanyak di Malaysia iaitu 20 buah air terjun mengalir dari Sungai Maliau sehingga Orang Murut menggelarkannya sebagai ‘Tanah Tangga Gergasi’. Antara air terjun terkenal adalah Air Terjun Maliau yang mempunyai 7 tingkat air terjun.

Gambar 3: Air Terjun Maliau

Maliau Basin juga mempunyai Tasik Linumunsut, satu-satunya tasik air tawar terdapat di Sabah. Menurut kepercayaan masyarakat Murut yang menetap di sekitar Maliau Basin, dikatakan bahawa ada seekor naga tinggal di laut tersebut. Menariknya tentang tasik tersebut, ia kaya dengan kepelbagaian fauna dan para pengkaji telah menemui fosil haiwan marin dari 16 – 17 juta tahun dulu di kawasan tasik tersebut.

Gambar 4: Tasik Linumunsut

Terdapat 1,800 spesis flora ditemui pengkaji, termasuk 6 jenis tumbuhan periuk dan lebih 80 spesis bunga orkid. Bunga Rafflesia tengku-adlinii yang jarang tumbuh meliar juga ditemui pada tahun 1988. Pokok tropika yang dominan menghiasi Maliau Basin adalah pokok Agathis. Terdapat juga hutan pokok dipterokarpa yang tumbuh meliar di tanah rendah dan tinggi kawasan Maliau Basin seperti Urat Mata Berudu (Parashorea tomentella), Seraya Majau (Shorea johorensis), Urat Mata Daun Licin (Prashorea malaanonan),Oba Suluk (Shorea pauciflora), Seraya Daun Mas (Shorea argentiflora), dan Seraya Kuning (Shore sp.). Seraya Kuning adalah pokok tropika tertinggi dalam kalangan pokok tropika lain dan yang paling tinggi di Maliau Basin adalah berketinggian 89.5 meter.

Gambar 5: Pokok Seraya Kuning tertinggi di Maliau Basin dan bandingan pokok ini dengan seorang renjer tengah menangkap foto.

Bagaimana dengan kepelbagaian fauna? Maliau Basin telah lama menjadi rumah kepada haiwan-haiwan yang terancam seperti badak Sumatra, Banteng/Tebadau, Orang Utan, dan monyet belanda (Proboscis Monkey). Terdapat lebih 80 spesis haiwan mamalia seperti Bornean Pygmy Elephant (gajah terkecil dunia), kucing besar bernama Clouded Leopard, dan Malayan Sunbear. Manakala kepelbagaian burung pula terdapat hampir 300 spesis ditemui antaranya Bulwer’s Pheasant dan Bornean Bristlehead yang selalu ditemui, menjadikan Maliau Basin sebagai pusat eko-perlancongan untuk aktiviti pemerhatian burung. Haiwan Amphibian iaitu keluarga katak dan salamander juga banyak ditemui sebanyak 35 spesis. Terdapat juga sepsis baru ikan, ketam, dan serangga seperti kumbang yang hanya ditemui di Sabah dan tiada di lokasi lain. Pokoknya, Maliau Basin kaya dengan kepelbagaian sepsis haiwan selain menjadi rumah untuk haiwan terancam.

Gambar 6: Bornean Pygmy Elephant
Gambar 7: Bentang atau Tembadau
Gambar 8: Burung Bulwer’s Pheasant

Dengan keunikkan Maliau Basin ini, wajiblah Maliau Basin Conservation Area (MBCA) ditubuhkan bagi mencapai objektif-objektif berikut:

  1. Melindungi kepelbagaian flora dan fauna.
  2. Mempromosikan kajian melibatkan ekosistem, kepelbagaian dan pemuliharaan ekosistem.
  3. Mempromosikan pembelajaran dan latihan konservasif, sejarah alam, ekologi, perhutanan, dan yang berkait dengan sains.
  4. Mempromosikan lokasi rekreasi yang bersesuaian dan eko-perlancongan yang tidak terpengaruh dengan keutamaan lain.
  5. Integrasi pemulihan, perhutanan dan eko-perlancongan luar dan dalam rizab bagi mewujudkan sebuah model bersesuaian dengan pengurusan hutan.

Bagi mematuhi objektif MBCA ini, Yayasan Sabah berhak meluluskan atau membantah sebarang aktiviti melibatkan kawasan konservasi ini. Kita sebagai rakyat Malaysia yang mengetahui bahawa haiwan atau tumbuhan yang telah pupus dan terancam di negara sendiri kerana keterpaksaan hidup bersama manusia yang dahagakan pembangunan harus mengetahui dan memahami kewujudan dan kepentingannya. Ini era di mana setiap negara mencari sumber yang boleh dikitar semula terutamanya sumber aloam yang sentiasa hadir di keliling kita, bukan menggalakkan lagi kewujudan sebuah lagi lombong atau perlaksanaan aktiviti pembalakan haram. Yang pasti, kita sebagai penjaga alam harus bangkit mempertahankan hutan, haiwan dan tumbuhan dan kerakusan kerajaan.

RUJUKAN:

  1. Hazebroek, H.P., T.Z. Adlin & W. Sinun. (2004). Maliau Basin Sabah’s Lost World. Kota Kinabalu: Natural History Publication (Borneo).
  2. Hou, Ding. (2000). Tree Flora of Sabah and Sarawak. Forest Research Institute Malaysia, 3, 153 – 154
  3. Maliau Basin Conservation Area. http://maliaubasin.org/home/